Category: Semasa

  • Kenapa UMNO kelam kabut sangat, nak ke tak nak PRN Melaka?

    Kenapa UMNO kelam kabut sangat, nak ke tak nak PRN Melaka?

    KADANG KALA UMNO memaparkan aksi politik yang melucukan. Itulah yang terjadi dalam kemelut politik Melaka sekarang.

    Pada mulanya, apabila empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka,Datuk Seri Sulaiman Md.Ali – UMNO beria-ia mahukan Pilihan Raya Negeri (PRN)

    Malah Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk ketika bercakap di Parlimen berkata, ‘’tidak mengapa kalau hilang kerajaan negeri  dikuasai parti saya. Tapi tunggulah… saya fikir elok diadakan pilihan raya negeri supaya DUN Melaka dibubarkan. Kita beri mandat semula kepada rakyat untuk pilih mana kerajaan terbaik mentadbir negeri dan negara kita, insha-Allah.’’

    Kata-kata beliau menjadi kenyataan apabila Sulaiman mengusulkan perkenan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk membubarkan DUN. Maka ia diperkenankan. Berikutan itu hebohlah satu negara.

    Hanya kerana pertelingkahan dalaman UMNO, rakyat Melaka diseret untuk mengundi ketika mereka mahu memulakan kehidupan selepas pandemik Covid-19 apatah lagi negeri itu baru sahaja melangkah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

    Reaksi rakyat Melaka amat negatif, mungkin disebabkan faktor itu secara tiba-tiba pemimpin UMNO termasuk Ahmad Zahid menarik ‘brek’, mula bercakap bagaimana kalau penangguhan PRN dilakukan seperti mana di Sarawak.

    Dan lebih menarik beberapa pemimpin kanan parti itu termasuklah pemimpin berpengaruh mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak turut berpandangan PRN tidak patut diadakan. Mereka mula berbicara soal menyerahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukannya atau membuat penilaian.

    Yang seronoknya pemimpin sayap parti pun turut bersuara, ‘’untuk elak pandemik’’..katanya.

    Soalnya kenapa apabila empat ADUN tersebut termasuk dua daripada UMNO menarik sokongan, UMNO Melaka termasuk kepemimpinan pusat tidak berbincang dahulu dengan MKN dan KKM? Kenapa terus sahaja meminta perkenan Yang Dipertua Negeri untuk membubarkan DUN?

    Adakah perubahan sikap atau pendirian itu berlaku selepas melihat reaksi rakyat Melaka yang mungkin akan menyebabkan UMNO kalah dalam PRN berkenaan? Kenapa sejak awal lagi tidak memberi peluang kepada Pakatan Harapan atau mana-mana gabungan membuktikan mereka mempunyai majoriti menubuhkan kerajaan? 

    Bukankah Ahmad Zahid pun sudah berkata, ‘’..tidak mengapa hilang kerajaan negeri dikuasai parti saya’…jadi kenapa kelam kabut sangat nak buat PRN? Tetapi lihat sekarang apa sudah jadi? UMNO dilihat atau dianggap takut kalah dalam PRN yang mereka sendiri mahukan! Jangan salahkan PH apatah lagi Bersatu kerana yang mencetuskan konflik UMNO, yang dijatuhkan kerajaan UMNO, yang minta PRN UMNO dan yang tidak mahu PRN UMNO.

    Apa yang berlaku ini seharusnya menjadi pengajaran kepada UMNO khususnya kepemimpinan parti itu bahawa pepatah Melayu ada menyebut ‘Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa’, dalam konteks UMNO, ‘’Kerana pulut santan binasa, kerana mulut parti jadi tak tentu hala.’’

  • Kerajaan tidak gopoh putuskan kebenaran rentas negeri – Hishammuddin

    Kerajaan tidak gopoh putuskan kebenaran rentas negeri – Hishammuddin

    MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memberitahu, kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan bagi memberi kebenaran untuk rentas negeri dilakukan memandangkan kadar capaian vaksinasi semasa ketika ini.

    Jelas beliau, kebenaran itu perlu melepasi penanda aras yang ditetapkan sebelum ini iaitu 90 peratus sebelum sebarang keputusan dibuat dan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    “Setakat hari ini saya dimaklumkan kejayaan kita dah sampai 88.74 peratus jadi mungkin kita akan sampai kepada 90 peratus ini dalam beberapa hari sahaja lagi.

