Category: Semasa

  • 57,635 peladang dapat manfaat daripada Peladang-i

    57,635 peladang dapat manfaat daripada Peladang-i

    Oleh RIZQI ZABIDI

    LEMBAGA Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyambut baik langkah kerajaan untuk memberi perlindungan takaful kepada semua ahli Pertubuhan Peladang Kebangsaan (PPK) seluruh negara di bawah Skim Perlindungan Takaful Kad Pintar Keluarga Peladang (Peladang-i) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta seperti diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022 semalam.

    Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, langkah tersebut dijangka akan turut memanfaatkan seramai 57,635 peladang yang mengusahakan sawah seluas 100,658 hektar dalam pentadbiran 27 PPK MADA.

    “Kad Peladang-i ini mempunyai gabungan ciri-ciri tiga dalam satu menerusi kad debit Co-Brand Agrobank.

    “Kami menyambut baik inisiatif berkenaan. Kad itu juga akan dijadikan sebagai kad identiti berkonsepkan transaksi perbankan moden yang turut dilengkapi manfaat perlindungan takaful hingga RM5,000, sekali gus memberi manfaat tambahan kepada peladang di kawasan MADA,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Selain itu Ahmad Tarmizi berkata, pengumuman pemberian subsidi dan insentif bagi industri pertanian dan perikanan yang diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, diyakini turut membantu pesawah untuk mengurangkan kos operasi ladang.

    “Antara yang akan membantu adalah peruntukan RM1.5 bilion bagi subsidi benih, baja, harga dan pengeluaran padi termasuk subsidi padi huma sebanyak RM40 juta,” katanya.

    Tambahnya, pembentangan Bajet 2022 membuktikan keprihatinan kerajaan ‘Keluarga Malaysia’ dalam mentransformasikan sektor pertanian supaya menjadi sektor yang lebih moden dan dinamik.

    “Langkah ini bakal membantu negara menjadi lebih kompetitif sebagai pengeluar utama makanan sekali gus menjadikan sektor pertanian sebagai salah satu jentera pertumbuhan ekonomi negara,” katanya. – SB

  • Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

    Bajet 2022:Komitmen kerajaan bantu semua yang terjejas-Muhyiddin

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BAJET 2022 adalah satu bukti jelas yang menunjukkan komitmen kerajaan untuk memastikan kesinambungan konsep Prihatin Rakyat dalam menyalurkan bantuan terus kepada golongan yang terkesan.

    Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pihak tidak akan tertinggal sama ada individu mahupun perniagaan dalam semangat kebersamaan Keluarga Malaysia.

    “Saya percaya bajet yang telah dibentangkan ini akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan yang diumumkan sampai kepada sasaran, lebih-lebih lagi kepada semua pihak dan sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

    “Ini amat penting dalam memastikan kejayaan tahun 2022 sebagai tahun pemulihan untuk Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika hadir Bagi membentangkan bajet 2022 di Parlimen, semalam. GAMBAR: Jabatan Penerangan

    Beliau yakin, bajet itu akan terus memperkasa usaha-usaha pemulihan negara di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang dijalankan dengan berpaksikan tiga strategi utama iaitu memperkukuh pemulihan, membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

    Bajet itu katanya, akan terus menyokong pemulihan negara melalui dasar fiskal yang mengembang dan dirangka berdasarkan keutamaan untuk memulihkan negara daripada kesan jangka panjang krisis pandemik terhadap sistem kesihatan awam serta struktur ekonomi.

    “Ini adalah cerminan tekad kerajaan untuk mengembalikan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya yang juga bekas Perdana Menteri.

    Bajet 2022

    Muhyiddin berkata, peruntukan kedua terbesar yang diberikan kepada Kementerian Kesihatan amat tepat bagi memacu pemulihan negara ke fasa endemik.

    Justeru belia berharap, penekanan pada sektor kesihatan bukan sahaja mampu menampung fasa endemik tetapi juga memperkukuh sistem kesihatan negara untuk menghadapi cabaran pandemik lain pada masa depan termasuk daripada segi kapasiti hospital, fasiliti dan kepakaran.

    Peruntukan paling besar sebanyak RM52.6 bilion kepada Kementerian Pendidikan pula katanya, menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap aspek pembangunan modal insan termasuk penyediaan fasiliti dan akses pembelajaran yang masih menjadi masalah utama bagi murid di luar bandar.

    “Saya berharap dana yang diperuntukkan misalnya untuk membaiki sekolah daif dapat disalurkan ke sekolah yang benar-benar memerlukan, yang belum pernah mendapat bantuan kerajaan.

