Category: Semasa

  • Ekonomi Malaysia akan kembali pulih tahun depan-Tengku Zafrul

    Ekonomi Malaysia akan kembali pulih tahun depan-Tengku Zafrul

    MENTERI Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz melahirkan keyakinan ekonomi Malaysia akan kembali ‘bercahaya’ pada tahun 2022.

    Keyakinan itu katanya, bersandarkan kepada pembukaan ekonomi secara berfasa termasuk yang terkini kebenaran rentas negeri.

    “Saya optimis melihat baru-baru ini pengumuman pembukaan rentas negeri yang akan membantu sektor pelancongan.

    “Ekonomi mula dibuka secara berfasa dengan selamat, kadar vaksinasi juga agak tinggi. Kita sudah mula menjalankan vaksinasi kepada golongan remaja.

    “Jadi, saya optimis pada tahun 2022 negara akan kembali semula. Ia akan menjadi tahun pemulihan untuk Malaysia, InsyaAllah,” katanya dalam program Bersama Tengku Zafrul di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Tengku Zafrul berkata demikian ditanya sama ada beliau melihat ‘ada cahaya di hujung terowong’ dengan segala cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19 ini.

    Program yang berlangsung kira-kira sejam di semua platform Sinar Harian itu dihoskan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar.

  • Pelaksanaan pentaksiran kemasukan sekolah khusus buka peluang murid ke SBP

    Pelaksanaan pentaksiran kemasukan sekolah khusus buka peluang murid ke SBP

    PELAKSANAAN pentaksiran kemasukan sekolah khusus (PKSK) membuka peluang kepada semua murid yang layak daripada semua jenis sekolah di Malaysia untuk ke sekolah berasrama penuh (SBP), kata Timbalan Menteri Pendidikan Mah Hang Soon.

    Beliau berkata kementerian pendidikan (KPM) sentiasa memberi perhatian dan mendukung dasar pendidikan yang ditetapkan kerajaan termasuk memastikan kejayaan lima aspirasi sistem pendidikan iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

    “KPM juga sentiasa melaksanakan tanggungjawab seperti dihasratkan dengan merangka dasar pengambilan lebih komprehensif tanpa sebarang pengabaian kepada mana-mana pihak mahupun golongan masyarakat di negara ini,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab soalan Senator T. Mohan yang ingin tahu justifikasi pelajar daripada sekolah kebangsaan (SK) sahaja dibenarkan untuk memohon ke SBP peringkat Tingkatan Satu dan mengapa pelajar cemerlang selain SK tidak dibenarkan.

    Mah menjelaskan PKSK merupakan satu kaedah pentaksiran standard secara berpusat dan dilaksanakan kepada murid yang memohon kemasukan ke sekolah khusus dengan pentaksiran itu merangkumi tiga komponen utama iaitu kecerdasan insaniah, kecerdasan intelek dan artikulasi penulisan.

    Beliau berkata semua murid warganegara yang berdaftar dengan sistem Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM) KPM dari sekolah jenis kebangsaan (SJK), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) atau sekolah swasta adalah layak memohon kemasukan ke SBP bermula 2020 bagi sesi persekolahan 2021.

    “Syarat pemilihan murid ke SBP adalah melepasi syarat minimum PKSK dan aktif dalam aktiviti kokurikulum. Penawaran kemasukan ke SBP pula adalah tertakluk kepada dasar pemilihan SBP iaitu 60% murid daripada keluarga B40,” katanya. – Bernama

  • Zahid, isteri guna RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi bayar kad kredit beli belah di gedung mewah

    Zahid, isteri guna RM1.3 juta dana Yayasan Akalbudi bayar kad kredit beli belah di gedung mewah

    MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membayar bil kad kreditnya lebih RM1.3 juta yang digunakan untuk membeli-belah di gedung mewah seperti Giorgio Armani, Louis Vuitton dan Hermes.

    Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berkata Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis membelanjakan lebih RM1.3 juta itu untuk membeli-belah dalam tempoh dua tahun. 

    Beliau berkata penggunaan kad kredit secara meluas bagi pembelian di gedung membeli-belah mewah di seluruh dunia dan dalam negara itu boleh dilihat melalui penyata bulanan kad kredit.

    “Walaupun diakui, tabiat berbelanja tertuduh dan isterinya mungkin tidak menjadi masalah dalam kes ini, seseorang akan tertanya-tanya sama ada mereka memikirkan golongan miskin di Malaysia ketika mereka membeli-belah seperti di Giorgio Armani, Louis Vuitton atau Hermes,” katanya.

    Raja Rozela berhujah demikian di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah pada akhir kes pendakwaan terhadap Zahid, yang menghadapi 47 tuduhan pecah amanah (CBT), rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

    Raja Rozela berkata saksi pendakwaan ke-10, Yeoh Eng Leong yang juga naib presiden kanan AmBank mengesahkan bahawa berdasarkan penyata kad kredit yang dikemukakan, jumlah pembayaran yang diterima bank dari Januari 2014 hingga Januari 2016 adalah sebanyak RM1,296,715.98.