    “Jangan kita tergopoh-gopoh dalam membuat keputusan tanpa sasaran yang tepat. Ia mesti bersandarkan kepada data dan kalua sekiranya 90 peratus yang ditetapkan oleh semua pihak, kita kena pastikan bahawa kalau 90 peratus ini dikecapi, kita tunggulah pengumuman oleh Perdana Menteri nanti,” jelasnya ketika ditanya media di ibu negara, hari ini.

    Jelasnya, kerajaan mengambil pendekatan cukup bertanggungjawab dan berhati-hati dalam menentukan peratusan kadar tersebut demi memastikan keselamatan semua pihak.

    “Apa yang kita lakukan kebelakangan ini banyak bersandarkan kepada pertimbangan-pertimbangan yang ditunjukan oleh data yang diperolehi. Saya berpuas hati dengan perjalanan kita menghadapi dalam menangani COVID-19 setakat ini,” katanya.

    Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 September lalu mengatakan bahawa kebenaran merentas negeri dijangka akan diputuskan pada awal atau selewatnya-lewatnya pertengahan Oktober ini.

    Bagaimanapun jelasnya keputusan itu akan bergantung kepada kepada perkembangan program imunisasi vaksin yang perlu mencapai kadar yang ditetapkan iaitu 90 peratus.

  • Kastam patahkan cubaan seludup dadah guna polisterin

    Kastam patahkan cubaan seludup dadah guna polisterin

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM500,000 menggunakan kotak polisterin berisi ikan segar di kawasan kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Kota Kinabalu.

    Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, rampasan dadah sebanyak 12.4 kilogram (kg) itu dilakukan pada pukul 5 petang, 29 September lalu oleh anggota kastam dari Cawangan Penguatkuasaan LTAKK.

    Pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat bungkusan plastik yang mencurigakan di kargo berkenaan dan mengesyaiki aan mengandungi dadah dalam kotak polisterin dagangan ikan sejuk beku untuk tujuan eksport ke luar negara.

    “Pemeriksaan mendapati 23 polisterin ditemui mengandungi 23 paket hablur putih dipercayai dadah jenis methamphetamine dan ketamine.

    “Hasil pemeriksaan lanjut terdapat sebanyak 9.221 kg methamphetamine dan 3.190 kg ketamine dengan nilai anggaran keseluruhan RM501,026 ditemui didalam polisterin berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

    Pihaknya percaya itu adalah modus operandi penyeludup untuk menyeludup dadah menggunakan polisterin berisi ikan segar ke luar negara.

    “Dadah ini dimasukkan ke dalam polisterin bersama pelbagai jenis ikan segar dan setiap kotak polisterin akan dimasukkan sebanyak 500 gram dadah. Sebab itu ada 23 kotak polestrin dan ada 23 bungkusan dadah bersama ikan segar.

    “Ini adalah rampasan kedua yang dilakukan kastam Sabah menggunakan taktik yang sama iaitu pada bulan lalu namun pihak kita masih menyiasat kaitan kedua-dua kes ini,” katanya.

  • 42 kes jangkitan varian Delta, Beta ancam Terengganu

    42 kes jangkitan varian Delta, Beta ancam Terengganu

    Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

    TERENGGANU yang semakin hampir beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini dikejutkan dengan pertambahan jangkitan varian ganas, Delta dan Beta melibatkan hampir semua daerah di negeri ini.

    Apa yang membimbangkan, sejak akhir Julai hingga semalam, sebanyak 42 kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di negeri ini.

    Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr. Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 kes adalah jangkitan varian Delta manakala sembilan lagi varian Beta.

    Menurut beliau, tujuh kes varian Delta direkodkan di daerah Kuala Terengganu, Kemaman (enam), Besut (lima), Dungun (empat), masing-masing dua di Marang dan Setiu, manakala enam lagi membabitkan kluster ialah di daerah Kemaman dan Dungun.

    “Bagi kes jangkitan varian Beta pula dilaporkan dua kes di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu serta masing-masing satu kes di Marang dan Besut,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.

