Category: Semasa

  • Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

    Penunggang motosikal maut kemalangan tiga kenderaan

    SEORANG lelaki maut dipercayai dalam perjalanan mahu menghantar kunci di tempat kerjanya di Mahkamah Syariah Kuala Krai hari ini.

    Kejadian pada pukul 10.40 pagi itu melibatkan motosikal mangsa dan sebuah lagi motosikal serta sebuah kereta.

    Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Suzaimi Mohammad berkata, kejadian berlaku apabila motosikal ditunggang Nik Mat Yusof, 50, masuk ke laluan bertentangan di Jalan Sungai Sam-Dabong.

    “Kemudian berlaku pelanggaran pada bahagian depan. Dalam masa sama, sebuah lagi motosikal yang berada di belakang mangsa dipercayai gagal dikawal dan terlanggar kereta mangsa.

    “Mangsa maut manakala penunggang sebuah lagi motosikal dan seorang wanita berusia 25 tahun yang memandu kereta itu selamat, namun mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurutnya, pemandu kereta berkenaan didapati memakai gelang merah jambu kerana menjadi kontak rapat ibunya dalam kes Covid-19.

    Tambah beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Katanya, mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk bedah siasat.

  • Johan qari tilawah antarabangsa 2016, Wan Ainuddin Hilmi meninggal dunia

    Johan qari tilawah antarabangsa 2016, Wan Ainuddin Hilmi meninggal dunia

    JOHAN qari tilawah dan menghafaz al-Quran peringkat antarabangsa ke-58 pada 2016, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah meninggal dunia pada 1.26 tengah hari tadi.

    Adik Allahyarham Datuk Muhammad Abdullah berkata, arwah yang berusia 39 tahun menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Machang dan berkemungkinan disebabkan serangan jantung.

    “Ia kematian mengejut, sebelum ini arwah abang tidak sakit, mungkin disebabkan jantung. Arwah meninggalkan seorang isteri dan lima anak.

    “Jenazah akan disolatkan selepas Isyak di Masjid Muhammadi, Kota Bharu dan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Banggol di Kota Bharu selepas itu,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Sementara itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham menerusi hantaran Facebooknya hari ini.

    “Takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Wan Ainuddin Hilmi Abdullah yang kembali ke rahmatullah tengah hari tadi.

    “Pemergian Allahyarham suatu kehilangan besar dalam menyampaikan ilmu al-Quran. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat dan ditempatkan Allahyarham bersama para solihin. Al-Fatihah,” katanya.

    Pada 2018, kerajaan negeri Kelantan telah memberi sumbangan sebuah rumah kepada Allahyarham atas kejayaan, jasa dan sumbangannya dalam usaha memartabat al-Quran. – BERNAMA

  • Bayi bertali pusat ditinggalkan atas rumput

    Bayi bertali pusat ditinggalkan atas rumput

    SEORANG bayi perempuan ditinggalkan atas rumput di kawasan rumah kongsi Taman Ara Sendayan, Bandar Sri Sendayan, Seremban, hari ini.

    Bagaimanapun bayi berusia 36 hari itu diselamatkan orang ramai sebelum diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah, Mustafal Bakri Mohammad Yusof berkata, pihaknya kini mencari berusaha mengesan ibu kandung atau waris kepada bayi perempuan terbabit.

    Katanya, mengikut peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001, bayi itu diperintahkan diletakkan di bawah jagaan orang yang layak dan sesuai.

    “JKM juga menerima kebenaran mengikut Seksyen 15 Akta Kanak-kanak 2001 untuk melakukan siaran atau hebahan di akhbar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, JKM ingin mengesan waris kepada bayi berkenaan bagi tujuan siasatan serta tindakan lanjut.

    “Waris atau kenalan serta orang awam yang mengenali ibu kandung kepada bayi terbabit boleh menghubungi Pelindung Kanak-kanak, Emelia Kamarulzaman 06-6015798,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim dalam kenyataannya berkata, polis menerima maklumat berkenaan penemuan bayi terbabit pada pukul 11.52 pagi daripada seorang lelaki.

  • Samun: 4 individu termasuk 2 penguat kuasa ditahan

    Samun: 4 individu termasuk 2 penguat kuasa ditahan

    IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran menahan empat suspek termasuk dua daripadanya kakitangan agensi penguat kuasa selepas disyaki terlibat dalam kes samun berkumpulan Kampung Rampek, Beluran, Sandakan, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, semua suspek lelaki berusia 25 hingga 43 tahun itu ditahan dalam serbuan di Sandakan, hari ini.

    Jelasnya, semua mereka merupakan penduduk Sandakan dan dua anggota penguat kuasa berkenaan juga bertugas di daerah itu.

    “Tangkapan dibuat hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beluran. Polis turut merampas sebuah kenderaan yang digunakan mereka jenis Proton Preve, pelbagai telefon bimbit, gari serta wang tunai berjumlah RM5,000.

