APAKAH Dewan Undangan Negeri Melaka akan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN)?

Itulah persoalan yang timbul apabila Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof dijangka membuat pengumuman hasil perbincangan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dengan beberapa pihak berkaitan kemelut politik negeri itu.

Difahamkan Mohd Ali sudah membuat keputusan hasil perbincangan itu dan ia akan diumumkan pukul 3 petang ini.

Beberapa sumber ketika dihubungi tidak menolak kemungkinan DUN Melaka akan dibubarkan bagi membolehkan PRN diadakan setelah empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan hilang kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu). Tindakan mereka telah menyebabkan Kerajaan UMNO di Melaka tumbang.

Jika benar berlaku pembubaran DUN, ia tidak mengejutkan kerana kalaupun Pakatan Harapan (PH) memiliki majoriti , ia amat tipis dan tiada jaminan pergolakan politik tidak berlaku lagi.

PH dikatakan mahu mencalonkan Idris sebagai Ketua Menteri jika mereka dibenarkan menubuhkan Kerajaan Negeri. Selain itu difahamkan sejak semalam, semua jentera UMNO dan BN di Melaka telah diminta bersiap sedia bagi menghadapi PRN.

Kalau PRN diadakan ia ‘meranapkan’ impian Idris yang berpendapat, PRN tidak perlu dilaksanakan memandangkan PRU-15 akan diadakan dalam tempoh setahun setengah lagi.

Bercakap kepada Berita Harian, bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pemimpin PH perlu diberi peluang untuk mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka.

‘’Kalau PH bentuk kerajaan, takkanlah kita hendak jadikan Melak mundur, sudah tentulah kita majikan negeri kita ini,’’ katanya.

Apapun sama-sama kita tunggu pengumuman rasmi petang ini sama ada dilakukan oleh Ab.Rauf, Sulaiman atau Setiausaha Kerajaan Negeri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here