Category: Semasa

  • 11 ditahan dalam serbuan di premis jalankan seks songsang

    11 ditahan dalam serbuan di premis jalankan seks songsang

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SERAMAI 12 individu ditahan termasuk tujuh warga asing dalam serbuan di sebuah premis yang menjalankan perkhidmatan seks songsang luar tabii di Taman Pelangi, Johor Bahru, kelmarin.

    Serbuan pukul 9.30 malam itu dilakukan cawangan Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan bersama-sama anggota dari Balai Polis Taman Pelangi IPD Johor Bahru Selatan.

    Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan yang sama, seorang lelaki berusia 30 tahun mengaku bekerja sebagai penjaga premis turut ditahan.

    “Lelaki itu gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah. Hasil pemeriksaan lanjut di dalam premis itu, polis menahan dua lelaki tempatan dan tujuh lelaki warganegara asing berumur dalam lingkungan 20 tahun hingga 40 tahun yang bekerja sebagai tukang urut. 

    “Turut ditahan dalam serbuan tersebut dua lelaki tempatan berumur 25 tahun dan 32 tahun yang disyaki sebagai pelanggan untuk mendapatkan khidmat urut dan seks,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Menurut Raub, pelbagai peralatan yang dipercayai bagi kegunaan khidmat urut dan seks dirampas antaranya dua tuala, botol minyak urut (2), kondom pelbagai jenama (6), tiub pelincir (1), kertas mempunyai catitan aktiviti pekerjaan (1), gambar iklan lelaki (4) dan wang tunai sebanyak RM139.

    “Semakan rekod pergerakan keluar dan masuk ke Malaysia terhadap tujuh warganegara asing yang ditahan mendapati salah satu daripadanya tidak mempunyai pasport perjalanan yang sah. 

    “Kesemua yang ditahan dan dikompaun, penjaga premis sebanyak RM10,000, manakala pelanggan dikompaun sebanyak RM 2,000 setiap seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 4,” katanya.

    Kes disiasat dibawah Seksyen 3 (1) Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (UUKTPP), Seksyen 372 B Kanun Keseksaan dan 55B Akta Imigresen dan 6 (1) (c) Akta Imigresen.

  • Penagih dadah mati dilanggar lori lepas kelar leher ibu

    Penagih dadah mati dilanggar lori lepas kelar leher ibu

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ANAK jenis apakah yang tergamak mengelar leher ibunya selain memotong cuping telinga wanita yang menanggung segala kesusahan sepanjang mengandungkannya selama sembilan bulan 10 hari?

    Seorang warga emas maut akibat dikelar di leher oleh anak kandungnya sendiri yang merupakan seorang penagih dadah serta pesakit mental di rumah mereka di Kampung Batu 5, Sik, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mayat mangsa, Sarah Jon, 70 ditemukan dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar di leher selain kecederaan di tangan serta telinga.

    Menurutnya, suspek yang berusia 31 tahun pula bertindak membunuh diri tidak lama selepas kejadian itu berlaku.

    Anggota forensik polis memeriksa lokasi kejadian seorang wanita maut selepas leher dikelar anaknya sendiri di Kampung Batu 5, Sik, Kedah, hari ini.

    “Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 6.30 hingga 7 pagi. Hasil temu bual bersama ahli keluarga dan jiran, kedua-dua mereka dipercayai telah tinggal berdua di rumah tersebut sejak 10 tahun lalu.

    “Kedua-duanya dikatakan memang selalu bergaduh terutamanya melibatkan soal wang. Selain mayat mangsa, kami turut menemukan peralatan menghisap dadah selain baki dadah jenis syabu berhampiran pintu masuk utama rumah tersebut” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada tanda-tanda rumah itu dipecah masuk.

    “Terdapat kesan kelar sepanjang kira-kira 12.7 sentimeter di leher mangsa. Suspek dipercayai menggunakan pisau tumpul dalam kejadian itu bagaimanapun senjata tersebut masih belum ditemukan,” katanya.

