Category: Semasa

  • Jual daging kerbau mengaku daging rusa

    Jual daging kerbau mengaku daging rusa

    HANYA kerana untung lebih seorang peniaga sanggup menipu pelanggan dengan menjual daging kerbau yang didakwanya daging rusa.

    Namun, helah peniaga yang disyaki menjalankan perniagaan dan promosi secara dalam talian produk daging rusa melalui satu platform e-dagang itu telah berjaya dibongkar oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

    Menurut Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam, bertindak atas aduan, pihaknya menjalankan siasatan dan melakukan uji beli daging rusa itu sebelum sampel berkenaan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk ujian kecerakinan.

    Jelas beliau, hasil laporan kimia mendapati, sampel daging rusa yang dipromosikan oleh peniaga terbabit adalah merupakan daging kerbau berdasarkan DNA yang dikesan melalui sampel itu.

    Berikutan laporan itu, sepasukan anggota Penguat Kuasa KPDNHEP telah menyerbu sebuah premis di Bandar Baru Sungai Buloh, kira-kira pukul 12.30 tengah hari 8 Oktober lalu.

    “Hasil pemeriksaan itu, pasukan serbuan menemukan beberapa ketul daging sejuk beku yang dinyatakan daging rusa oleh pemilik premis dalam sebuah peti sejuk beku dalam bentuk ketulan seberat 1 kilogram setiap satu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

    Mengulas lanjut, Azman berkata, kesemua daging tersebut bersama dokumen-dokumen perniagaa telah disita bagi tujuan siasatan lanjut dan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM7,004.

    Ujarnya, siasatan awal mendapati, modus operandi peniaga terbabit adalah menjual dan mengiklankan daging rusa sejuk beku secara dalam talian untuk pasaran tempatan pada harga RM42 sekilogram.

    “Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 5(1)(b) Larangan Perihal Dagangan Palsu iaitu membekalkan atau menawarkan untuk membekalkan apa-apa barang-barang yang baginya suatu perihal dagangan palsu digunakan, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011.

    “Sabit kesalahan boleh dikenakan denda seperti berikut iaitu jika orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM25,000, dan bagi kesalahan yang kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM50,000.

    “Selain itu, jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” tambahnya.

    Sementara itu, Azman berkata, KPDNHEP memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan sama ada secara dalam talian mahupun fizikal.

    Beliau menambah, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika seperti ini boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi seperti Whatsapp 019-279 4317; Ez ADU KPDNHEP; Portal e-aduan.kpdnhep.gov.my Call Centre 1-800-886-800; Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245 dan e-mel [email protected]. – SB

  • Nilai R-naught meningkat kepada 0.88-Dr. Noor Hisham

    Nilai R-naught meningkat kepada 0.88-Dr. Noor Hisham

    KADAR kebolehjangkitan Covid-19 di Malaysia meningkat sedikit kepada 0.88 semalam.

    Dalam infografik yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah menerusi akaun Twitter miliknya, nilai R-naught itu meningkat 0.01 berbanding kelmarin pada 0.87.

    12 negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan, Putrajaya mencatatkan kadar kebolehjangkitan tertinggi dengan 1.08.

    Ini diikuti Negeri Sembilan, Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang, Kuala Lumpur, dan Melaka.

    Turut mencatat angka melebihi purata kebangsaan termasuk Kedah, Selangor, Perak serta Sabah sementara Johor, Pulau Pinang dan Sarawak mencatat R-naught di bawah purata kebangsaan.

    Labuan merekodkan sifar kes baharu Covid-19 manakala kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

    Sementara yang tertinggi dicatatkan ialah 1.21 pada 23 Mei.

    Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

  • 10 Menteri Pertahanan ASEAN bincang isu AUKUS November ini

    10 Menteri Pertahanan ASEAN bincang isu AUKUS November ini

    SERAMAI 10 Menteri Pertahanan ASEAN akan bersemuka membincangkan langkah berhubung pakatan tiga hala antara Australia, United Kingdom (UK) dan Amerika Syarikat (AS) atau AUKUS pada November ini.

    Menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein, persefahaman atau solidariti dalam kalangan negara ASEAN mampu memastikan rantau ini dapat berhadapan dengan kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS).

    Beliau memberitahu Dewan Rakyat hari ini, solidariti ASEAN amat penting kerana semua sedia maklum, tiada negara di rantau ini yang mampu berhadapan dengan kuasa besar tersebut seandainya berlaku konflik.

    “Kita (ASEAN) dalam posisi strategik, sebab itu persefahaman di ASEAN akan membantu kita berdepan dengan kedua-dua kuasa besar ini.

    “Secara individu, kekuatan ketenteraan kita terhadap AS dan China memang tak ke mana sangat. Tetapi 10 negara dalam satu rantau cukup strategik untuk China dan AS.

    “Penting untuk kita berdepan dengan kuasa ini secara dekat, tetapi solidariti ASEAN tak boleh berpecah. Sebab itu, tanya apa end game ASEAN, ini bergantung kepada mesyuarat kita bulan depan,” ujar Ahli Parlimen Sembrong itu.

    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (PH-Kulim Bandar Baharu) yang ingin tahu pendirian sebenar Malaysia dalam menangani isu AUKUS serta konflik yang mungkin timbul.

    Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, biar pun Malaysia mempunyai hubungan mesra dengan kebanyakan negara, termasuk kuasa-kuasa besar, kerajaan sama sekali tidak akan membiarkan kedaulatan negara tercemar atau berada dalam keadaan berisiko.

    Terdahulu, Datuk Mohd. Nizar Zakaria (BN-Parit) ingin mengetahui pendirian terkini kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan berkaitan AUKUS.

    Hishammuddin berkata, beliau telah menyuarakan pandangan dan kegusaran Malaysia kepada Utusan Khas dan Menteri Pertahanan Australia tentang potensi konflik yang mungkin timbul akibat penubuhan pakatan berkenaan.

    “Dalam kedua-dua perbincangan ini, saya telah menegaskan bahawa Malaysia tidak mahu diheret dalam geopolitik pertimbangan kuasa-kuasa besar. Saya juga tekankan, sebagai sebuah negara ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

    “Australia harus hormati prinsip ini dan hormati pendirian Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia termasuk di bawah United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS) dan Southeast Asian Nuclear-Weapon-Free Zone Treaty (SEANWFZ),” katanya.

  • 21.44 juta individu telah lengkap vaksinasi

    21.44 juta individu telah lengkap vaksinasi

    PERATUSAN individu dewasa yang lengkap vaksinasi telah pun meningkat kepada 90.4 peratus.

    Hanya tinggal Kelantan dan Sabah yang belum mencapai kadar vaksinasi 80 peratus.

    Kedua-dua negeri itu masih berada di bawah 75 peratus dengan sebanyak 74 peratus dewasa lengkap vaksin di Kelantan manakala 65.6 peratus di Sabah.

    Sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan, sebanyak 45.835 juta dos vaksin Covid-19 telah pun diberikan ke seluruh negara termasuk bagi vaksin dos tunggal, CanSino.

    Usaha itu juga telah menyaksikan 21.437 juta individu seluruh negara telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing yang mana ia merangkumi 65.6 peratus populasi keseluruhan telah pun lengkap proses vaksinasi masing-masing.

    Populasi yang telah menerima sekurang-kurangnya satu dos pula telah mencecah 24.510 juta individu atau 75.1 peratus keseluruhan penduduk.

    Dalam aspek pemberian harian, jumlah dos bagaimanapun kekal menurun sehingga di bawah paras 200,000 semalam.

    Sebanyak 184,486 dos telah pun diberikan merangkumi 52,302 untuk dos pertama manakala 132,184 bagi suntikan kedua vaksin Covid-19.

    Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan, kadar populasi dewasa yang telah pun menerima sekurang-kurangnya satu dos telah pun mencapai 94.8 peratus.

