JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai lebih RM500,000 menggunakan kotak polisterin berisi ikan segar di kawasan kargo udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), Kota Kinabalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Sabah, Datuk Abdullah Jaapar berkata, rampasan dadah sebanyak 12.4 kilogram (kg) itu dilakukan pada pukul 5 petang, 29 September lalu oleh anggota kastam dari Cawangan Penguatkuasaan LTAKK.

Pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat bungkusan plastik yang mencurigakan di kargo berkenaan dan mengesyaiki aan mengandungi dadah dalam kotak polisterin dagangan ikan sejuk beku untuk tujuan eksport ke luar negara.

“Pemeriksaan mendapati 23 polisterin ditemui mengandungi 23 paket hablur putih dipercayai dadah jenis methamphetamine dan ketamine.

“Hasil pemeriksaan lanjut terdapat sebanyak 9.221 kg methamphetamine dan 3.190 kg ketamine dengan nilai anggaran keseluruhan RM501,026 ditemui didalam polisterin berkenaan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Sri Khazali, Menara Kastam Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Pihaknya percaya itu adalah modus operandi penyeludup untuk menyeludup dadah menggunakan polisterin berisi ikan segar ke luar negara.

“Dadah ini dimasukkan ke dalam polisterin bersama pelbagai jenis ikan segar dan setiap kotak polisterin akan dimasukkan sebanyak 500 gram dadah. Sebab itu ada 23 kotak polestrin dan ada 23 bungkusan dadah bersama ikan segar.

“Ini adalah rampasan kedua yang dilakukan kastam Sabah menggunakan taktik yang sama iaitu pada bulan lalu namun pihak kita masih menyiasat kaitan kedua-dua kes ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here