Oleh MOHD. LAZIM ENDUT

TERENGGANU yang semakin hampir beralih ke fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), kini dikejutkan dengan pertambahan jangkitan varian ganas, Delta dan Beta melibatkan hampir semua daerah di negeri ini.

Apa yang membimbangkan, sejak akhir Julai hingga semalam, sebanyak 42 kes jangkitan Covid-19 membabitkan varian Delta dan Beta dikesan di negeri ini.

Menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) Datuk Dr. Kasemani Embong, daripada jumlah tersebut, sebanyak 33 kes adalah jangkitan varian Delta manakala sembilan lagi varian Beta.

Menurut beliau, tujuh kes varian Delta direkodkan di daerah Kuala Terengganu, Kemaman (enam), Besut (lima), Dungun (empat), masing-masing dua di Marang dan Setiu, manakala enam lagi membabitkan kluster ialah di daerah Kemaman dan Dungun.

“Bagi kes jangkitan varian Beta pula dilaporkan dua kes di daerah Hulu Terengganu dan Kuala Terengganu serta masing-masing satu kes di Marang dan Besut,” ujarnya menerusi catatan di laman Facebook rasmi beliau.

Menurut Dr. Kasemani, trend jangkitan ini amat membimbangkan kerana kebolehjangkitan dua varian membimbangkan (VOC) itu menular dalam kalangan masyarakat adalah begitu tinggi.

Beliau berkata, fakta penting perlu diberi perhatian utama oleh setiap rakyat ialah kadar kebolehjangkitannya yang tinggi dan sifatnya yang sentiasa berubah.

Justeru, beliau menasihatkan masyarakat agar terus mematuhi SOP yang ditetapkan terutama sewaktu berada di luar rumah walaupun Terengganu sudah melangkah ke fasa tiga PPN sejak 17 September lalu.

“Walaupun individu sudah mengambil vaksin, mereka tidak kebal sepenuhnya dan masyarakat jangan leka untuk terus memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal,” jelas beliau.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here