Category: Semasa

  • 2 bot tunda, tongkang ditahan tiada dokumen, insuran sah

    2 bot tunda, tongkang ditahan tiada dokumen, insuran sah

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menahan dua buah bot tunda beserta dua tongkang (barge) kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insuran petang semalam.

    Kedua-dua bot tunda serta barge itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia dalam Op Pertiwi pada jarak 0.3 batu nautika barat laut Sungai Pinang dan 1.1 batu nautika Pantai Bersih kira-kira pukul 4.30 hingga 5.45 petang.

    Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, bot tunda pertama serta barge dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang kesemuanya berumur antara 21 hingga 42 tahun.

    Sementara itu tambahnya, bot tunda kedua serta barge dikendalikan tujuh kru termasuk nakhoda terdiri daripada dua warga tempatan, dua warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia yang masing-masing berumur antara 19 hingga 40 tahun. 

    “Bot dan kesemua mereka ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen kapal serta insuran semasa pemeriksaan dilakukan. 

    Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot serta kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut. 

    “Pemeriksaan ke atas kru warga asing yang ditahan mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri dan permit kerja yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut beliau, kes itu akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 dan bot serta kesemua mereka ditahan untuk tindakan lanjut. 

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemilik kapal serta nakhoda sentiasa mematuhi peraturan di laut dan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melanggar undang-undang Persekutuan sedia ada.

    Tambahnya, orang ramai yang mempunyai aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang menerusi talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999. 

  • Langgar lampu merah kesalahan paling tinggi-JPJ Negeri Sembilan

    Langgar lampu merah kesalahan paling tinggi-JPJ Negeri Sembilan

    JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan mencatatkan 38 kes dalam Ops Merah dalam operasi yang dijalankan sejak 8 hingga 12 Oktober lalu.

    Menurut Pengarah JPJ Negeri Sembilan, Azrin Borhan, kesalahan langgar lampu merah adalah paling tinggi direkodkan sepanjang operasi itu melibatkan penunggang motosikal khidmat penghantaran barangan dan makanan (p-hailing).

    “Berdasarkan risikan dan aduan, kebanyakan penunggang motosikal p-hailing ini melanggar lampu isyarat merah dengan alasan nak kejar ‘trip’ tempahan pelanggan.

    “Malah kita dapati ada juga yang teruskan perjalanan ketika lampu isyarat kuning sedangkan kita perlu berjaga-jaga dan bersedia untuk berhenti,” katanya pada sidang akhbar selepas membuat advokasi kepada p-hailing di Nilai, semalam.

    Menurutnya, kesalahan lain yang dikesan ialah tidak mematuhi isyarat jalan yang lain dan kesalahan berkaitan pemakaian topi keledar.

    Beliau berkata, secara keseluruhannya sebanyak 560 kenderaan telah diperiksa sepanjang Ops Merah dengan pelbagai kesalahan lain termasuk kesalahan pelesenan pemandu sebanyak 17 kes, kesalahan teknikal (10) dan kesalahan pelesenan kenderaan (8).

    JPJ akan terus melaksanakan advokasi secara berterusan bagi memberi kesedaran kepada penunggang motosikal p-hailing, katanya.

    Sepanjang Januari hingga September lalu katanya, sebanyak 33 program advokasi telah dijalankan dengan turun padang ke lokasi utama penunggang motosikal p-hailing di Seremban dan Nilai secara bersemuka.

    “Tindakan penguatkuasaan merupakan langkah terakhir yang akan diambil bagi mendisiplinkan mereka yang melakukan kesalahan secara berterusan supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.

  • ‘Dine in’ belum lengkap divaksin, 6 dikompaun RM2,000

    ‘Dine in’ belum lengkap divaksin, 6 dikompaun RM2,000

    PADAH melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan ‘dine in’ di sebuah bar dan restoran meskipun belum lengkap divaksin, enam pelanggan di Georgetown, Pulau Pinang dikompaun masing-masing RM2,000.

    Turut dikenakan kompaun ketika pemeriksaan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPD TL) kira-kira pukul 10.50 malam menerusi Operasi Op Pemantauan dan Pematuhan itu ialah pemilik premis berkenaan sebanyak RM10,000.

