PERCUTIAN sebuah keluarga di Air Terjun Lasir, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu semalam berakhir tragedi apabila seorang kanak-kanak meninggal dunia akibat lemas selepas terjatuh dari rumah bot.

Semasa kejadian pada jam 8.20 malam, kanak-kanak, Muhammad Al Fateh Muhammad Khairul Aiman yang berusia tiga tahun sedang bercuti di kawasan peranginan itu bersama-sama ahli keluarganya.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, keluarga mangsa dilaporkan bertolak dari jeti Pengkalan Gawi ke Tasik Kenyir dengan menaiki rumah bot pada jam 3 petang.

“Ketika bapa mangsa sedang mengambil air sembahyang untuk menunaikan solat Isyak, rakannya memaklumkan Muhammad Al-Fateh terjatuh dari rumah bot dan terus tenggelam.

“Seorang kakitangan rumah bot bertindak terjun ke dalam air dan berjaya menyelamatkan kanak-kanak ini namun mangsa tidak sedarkan diri lalu diberi bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Rohaimi, mangsa yang tinggal di Kampung Seberang Takir, Kuala Terengganu dibawa ke jeti Pengkalan Gawi menggunakan bot laju namun disahkan meninggal dunia pada jam 10.48 malam.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Hulu Terengganu bagi tujuan bedah siasat. Saya menasihati ibu bapa supaya sentiasa memantau pergerakan anak-anak bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here