SEORANG individu bergelar Datuk bersama dua penjawat awam antara 83 individu yang dikompaun kerana melanggar Prosedur Operasi Standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengunjungi pusat hiburan sekitar Bandaraya Johor Bahru semalam.

Kesemua mereka dicekup dalam tiga serbuan yang dijalankan menerusi tiga serbuan di Johor Bahru dan Masai.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, serbuan pertama dijalankan di kompleks Berjaya Waterfront, Stulang Laut pukul 1 pagi, 50 individu dikenakan kompaun beserta seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan dua penjawat awam.

“Serbuan kedua melibatkan sebuah premis di Taman Desa Jaya, Masai dilakukan pukul 9.30 malam dengan seramai 17 individu dikompaun manakala serbuan ketiga pada pukul 11 malam di kawasan Southkey Mosaic, 16 individu dikompaun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nilai keseluruhan kompaun yang dikeluarkan terhadap kesemua individu berkenaan adalah berjumlah RM357,000, katanya.

Ayob Khan berkata, tiga penjaga premis berasingan itu dikenakan kompaun antara RM10,000 hingga RM25,000 manakala yang lain dikenakan kompaun antara RM2,000 hingga RM5,000.

“Dalam tiga operasi berkenaan, polis turut menahan 29 individu kerana positif dadah; 13 wanita warganegara asing kerana tidak mempunyai dokumen perjalanan sah; dua individu tidak mempunyai kad pengenalan diri dan tiga penjaga premis.

“Kesemua yang ditahan dalam Op Noda (Pusat Hiburan) itu berusia antara 16 hingga 62 tahun,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua individu disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Johor 4/98; Seksyen 269 Kanun Keseksaan; Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 25n Peraturan Pendaftaran Negara.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan hiburan atau pelacuran boleh salurkan maklumat ke Balai Polis berhampiran atau hubungi Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999 atau 07-2254677,” jelasnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here