    Bagi pemberian dua dos vaksin mengikut negeri, data JKJAV menunjukkan Lembah Klang terus mencatatkan pemberian tertinggi melibatkan 6.930 juta atau 82.3 peratus populasi.

    Ini diikuti liputan 2.412 juta (63.8 peratus populasi) di Johor; 1.914 juta (68.0 peratus populasi) di Sarawak; 1.919 juta (49.1 peratus populasi) di Sabah; dan sebanyak 1.509 juta (60.1 peratus populasi) di Perak.

    Menurut JKJAV, Kedah menjadi penerima keenam tertinggi iaitu sebanyak 1.249 juta individu melengkapkan dua dos diikuti Pulau Pinang (1.240 juta) dan 957,918 di Pahang.

    Seterusnya, Kelantan berjumlah 926,585; Negeri Sembilan telah mencatatkan 808,156 lengkap dos kedua dan 716,052 di Terengganu manakala Melaka sebanyak 609,735 telah lengkap dua dos vaksin diikuti 171,814 di Perlis dan 70,252 di Labuan.

    Data JKJAV juga menunjukkan kawasan Lembah Klang menjadi penerima tertinggi bagi pemberian satu dos vaksin iaitu sebanyak 7.574 juta.

    Selain Lembah Klang negeri penerima dos pertama tertinggi, Johor menjadi negeri tertinggi seterusnya iaitu seramai 2.848 juta individu.

    Ia diikuti Sabah (2.275 juta); Sarawak (2.103 juta); Perak (1.774 juta) dan Kedah (1.472 juta).

  • Sektor pelancongan kesihatan Malaysia susun persiapan

    Sektor pelancongan kesihatan Malaysia susun persiapan

    TIDAK dapat disangkal penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia membawa cabaran kepada sektor pelancongan penjagaan kesihatan berikutan banyak negara termasuk Malaysia, menutup sempadan antarabangsa masing-masing bagi mengekang penyebaran virus itu.

    Selepas hampir dua tahun mengharungi pandemik Covid-19, negara kini sedang beralih ke fasa kehidupan dalam persekitaran endemik, bermakna amat penting untuk segmen pelancongan perubatan meneliti langkah-langkah penambahbaikan berdasarkan pengalaman sepanjang tempoh itu, bagi menawarkan pengalaman yang selamat dan lebih baik kepada pelawat perubatan.

    Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) sedang mengusahakan pelan pemulihan industri bagi mengetengahkan keseluruhan potensi segmen penjagaan kesihatan dan hospitaliti Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Daud Mohd Arif berkata, organisasi itu sedang ‘beralih ke lingkungan digital menerusi perbincangan dinamik dengan pihak berkepentingan’, bagi memastikan kehadiran segmen pelancongan perubatan negara merentasi pasaran sasaran.

    “Misi semasa kami ialah menghidupkan semula sektor dengan memanfaatkan keyakinan dan kepercayaan sedia ada di Malaysia selaku destinasi pelancongan perubatan yang selamat dan boleh dipercayai. Dengan membina kepercayaan dalam kalangan pelancong perubatan menerusi komunikasi berkesan secara berterusan, serta dedikasi dalam menyediakan pengalaman selamat, kami yakin akan dapat menyaksikan sikap lebih positif terhadap pelancongan perubatan apabila sekatan pergerakan ditarik balik.

    “Kami kekal optimis bahawa industri penjagaan kesihatan Malaysia akan kembali pulih bersandarkan reputasi yang kami bina sejak lebih 10 tahun lepas, perkhidmatan bertaraf dunia kami serta rawatan perubatan yang mudah diakses dan mampu milik,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.

    Destinasi selamat dan dipercayai

    Malaysia telah membina reputasi kukuh sebagai destinasi global yang selamat dan dipercayai bagi penjagaan kesihatan sejak lebih 10 tahun lepas, dengan pelawat datang bagi mendapatkan pelbagai rawatan termasuk persenyawaan in-vitro (IVF), kardiologi, onkologi, ortopedik, neurologi, pergigian, estetika dan saringan kesihatan umum.

