Category: Semasa

  • Tarikh siap ECRL masih kekal pada 31 Dis 2026 – Wee Ka Siong

    Tarikh siap ECRL masih kekal pada 31 Dis 2026 – Wee Ka Siong

    SASARAN penyiapan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih kekal setakat ini iaitu pada 31 Dis 2026 bagi seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

    Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata penyiapan Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Dis 2027.

    Dari segi kemajuan projek, beliau berkata hingga 31 Ogos lepas, pembinaan keseluruhan projek ini telah mencapai kemajuan sebenar sebanyak 23.96 peratus berbanding jadual sebanyak 25 peratus, lewat sedikit daripada jadual iaitu 1.04 peratus akibat pelaksanaan PKP.

    Hingga tempoh sama, katanya bagi seksyen A, kemajuan kerja fizikal telah mencapai 11.59 peratus berbanding jadual sebanyak 12.01 peratus, manakala bagi seksyen B, 28.04 peratus berbanding jadual sebanyak 26.9 peratus merangkumi kerja-kerja tanah dan pembinaan terowong di Dungun, Paka dan Kuantan.

    “Kerja-kerja awalan bagi pembinaan terowong di Gambang, Sri Jaya, Gedung Siam dan Paya Pasir juga giat dijalankan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

    Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) yang mahu tahu perkembangan terkini projek ECRL setakat ini dan jangkaan perubahan tarikh siap projek itu.

    Bagi Seksyen C, Wee berkata kerajaan kini masih mengkaji jajaran terbaik bagi memastikan projek berkenaan memberi impak ekonomi yang maksimum.

    “Jajaran yang terbaik dan memberi impak maksimum kepada rakyat seperti yang diumumkan pada 5 April 2021. Dalam hal ini, adalah penting ECRL dipastikan tersambung secara strategik dengan jaringan logistik rel kebangsaan.

    “Dalam hal ini, cadangan penjajaran balik kepada jajaran utara asal, iaitu Temerloh-Gombak-Serendah dan dilanjutkan ke Pelabuhan Klang telah dipertimbangkan oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan Mesyuarat Majlis Perancangan Fizikal Negara pada 13 Ogos 2020 serta diluluskan secara prinsip oleh Jemaah Menteri pada 21 Ogos 2020 dan 2 Sept 2020,” katanya. – Bernama

  • Hutang kerajaan kekal terkawal, RM965.3 bil setakat Ogos

    Hutang kerajaan kekal terkawal, RM965.3 bil setakat Ogos

    TIMBALAN Menteri Kewangan I, Mohd. Shahar Abdullah memberitahu, kedudukan hutang kerajaan ketika ini adalah kekal terkawal meskipun pinjaman dibuat bagi membiayai pakej-pakej bantuan dan projek pembangunan bagi menyokong objektif Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

    Beliau menjelaskan, pada akhir Ogos 2021, hutang negara mencatat RM965.3 bilion atau 63.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

    Sementara hutang statutori katanya, yang merangkumi instrumen Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan MITB (Bil Perbendaharaan Islam Malaysia) mencatatkan 59.2 peratus daripada KDNK sehingga Ogos 2021.

    “Ini masih berada di bawah 60 peratus daripada KDNK yang telah ditetapkan,” katanya pada sesi penggulungan RMK-12 di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohd Shahar berkata perbelanjaan yang dilakukan kerajaan sudah pasti memberi impak berganda kepada ekonomi rakyat.

    Bagaimanapun, katanya beberapa langkah akan diambil untuk meringankan beban hutang kerajaan termasuk melaksanakan reformasi fiskal.

    Ia termasuk melalui Akta Tanggungjawab Fiskal dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana untuk memacu langkah konsolidasi fiskal pasca krisis.

    “(Langkah itu merangkumi) Mengkaji dan menambah baik sistem percukaian sedia ada, memperluaskan asas hasil, memanfaatkan potensi sektor tidak formal, mengurangkan amalan kurang lapor dan isytihar, mengurangkan ketirisan cukai serta menambah baik pentadbiran cukai,” katanya.

  • Kerjasama ASEAN dalam bidang ketenteraan boleh jamin keselamatan rantau – Hishammuddin

    Kerjasama ASEAN dalam bidang ketenteraan boleh jamin keselamatan rantau – Hishammuddin

    KERJASAMA ASEAN yang kukuh dalam bidang ketenteraan boleh menjamin keselamatan dan kestabilan rantau itu daripada sebarang ancaman luar.

    Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tidak boleh dinafikan gabungan tentera 10 negara dalam ASEAN ini dilihat lebih berkemampuan untuk berdepan kuasa besar berbanding kekuatan hanya sebuah negara.

    Perkara sama katanya, dibangkitkan Menteri Pertahanan Indonesia dalam perbualan telefon dengannya semalam mengenai kepentingan kesemua negara ASEAN untuk berinteraksi lebih dekat terutama susulan pakatan strategik baharu Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat (AUKUS).

    Bagaimanapun, pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini, Hishammuddin berkata ini tidak bermakna negara ASEAN tidak perlu terus mendampingi kuasa-kuasa yang terlibat dengan AUKUS.

    “Kebetulan utusan khas dari Australia, Naib Laksamana Australia akan datang jumpa saya hari ini. Apa kita lakukan melalui diplomasi ini bukan untuk mengatakan bahawa kita ini hebat sangat tetapi sekurang-kurangnya kita ada pendirian kita sebagai sebuah negara berdaulat.

    “Dalam masa sama, 10 negara dalam ASEAN pun ada pendirian dan kekuatan, yang ada dalam kumpulan 10 negara ini boleh diutarakan kepada mana-mana pihak yang cuba menidakkan kedudukan kita di rantau ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian menjawab celahan Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) yang mencadangkan ASEAN sebagai sebuah blok pakatan negara Asia Tenggara memainkan peranan penting dalam sesi-sesi dialog dengan negara besar terutama sekiranya melibatkan keselamatan rantau ini.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berpendapat ia satu cadangan yang tepat dan merupakan teras keenam di bawah pelan strategik Kementerian Pertahanan iaitu pengukuhan kerjasama antarabangsa dalam menjamin pertahanan negara. – Bernama

  • Bekalan elektrik, air ke KRC dijangka lengkap tahun depan

    Bekalan elektrik, air ke KRC dijangka lengkap tahun depan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    KERAJAAN negeri Kedah akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas melibatkan semua agensi bagi memastikan bekalan air serta elektrik ke Bandar Raya Getah Kedah (KRC) di Padang Terap, mencapai tahap yang mencukupi untuk kegunaan pelabur di situ dalam tempoh setahun akan datang.

    Menteri Besarnya, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu penting bagi memastikan para pelabur di KRC yang kini berada di tahap pembinaan bagi fasa satu, dapat beroperasi secepat mungkin sekali gus mewujudkan limpahan nikmat terutamanya dari sudut ekonomi bagi negeri itu.

    Menurutnya, sebelum ini beliau dimaklumkan tempoh untuk menyiapkan bekalan elektrik mencukupi ke kawasan itu secara kebiasaannya dijangka akan mengambil masa lima tahun.

    “Sebelum ini pun kita ada minta agar tempohnya dipercepatkan dan pihak berwajib memaklumkan mereka mungkin boleh singkatkan masanya kepada dua tahun setengah.

    “Namun dengan daya usaha yang ada, kita beri tempoh hingga setahun untuk mereka laksanakan semua itu. Insya Allah perkara ini dapat dilaksanakan dengan sebuah jawatankuasa akan diwujudkan bagi tujuan berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menerima kunjungan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid di pejabatnya, hari ini.

    Sabtu lalu Mahdzir ketika berkunjung ke tapak pembinaan KRC menggesa kerajaan negeri supaya menyegerakan pembinaan loji rawatan dan bekalan air di tapak projek tersebut bagi memenuhi keperluan operasi para pelabur.

    Selain isu air, Mahdzir turut menggesa kerajaan negeri memberi perhatian terhadap isu bekalan elektrik yang tidak mencukupi selain perkara berkaitan pengambil alihan tanah.

    Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, pihaknya sudah mengarahkan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) untuk mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak bagi mengatasi masalah air di situ.

    “Saya harap dalam tempoh setahun ini, kita sudah ada loji rawatan air yang khusus buat KRC. Selepas ini dijangka akan ada satu lagi loji akan dibina di Kuala Nerang yang akan menggunakan air dari Sungai Padang Terap, berdekatan situ.

    “Insya Allah jika ada lebihan, air itu juga boleh disalurkan untuk kegunaan domestik,” katanya.