    “Saya menyeru semua rakyat Malaysia dapat bersatu padu dalam memastikan usaha pemulihan negara berjalan lancar dan kita semua dapat kembali merancakkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat demi mencapai aspirasi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030,” katanya.

  • Warga emas maut digilis lori, dilanggar lari

    Warga emas maut digilis lori, dilanggar lari

    SEORANG warga emas maut dalam keadaan mengerikan apabila kepalanya digilis lori selepas terlibat kemalangan di Kilometer 35.5 Jalan Klang-Banting-Port Dickson, Kuala Langat, semalam.

    Semasa kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, warga emas lelaki berusia 70 tahun itu menunggang motosikal jenis Yamaha Y10SS2 dalam perjalanan dari arah Banting menghala ke rumahnya di Kelanang.

    Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Salleh berkata, semasa tiba di tempat kejadian, mangsa dipercayai melanggar pembahagi jalan segi tiga selekoh (arah Sungai Lang) lalu jatuh di lorong sebelah kiri Jalan Banting menghala ke Morib.

    “Mangsa kemudian digilis di bahagian kepala oleh lori. Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    “Menurut saksi yang melihat kemalangan itu, mangsa melanggar pembahagi jalan yang berada di kiri jalan sebelum terjatuh di permukaan jalan di lorong kiri kemudian digilis lori berkenaan.

    “Saksi bagaimanapun tidak sempat mencatat nombor pendaftaran kenderaan terbabit kerana selepas kejadian ia tidak berhenti dan hanya meneruskan perjalanan. Ini merupakan kemalangan langgar lari,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

    Ahmad Ridhwan berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Banting untuk tujuan bedah siasat yang akan dijalankan hari ini selepas mendapat keputusan Ujian PCR Covid-19.

    Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat, Inspektor Fatin Husna Khairuzzaman di talian (017-3012621 atau 03-31872222).

  • Tidak serik, ‘Minah Saleh’ degil, buat hal lagi

    Tidak serik, ‘Minah Saleh’ degil, buat hal lagi

    TINDAKAN seorang ‘minah saleh’ yang baru-baru ini tular menimbulkan kekecohan cuba memasuki sebuah butik di Suria KLCC tanpa memakai pelitup muka sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila mengulangi insiden sama.

    Insiden itu kali ini berjaya dirakam seorang pengguna Twitter dan video yang berdurasi 20 saat itu menunjukkan pertengkaran antara wanita warga asing berkenaan dengan pihak pengawal apabila cuba memasuki pusat beli-belah Bangsar Shopping Centre (BSC) tanpa memakai pelitup muka.

    Tindakan wanita berkenaan yang dilihat mengulangi perkara sama mengundang kecaman netizen malah ada yang meminta agar dia kembali pulang ke negara asalnya.

    Sebelum ini, tindakan wanita warga asing itu turut mendapat perhatian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang turut tidak bersetuju dengan tindakan wanita terbabit.

    Mengambil pepatah Inggeris, ‘Bila di Rome, lakukan seperti orang Roman’, Khairy meminta setiap individu untuk sentiasa mengenakan pelitup muka tanpa mengira perbezaan peraturan di tempat atau negara lain.

    Dalam pada itu, sebahagian besar warganet memuji tindakan tegas pasukan pengawal berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan.

    Sebelum ini, wanita warga asing itu mendakwa individu yang memakai pelitup muka sebagai komunis selain meminta keistimewaan sebagai individu yang berkulit putih.

  • Bayi gagal diselamatkan, rentung dalam kebakaran

    Bayi gagal diselamatkan, rentung dalam kebakaran

    SEORANG bayi lelaki rentung dalam kebakaran di rumah mereka Jalan Dua, Pusat Bandar Sandakan, Sandakan, malam tadi.

    Bayi berkenaan yang dikenali seabgai Adam berusia kira-kira satu tahun tidak dapat diselamatkan dalam kejadian pada pukul 11.05 malam.

    Difahamkan, rumah yang disewa itu dihuni kira-kira 20 penghuni termasuk keluarga bayi berkenaan.

    Ketika kejadian, ibu bapa bayi berkenaan tidak berada rumah dan mangsa dikatakan dijaga oleh adik-beradiknya yang lain.

    Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jam 11.09 malam.

    Menurutnya, sejurus itu 18 anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian menggunakan dua jentera penyelamat.

    “Sebaik tiba di lokasi kejadian, api sedang marak di tingkat tiga bangunan enam tingkat berkenaan.

    “Pada pukul 12.24 tengah malam, api berjaya dikawal dan pemeriksaan lanjut menemui bayi rentung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jimmy berkata, mayat bayi itu kemudiannya diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke bilik mayat Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan untuk tindakan lanjut.

