Category: Semasa

  • Rogol gadis bawah umur, hukuman penjara 12 tahun kekal

    Rogol gadis bawah umur, hukuman penjara 12 tahun kekal

    SEORANG bekas pemandu lori kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kerana merogol anak jirannya, sehingga remaja berumur 13 tahun itu mengandung dan cuba membunuh diri.

    Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan di Putrajaya diketuai Datuk Suraya Othman membenarkan rayuan lelaki berusia 60 tahun itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Feb 2020, yang menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan ke atasnya.

    Hakim Suraya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Seri Mariana Yahya, mengembalikan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Sepang terhadap lelaki itu.

    Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam menggunakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan ketika menaikkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kepada penjara 25 tahun dan 10 sebatan, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

    Hakim Suraya dalam penghakimannya berkata hukuman maksimum bagi kesalahan merogol gadis bawah umur di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan adalah penjara 20 tahun, tetapi hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun.

    “Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi dan mengembalikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen bermula dari tarikh tangkap pada 11 Jun 2017,” katanya.

    Hakim Suraya turut menasihati lelaki itu selaku perayu supaya tidak mengulangi kesalahan sama selepas keluar dari penjara.

    “Jangan buat lagi…awak seorang bapa kepada enam anak, kenapa awak mahu merogol remaja bawah umur? Apabila sudah keluar nanti, jalani kehidupan dengan baik,” kata hakim itu.

    Lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Puchong, Sepang di sini pada 11 malam, pertengahan bulan Mac dan April 2017, mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama.

    Berdasarkan fakta kes, pada pertengahan Mac 2017, perayu telah membawa mangsa ke rumah perayu, kononnya untuk menyambut hari jadi anak perayu dan apabila tiba di rumah perayu, mangsa mendapati tiada orang di rumah berkenaan.

    Perayu kemudian merogol mangsa dan selepas kejadian itu, perayu mengugut akan menularkan gambar kemaluan mangsa di Facebook, sekiranya remaja itu menceritakan apa yang berlaku kepada ibunya.

    Remaja itu kemudian telah disahkan hamil dan memberitahu perkara itu kepada ibunya, dan laporan polis dibuat serta mangsa dirujuk kepada pakar psikiatri yang mencadangkan supaya janin mangsa digugurkan selepas mangsa menunjukkan simptom depresi dan cuba membunuh diri.

    Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap janin tersebut mendapati bahawa perayu merupakan bapa kandung kepada janin itu.

    Peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden. – BERNAMA

  • 56 pelanggan, 2 pemilik premis hiburan dikompaun RM130,000

    56 pelanggan, 2 pemilik premis hiburan dikompaun RM130,000

    SERAMAI 56 pelanggan dan dua pemilik premis hiburan berusia antara 23 hingga 51 tahun dikompaun sebanyak RM130,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar.

    Dua premis yang beroperasi di Taman Miharja dan Jalan Loke Yew , di sini diserbu Selasa lepas masing-masing pada pukul 10 dan 11.30 malam, katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

    Katanya, pelbagai peralatan hiburan dan 441 botol arak pelbagai jenama dirampas dalam serbuan di dua premis terbabit.

    Beliau berkata, pemilik premis ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan 1992 dan Seksyen 76 Akta Eksais 1976. – BERNAMA

  • Pulau Pinang tidak akan bayar apa-apa kepada Kedah

    Pulau Pinang tidak akan bayar apa-apa kepada Kedah

    KERAJAAN Negeri Pulau Pinang tidak akan membayar apa-apa kepada Kerajaan Negeri Kedah.

    Malah, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Persekutuan juga tidak perlu melayan apa-apa tuntutan yang luar daripada perjanjian dan persetujuan sedia ada.

    Kenyataan ringkas Kon Yeow itu rentetan pendirian terbaharu Kerajaan Negeri Kedah yang mahu menuntut bayaran sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan Persekutuan sebagai royalti pajakan tanah Pulau Pinang dan Seberang Perai untuk dimasukkan dalam pembentangan Bajet 2022 yang akan dibuat esok.

    Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, nilai berkenaan adalah sesuai dan munasabah berbanding bayaran royalti yang diterima negeri itu sebanyak RM10,000 setahun sejak 1786 serta bayaran khas RM10 juta yang dibuat Putrajaya sejak 2018.