  • Tourism Malaysia promosi produk pelancongan Terengganu

    Tourism Malaysia promosi produk pelancongan Terengganu

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    BAGI membantu memulih dan mempertingkatkan semula industri pelancongan Terengganu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, Tourism Malaysia akan terus berperanan mempromosikan setiap produk baharu dalam sektor tersebut.

    Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin, kaedah itu amat penting bagi membantu pemain industri pelancongan dapat ‘bernafas’ dengan pendekatan aktiviti menarik lebih ramai pengunjung domestik.

    Sebagai contoh katanya, aktiviti produk baharu di Pulau Lang Tengah yang dinamakan ‘Via Ferrata’ menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik setelah pintu sempadan negeri dibuka tidak lama lagi.

    Beliau memberitahu, program baharu itu merupakan hasil usaha dijayakan Summer Bay Lang Island Resort, Pulau Redang dan dijangka bakal menjadi tarikan para pengunjung.

    “Saya percaya melalui pendekatan aktiviti meniti di tepi batu berlatar belakangkan Laut China Selatan, ia mampu menjadi satu tarikan baharu yang agak unik.

    Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin

    “Ia merupakan salah satu produk yang akan kita tawarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan datang ke Terengganu khususnya ke Pulau Lang Tengah sebaik sahaja pintu sempadan negeri dibuka kelak,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

    Menurut Hafiz, sejak pandemik melanda negara, pihaknya menawarkan beberapa pilihan kepada pelancong domestik dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu di Terengganu selain produk tradisional sedia ada.

    Ujar beliau, kebiasaannya apabila di pulau pengunjung hanya lebih tertumpu kepada aktiviti air, namun melalui produk baharu ini, ia bakal menarik minat para ‘hikers’ yang ingin merasai sendiri cabaran mendaki di Pulau Lang Tengah.

    “Kami mengalu-alukan peminat aktiviti ini ke Pulau Lang Tengah dan ia merupakan pulau pertama di Pantai Timur memperkenalkan aktiviti ini,” jelas beliau.

  • Covid-19: Sektor pelancongan Langkawi tak terjejas

    Covid-19: Sektor pelancongan Langkawi tak terjejas

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEKTOR pelancongan di Langkawi yang kembali dibuka di bawah projek rintis gelembung pelancongan pada 16 September lalu dijangka tidak akan terjejas dek penularan Covid-19 melibatkan lebih 50 pekerja pekerja di sebuah hotel terkemuka baru-baru ini.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, penularan virus tersebut hanya melibatkan pekerja dan ahli keluarga mereka tanpa membabitkan mana-mana pelancong yang berkunjung ke hotel tersebut.

    “Saya difahamkan penularan Covid-19 di situ berlaku di tempat tinggal pekerja hotel tersebut tanpa melibatkan pelancong. Semua pihak telah pun mengambil langkah perlu untuk menghentikan penularannya.

    “Jadi perkara itu tidak akan menjejaskan industri pelancongan di Langkawi. Alhamdulillah, sekarang ini Langkawi sudah ‘bernafas’ semula,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar bersama Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang berkunjung ke pejabatnya di Wisma Darul Aman di, Alor Setar hari ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Othman Warijo semalam mengesahkan bahawa pihak pengurusan sebuah hotel mengambil langkah menutup operasi secara sukarela buat sementara waktu setelah 59 pekerjanya serta ahli keluarga mereka dijangkiti Covid-19.

    Kesemua mereka termasuk dalam Kluster Dah Nibung yang diumumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 1 Oktober lalu dengan ia dikenal pasti sebagai kluster tempat kerja.

    Sementara itu Mahdzir memaklumkan, kementeriannya akan berganding bahu bersama kerajaan negeri untuk menjadikan Tanjung Dawai di Kuala Muda sebagai kawasan tarikan pelancong.

    “Di pihak kementerian, kami sedia memberi perhatian kepada perkara berkaitan seperti bekalan air luar bandar serta naik taraf jalan-kalan kampung. Namun usaha ini juga memerlukan kerjasama dari kementerian lain.

    “Oleh itu kerajaan negeri selepas ini akan turut mengadakan rundingan bersama kementerian lain bagi tujuan tersebut. Kita mahu menjadikan Tanjung Dawai sebagai kawasan yang boleh menarik kedatangan pelancong lebih ramai selepas ini,” katanya.