    Sehubungan itu, MHTC menyasarkan untuk menghidupkan semula sektor dengan membina keyakinan, khususnya dalam pasaran sasaran seperti Indonesia, China, Kemboja, Singapura dan Brunei.

    Malaysia menerima pelbagai anugerah peringkat global sebagai destinasi penjagaan kesihatan selama ini dan diiktiraf sebagai ‘Destination of the Year’ dari 2015 hingga 2017 dan pada 2020 oleh International Medical Travel Journal, United Kingdom; ‘Best Country in the World for Healthcare’ dari 2015 hingga 2020 oleh International Living yang berpusat di Amerika Syarikat; selain sentiasa diiktiraf sebagai ‘Top Country for Muslim Travel’ dalam Indeks Pelancongan Muslim Global oleh MasterCard-Crescent Rating sejak 2011.

    Mohd Daud berkata, sebahagian besar pertumbuhan dan kemajuan industri itu disumbangkan oleh reputasi Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan bertaraf dunia yang mudah diakses dan pada kos yang kompetitif.

    “Ini juga ditonjolkan melalui kedudukan strategik kita sebagai negara mesra Muslim, kemesraan kita dan tarikan pelancongan yang terkenal,” katanya, menambah antara pesaing Malaysia dalam industri pelancongan perubatan ialah Singapura, Thailand, Dubai (Emiriah Arab Bersatu) dan Korea Selatan.

    Beliau berkata, MHTC juga bekerjasama rapat dengan hospital yang menjadi ahli bagi mengenal pasti pasaran lain yang boleh ditumpukan seperti Timur Tengah, yang menekankan lagi kepentingan perkongsian awam-swasta dalam melonjakkan sektor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi pasca-Covid-19.

    Menurutnya, amat penting bagi MHTC untuk terus membina keyakinan dan kepercayaan sedia ada melalui potensi dan perkhidmatan digital bagi memastikan usaha yang berterusan untuk mengekalkan kesedaran dalam kalangan pelancong kesihatan.

    Inisiatif gelembung perjalanan

    Mengulas mengenai inisiatif gelembung perjalanan, Mohd Daud berkata langkah itu bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri pelancongan perubatan tetapi turut menyumbang kepada pertumbuhan negara sebagai sebahagian pemulihan ekonominya.

    (Gelembung perjalanan merupakan kerjasama di antara dua atau lebih negara yang membolehkan perjalanan bebas kuarantin bagi kedua-dua hala)

    Bagaimanapun katanya, pada masa ini, keutamaan negara ialah memastikan ia mencapai sasaran imunisasi Covid-19 yang ditetapkan.

    Berkenaan promosi pelancongan perubatan, Mohd Daub berkata, usaha itu sudahpun dilaksanakan di Malaysia dengan pesakit mendapatkan rawatan di hospital pilihan mereka atau dengan pakar perubatan yang mereka mahukan.

    “Apabila sekatan merentas negeri dilonggarkan, kami yakin pesakit tempatan akan mendapatkan rawatan di fasiliti pilihan mereka.

    “Kami juga mempromosikan dan menggalakkan ekspatriat yang menetap di Malaysia agar memanfaatkan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang ditawarkan oleh fasiliti perubatan swasta kita,” katanya, menambah MHTC ditubuhkan khususnya untuk memudahkan pelawat perubatan asing mendapatkan rawatan di hospital swasta di negara ini.

    Mohd Daud juga berkata, pihaknya menjangkakan penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan membuat penyesuaian yang sewajarnya apabila Malaysia mencapai kenormalan pascapandemik.

    “Fasiliti penjagaan kesihatan akan memastikan ia mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan infrastruktur bagi menyokong dan memberikan pengalaman yang lebih selamat dan dipertingkat kepada pesakit, dipacu oleh penyampaian perkhidmatan yang cemerlang.

    “Tawaran pelancongan juga harus disesuaikan dengan kehendak pengguna yang sentiasa berubah, akibat daripada penularan pandemik. Aspek keselamatan orang ramai merupakan keutamaan kami dan kami percaya pihak berkuasa akan mengguna pakai mekanisme yang tepat bagi memastikan protokol yang betul tersedia bersama-sama pembukaan semula sempadan,” katanya.