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua yang dikompaun terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita masing-masing berusia  23 hingga 37 tahun.

    Kompaun dikenakan terhadap enam pelanggan yang melanggar SOP di sebuah bar dan restoran di Georgetown

    “Tindakan kompaun itu dilakukan mengikut Peraturan 16(1) Kawalan Pergerakan Penyakit Berjangkit dan hukuman di Bawah Peraturan 17(1) Peraturan sama dan Peraturan-Peraturan Penyakit Berjangkit berdasarkan nilai magnitud jadual kesalahan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sehubungan itu tambah Soffian, beliau menasihati orang ramai supaya terus mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan demi membantu memutuskan rantaian penularan pandemik Covid-19 di negara ini.

  • 11 pengakap mati lemas, dua kritikal semasa menyeberangi sungai

    11 pengakap mati lemas, dua kritikal semasa menyeberangi sungai

    SERAMAI 11 pelajar mati lemas manakala dua lagi berada dalam keadaan kritikal ketika menyeberangi sungai di Bandung, Indonesia, semalam.

    Ketika itu mereka terlibat dengan kerja-kerja membersihakan sungai berkenaan, lapor The Straits Asia.

    Kira-kira 150 anggota kumpulan pengakap berusia 13 hingga 15 tahun itu berjalan di sepanjang Sungai Cileuleur ketika kejadian tersebut.

    Difahamkan, seramai 21 pelajar cuba menyeberang sungai tersebut sebelum lemas, namun, 10 orang lagi selamat selepas penduduk tempatan yang berada berhampiran berjaya menyelamatkan mereka.

    “Dua pelajar berada dalam keadaan kritikal di hospital, sementara 11 orang ditemui mati,” kata Supriono – pegawai pasukan mencari dan menyelamat Bandung kepada AFP.

    10 pengakap maut semasa menyeberangi sungai manakala 10 lagi diselamatkan penduduk kampung

    Setakat ini, pihak berkuasa masih menyiasat isiden berkenaan dan berusaha untuk memastikan semua yang terlibat dalam kemalangan itu bertanggungjawab terhadapnya.

    Difahamkan, pelajar tersebut berjalan kaki dan membersihkan tebing sungai meskipun ada amaran daripada pihak berkuasa tempatan supaya tidak melakukan aktiviti tersebut.

    Untuk rekod, aktiviti di sungai untuk kanak-kanak dan remaja adalah dilarang terumanya semasa musim hujan yang biasanya bermula pada akhir November.

    Februari tahun lepas, seramai 10 pengakap maut selepas mereka dihanyutkan banjir kilat yang turut menyebabkan lebih 20 orang cedera.

  • Kerajaan belum buat keputusan wajibkan suntikan vaksin – PM

    Kerajaan belum buat keputusan wajibkan suntikan vaksin – PM

    KERAJAAN belum membuat keputusan untuk mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Beliau berkata bagaimanapun individu yang belum mengambil suntikan vaksin COVID-19, digalakkan berbuat demikian bagi menikmati pelbagai keistimewaan termasuk melancarkan urusan untuk pulang ke kampung halaman. 

    “Malah untuk urusan beribadah seperti mengerjakan Umrah juga diwajibkan oleh kerajaan Arab Saudi, saya yakin syarat yang sama akan diberi untuk kebenaran mengerjakan Haji yang dijangka bermula tahun depan. 

    “Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan arahan kepada kakitangan kerajaan untuk mengambil vaksin kalau tidak akan dikenakan tindakan.

    “Mindef (Kementerian Pertahanan)… telah mengeluarkan arahan iaitu siapa (anggota tentera) yang tidak mengambil vaksin dianggap melanggar arahan Mindef, jadi ini gambaran dia seperti wajiblah,” katanya ketika ditanya mengenai kemungkinan Malaysia akan mewajibkan pengambilan vaksin COVID-19.

    Perdana Menteri berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Perumahan Awam Seri Perak di Kuala Lumpur hari ini.

    Dalam pada itu Ismail Sabri berkata tindakan tegas wajar dikenakan terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan berita palsu.