    Tambahnya, punca kejadian serta anggaran nilai kerugian masih dalam siasatan.

  • Bomba bantu pendaki wanita cedera turun dari Gunung Kinabalu

    Bomba bantu pendaki wanita cedera turun dari Gunung Kinabalu

    SEORANG wanita berusia 47 tahun cedera di bahagian kaki semasa mendaki Gunung Kinabalu di Ranau pada pukul 9 pagi semalam.

    Wanita berkenaan dilaporkan terjatuh sehingga menyebabkan kaki kiri bengkak dan mangsa sukar untuk bergerak.

    Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima laporan itu sebelum enam anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kejadian dan tiba pukul 10.10 pagi.

    Menurut jurucakap PGo berkenaan, semasa kejadian angin kencang dan cuaca sejuk namun tidak menghalang Pasukan Bomba Bantuan (PBB) Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) untuk menyelamatkan wanita itu menuruni Gunung Kinabalu.

    “Mangsa dibawa turun dari Sayat-Sayat Hut ke Timpohon Gate. Mangsa diusung menggunakan peralatan pengusung oleh PBB MOSAR dan malim gunung,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

    Menurutnya, mangsa selamat tiba di Timpohon Gate kira-kira pukul 7 malam.

    Mangsa katanya, diserahkan kepada Unit EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau untuk rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Ranau.

  • Kedah hargai sumbangan peruntukan khas untuk negeri kurang maju

    Kedah hargai sumbangan peruntukan khas untuk negeri kurang maju

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Langkah kerajaan Persekutuan memberi peruntukan khas berjumlah RM20 juta, khusus untuk negeri-negeri kurang maju termasuk Kedah, amat dihargai.

    Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, kerajaan pimpinannya dalam masa sama turut berterima kasih terhadap peruntukan projek mencegah hakisan di Pantai Merdeka serta projek eksplorasi pelancongan sejarah di Kompleks Arkeologi Sungai Batu.

    Katanya, perhatian diberikan kerajaan Persekutuan khususnya Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)terhadap aset warisan sejarah yang amat bernilai di Sungai Batu, diyakini akan menjadi tarikan baharu buat peminat dan komuniti penyelidik dari seluruh dunia.

    “Selain itu, peruntukan yang tidak secara langsung disalurkan terutamanya untuk projek menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar seperti jalan kampung dan kemudahan telekomunikasi di bawah program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), turut memberi manfaat besar kepada rakyat negeri ini.

    “Demikian juga bantuan pemulihan ekonomi yang disalurkan kepada komuniti usahawan kecil, pekebun kecil, penoreh getah dan lain-lain kumpulan berpendapatan rendah. Langkah itu diharap akan dapat membantu mereka yang terlibat untuk segera keluar dari belenggu kemelesetan pasca pandemik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

    Selain itu, Muhammad Sanusi turut menzahirkan penghargaan terhadap langkah kerajaan Persekutuan untuk memberi peruntukan ‘one off’ kepada guru takmir dan pegawai-pegawai masjid.

    Sementara itu Muhammad Sanusi berkata, walaupun peruntukan khas diberi kepada Kedah jauh lebih kurang berbanding jumlah yang dimohon, kerajaan negeri yakin pintu rundingan akan terus dibuka oleh kerajaan Persekutuan untuk Kedah mendapat peruntukan khas lebih tinggi.

    “Ini bukan semata-mata kerana Kedah sebuah negeri miskin tetapi turut bersabit dengan pengorbanan dilakukan negeri ini demi kepentingan negara.

    “Sebagai penyumbang utama keperluan beras negara dengan jumlah 43 peratus, kami terpaksa mengekalkan tanah sawah di Kedah yang jika ditukar kepada status komersial dan industri, akan memberi pulangan berlipat kali ganda kepada kerajaan negeri,” katanya.

    Selain itu katanya, Kedah dalam masa sama terpaksa mengekalkan kawasan hutan simpan seluas 341,000 hektar yang sebahagian besarnya berada di Ulu Muda kerana kerana lokasi itu menjadi kawasan tadahan sumber air tidak hanya untuk kegunaan rakyat Kedah, malah rakyat Pulau Pinang.

    “Atas pengorbanan itu, saya berharap untuk dapat terus berunding dengan kerajaan Persekutuan dari masa ke masa walaupun tidak dinyatakan jumlah peruntukan khas itu tidak dinyatakan dalam belanjawan kali ini,” katanya.

  • Bajet 2022 tumpu pemulihan negara pascapandemik – Menteri

    Bajet 2022 tumpu pemulihan negara pascapandemik – Menteri

    BAJET 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini dilihat menitikberatkan agenda sosial, pendidikan dan keselamatan rakyat dalam usaha pemulihan negara melibatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia pascapandemik.

    Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin berkata Kementerian Pendidikan (KPM) menerima peruntukan terbesar dalam Bajet 2022 iaitu sebanyak RM52.6 bilion dan akan memanfaatkannya demi memastikan ekosistem pendidikan negara terus diperkasa.

    “Terima kasih YAB Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), Menteri Kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) dan kerajaan secara keseluruhannya di atas keprihatinan kepada pembangunan generasi pewaris negara. KPM komited melakukan yang terbaik,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook, hari ini.

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata kementerian berkenaan diberikan peruntukan mengurus dan pembangunan berimbang untuk dimanfaatkan Keluarga Malaysia.

    “Pasukan KPKT akan meneruskan komitmen untuk menyampai kepada Keluarga Malaysia dan memperkasa agenda perumahan serta kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

    Bajet 2022 dibentangkan Tengku Zafrul yang menekankan tiga fokus utama iaitu pemulihan ekonomi, membina semula daya ketahanan negara dan memangkin pembaharuan.

  • Perbuatan lucah dirakam sebelum mangsa diugut

    Perbuatan lucah dirakam sebelum mangsa diugut

    SEBANYAK 35 laporan diterima polis Klang melibatkan pemerasan video bogel dari awal tahun ini hingga kini.

    Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao memberitahu, daripada jumlah itu 18 tangkapan sudah dilakukan.

    “Kesemua laporan kini disiasat di bawah Seksyen 384 dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

    “Modus operandi kes ini ialah menerusi perkenalan di laman sesawang dengan individu wanita dan suspek kemudiannya akan meminta mangsa menghubunginya menerusi video dalam talian.

    “Mangsa kemudiannya akan diminta melakukan perbuatan lucah yang akan dirakam oleh suspek. Mangsa tanpa disedari akan diugut untuk mendapatkan wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terkini katanya, seorang lelaki membuat laporan polis apabila diugut video serta gambar bogelnya akan disebarkan selepas mengenali seorang wanita di laman sosial.

    Tambah beliau, mangsa sebelum ini berkenalan dengan wanita menerusi satu aplikasi pada Jumaat lalu.

    Menurutnya, mangsa itu bagaimanapun dihubungi seorang lelaki yang tidak dikenali pada hari sama dan mengugut memberikan sejumlah wang untuk memadam video dan gambar bogel itu.

    “Orang ramai diingatkan agar tidak terpedaya dengan taktik sebegini yang mana akan memberikan kesan kepada mangsa itu sendiri,” katanya.

  • Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan RM700, pesara RM350

    Penjawat awam terima Bantuan Khas Kewangan RM700, pesara RM350

    SERAMAI 1.3 juta penjawat awam Gred 56 dan ke bawah akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM700 sebagai menghargai jasa dan pengorbanan mereka menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat terutamanya semasa negara mengharungi tempoh mencabar ini.

    Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata manakala seramai satu juta pesara kerajaan pula akan menerima Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM350.

    “… (kedua-dua bantuan ini melibatkan) dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.3 bilion. Diharapkan semoga bantuan ini dapat menjadi pemangkin kepada penjawat awam untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat di sini hari ini.

    Perkara itu adalah antara yang cadangan di bawah strategi keempat iaitu “Mendokong Penyampaian Perkhidmatan Awam” Bajet 2022 yang bertemakan “Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera”.

    Beliau berkata kerajaan turut akan melaksanakan kemudahan membenarkan penebusan awal GCR sehingga 50 peratus atau 80 hari dengan mengambil kira keperluan penjawat awam seperti menunaikan haji atau membiayai pengajian tinggi anak mereka.

    Katanya, kerajaan juga bercadang untuk menambah baik beberapa kemudahan anggota perkhidmatan awam antara lain memperuntukkan RM365 juta untuk menyelenggara kuarters dan bangunan guna sama di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Hartanah.

    Antara tambah baik lain adalah meningkatkan Kadar Bayaran Insentif Pengawasan Banduan daripada RM150 kepada RM200 sebulan yang bakal memanfaatkan lebih 14,000 pegawai penjara, selain meningkatkan Elaun Penugasan Sukarelawan Simpanan Polis daripada RM7.80 kepada RM9.80 sejam untuk pegawai dan RM6 kepada RM8 sejam untuk anggota.

    Kerajaan juga bercadang memberikan bayaran insentif sebanyak RM200 kepada Pembantu Pembangunan Masyarakat Gred S19 dan Pembantu Perawatan Kebajikan Gred U11 dan U14 yang bertugas di 24 institusi kebajikan yang terlibat secara langsung dalam perkhidmatan menjaga dan merawat penghuni warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental. – BERNAMA