    Bahkan menurut Muhammad Sanusi, tuntutan bayaran RM100 juta setahun itu disifatkan sebagai satu nilai yang kecil bagi pihak kerajaan Persekutuan jika dibandingkan dengan pendapatan yang dijana negeri Pulau Pinang.

    Tambahnya, asas kepada tuntutan terbabit adalah disebabkan tanah Pulau Pinang dipajak dari Kedah sejak 1786 dengan nilai royalti tahunan sebanyak 10,000 Dollar Sepanyol.

    Bagaimanapun, bayaran itu kemudian dibuat dalam mata wang ringgit Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan namun dikekalkan dengan jumlah itu.

  • Peguam Negara teliti cadangan pindaan 2 akta Parlimen

    Peguam Negara teliti cadangan pindaan 2 akta Parlimen

    PEGUAM Negara sedang meneliti cadangan pindaan dan pemerkasaan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952, serta mengembalikan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 yang dimansuhkan pada 1992.

    Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, kertas cadangan berkenaan dijangka dikembalikan kepada Jawatankuasa Parlimen, yang dipengerusi kedua-dua Yang Dipertua Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada penghujung November ini, dalam usaha merealisasikan transformasi Parlimen.

    “Jika mereka tidak dapat mengisi itu (tempoh masa dan hasil penelitian), Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, perlu memberi kepada saya sebabnya.

    “Kenapa tidak, sebab kedua-dua ini adalah ‘regular’, bukan sesuatu yang diluar jangka, yang satu (Akta Perkhidmatan Parlimen 1963) nak hidup balik, yang satu lagi (Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952) hanya dua pindaan sahaja,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

    Beliau memberi contoh, satu pindaan untuk Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 adalah meningkatkan denda daripada RM1,000 kepada RM20,000 bagi mereka yang memperkecil atau mempersenda Parlimen serta ahlinya, manakala satu lagi pindaan melibatkan Kod Etika Ahli Parlimen.

    Pada masa sama, Rais menjangkakan perkara itu dapat diselesaikan sebelum dibawa dalam bentuk rang undang-undang baharu pada mesyuarat kedua Dewan Negara, Disember ini.

    Pada 14 Okt, Rais dilapor menyatakan mahu Dewan Negara memperkukuhkan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 dan menghidupkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963. – BERNAMA

  • Tekong 17 tahun ditahan bawa pemancing tanpa lesen sah

    Tekong 17 tahun ditahan bawa pemancing tanpa lesen sah

    SEORANG tekong bot berusia 17 tahun ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang selepas dikesan membawa penumpang tanpa lesen yang sah petang semalam.

    Pengarahnya, Kapten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, tekong itu ditahan bersama sembilan penumpang termasuk kanak-kanak berusia lingkungan lapan hingga 64 tahun.

    Menurut beliau, kesemua mereka ditahan di kedudukan 0.3 kilometer dari timur Batu Uban kira-kira pukul 5.40 petang semalam.

    “Tekong bot itu didapati membawa penumpang tanpa lesen yang sah dan pemeriksaan juga mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Abd. Razak, tekong tersebut dalam perjalanan membawa penumpang untuk aktiviti memancing, namun gagal mengemukakan lesen bot serta kebenaran membawa penumpang semasa pemeriksaan dilakukan.

    Katanya, bot dan semua yang ditahan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban dan dirujuk ke ibu pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

    Jelasnya, kes itu akan disiasat mengikut Seksyen 474 (1) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa lesen bot yang sah dan jika didapati bersalah boleh didenda maksimun RM10,000.

    Dalam pada itu, beliau memberi amaran kepada semua pemilik dan tekong bot supaya sentiasa memastikan segala prosedur dan peraturan dipatuhi mengikut undang-undang di laut yang sedia ada.

    “Penumpang juga harus peka sekiranya ingin menggunakan pengangkutan laut dengan memastikan bot yang dinaiki memiliki lesen dan berdaftar dengan pihak berkuasa supaya tahap keselamatan mereka lebih terjamin sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.

    Tambahnya, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan boleh menghubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 042626146 atau talian kecemasan MERS 999.