    “Antivaksin ini mengeluarkan cerita-cerita yang tidak betul, fitnah, berita palsu dan sebagainya dan memang dalam negara kita ada banyak undang-undang yang boleh diambil tindakan untuk penyebaran berita palsu 

    “(Tindakan) bukan kerana mereka antivaksin, tetapi kerana berita yang mereka sebarkan adalah berita palsu, jadi kita boleh ambil tindakan dan kita setuju dengan apa yang KJ (Khairy Jamaluddin) cakap semalam,” katanya.

    Semalam, Khairy yang merupakan Menteri Kesihatan berkata kementeriannya telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

    Khairy menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau berharap, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

    “Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” kata Khairy.  -BERNAMA

  • Datuk, dua penjawat awam antara 83 dikompaun langgar SOP

    Datuk, dua penjawat awam antara 83 dikompaun langgar SOP

    SEORANG individu bergelar Datuk bersama dua penjawat awam antara 83 individu yang dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengunjungi pusat hiburan sekitar Bandaraya Johor Bahru semalam.

    Kesemua mereka dicekup dalam tiga serbuan yang dijalankan menerusi tiga serbuan di Johor Bahru dan Masai.

    Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, serbuan pertama dijalankan di kompleks Berjaya Waterfront, Stulang Laut pukul 1 pagi, 50 individu dikenakan kompaun beserta seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua penjawat awam.

    “Serbuan kedua melibatkan sebuah premis di Taman Desa Jaya, Masai dilakukan pukul 9.30 malam dengan seramai 17 individu dikompaun manakala serbuan ketiga pada pukul 11 malam di kawasan Southkey Mosaic, 16 individu dikompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan terhadap kesemua individu berkenaan adalah berjumlah RM357,000, katanya.

    Ayob Khan berkata, tiga penjaga premis berasingan itu dikenakan kompaun antara RM10,000 hingga RM25,000 manakala yang lain dikenakan kompaun antara RM2,000 hingga RM5,000.

    “Dalam tiga operasi berkenaan, polis turut menahan 29 individu kerana positif dadah; 13 wanita warganegara asing kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah; dua individu tidak mempunyai kad pengenalan diri dan tiga penjaga premis.

    “Kesemua yang ditahan dalam Op Noda (Pusat Hiburan) itu berusia antara 16 hingga 62 tahun,” ujarnya.

    Tambah beliau, kesemua individu disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98; Seksyen 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25n Peraturan Pendaftaran Negara.

    “Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan hiburan atau pelacuran boleh salurkan maklumat ke Balai Polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677,” jelasnya.

  • Budak 3 tahun lemas semasa bapa ambil air sembahyang

    Budak 3 tahun lemas semasa bapa ambil air sembahyang

    PERCUTIAN sebuah keluarga di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari rumah bot.

    Semasa kejadian pada jam 8.20 malam, kanak-kanak, Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman yang berusia tiga tahun sedang bercuti di kawasan peranginan itu bersama-sama ahli keluarganya.

    Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keluarga mangsa dilaporkan bertolak dari jeti Pengkalan Gawi ke Tasik Kenyir dengan menaiki rumah bot pada jam 3 petang.

    “Ketika bapa mangsa sedang mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Isyak, rakannya memaklumkan Muhammad Al-Fateh terjatuh dari rumah bot dan terus tenggelam.

    “Seorang kakitangan rumah bot bertindak terjun ke dalam air dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak ini namun mangsa tidak sedarkan diri lalu diberi bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Rohaimi, mangsa yang tinggal di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu dibawa ke jeti Pengkalan Gawi menggunakan bot laju namun disahkan meninggal dunia pada jam 10.48 malam.

    “Mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi tujuan bedah siasat. Saya menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

  • Lelaki Indonesia dipenjara lima bulan miliki kad pengenalan palsu

    Lelaki Indonesia dipenjara lima bulan miliki kad pengenalan palsu

    MAHKAMAH Majistret Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap seorang lelaki warga Indonesia atas kesalahan memiliki kad pengenalan palsu pada bulan ini.

    Astro AWANI melaporkan, tertuduh, Hermansyah Samijan, 52 tahun, mengaku bersalah apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.