    Menurut Dr. Kasemani, trend jangkitan ini amat membimbangkan kerana kebolehjangkitan dua varian membimbangkan (VOC) itu menular dalam kalangan masyarakat adalah begitu tinggi.

    Beliau berkata, fakta penting perlu diberi perhatian utama oleh setiap rakyat ialah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

    Justeru, beliau menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutama sewaktu berada di luar rumah walaupun Terengganu sudah melangkah ke fasa tiga PPN sejak 17 September lalu.

    “Walaupun individu sudah mengambil vaksin, mereka tidak kebal sepenuhnya dan masyarakat jangan leka untuk terus memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” jelas beliau.

  • RUU355, RUU babit akta kawalan doktrin, agama akan dibentang bulan ini

    RUU355, RUU babit akta kawalan doktrin, agama akan dibentang bulan ini

    RANG Undang-Undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau RUU355 dan RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) sedang dimuktamadkan.

    Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad berkata, selepas itu akan dibentangkan kepada kerajaan-kerajaan negeri pada Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak dan Sivil yang dijadual pada 12 hingga 14 Oktober ini.

    Jelas beliau, sepanjang 2020 dan 2021, jawatankuasa teknikal telah mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan kedua-dua RUU tersebut.

    “Kedua-dua RUU ini tidak pun melibatkan orang bukan Islam, ia hanya melibatkan untuk orang Islam sahaja.

    “Sebenarnya RUU ini adalah Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam sahaja. RUU ini bukan bertujuan menyekat kebebasan beragama dari kalangan orang bukan Islam.

    “Orang-orang bukan Islam bebas nak menyebarkan agama mereka dalam kalangan mereka, tidak dalam kalangan orang Islam,” katanya pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

    Mengulas lanjut, bagi RUU355, Idris berkata, perbincangan oleh Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Jakim melihat kepada pelbagai aspek khususnya aspek Perlembagaan Undang-Undang dan Hukum Syarak.

    Perbincangan itu katanya, bagi memastikan RUU tersebut lebih komprehensif dan seterusnya memperkasakan bidang kuasa Jenayah Mahkamah Syariah.

    “Berhubung RUU Akta Kawalan dan Sekatan Pengembangan Doktrin Atau Kepercayaan Agama Dalam Kalangan Orang Islam pula, jawatankuasa teknikal turut menubuhkan sebuah jawatankuasa kecil, khususnya bagi meneliti secara lebih mendalam RUU tersebut.

    “Seterusnya, mencadangkan penambahbaikan terhadap RUU tersebut bagi memastikan ia selaras dengan Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

  • Hanya 1.6 peratus capai sasaran 90 peratus lengkap divaksin

    Hanya 1.6 peratus capai sasaran 90 peratus lengkap divaksin

    TINGGAL kurang dua peratus sahaja lagi bagi Malaysia mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa melengkapkan vaksinasi Covid-19.

    Berdasarkan data yang dikongsi Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi portal COVIDNOW, 88.4 peratus atau 20,698,852 golongan dewasa, sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing setakat semalam.

    “Setakat semalam juga, sebanyak 120,402 atau 3.8 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun telah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19.

    “Perincian itu juga memaklumkan sebanyak 224,034 dos suntikan vaksin diberikan semalam membabitkan 122,153 dos pertama dan 101,881 dos lengkap.

    “Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian dos vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah sebanyak 44,797,925 dos. PICK dilancarkan pada 24 Februari lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara,” demikian menurut data tersebut, hari ini.

  • 200,000 etnik Rohingya di Malaysia, tertinggi di Asia Tenggara – Saifuddin

    200,000 etnik Rohingya di Malaysia, tertinggi di Asia Tenggara – Saifuddin

    MENTERI Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah memberitahu sidang Dewan Rakyat, hari ini, jumlah pelarian Rohingya di Malaysia pada masa ini adalah sekitar 200,000.

    Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, jumlah tersebut adalah yang terbesar di Asia Tenggara dan tiada pengusiran dilakukan.

    Jelasnya, pengusiran mana-mana populasi secara paksa adalah tersenarai sebagai satu jenayah kemanusiaan dalam undang-undang antarabangsa, khususnya Statut Rom berkenaan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, dan Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman ke atas Genosid 1948.