  • Bekas Hakim, Timbalan Pendakwa Raya, Peguam bebas tuduhan terima rasuah

    Bekas Hakim, Timbalan Pendakwa Raya, Peguam bebas tuduhan terima rasuah

    MAHKAMAH Sesyen di Shah Alam hari ini melepas dan membebaskan tiga pengamal undang-undang termasuk seorang bekas hakim atas pertuduhan menerima rasuah wang tunai RM17,500, dua tahun lepas.

    Hakim Rihaida Rafie membebaskan Azmil Muntapha Abas, 47, bekas hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu; Khairul Azhwa Yusri Mohamad, 34, bekas Timbalan Pendakwa Raya (TPR) di mahkamah sama dan seorang peguam Noor Amirul Nazreen Anas, 33, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas ketiga-tiga tertuduh di akhir kes pendakwaan.

    Rihaida berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan elemen utama pertuduhan iaitu kesemua tertuduh bersetuju menerima suapan bagi diri mereka wang tunai RM17,500 daripada Wong Chiew Hoong pada tarikh, masa dan tempat yang dinyatakan dalam pertuduhan.

    “Mahkamah mendapati tiada sebarang perbincangan atau komunikasi antara tertuduh pertama, kedua atau  ketiga (berhubung rasuah) malah pada peringkat akhir kes, saksi-saksi tidak dapat menyatakan wang tersebut dipersetujui sebagai upah untuk tertuduh ketiga (Azmil Muntapha) menjatuhkan hukuman denda (dalam kes pendatang asing),” katanya.

    Beliau berkata tiada keterangan yang dikemukakan menunjukkan Khairul Azhwa Yusri dan Azmil Muntapha mengetahui kewujudan wang tersebut.

    Menurut hakim itu  pendakwaan juga gagal membuktikan Azmil Muntapha menerima suapan sebagai upah baginya selaku Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu ketika itu untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja kepada tujuh orang pendatang asing.

    “Bagi tujuan penerimaan wang sebagai upah untuk tertuduh ketiga, langsung tidak pernah dinyatakan mana-mana saksi sepanjang kes pendakwaan.

    “Keterangan saksi pendakwaan juga bercanggah antara satu sama lain termasuk saksi utama iaitu SP26 di mana mahkamah mendapati siasatan pegawai penyiasat adalah lemah dan tidak menyeluruh,” katanya.

    Rihaida berkata pihak pendakwaan hanya berjaya membuktikan elemen pertama pertuduhan di mana Khairul Azhwa Yusri dan Azmil Muntapha merupakan penjawat awam yang masing-masing berkhidmat di Mahkamah Kuala Kubu Bharu pada ketika itu.

    Mahkamah sebelum ini mendengar keterangan 28 saksi pendakwaan pada perbicaraan kes itu.

    Ketiga-tiga mereka didakwa secara rasuah menerima suapan wang itu daripada Wong, 42, sebagai upah kepada Azmil Muntapha untuk menjatuhkan hukuman denda sahaja ke atas tujuh pendatang asing yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63.

    Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, antara 9.30 pagi hingga 2.45 petang, 17 Julai 2019.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009  yang boleh dihukum di bawah subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

  • Anggota bomba tidak boleh cuti jika banjir kritikal

    Anggota bomba tidak boleh cuti jika banjir kritikal

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 12,500 orang anggota bomba di 324 balai seluruh negara perlu bekerja dan tidak boleh mengambil cuti sepanjang musim tengkujuh tahun ini sekiranya situasi banjir menjadi kritikal.

    Namun, jika keadaan tidak begitu mendesak, kira-kira 20 peratus keanggotaan dibenarkan untuk bercuti dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mendapatkan khidmat anggota di negeri lain untuk membantu.

    Ketua Pengarah Bomba, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, langkah itu bergantung kepada tahap kritikal yang akan dilalui di kawasan yang berisiko banjir seperti di beberapa buah negeri termasuk di Pantai Timur.

    “Kalau keadaan terkawal hanya 20 peratus sahaja dibenarkan untuk bercuti selain kita akan mengatur gerak bantuan JBPM negeri yang tidak terjejas banjir seperti di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan untuk membantu.