    “Semua suspek direman sehingga 22 Oktober ini dan sedang ditahan di lokap IPD Beluran,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, siasatan kes berkenaan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

  • Guru bukan Islam terima anugerah tokoh Maulidur Rasul Melaka

    Guru bukan Islam terima anugerah tokoh Maulidur Rasul Melaka

    GURU bimbingan dan kaunseling, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Durian Tunggal, Chan Chin Ho, dipilih Jawatankuasa Tokoh Maulidur Rasul Peringkat Melaka sebagai penerima Anugerah Tokoh Abdullah Uraiqith pada tahun ini.

    Pemilihan itu berdasarkan usahanya membimbing pelajar menghasilkan video berbentuk dakwah dan kerohanian

    Menurut Chin Ho, 41, sebagai guru kaunseling sudah pasti dia perlu prihatin dengan keadaan pelajar terutama mereka yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

    Selain itu katanya, menjadi perantaraan penyerahan peranti di bawah program cerdik kepada kira-kira 50 pelajar yang tidak berkemampuan agar mereka tidak tercicir mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

    “Terima kasih atas penghargaan ini oleh kerajaan negeri Melaka.

    “Anugerah ini memberikan semangat kepada saya untuk terus membantu pelajar terutama pelajar beragama Islam bagi mengikuti program-program anjuran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM),” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

    Sementara itu pengurus jenazah pesakit Covid-19 Hospital Melaka, Hasnul Hussien, 52, menzahirkan rasa terharu kerana diberikan penghargaan menerima Anugerah Abu Thalhah.

    Selama lebih 15 tahun menguruskan jenazah, dia mengakui menguruskan jenazah pesakit Covid-19 merupakan satu cabaran besar lebih-lebih lagi perlu memakai perlindungan diri (PPE) dalam bilik kecil dan bahang.

    “Bagi saya apa jua kerja dan tugas yang kita lakukan, buatlah seikhlas hati tanpa mengharapkan penghargaan dan sebagainya,” katanya.

    Sembilan individu menerima Anugerah Khas Tokoh Maulidur Rasul termasuk Pengerusi Kluster Penguatkuasaan dan Pendakwaan Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah Malaysia Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Rahimin Bani yang menerima Tokoh Muhamad Al-Fateh manakala bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Sharul Lalli Masduki menerima anugerah Tokoh Umar Abdul Aziz.

  • Fida Ibrahim beri amaran, kini sudah ‘berpisah’

    Fida Ibrahim beri amaran, kini sudah ‘berpisah’

    KERJA sudah dilakukan tetapi bayaran masih belum diterima. Itu juga nasib yang dialami Rafidah Ibrahim apabila mendedahkan perkara tersebut kepada umum menerusi Instagram miliknya baru-baru ini.

    Rafidah atau lebih mesra disapa dengan panggilan Fida memberikan amaran kepada syarikat tersebut agar tidak lagi menggunakan hasil kerja lamanya serta wajahnya lagi dalam mana-mana platform.

    “Hari ini saya mahu membuat pengumuman bahawasanya saya tidak lagi bersama dengan company lama iaitu Arisprop/Aris Burger. Terima kasih kepada semua yang sudi memberikan sokongan kepada saya selama ini, sepanjang saya dengan syarikat berkenaan.

    “Dengan itu, saya memohon pihak syarikat untuk tidak lagi menggunakan segala hasil kerja atau pun wajah saya di mana-mana medium sekalipun,” tulisnya lagi.

    Tangkap layar hantaran Rafidah Ibrahim di akaun Instagram miliknya.

    Jelasnya lagi dia terpaksa melakukan perkara tersebut memandangkan pihak syarikat masih menggunakan hasil kerja yang dilakukan meskipun sudah diberi amaran.

    Sambil menegaskan belum menerima sebarang bayaran, dia berharap pihak tersebut berasa malu sekiranya tidak mampu melangsaikan bayaran tersebut.

    “Untuk mengelakkan tindakan undang-undang diambil, saya tegaskan untuk menurunkan segala (bahan promosi) termasuklah video TVC yang dihasilkan oleh saya,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Apa Kono Eh Jang.

    Untuk rekod, Fida, 35 tahun baru sahaja bernikah dengan Shahzemir Shahzulkarib, 37, Mei lalu. Lelaki berkenaan juga merupakan pengurus kerjaya seninya sejak 10 tahun yang lalu.

  • Lelaki terperangkap, rentung dalam kebakaran

    Lelaki terperangkap, rentung dalam kebakaran

    SEORANG lelaki terperangkap sebelum rentung dalam kebakaran di rumahnya di Taman Seri Petaling, Kuala Lumpur, hari ini.

    Kejadian tersebut berlaku pada pukul 1 pagi dan mangsa gagal keluar dari rumah teres dua tingkat tersebut.

    Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat telah dikejarkan ke tempat kejadian dan mengambil masa 30 hingga 40 minit memadamkan kebakaran tersebut.

