Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

BAGI membantu memulih dan mempertingkatkan semula industri pelancongan Terengganu yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, Tourism Malaysia akan terus berperanan mempromosikan setiap produk baharu dalam sektor tersebut.

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin, kaedah itu amat penting bagi membantu pemain industri pelancongan dapat ‘bernafas’ dengan pendekatan aktiviti menarik lebih ramai pengunjung domestik.

Sebagai contoh katanya, aktiviti produk baharu di Pulau Lang Tengah yang dinamakan ‘Via Ferrata’ menawarkan pelbagai pilihan kepada pelancong domestik setelah pintu sempadan negeri dibuka tidak lama lagi.

Beliau memberitahu, program baharu itu merupakan hasil usaha dijayakan Summer Bay Lang Island Resort, Pulau Redang dan dijangka bakal menjadi tarikan para pengunjung.

“Saya percaya melalui pendekatan aktiviti meniti di tepi batu berlatar belakangkan Laut China Selatan, ia mampu menjadi satu tarikan baharu yang agak unik.

Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur, Hafiz Hazin

“Ia merupakan salah satu produk yang akan kita tawarkan untuk menarik lebih ramai pelancong tempatan datang ke Terengganu khususnya ke Pulau Lang Tengah sebaik sahaja pintu sempadan negeri dibuka kelak,” katanya kepada media di Kuala Terengganu, hari ini.

Menurut Hafiz, sejak pandemik melanda negara, pihaknya menawarkan beberapa pilihan kepada pelancong domestik dengan memperkenalkan pelbagai produk baharu di Terengganu selain produk tradisional sedia ada.

Ujar beliau, kebiasaannya apabila di pulau pengunjung hanya lebih tertumpu kepada aktiviti air, namun melalui produk baharu ini, ia bakal menarik minat para ‘hikers’ yang ingin merasai sendiri cabaran mendaki di Pulau Lang Tengah.

“Kami mengalu-alukan peminat aktiviti ini ke Pulau Lang Tengah dan ia merupakan pulau pertama di Pantai Timur memperkenalkan aktiviti ini,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here