    “Dari Januari hingga Disember 2014 sebanyak RM534, 412.52; RM708, 134.47 bagi Januari hingga Disember 2015 dan RM54,168.99 bagi Januari 2016.

    “Saksi pendakwaan kesembilan, Anoop Singh Gulzara Singh, Naib Presiden Maybank (Pengurusan Penipuan dan Pertikaian Kad Kredit), mengesahkan penerimaan enam pembayaran berjumlah RM30,771.19 (antara Februari dan Oktober 2014), satu pembayaran pada Mac 2015 pada RM3,914.84, dan satu lagi pada Julai 2015 sebanyak RM30,635.80,” katanya.

    Raja Rozela berkata Ahmad Zahid juga menggunakan wang Yayasan Akalbudi untuk membayar cukai jalan dan insurans 20 kenderaan milik Ahmad Zahid dan tiga yang lain, isterinya, BZ Motors dan Juhari Janan, antara Januari dan September 2015.

    “Jumlah yang terlibat adalah RM107,508.55 (pembelian insurans dan cukai jalan). Tidak ada kenderaan milik Yayasan Akalbudi,” katanya.

    Ahmad Zahid, 68, berdepan 47 pertuduhan melibatkan12 bagi pertduhan CBT, lapan kes rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

    Perbicaraan bersambung esok.

    — BERNAMA

  • Kereta rasmi digunakan bekas ADUN Melaka dirampas polis

    Kereta rasmi digunakan bekas ADUN Melaka dirampas polis

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KENDERAAN rasmi kerajaan Melaka jenis Toyota Camry berwarna hitam yang digunakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee dirampas polis selepas bekas Exco itu enggan memulangkan kereta itu sejak minggu lalu.

    Kereta terbabit dirampas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di tempat letak kereta sebuah kondominium di Jalan Tun Perak, kira-kira pukul 11.20 pagi, semalam.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, tindakan dilaksanakan selepas pihaknya menerima laporan polis yang dibuat seorang kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka mengenai keengganan Norhizam untuk memulangkan kenderaan itu.

    “Mengikut laporan, Norhizam didakwa enggan memulangkan kenderaan tersebut walaupun satu surat arahan untuk berbuat demikian telah dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan pada 5 Oktober lalu dan diserahkan kepada pegawai khasnya.

    Norhizam Hassan Baktee kereta rasmi
    NORHIZAM HASSAN BAKTEE

    “Susulan itu, pegawai dan anggota daripada JSJK IPK Melaka bertindak merampas kenderaan tersebut di sebuah tempat letak kereta di Jalan Tun Perak,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Melaka.

    Sebelum ini, Norhizam menegaskan hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama.

    Katanya, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, beliau hairan mengapa hanya tiga Exco kerajaan negeri termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian.

    Sementara itu, Abdul Majid berkata, rampasan dilakukan selepas polis mendapat waran geledah daripada Mahkamah Majistret Ayer Keroh pada hari sama laporan diterima bagi mengesan dan merampas barang kes.

    Jelasnya, dalam pemeriksaan tersebut, pihaknya turut merampas satu kad pembayaran elektronik Touch n Go dan satu kad minyak daripada pemandu rasmi Norhizam.

    Sehingga kini seramai lima saksi telah dipanggil yang merupakan kakitangan SUK Melaka bagi tujuan rakaman percakapan dan akan memanggil bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka itu dalam masa terdekat untuk mendapatkan keterangan.

    “Polis akan memanggil lebih ramai saksi untuk membantu siasatan di dalam kes ini termasuk Norhizam. Siasatan lanjut juga akan dijalankan untuk mengetahui bagaimana kereta berkenaan boleh ditempatkan di kondominum terbabit serta kaitannya dengan pemilik lot tempat letak kereta berkenaan,” katanya.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta secara tidak jujur.

  • Perak benarkan majlis akad nikah di premis swasta

    Perak benarkan majlis akad nikah di premis swasta

    JABATAN Agama Islam Perak (JAIPk) membenarkan majlis akad nikah dilaksanakan di premis swasta, Pejabat Agama Islam dan Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

    JAIPk menerusi surat pekeliling dalam Facebook rasminya memberitahu, majlis akad nikah itu bersesuaian dengan tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 di negeri ini dan berkuat kuasa mulai hari ini.

    “Antara prosedur kerja majlis akad nikah itu ialah boleh dilaksanakan di tempat seperti premis swasta seperti dewan serbaguna, hotel dan rumah inap.

    “Selain itu, acara sama boleh juga diadakan di Pejabat Agama Islam di seluruh Perak dan Pejabat Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Ruju’ Orang Islam Negeri Perak.