    “Siasatan di tempat kejadian telah menjumpai mayat seorang lelaki yang telah rentung di dalam rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Anuar berkata, punca kejadian masih dalam siasatan dan saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan.

    “Kes diklasifikasikan sebagai laporan kebakaran dan mati mengejut. Kes disiasat oleh Ketua Polis Balai Sri Petaling, Inspektor Nik Faidrul Nik Fauzi,” katanya.

    Pihak polis mengalu-alukan orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu tampil untk memberi keterangan.

    Maklumat lain berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222.

  • Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Lelaki maut diserang sakit jantung ketika daki gunung

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG lelaki ditemukan sudah meninggal dunia ketika mendaki Gunung Lambak, Kluang, hari ini.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Norhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 12.25 tengah hari.

    Susulan itu katanya, seramai 11 anggota dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.

    “Setibanya di lokasi kejadian, bomba dapati terdapat seorang lelaki berusia 52 tidak sedarkan diri.

    “Mangsa, Teo Chee Kiong@Tiu Chee Kiong, dikatakan ditemui orang awam yang lalu di kawasan berkenaan.

    Mangsa ditemukan orang awam dalam keadaan tidak sedarkan di kawasan berkenaan.

    “Mangsa kemudiannya telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Norhakim berkata, ketika ditemui mangsa hanya berseorangan dan dipercayai dalam perjalanan untuk turun ke bawah.

    Pasukan penyelamat kemudiannya menurunkan mangsa dari puncak gunung menggunakan alat pengusung dengan bantuan pihak polis dan KKM.

    “Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak terbabit untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan pada pukul 4.05 petang,” katanya.

  • Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI

    Maritim halau bot cuba seludup masuk 40 PATI

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) telah memintas dan menghalau cubaan menyeludup masuk 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) oleh sebuah bot dari Indonesia sekitar jam 4 pagi ini.

    Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Mohd Rosli Kassim berkata, Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor telah menerima maklumat risikan berkaitan pergerakan sebuah bot telah keluar dari Tanjung Balai, Asahan, Indonesia sekitar jam 9 malam dengan disyaki membawa lebih kurang 40 orang PATI warga Indonesia dan dipercayai menuju ke perairan Selangor.

    Beliau berkata, kira-kira jam 12.20 malam, radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim yang berpangkalan di Area Command Centre (ACC) Klang telah mengesan bot sasaran curiga tersebut sedang bergerak dari perairan Permatang Sedepa menuju ke perairan Morib.

    “Berikutan itu, bot Penggalang 10 yang dalam tugasan Ops Benteng Sektor 5 telah digerakkan bagi pemintasan sasaran dengan dibantu bot PR4 Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, sekitar jam 2 pagi ini, Penggalang 10 dan PR4 tiba di lokasi dan telah bertembung dengan bot yang disyaki membawa PATI, lalu mengarahkan untuk berhenti.

    Namun, katanya, tekong bot itu bertindak agresif memecut laju dan melakukan pergerakan berbahaya yang bertujuan meloloskan dari ditahan serta berusaha merapat ke kawasan pantai.

    “Penggalang 10 dan PR4 terus menghalang tindakan bot berkenaan dengan menghimpit dan membayangi secara kejar buru sehingga ke laut lepas bagi menghindar daripada menuju dan mendarat di pantai,” katanya.

    Mohd Rosli berkata, dalam tempoh kejar buru hampir satu jam 30 minit itu, bot tersebut masih berdegil untuk berhenti serta bergerak secara agresif dan berbahaya.

    Katanya, Penggalang 10 dan PR 4 seterusnya melaksanakan tugas pengusiran dengan membayangi bot berkenaan keluar dari perairan negara sepenuhnya sekitar jam 4 pagi, seterusnya dipantau rapat oleh radar SWASLA di ACC Klang. – Bernama

  • Suami isteri dikompaun tidak lengkap vaksin tapi rentas negeri

    Suami isteri dikompaun tidak lengkap vaksin tapi rentas negeri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    TINDAKAN sepasang suami isteri dari Perak yang merentas negeri memasuki Kota Tinggi biarpun masih tidak lengkap vaksin membawa padah apabila dikompaun semalam.

    Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, pasangan itu dikesan ketika operasi pematuhan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) Jalan Kulai-Kota Tinggi. 

    Katanya, bagi perbuatan itu, pasangan suami isteri terbabit diberikan kompaun kerana merentas negeri tanpa vaksin yang lengkap. 

    “Siasatan mendapati mereka dari negeri Perak ke Kulai melalui SJR (Inas) Jalan Kulai-Kota Tinggi untuk melakukan rentas negeri.

    “Nilai kompaun dikenakan adalah sebanyak RM2,000 setiap seorang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Katanya, kompaun dikeluarkan adalah di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

    Jelasnya, orang ramai dinasihatkan agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan meskipun kerajaan telah memberikan kebenaran bagi mereka yang sudah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri.

    Tambahnya, masyarakat juga dinasihat agar tidak bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran perjalanan rentas negeri yang diberikan.