  • Kerajaan teliti cadangan luluskan industri ganja untuk perubatan

    Kerajaan teliti cadangan luluskan industri ganja untuk perubatan

    KERAJAAN akan meneliti semula status mengenai cadangan meluluskan industri ganja jenis hem dan marijuana untuk tujuan perubatan.

    Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu juga pernah dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pentadbiran kerajaan terdahulu.

    “Melalui perbincangan tersebut, pandangan telah dikemukakan selain kementerian telah berhubung dengan beberapa pihak termasuk ahli akademik dan swasta untuk melihat potensi industri berkenaan.

    “Memang benar kita bersama dalam pentadbiran yang lalu, perkara ini telah dibincangkan dan dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.

    “Namun, saya harus merujuk semula apakah status perkara ini kerana ia juga melibatkan beberapa pindaan akta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah dibentangkan dalam mesyuarat yang lalu,” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) ketika menggulung perbahasan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi kementeriannya di Dewan Rakyat pada Selasa.

    Syed Saddiq mencelah bertanyakan adakah MITI akan memperhalusi cadangan untuk meluluskan kegunaan ganja jenis hem dan marijuana perubatan untuk dieksport ke luar negara.

    Mohamed Azmin berkata, penelitian secara kolektif perlu dilaksanakan sebelum membuat keputusan berhubung perkara tersebut.

    “Kita harus melihat dari perspektif yang lebih besar tentang keperluan industri ini diperkembangkan dan ia mesti mengikut lunas-lunas peruntukan undang-undang yang sedia ada,” katanya.

  • DIP platform lahirkan bakat muda digital – Radzi

    DIP platform lahirkan bakat muda digital – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini mengumumkan kerjasama strategik untuk mewujudkan Program Inovator Digital (DIP), program pendidikan menengah pertama Malaysia untuk inovator muda berbakat.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata mereka yang terlibat akan menjadi sebahagian daripada Pusat GENIUS@Pintar Negara, UKM dan akan memberi tumpuan kepada teknologi digital, keusahawanan dan kurikulum pembelajaran berasaskan projek.

    “Ini akan memastikan pengembangan bakat digital terbaik yang konsisten untuk mengekalkan dan mengembangkan ekonomi digital kita. DIP adalah landasan teknologi digital khas untuk memupuk generasi baharu inovator digital negara ini.

    “Melalui landasan baharu ini, pelajar yang berkebolehan tinggi dalam inovasi digital dan kreativiti akan dapat mendalami minat mereka dengan mengikuti pendidikan menengah yang fokus di Pusat GENIUS@Pintar Negara dan melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang yang sama di peringkat pengajian tinggi,” katanya semasa merasmikan DIP yang diadakan secara maya hari ini.

    Radzi berkata dengan pelaksanaan DIP, ia akan mempercepat proses melahirkan lebih banyak inovator yang sedia untuk memanfaatkan ABCD teknologi digital untuk Malaysia, seperti kecerdasan buatan (AI), blockchain, pengkomputeran awan dan sains data.

    DIP dibina berdasarkan program MDEC yang berjaya, Digital Ninja, inisiatif luar kurikulum yang dianjurkan untuk pelajar Tingkatan Satu hingga Lima semasa cuti sekolah, dan menghasilkan 515 inovator digital muda berpotensi tinggi dalam tempoh lima tahun lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Mahadhir Aziz berkata program itu bertujuan untuk melahirkan pencipta dan inovator digital bagi merealisasikan matlamat yang ditetapkan dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL).

    “Memiliki program pendidikan menengah untuk pelajar pintar, yang menggunaka pakai faktor utama kejayaan Program Ninja Digital, selain penglibatan yang berterusan antara pelajar, guru dan mentor industri akan membantu memupuk lebih banyak inovator di negara ini,” katanya. – BERNAMA

  • Terap kesiapsiagaan hadapi bencana dalam budaya Keluarga Malaysia

    Terap kesiapsiagaan hadapi bencana dalam budaya Keluarga Malaysia

    KESIAPSIAGAAN dalam menghadapi bencana penting untuk diterapkan kepada masyarakat sehingga ia menjadi sebagai satu budaya Keluarga Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad.

    Beliau berkata, kejadian bencana yang hadir dalam pelbagai bentuk dan semakin kerap berlaku mewajarkan untuk masyarakat sentiasa bersiap sedia.