    “Kita akan lihat indikator keadaan banjir pada ketika itu. Jika keadaannya terlalu teruk, kita terpaksa bekukan cuti keseluruhan anggota di kawasan yang terjejas malah yang sedang bercuti akan dipanggil bekerja.

    “Negeri yang tidak terkesan akan membantu di kawasan berisiko tinggi supaya tenaga kerja dan logistik mencukupi. Kita juga akan mendapatkan khidmat bantuan Bomba Komuniti dan Sukarela bagi turut sama membantu,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun 2020 di sebuah hotel di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis.

    Sementara itu, Mohammad Hamdan berkata, bomba turut bersedia untuk memindahkan pesakit serta keperluan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan hospital di kawasan berisiko tinggi.

    Katanya, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam soal pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalankan operasi menyelamat dan menempatkan mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

    “Keadaan yang dihadapi ketika ini sangat mencabar kerana berdepan bencana dalam bencana (pandemik Covid-19). Kita kena pastikan mangsa banjir diasingkan sekiranya didapati positif Covid-19.

    “SOP dalam penugasan dioptimakan apabila anggota akan dibekalkan dengan penggunaan kelengkapan perlindungan diri (PPE). Kita tidak mahu wujud kluster baharu disebabkan penugasan operasi yang dijalankan,” ujarnya.

    Dalam pada itu, JBPM akan memastikan balu kepada Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh yang meninggal dunia ketika operasi menyelamat di Sungai Putat, Melaka mendapat pembelaan sewajarnya atas sumbangan kepada agensi penyelamat itu.

    Kata Mohammad Hamdan, pihaknya telah menghantar surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon pertimbangan kenaikan pangkat kepada Mohd. Diya yang dirasakan wajar untuk meringankan beban keluarga mangsa memandangkan Allahyarham meninggalkan empat orang anak.

    Selain itu, katanya, kenaikan pangkat juga perlu bagi mengiktiraf jasa dan pengorbanan Allahyarham yang mati lemas dibawa arus deras dalam kejadian pada 20 Oktober lalu itu.

    “JBPM berharap kerajaan dapat pertimbangkan dan meluluskan kenaikan pangkat ini. Kita juga akan salurkan bantuan sewajarnya kepada keluarga dan empat orang anak Allahyarham,” katanya.

    Ujar beliau, nama Allahyarham juga telah diabadikan di Tugu Peringatan Fallen Heroes di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) Wilayah Tengah, Kuala Kubu, Selangor, pada Selasa lalu.

  • ‘Datuk Seri Panglima’ palsu didakwa tiga pertuduhan

    ‘Datuk Seri Panglima’ palsu didakwa tiga pertuduhan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DUA pertuduhan menyamar dengan gelaran Datuk Seri Panglima dan satu pertuduhan menipu dikenakan terhadap seorang lelaki di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di Johor Bahru hari ini atas perbuatannya pada tahun lalu dan Januari tahun ini.

    Tertuduh, Feroz Musa, 47, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah dan minta dibicarakan ke atas tiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Majistret Zuhainie Zull Kafli.

    Ketika di Mahkamah Sesyen, lelaki yang bekerja sendiri itu berdepan dua pertuduhan mengakui diri sebagai pemegang sah anugerah Datuk Seri Panglima masing-masing pada pukul 3.12 petang, 23 Jun 2020 di Larkin Perdana dan pada pukul 3.20 pagi, 8 Januari lalu di Jalan Padi Ria 2, Bandar Baru Uda.

    Dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Fasal 4(1) Enakmen Lambang, Gelaran dan Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Johor 2017.

    Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih tiga atau kedua-duanya.

    Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Feroz didakwa menggunakan gelaran berkenaan untuk memperdaya seorang wanita berusia 45 tahun sehingga memasukkan RM11,600 ke dalam akaun tertuduh antara 24 Disember 2020 hingga 5 Januari tahun ini di Maybank Bandar Baru Uda.

    Atas pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

    Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Aqilah Ahmad Fuad dan Nur Aina Syakira Muhammad Syafiq.

    Tertuduh yang pernah berkhidmat sebagai Pengaturcara Sistem Pertahanan Udara itu ketika merayu pengurangan jumlah jaminan memaklumkan kepada mahkamah bahawa dia menanggung ibu bapa dan tiga anak.