    Negara senarai hijau

    Sementara itu, pensyarah kanan di Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, Universiti Teknologi MARA Melaka Akmal Adanan berkata, inisiatif gelembung pelancongan dan kebenaran merentas negeri harus dimanfaatkan dengan pelaksanaan gelembung pelancongan kesihatan untuk negara-negara senarai hijau dan mereka yang telah lengkap divaksinasi.

    (Negara-negara senarai hijau merujuk kepada negara dan wilayah yang selamat untuk dilawati tanpa perlu menjalani kuarantin apabila pulang ke tanah air)

    Beliau berkata, gelembung pelancongan kesihatan memberi kelebihan kepada pesakit dan penyedia perkhidmatan kerana kehadiran pelawat bagi tujuan itu akan berlaku dalam persekitaran yang dikawal.

    “Hospital dan penyedia perkhidmatan pelancongan perlu mempunyai strategi seperti bekerjasama dengan agensi pelancongan untuk memperkenalkan pakej yang inklusif, menarik dan mampu milik kepada segmen pasaran yang lebih besar.

    “Pakej pelancongan perubatan yang komprehensif boleh merangkumi saringan kesihatan, kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti-aktiviti rekreasi. Semua ini adalah tentang penyediaan pakej yang dapat memastikan pengalaman perjalanan yang lancar bagi pesakit, bermula ketika mereka meninggalkan negara mereka,” katanya.

    Akmal berkata, bagi membolehkan Malaysia muncul sebagai destinasi pelancongan kesihatan pascapandemik yang kompetitif, ia harus memberi tumpuan pada pengurusan risiko dan langkah-langkah keselamatan yang melibatkan agensi pelancongan, hotel, fasilitator kesihatan, pemandu pelancong serta penyedia pengangkutan dan logistik,” katanya.

    Katanya, hospital juga boleh memperkenalkan model perkhidmatan hibrid dalam proses rawatan bagi pesakit antarabangsa, termasuk membenarkan tempahan melalui dalam talian serta mengadakan perkhidmatan telerundingan, webinar dan perkhidmatan penghantaran ubat-ubatan.

    “Inisiatif sebegini akan memberi nilai tambah kepada industri pelancongan perubatan kita, selain memudahkan lagi pesakit, mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, serta memastikan perkhidmatan dan rawatan ditawarkan pada tahap optimum,” katanya.

    Impak ekonomi industri pelancongan

    Industri pelancongan penjagaan kesihatan Malaysia yang banyak bergantung pada perkongsian awam-swasta, memperoleh RM1.7 bilion dalam bentuk kos hospital pada 2019, dengan kesan limpahan dalam industri lain menyumbang kira-kira RM7 bilion kepada ekonomi.

    Jumlah ini merangkumi perjalanan udara, kemudahan penginapan, makanan dan minuman, aktiviti santai serta lain-lain.

    Industri ini juga menghasilkan lebih 15,000 pekerjaan dan menarik pelaburan berjumlah RM10 bilion sejak 2012.

    Sebelum ketibaan pandemik Covid-19, industri penjagaan kesihatan Malaysia menyumbang secara signifikan kepada ekonomi negara.

    Jumlah pelawat kesihatan yang tiba di Malaysia bagi tempoh 2012 hingga 2019 meningkat kira-kira 90 peratus dan pada 2019, industri itu merekodkan pendapatan berjumlah RM1.7 bilion.

    Industri penjagaan kesihatan bertumbuh pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) 17 peratus bagi tempoh 2015 dan 2019 berbanding prestasi rantau Asia Pasifik yang merekodkan CAGR 12 hingga 14 peratus bagi tempoh sama, menunjukkan potensi pelancongan kesihatan di rantau ini. – Bernama

  • Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming positif COVID-19

    AHLI Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming diuji positif COVID-19 hari ini.