    Justeru, Saifuddin berkata, Malaysia dan negara-negara sependirian perlu terus berusaha ke arah merealisasikan penghentian pengusiran tersebut, walaupun penghentian pengusiran terletak sepenuhnya di bawah kuasa pemerintah di Myanmar.

    “Dalam hal ini, Malaysia mengambil langkah untuk terus mengetengahkan isu pelarian Rohingya dalam perbincangan peringkat-peringkat serantau mahupun antarabangsa.

    “Di peringkat ASEAN misalnya, Malaysia adalah negara yang paling konsisten dan lantang mengutarakan tentang isu pelarian Rohingya.

    “Malaysia juga menyokong kuat usaha-usaha ASEAN dalam memudahcara repatriasi pelarian Rohingya kembali ke Myanmar,” pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Wong Chen (PH-Subang) meminta Menteri Luar Negeri menyatakan kedudukan kerajaan mengenai rancangan untuk menghentikan pengusiran pelarian Rohingya; dan tindakan politik dan kemanusiaan sehala yang kerajaan sedia ambil ke atas rampasan kuasa di Myanmar, di luar daripada payung ASEAN.

    Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Malaysia mengambil pendekatan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN dan tidak bergerak secara sendiri.

    Ini kerana katanya, ASEAN mempunyai pengaruh lebih besar bagi mengubah haluan Myanmar untuk kembali ke landasan demokrasi seperti dimandatkan rakyatnya menerusi pilihan raya.

    Dalam masa yang sama, beliau berkata satu pertemuan tergempar diadakan di peringkat pemimpin ASEAN bagi membincangkan isu berkenaan bersama wakil tentera Myanmar pada 24 April lalu.

    Hasilnya pertemuan itu, ASEAN kini sedang melaksanakan Konsensus Lima Perkara seperti dipersetujui, bermula dengan bantuan kemanusiaan untuk Myanmar.

    Saifuddin turut memaklumkan, sukar untuk mengundang Ketua Tentera yang sedang berkuasa di Naypyidaw, Myanmar bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN pada 26 hingga 28 Oktober ini selepas dimaklumkan mereka tidak memberikan kerjasama mengenai Konsensus Lima Perkara.

  • Buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan – Khairy

    Buat ujian saringan Covid-19 lebih kerap bila rentas negeri dibenarkan – Khairy

    ORANG ramai disarankan melakukan ujian saringan Covid-19 lebih kerap apabila kebenaran rentas negeri dibenarkan kelak, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

    Katanya, langkah itu penting terutamanya mereka yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi.

    “1.6 peratus sebelum sempadan negeri dibuka, ketika KKM melakukan ujian saringan untuk kes simptomatik, kami menasihatkan orang yang berada dalam persekitaran hubungan dan mobiliti tinggi untuk melakukan ujian secara berkala.

    “Sekiranya anda ingin pulang ke kampung untuk berjumpa dengan ibu bapa, lakukan ujian air liur RTK Antigen. Jaga keselamatan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Kenyataan itu dibuat berikutan kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa negara hanya tinggal 1.6 peratus sebelum mencapai 90 peratus yang membolehkan larangan rentas negeri dimansuhkan.

    Hari ini, jumlah vaksinasi lengkap populasi dewasa mencecah 88.4 peratus atau 20,819,254 manakala 73.8 peratus atau 24,085,144 mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

    Khairy berkata, ketika negara beralih ke fasa endemik Covid-19, tanggungjawab bergantung kebanyakannya kepada orang ramai.

    “Ketika kita beralih ke fasa endemik, kita tidak boleh mengatur sekatan jalan raya untuk melihat sama ada anda telah divaksinasi atau melakukan ujian saringan.

    “Kini ia banyak bergantung kepada tanggunjawab dan tingkah laku peribadi, saya percaya kita dapat menghadapi cabaran dalam pembukaan dengan selamat,” jelasnya.