    “Jumlah kehadiran majlis akad nikah tidak melebihi 50 peratus kapasiti keluasan premis tersebut.

    “Tempoh masa setiap majlis akad nikah tidak melebihi 1 jam 30 minit, sebarang penyediaan jamuan makan dalam majlis akad nikah tidak dibenarkan dan penyediaan makanan adalah secara bungkusan,” jelas JAIPk, hari ini.

    Surat pekeliling JAIPk turut memaklumkan, pematuhan sepenuhnya semua protokol kesihatan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) harus diambil perhatian termasuk pemeriksaan suhu badan dan mengimbas MySejahtera sebelum memasuki premis.

    Semua pihak yang terlibat dalam acara itu juga diingatkan untuk mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka sepanjang masa upacara pernikahan berlangsung dan kerap membasuh tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.

    Bagaimanapun, JAIPk turut meningatkan sebarang kehadiran dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), person under surveillance (PUS), individu dalam perintah kuarantin serta memiliki gejala adalah tidak dibenarkan.

  • PRN Melaka : Zahid tegaskan, BN tanding solo,  tiada kerjasama Muafakat Nasional

    PRN Melaka : Zahid tegaskan, BN tanding solo, tiada kerjasama Muafakat Nasional

    PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberi gambaran kerjasama dalam Muafakat Nasional (MN) berkemungkinan tidak dapat direalisasikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekiranya ia diadakan kelak.

    Perkara itu dimaklumkannya dalam sebuah program bual bicara bertajuk ‘Jawab, Saya Tanya’ bertajuk ‘PRU15: Membentuk Atau Membina Arus?’ pada Selasa malam.

    “Oleh kerana MN ini tidak pernah didaftarkan, maka saya tidak nampak ada cahaya terang untuk MN itu direalisasikan sebagaimana pilihan raya kecil yang pernah diadakan.

    “Biarlah UMNO bertanding dengan panji-panji Barisan Nasional (BN) secara solo, dan InsyaAllah rakyat memilih parti yang terbaik,” kata Ahmad Zahid.

    Tambah Ahmad Zahid, sebagai ahli politik, beliau tidak pernah kecewa meskipun dikhianati.

    “Saya tidak pernah kecewa sebagai seorang orang ahli politik tetapi kita harus tahu bahawa bila kita berkongsi, terutamanya berkongsi hidup, kita harus saling percaya mempercayai dan kita jangan khianat mengkhianati.

    “Cukuplah kalau pengkhianatan itu dilakukan sekali. Tetapi kalau telah berulang kali, bukan kepada UMNO tetapi kepada pelbagai pihak.

    “Saya fikir itu harus dinilai semula,” katanya lagi.

    Mengulas lanjut berhubung kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), jelas Presiden UMNO itu beliau menghormati keputusan dan ketetapan dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk memutuskan kerjasama dengan Bersatu.

    “Ketetapan telah dibuat dan saya sebagai Presiden menghormati bahawa di dalam PRU-15 nanti kita tidak akan bekerjasama dengan Bersatu.

    “Saya fikir itulah kehendak di kalangan ahli-ahli UMNO dan kepimpinan UMNO di seluruh negeri Melaka.

    “Saya harap mereka yang mendengar apa yang saya nyatakan ini, adalah ekoran daripada suara hati dan suara hati politik mereka,” katanya lagi.

    Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sebelum ini dibubarkan kerana Kerajaan Negeri Melaka hilang majoriti dan berdasarkan Perlembagaan Negeri Melaka, PRN perlu dilaksanakan dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran itu.

    Ia susulan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) – Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

  • Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    Vaksin dos ketiga, penggalak mula diberi di Sarawak

    JABATAN Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) memulakan pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin Covid-19 jenis Pfizer bermula hari ini di seluruh negeri, kata Timbalan Pengarahnya, Dr. Rosemawai Ariffin.

    Menurut beliau, pemberian itu dilakukan menerusi proses janji temu kepada golongan yang layak.

    “Suntikan dos ketiga akan diberikan kepada 11,900 individu disasarkan daripada golongan ‘immunocompromised’ atau mempunyai sistem imun (ketahanan badan) yang lemah akibat penyakit atau rawatan perubatan.

    “Pemberian dos ketiga ini boleh diberikan selang tempoh sekurang-kurangnya 28 hari selepas penerimaan dos kedua.

    “Dos ketiga vaksin Covid-19 adalah didefinisikan sebagai pemberian dos vaksin tambahan apabila tindak balas imun seseorang di peringkat awal berkemungkinan tidak mencukupi berikutan daripada pemberian awal vaksin secara berturut-turut (primary vaccine series),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Katanya, dos ketiga berfungsi untuk memberi perlindungan tambahan kepada golongan rentan yang mana sistem imun bermasalah menjadikan dua dos sahaja tidak mencukupi untuk merangsang sistem imun melawan jangkitan Covid-19.