    Melalui Twitter, Kian Ming berkongsi berita tersebut setelah memperoleh keputusan ujian kendiri COVID-19 pada 3.30 petang tadi dan perkara itu disahkan sekali lagi selepas keputusan ujian PCR COVID-19 yang dijalaninya sejam kemudian.

    “Saya tidak mengalami sebarang gejala. Saya akan menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari. Akan meluangkan masa sejam berikutnya untuk memaklumkan perkara ini kepada kontak rapat saya,” katanya.

    Menurut Kian Ming, beliau diuji negatif pada Rabu lepas di Parlimen dan tidak pasti bagaimana beliau boleh dijangkiti wabak berkenaan.

    Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tiada individu di Parlimen diuji positif COVID-19 pada sesi yang sedang berlangsung hari ini.

    Semua yang hadir ke Parlimen termasuk Ahli Parlimen dan petugas diwajibkan menjalani ujian RTK Antigen Saliva secara rawak pada setiap Isnin dan Rabu sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan COVID-19 dan memastikan persidangan Dewan Rakyat berjalan dengan selamat. – BERNAMA

  • Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    Zahid adalah bos yang mempunyai kuasa atas YAB

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ‘bos’ yang mempunyai kuasa serta kawalan penuh ke atas aset Yayasan Akalbudi (YAB).

    Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata, tertuduh, sebagai pemegang amanah YAB, mempunyai kawalan dan kuasa penuh ke atas aset yayasan itu ketika beliau secara tidak jujur telah menyeleweng berjuta-juta ringgit daripada dana YAB.

    Beliau memberi contoh bagaimana Ahmad Zahid boleh mengawal YAB dengan pelantikan dua pemegang amanah baharu pilihan bekas Timbalan Perdana Menteri itu sendiri iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi bagi menggantikan Samsuri Tun dan Profesor Dr Zulkifli Senteri yang meletak jawatan pada 4 April 2012.

    “Kerusi yang dikosongkan segera diisi oleh dua lagi yang memegang jawatan dalam UMNO Bahagian Bagan Datuk iaitu Muhammad Nabil Saleh dan Datuk Khairuddin Tarmizi. (Ahmad Zahid ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk).

    “Sepintas lalu, pelantikan mereka sebagai pemegang amanah kelihatan seperti biasa-biasa saja. Namun jika anda meneliti siapa mereka, anda akan dapati seorang daripada mereka adalah pembantu peribadi beliau.

    “Mereka mungkin menjadi pemegang amanah seperti beliau (Ahmad Zahid) namun hakikatnya Yang Arif, beliau adalah bos dan masih bos mereka. Jadi adalah tidak keterlaluan jika saya katakan apa yang bos nak, bos akan dapat,” katanya ketika berhujah di akhir kes pendakwaan bagi perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid.

    Raja Rozela juga berkata, pada 4 April 2012, Ahmad Zahid telah menjadikan dirinya sebagai penandatangan tunggal bagi akaun bank YAB.

    “Semasa beliau berkuasalah yang menyaksikan kira-kira 50 cek YAB dikeluarkan dan pengeluaran dana daripada tujuh akaun simpanan tetap. Jumlah terkumpul ialah RM31,082,732.57,” katanya.

    Beliau juga berhujah, Presiden UMNO itu sepatutnya tahu bahawa beliau tidak ada hak menggunakan aset itu walaupun untuk dirinya sendiri.

    Katanya, dengan menggunakan dana itu untuk diri sendiri walaupun mengetahui beliau tidak berhak berbuat demikian, tertuduh telah bertindak secara tidak jujur dengan niat untuk merampas aset YAB dan memperoleh dana itu bagi keuntungan sendiri.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan iaitu 12 bagi pecah amanah jenayah, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram membabitkan berpuluh-puluh juta ringgit milik YAB.

    Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. – BERNAMA

  • Bot karam, tiga warga Indonesia maut

    Bot karam, tiga warga Indonesia maut

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TIGA lelaki warganegara Indonesia maut selepas bot yang dinaiki karam di Pantai Rambah, Pontian, hari ini.

