PASANGAN warga emas maut dipercayai dikelar anak lelaki mereka di kampung Kemahang Hulu, Benta, Lipis, tengah malam tadi.

Penduduk kampung menemukan mayat Mohammad Maasai, 68, dan isterinya, Zailan Zainudin, 64, selepas menahan anak pasangan tersebut yang dalam keadaan bogel dan berlumuran darah kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azly Mohd. Noor berkata, siasatan awal mendapati, suspek yang berusia 31 tahun itu menggunakan senjata golok untuk mengelar leher dan menetak kedua-dua mangsa.

“Pihak polis menerima laporan pukul 11.55 malam tadi dan hasil siasatan mendapati kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 10.30 malam ketika suspek dan mangsa berbual di ruang tamu rumah mereka.

“Suspek dipercayai bertindak mengambil golok dari biliknya dan menetak leher mangsa ekoran berlaku perselisihan mengenai ilmu agama dan hal ketuhanan.

“Ibu mangsa yang cuba menghalang tindakan suspek turut menjadi mangsa apabila ditikam dan ditetak pada bahagian leher dan badan.

“Penduduk kampung yang bergegas ke rumah terbabit selepas menahan suspek mendapati mayat bapa suspek ditemui terbaring dan berlumuran darah dalam rumah, manakala mayat ibu suspek pula ditemui berhampiran pagar rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan lelaki berkenaan dipercayai mengamalkan ajaran ilmu sesat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here