    Katanya, budaya kesiapsiagaan bukan hanya amalan pada Oktober bersempena sambutan Bulan Kesiapsiagaan Negara (BKN) sahaja tetapi perlu menjadi norma berterusan sehingga dapat mencapai daya tahan masyarakat.

    Menurut Abdul Latiff, seperti yang ditekankan dalam Sendai Framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030, pengurangan risiko bencana adalah tanggungjawab yang perlu dikongsi bersama selain membudayakan latihan secara bersepadu, terencana serta berkesinambungan.

    “Semua rakyat perlu berusaha untuk memaksimumkan tahap kesiapsiagaan bencana bagi memastikan keselamatan nyawa diutamakan dan meminimumkan kemusnahan infrastruktur serta mengurangkan kerugian kepada masyarakat, industri, kerajaan dan negara secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan sempena Pelancaran BKN 2021, hari ini.

    Pelancaran BKN 2021 yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Siaga Bencana’ itu dilakukan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di perkarangan laman Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

    Sambutan itu juga selaras dengan sambutan Hari Bencana Antarabangsa yang disambut pada 13 Okt setiap tahun.

    Abdul Latiff berkata negara juga menyambut sambutan Bulan Kesiapsiagaan Nasional pada Oktober setiap tahun, yang bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kesiapsiagaan pelbagai pihak terhadap bencana khususnya bagi menghadapi musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut.

    Beliau berkata sepanjang bulan ini terdapat 36 program dan aktiviti dirancang oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama pelbagai jabatan, agensi dan badan bukan kerajaan antaranya program Community Based Disaster-Risk Management, Webinar: Mengenali Hazad Dan Bencana Di Dalam Dan Sekitar Malaysia serta Forum Iklim Kebangsaan-Monsun Timur Laut 2021/2022.

    Selaras dengan hasrat kerajaan untuk menjadikan pengurangan risiko bencana sebagai agenda penting negara, beliau berharap semua pihak dapat memberikan komitmen yang tinggi.

    “Kerajaan sentiasa berusaha untuk memastikan koordinasi dan penyelarasan pengurusan bencana dapat diuruskan dengan lebih cekap dan efisien agar mangsa bencana mendapat perlindungan serta bantuan yang sewajarnya daripada semua pihak,” katanya. – BERNAMA

  • 70,073 daripada 138,100 remaja Terengganu terima dos pertama

    70,073 daripada 138,100 remaja Terengganu terima dos pertama

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    PROSES vaksinasi melibatkan golongan remaja di Terengganu mendapat sambutan menggalakan apabila seramai 70,073 orang atau 50.7 peratus golongan berkenaan telah menerima suntikan dos pertama Vaksin Covid-19 sehingga 1 Oktober lalu.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr. Kasemani Embong, jumlah tersebut merupakan catatan daripada keseluruhan 138,100 remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negeri ini.

    Menurut beliau, dalam tempoh sama, seramai 2,736 orang atau dua peratus pula direkodkan telah lengkap menerima suntikan dua dos vaksin.

    Sehubungan itu, Dr. Kasemani mengharapkan para para ibu bapa agar dapat memastikan anak-anak yang layak, hadir untuk mendapatkan dos lengkap vaksin Covid-19.
     

    Dr. Kasemani Embong

    “Terdapat sebanyak 57 buah sekolah di seluruh negeri ini dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) untuk golongan remaja yang beroperasi sejak 21 September lalu hingga Khamis ini,” katanya dalam hantaran menerusi Facebook JKNT hari ini.

    Menurut Dr. Kasemani, pencapaian itu disifatkan sebagai satu kejayaan membanggakan terutama bagi rakyat Terengganu sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan pada 15 September lalu.

    Selain itu katanya, PICK Remaja turut dilaksanakan secara walk-in di klinik kesihatan bagi pelajar berasrama penuh dari negeri dan daerah untuk membolehkan individu tidak bersekolah di samping remaja berumur 12 tahun yang sudah mencapai tarikh lahir menerima suntikan.

    Sementara itu beliau memberitahu, seramai 738,839 atau 91.4 peratus populasi dewasa di Terengganu telah mendapatkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 686,363 atau 84.9 peratus pula telah melengkapkan vaksinasi tersebut.