    Ketiga-tiga mayat lelaki asing itu dikatakan terperangkap di celah-celah akar pokok di tepi pantai berkenaan.

    Orang orang awam yang melihat mayat tersebut memaklumkan kepada pihak polis pada pukul 5.40 petang.

    Tiga mayat ditemukan selepas bot yang dinaiki karam sebelum mayat ditemukan di Pantai Rembah

    Pihak polis kemudian menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru untuk meminta bantuan.

    Komander Operasi dari BBP Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat berkata, tujuh anggota dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

    Ketiga-tiga identiti mangsa bot karam masih belum dikenal pasti

    “Tiga lelaki itu merupakan mangsa lemas akibat bot karam. Pihak bomba bertindak mengangkat mangsa dan serahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

    “Operasi tamat pada pukul 7.15 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

  • Maritim tahan nelayan Vietnam menangguk gamat

    Maritim tahan nelayan Vietnam menangguk gamat

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan menahan enam kru dan tekong warga Vietnam menangguk gamat di perairan Kelantan pada pukul 6.30 petang semalam.

    Pengarah Maritim Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, mereka ditahan semasa pihaknya melakukan rondaan Op Naga Barat dan Op Damai selepas berjaya mengesan kehadiran bot nelayan asing berwarna biru itu.

    “Bot berkenaan dipercayai sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan. Menyedari dihampiri bot ronda Maritim Malaysia, bot tersebut cuba meloloskan diri dengan menuju ke sempadan perairan Thailand.

    “Selepas lebih 30 minit mengejar, anggota geledah daripada bot penguat kuasa berjaya menaiki bot tersebut melalui bahagian belakang bot nelayan itu dan seterusnya berjaya menghentikan dan menahan bot kira-kira pukul 7 malam.

    “Nilai rampasan termasuk bot, gamat lebih kurang 40 kilogram, bahan bakar diesel lebih kurang 1,200 liter dan peralatan menangguk gamat dianggarkan berjumlah RM350,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, bot berkenaan yang ditahan 3.1 batu nautika dari sempadan perairan Thailand itu merupakan bot nelayan asing yang dinaiki enam anak kapal dan tekong warga Vietnam berusia antara 23 hingga 50 tahun.

    Beliau berkata, kesemua mereka didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah, selain tekong juga gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

    “Bot dan kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan selanjurnya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan atau cuba menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

    “Kes ini turut disiasat di bawah Seksyen 16(3) akta sama kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia.

    “Sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mengikut Seksyen 25(a) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600,000 ke atas setiap anak kapal,” katanya.

  • Aliran trafik dijangka meningkat 40 peratus di Johor

    Aliran trafik dijangka meningkat 40 peratus di Johor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEADAAN aliran trafik di lebuh raya dan jalan raya di negeri ini dijangka meningkat sehingga 40 peratus hujung minggu ini susulan aktiviti rentas negeri yang bermula hari ini.

    Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail berkata, peratusan itu dijangka melibatkan purata kenderaan harian meningkat kepada 19,000 hingga 21,000 buah kenderaan.

    “Bagaimanapun setakat ini keadaan aliran trafik masih terkawal. Anggota polis sentiasa melakukan pemantauan bagi memastikan tiada kesesakan luar biasa berlaku.

    “Purata kenderaan yang melalui Lebuhraya Utara Selatan kira-kira 17,000 kenderaan sehari,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di Tol Kempas-Skudai, Johor Bahru, hari ini.

    Deputi Superintendan Khairul Azhar Ismail

    Beliau pada masa sama mengingatkan pengguna jalan raya supaya merancang perjalanan dan memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik.

    “Orang ramai juga diingatkan memastikan tahap kesihatan diri dalam keadaan yang baik selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

    “Kebenaran rentas negeri ini juga terpakai kepada kenderaan perdagangan dan tiada sekatan dikenakan kepada kenderaan berat itu untuk beroperasi. Pengguna jalan raya perlu mematuhi peraturan undang-undang lalu lintas,” katanya.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri bermula Isnin secara serentak di seluruh negara.