    Feroz juga mendakwa dia merupakan individu yang mempunyai penyakit kecelaruan personaliti.

    “Saya mempunyai ‘split personality disorder’ yang disahkan Bahagian Perubatan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Saya terkena radiasi daripada radar ketika bertugas. Perkara lain adalah rahsia kerajaan yang saya tidak boleh dedahkan,” katanya.

    Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap pertuduhan di Mahkamah Sesyen, manakala Zuhainie menetapkan jaminan RM3,000 bagi pertuduhan di Mahkamah Majistret.

    Kedua-dua mahkamah itu turut menetapkan tarikh 14 November ini untuk sebutan semula kes.

  • Siapa calon Ketua Menteri Melaka jika UMNO menang?

    Siapa calon Ketua Menteri Melaka jika UMNO menang?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PILIHAN Raya Negeri (PRN) Melaka sudah ditetapkan pada 20 November ini dengan seramai 495,196 orang layak mengundi berdasarkan senarai pengundi yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu.

    Pelbagai teka-teki dan pertanyaan orang ramai juga telah terjawab terutama soal kerjasama dua parti utama iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di bawah Perikatan Nasional (PN) dan UMNO yang terus bernaung dengan Barisan Nasional (BN).

    Kenyataan beberapa pemimpin utama sudah tentu memperlihatkan pertandingan dua penjuru menentang Pakatan Harapan (PH) tidak mungkin akan berlaku dalam sesi pengundian kali ke-15 rakyat Melaka kelak walaupun mereka sebenarnya harap perkara itu direalisasikan.

    Bukan tiga, malah boleh jadi sampai ke empat, lima penjuru akan berlaku dalam PRN nanti termasuk kemungkinan calon-calon bebas yang akan menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat di negeri paling kecil dalam bahagian Selatan tanah air.

    Maka, sudah tentu kini tumpuan kepada siapa calon di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang mahu dipertaruhkan PN, BN dan PH serta parti-parti lain yang mengesahkan untuk bertanding.

    Di sebalik isu calon yang dikatakan sedang dimuktamadkan kesemua parti sebelum proses penamaan diadakan kurang dua minggu dari sekarang, rakyat negeri ini tertanya-tanya siapa pula yang akan jadi Ketua Menteri Melaka selepas ini.

    Kata mereka mampukah penyandang sekarang, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang menang dengan majoriti 627 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di DUN Lendu akan sekali lagi mengangkat sumpah jawatan itu atau ‘terpaksa’ beri laluan.

    Beri laluan di sini ada tiga tafsiran iaitu pertamanya beliau tidak dapat pertahankan kerusi dimenanginya dahulu atau faktor kedua kerana parti diwakilinya tidak mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan negeri seperti terjadi dalam PRU-14.

    Tetapi andai kata kedua-dua tafsiran tersebut berjaya dilepasi tanpa masalah, terdapat satu lagi tafsiran yang menarik perhatian ramai sebenarnya ketika ini iaitu perlukah beliau beri laluan kepada pemimpin yang lebih tinggi hierarkinya dalam parti jika mereka bertanding dan menang.

    Harus diingat, Sulaiman ketika mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 ialah Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Melaka, ‘rezeki terpijak’ itu memandangkan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi bukan dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika UMNO merampas kembali tampuk pemerintahan daripada PH tahun lepas. Ketika ini Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka ialah Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh manakala Timbalan Pengerusi ialah Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

    Amalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri menjadi Ketua Menteri atau Menteri Besar sudah berdekad dipraktikan parti itu sebelum ini, melainkan UMNO Melaka tiada masalah untuk meneruskan anjakan paradigma itu selepas ini.

    Tetapi bolehkah perkara itu diteruskan sekiranya UMNO memperoleh majoriti untuk mentadbir Melaka selepas 20 November ini atau pun mengapa tidak Sulaiman diangkat menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang baru memandangkan beliau pun sudah berpengalaman memimpin sebuah kerajaan negeri.

    Tidak ada salahnya pemimpin berkorban demi rakyat seperti dilaung-laungkan sebelum takut-takut mereka pula yang terkorban di tangan pengundi nanti kalau tersilap langkah kerana ‘dipangkah’.

  • Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

    Negara BIMP-EAGA perlu segera buka sempadan

    NEGARA anggota Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) harus meneroka segala peluang untuk memulihkan kembali nilai rantaian rentas sempadan, kebanyakannya terputus sejak penutupan sempadan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap pada Sidang Kemuncak BIMP-EAGA Ke-14 pada Khamis berkata, Malaysia sudah berusaha melaksanakannya kerana menganggap BIMP-EAGA sebagai platform penting bagi membolehkan pembangunan serantau yang lebih seimbang dan inklusif.

    “Bagi mencerminkan komitmen ini, kerjasama sub-serantau di bawah BIMP-EAGA diarus perdanakan serta diutamakan menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025) yang dilancarkan baru-baru ini,” katanya.

    Sejajar dengan pelan berkenaan, Ismail Sabri berkata, kerjasama di bawah BIMP-EAGA akan menyasarkan peningkatan aktiviti rentas sempadan dan mengukuhkan nilai rangkaian.

    Kerjasama ini akan turut memfokuskan pewujudan pekan dan bandar yang selesa, menaik taraf prasarana akses serta rangkaian dan meningkatkan kerjasama serta penyelarasan antara pemegang taruh.

    Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Kerajaan Persekutuan Malaysia akan terus mempercepat pembangunan di Labuan, Sabah dan Sarawak.

    “Pelbagai langkah akan terus diambil bagi menaik taraf prasarana akses dan ketersambungan dengan mempercepat pelaksanaan Projek Prasarana Utama di BIMP-EAGA.

    “Ini termasuk Lebuhraya Pan Borneo, pekan di sempadan, kemudahan kastam, imigresen, kuarantin serta keselamatan,” katanya.

    Dalam usaha untuk BIMP-EAGA pemulihan selepas pandemik yang berdaya tahan dan mampan, Ismail Sabri menegaskan bahawa negara peserta mesti menetapkan strategi baharu dan berani, menerusi pendekatan menyeluruh di negara masing-masing sambil mengekalkan kerjasama serantau.

    Merujuk aspek pelancongan sebagai contoh, beliau berkata, dalam memulihkan industri yang teruk terjejas itu, negara anggota seharusnya meneroka kemungkinan menggunakan pendekatan standard yang membolehkan individu sudah divaksin bergerak bebas dan selamat di sempadan dengan tempoh kuarantin minima atau berdepan proses kelulusan rumit.

    “Sebagai permulaan, ini boleh dilaksanakan di lokasi perintis terpilih,” katanya.

    Mengenai inisiatif hijau, Ismail Sabri berkata, Malaysia akan bekerjasama rapat dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) dan Local Governments for Sustainability (ICLEI) dalam membangunkan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAPs).

    Perdana Menteri berkata, Malaysia akan membangunkan sekurang-kurangnya dua GCAPs di bawah RMK12 untuk bandar anggota BIMP-EAGA Malaysia sebagai sumbangan ke arah mempercepat pelaksanaan inisiatif bandar hijau kawasan pertumbuhan itu, sejajar dengan komitmen Malaysia menjadi bandar neutral karbon secepat-cepatnya menjelang 2050.

    Mengenai BIMP-EAGA dan Tabung Kerjasama Korea Selatan (BKCF), Ismail Sabri berkata, beliau yakin ia akan memberi sumbangan bermakna dengan meningkatkan kerjasama dalam ketersambungan maritim; dagangan dan pelaburan; pelancongan; pembangunan sumber manusia; dan keselamatan maritim serta alam sekitar.

    Bagi meningkatkan lagi kerjasama BIMP-EAGA dengan Korea Selatan, beliau turut berharap Kerangka Kerja Kerjasama BIMP-EAGA-Korea Selatan dan Pelan Tindakannya, akan segera dapat dimuktamadkan.

    Dipengerusikan oleh Indonesia, BIMP-EAGA dihadiri negara anggota serta ADB dan Pusat Fasilitasi BIMP-EAGA. Ia diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-38 dan Ke-39 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang bermula pada Selasa, dipengerusikan Brunei. – BERNAMA