    Mengikut pertuduhan, Hermansyah ditahan pada pukul 11.50 pagi di Kilang Ais Batu Perikanan Tawau, dekat Batu 3, Jalan Apas, Tawau pada 13 Oktober lalu lalu.

    Hasil pemeriksaan, tertuduh didapati memiliki kad pengenalan yang disyaki palsu atas nama Herman Shah Sawijan.

    Majistret menjatuhkan hukuman lima bulan penjara ke atas tertuduh dan mengarahkannya menjalani hukuman tersebut bermula Jumaat.

    Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Nurul Fariza Abdullah manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Aura, suasana Kampung Kesang Tua jadi pilihan Hihilyn sambung latihan

    Aura, suasana Kampung Kesang Tua jadi pilihan Hihilyn sambung latihan

    JAGUH angkat berat yang juga pemenang pingat emas Olimpik pertama Filipina Hidilyn Diaz, akan kembali menyambung latihannya di Kampung Kesang Tua, Jasin, bagi menghadapi kejohanan dunia di Uzbekistan, Disember depan.

    “Kami sekeluarga akan sambut beliau dan terus ke Jasin. Hidilyn telah membuat permohonan secara dalam talian kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk terus kuarantin di rumah.

    “Hidilyn memaklumkan kepada saya yang beliau rasa gembira pulang ke sini. Aura dan suasana kampung yang aman permai membuatkan beliau selesa, dan mahu terus menyambung latihan di tempat sama di rumah itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Beliau yang juga bapa angkat kepada atlet itu berkata garaj kereta yang diubah suai menjadi tempat latihan Hidilyn masih sama, tetapi dinaik taraf sedikit bagi keselesaan dan keselamatannya.

    Beliau berkata sebelum ini ada beberapa pihak yang menawarkan untuk memindahkan tempat latihan yang lebih selesa kepada Hidilyn, namun atlet wanita berusia 30 tahun itu menolak secara baik kerana menyifatkan garaj itu lebih sesuai dengannya.

    “Memang itu kehendaknya, beliau berkata pada saya, buat apa dia pergi tempat lain di situlah tempatnya berlatih dan menang pingat emas, kalau pindah tempat lain lebih baik dia pergi berlatih di Amerika Syarikat atau Bukit Jalil, banyak tempat beliau boleh pergi.

    “Tetapi mungkin kampung ini lebih sentimental dan dekat dengan dirinya ,yang menghabiskan masa berlatih di situ sejak setahun lepas,” katanya.

    Sebelum ini nama Kampung Kesang Tua menjadi tumpuan selepas kemenangan atlet berusia 30 tahun di Temasya Olimpik Tokyo baru-baru ini, selepas Hidilyn dikatakan terkandas dan menjalani latihan di Malaysia sejak Januari tahun lepas, berikutan sekatan pergerakan akibat penularan COVID-19.

    Kejayaaan wanita berasal dari Zamboanga City itu turut menjadi kebanggaan keluarga angkatnya di Kampung Kesang Tua, yang telah menghabiskan masa bersama atlet itu lebih setahun lalu selain berkesempatan menghantar Hidilyn dan pasukannya ke KLIA untuk berlepas ke temasya Olimpik Tokyo pada 18 Julai. – Bernama

  • PGA tahan lori bawa barang runcit seludup

    PGA tahan lori bawa barang runcit seludup

    CUBAAN sebuah lori membawa pelbagai barangan runcit seludup bernilai RM14,148 gagal selepas ditahan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di Lebuhraya Rantau Panjang-Pasir Mas, Rantau Panjang, Khamis lalu.

    Menurut Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi, pihaknya mengesan lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan semasa melakukan rondaan rutin sebelum melakukan serbuan pada jam 7 petang.

    Katanya, seorang pemandu lori berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan tersebut.

    “Selepas lori tersebut ditahan dan pemeriksaan dilakukan di bahagian belakang kenderaan tersebut menemui beberapa kotak barangan runcit yang diseludup masuk secara haram dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan oleh kerajaan.

    “Semasa ditahan pemandu lori gagal mengemukakan dokumen yang sah berkait dengan barang dibawa selepas diminta berbuat demikian.

    “Kesemua barangan rampasan dibawa ke Kompeni Taktikal (Komtak) PGA Rantau Panjang untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM54,148 dan kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983.