    Sementara dos penggalak pula katanya, suntikan boleh diberikan hanya selepas enam bulan menerima dos kedua dan akan mengutamakan pemberian kepada warga emas berusia lebih 60 tahun seramai 80,300 serta petugas barisan hadapan perubatan seramai 30,340 orang.

    “Dos penggalak vaksin Covid-19 merupakan dos pemberian vaksin bagi seseorang yang pada awalnya mempunyai tindak balas imun yang cukup terhadap pemberian vaksin secara berturut-turut (Primary Vaccine Series) tetapi mungkin menjadi semakin berkurang dari semasa ke semasa.

    “Primary Vaccine Series didefinisikan sebagai rangkaian dos vaksin yang diberikan secara berturut-turut untuk mencapai tindak balas awal imun perlindungan dalam kalangan populasi sasaran untuk tempoh masa yang ditetapkan,” katanya.

  • Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

    Polis rampas 5.21 kg dadah bernilai RM492,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    BEBERAPA ketulan mampat heroin base seberat 5.21 kilogram bernilai hampir RM492,000 berjaya dirampas polis dalam serbuan dilakukan di beberapa lokasi di Sungai Petani, Kedah, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat, kejayaan itu merupakan hasil risikan dan serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang terlebih dulu menahan dua lelaki berumur 21 tahun kira-kira pukul 4.40 petang.

    Katanya, pemeriksaan dalam kereta tersebut menemukan heroin base dianggarkan seberat 3.97 kg serta serbuk kimia seberat kira-kira 26 kg.

    “Selepas itu tangkapan turut dibuat terhadap dua lelaki berusia 29 dan 33 tahun yang menaiki motosikal dan kereta jenis Perodua Myvi di lokasi sama.

    “Hasil tangkapan tersebut, pemeriksaan dijalankan di sebuah rumah di Taman Raja.

    Pihak kami kemudiannya menemukan ketulan mampat heroin base seberat kira-kira 2.24 kg di lokasi berkenaan,” katanya.

    Pihaknya dalam masa sama turut menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun selepas menahan kenderaan dinaikinya di depan sebuah rumah di Taman Ria Jaya.

    “Selain menahan suspek dan merampas dadah, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan wang tunai berjumlah RM74,800 bagi membantu siasatan.

    “Kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 18 September depan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

    Dalam pada itu beliau memaklumkan, sejumlah dadah bernilai lebih RM2 juta akan dibawa ke Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan untuk dilupuskan, esok.

    “Pelupusan ini akan dilaksanakan syarikat berdaftar dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) bagi memastikannya mengikut piawaian betul.

    “Antara jenis dadah yang akan dilupuskan adalah methamphetamine, eramin 5 dan ganja dengan kesemuanya melibatkan kes-kes antara 2014 hingga 2020 yang sudah pun dibicara dan dijatuhkan hukuman di mahkamah,” katanya.

  • Malaysia catat 7,950 kes baharu Covid-19 hari ini

    Malaysia catat 7,950 kes baharu Covid-19 hari ini

    MALAYSIA mencatatkan 7,950 kes baharu positif Covid-19 hari ini berbanding 7,276 kes semalam.

    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kes terkumpul positif Covid-19 adalah 2,361,529 kes.

  • Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu mengenai COVID-19

    Suri rumah didenda RM5,000 sebar berita palsu mengenai COVID-19

    SEORANG suri rumah didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di Kangar hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan menyebarkan berita palsu berkaitan penularan jangkitan COVID-19, April lepas.

    Nor Sakinah Razelan, 31, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet dan dia juga berdepan hukuman penjara selama lima bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

    Nor Sakinah didakwa menggunakan aplikasi status WhatsApp melalui nombor yang didaftarkan atas namanya, dengan niat untuk menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan menyebarkan berita tidak benar pada 10.31 pagi, di Lot 8664 Jalan Pauh, Kampung Belukar, Arau, 18 April lepas.

    Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No 2) 2021 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, tertuduh boleh didenda selanjutnya tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

    Pendakwaan yang dikendalikan Pengarah Pendakwaan negeri Mohd Nordin Ismail memohon supaya Nor Sakinah yang mempunyai tiga anak dikenakan hukuman setimpal di atas perbuatannya sebagai pengajaran kerana memuat naik berita yang tidak sahih dan benar mengenai penularan COVID-19.

    Peguam Mohd Hapiz Rajali yang mewakili Nor Sakinah merayu agar hukuman diringankan memandangkan tertuduh tidak bekerja manakala suaminya hanya seorang buruh selain menanggung perbelanjaan perubatan seorang anak lelakinya berusia tujuh tahun yang menghidap sakit buah pinggang. – BERNAMA