    Sementara itu melalui akaun Twitternya, Khairy menjelaskan, Sekatan Jalan Raya (SJR) pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 secara besar-besaran tidak akan dilaksanakan apabila negara memasuki fasa endemik kelak. Bagaimanapun beliau  berkata, pemeriksaan secara rawak di restoran dan premis akan tetap dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

  • Lelaki warga India miliki 62 kg ganja

    Lelaki warga India miliki 62 kg ganja

    POLIS menahan seorang lelaki warga India selepas menjadikan sebuah rumah kedai sebagai stor menyimpan 62 kilogram (kg) ganja dianggarkan bernilai RM248,000 dalam serbuan di Bandar Lahat Mines, Ipoh, Perak.

    Serbuan kira-kira 5 petang kelmarin itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Perak dan menemui 62 ketulan mampat daun kering dipercayai ganja.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, pemeriksaan mendapati, suspek yang berusia 42 tahun tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

    Katanya, susulan tangkapan itu, polis melakukan serbuan susulan terhadap sebuah rumah di kawasan Lahat dan yang merampas sejumlah lagi dadah, selain menahan dua wanita tempatan, masing-masing berusia 26 tahun serta warga Indonesia berusia 21 tahun.

    • “Di rumah itu, polis merampas 1,400 biji disyaki Pil Yaba (pil kuda) dianggarkan seberat 161 gram serta ganja dianggarkan seberat 2.05 gram membabitkan nilai rampasan bagi serbuan susulan ini adalah RM28,102.50.

    “Siasatan awal terhadap ketiga-tiga suspek itu mendapati mereka negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.

    “Tiada hubungan kekeluargaan di antara ketiga-tiga suspek itu. Siasatan awal mengesyaki mereka adalah ahli sindiket pengedaran yang aktif sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, hari ini.

    Mior Faridalathrash berkata, penahanan dan rampasan hasil operasi itu dianggap suatu kejayaan dalam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah di negeri ini.

    Nilai keseluruhan dadah yang dirampas bagi kedua-dua serbuan terbabit berjumlah lebih RM276,102 yang mampu menampung keperluan lebih 151,000 penagih.

    “Dadah dipercayai diperoleh dari Pulau Pinang itu disyaki untuk edaran pasaran tempatan,” katanya.

    Beliau berkata, polis juga menyita sebuah lori dan kereta, di samping dua motosikal serta barang kemas dalam kedua-dua serbuan itu membabitkan nilai sitaan RM86,663.

    Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket ini banyak merekrut ahli daripada kalangan warga asing.

    “Suspek lelaki yang ditahan itu mempunyai pasport tanpa visa dan sudah berada di negara ini sejak tahun 2014,” katanya.

    Mior Faridalathrash berkata, kesemua suspek direman enam hari bermula semalam untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman mati mandatori.

  • Radzi Jidin jelaskan gambar tular dakwa langgar SOP

    Radzi Jidin jelaskan gambar tular dakwa langgar SOP

    MENTERI Kanan Pendidikan Datuk Dr. Radzi Jidin menafikan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tiada penjarakan fizikal semasa mengadakan sidang akhbar di Sekolah Menengah (SM) Sains Dungun, Terengganu pada 3 Oktober lalu.

    Menerusi hantaran dalam Facebook miliknya, Mohd Radzi menjelaskan, sebenarnya dalam sidang akhbar itu hanya mereka bertiga dengan mematuhi penjarakan sosial dan bukan berlima seperti dalam gambar yang sedang tular tersebut.

    “Ketika sidang akhbar di SM Sains Dungun itu hanya ada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd. Ramli dan Exco Pendidikan Terengganu, Satiful Bahari Mamat.

    “Setelah disemak, gambar tersebut sebenarnya adalah gambar palsu,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

    Gambar palsu dimuat naik dalam Facebook Dr. Radzi yang jelas menunjukkan sudah disunting berbanding gambar asal

    Mohd. Radzi berkata, tindakan berniat jahat oleh pemilik akaun Facebook berkenaan amat tidak bertanggungjawab.

    “Pohon sahabat semua dapat kongsikan penjelasan ini,” kata Mohd Radzi dan satu laporan polis dibuat berhubung gambar palsu tersebut.

    Pada hantaran tersebut, Mohd. Radzi turut memuat naik sekeping tangkap layar pengguna Facebook Yuseri Yusoff mempersoalkan sidang akhbar yang didakwa gagal mematuhi SOP.