    Mengulas mengenai kematian suspek, Adzli berkata lelaki itu yang merupakan pesakit mental dan memiliki enam rekod jenayah lampau dipercayai menunggang motosikal sejauh satu kilometer dari rumah tersebut sebelum berhenti di tepi jalan.

    “Apabila sebuah lori tangki lalu di situ, dia tiba-tiba masuk ke tengah jalan mengakibatkan sebahagian badannya hancur akibat dilanggar,” katanya.

    Tambahnya setakat ini kes masih disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

    “Kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk dibedah siasat,” katanya.

  • Wujudkan mekanisme khas struktur semula bantuan kebajikan

    Wujudkan mekanisme khas struktur semula bantuan kebajikan

    TAN Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu-Pagoh) mencadangkan agar satu mekanisme diwujudkan untuk menstruktur semula semua jenis bantuan termasuk bagi menangani kesan krisis pandemik COVID-19 daripada pelbagai pihak.

    Bekas Perdana Menteri itu mengakui bahawa rakyat Malaysia memang terkenal dengan sifat pemurah dan COVID-19 menyerlahkan lagi nilai murni tersebut apabila ramai individu yang tampil untuk menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

    Dalam pada itu, katanya, agensi-agensi yang berkaitan seperti Pusat Zakat, Baitulmal, syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC), swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) turut tampil membantu.

    Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya diwujudkan sistem pengurusan bantuan yang bersifat end-to-end process dan automatik yang mana bantuan boleh terus dimasukkan ke akaun penerima bantuan dalam kadar segera sekiranya berlaku bencana, musibah, kehilangan kerja atau jatuh di bawah kategori miskin/miskin tegar.

    “Mewujudkan dasar graduasi bantuan atau Exit Policy bagi membolehkan penerima dibantu dalam jangka masa tertentu sehingga mereka mampu berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan dalam tempoh yang agak lama,” katanya lagi ketika membahaskan Bajet 2022 dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.

    Berhubung transformasi kesihatan awam, Muhyiddin berkata, selepas melalui episod getir pandemik COVID-19 lebih setahun lamanya, tidak boleh dinafikan pentingnya untuk menambah baik sistem kesihatan dan penjagaan kesihatan di negara ini.

    Semasa menjadi Perdana Menteri, beliau telah mencadangkan Pelan Induk Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia (National Healthcare System Reform Blueprint) dibangunkan.

    “Ini merupakan iktibar daripada apa yang telah kita lalui yang memperlihatkan kelemahan sistem kesihatan kebangsaan, dari segi logistik, fasiliti malah tahap kesiapsiagaan para profesional dan petugas kesihatan.

    “Sistem kesihatan kita hampir lumpuh impak daripada pandemik yang di luar dugaan kita,” jelasnya.

    Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersetuju bahawa sejumlah peruntukan yang besar perlu untuk menambah baik fasiliti kesihatan dan menjaga kebajikan para petugas kesihatan di dalam negara.

    Namun pada masa yang sama, katanya, kita juga perlu agresif meneroka potensi industri farmaseutikal untuk meningkatkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan ubat-ubatan berasaskan kekayaan sumber asli tempatan termasuk herba.

    “Langkah ini akan dapat mengurangkan kebergantungan ubat-ubatan import dan meningkatkan akses ubat-ubatan untuk semua,” katanya.

    Muhyiddin menambah, galakan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang melibatkan institusi tempatan seperti Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga perlu dipertingkatkan.

    “Kerajaan wajar memperuntukkan sejumlah dana yang mencukupi bagi membiayai intervensi kesihatan terhadap penyakit jarang jumpa (rare diseases) termasuk pembiayaan ubat-ubatan orphan medicines,” ujarnya.

    Di bawah pelan induk kesihatan itu, kata beliau, program khusus pembangunan vaksin melalui Institut Genom dan Vaksin Malaysia mesti diwujudkan bagi meningkatkan kesiapsiagaan kesihatan awam negara dalam menghadapi sebarang ancaman pandemik pada masa akan datang.

    Muhyiddin memberitahu, sistem penjagaan kesihatan juga perlu memberi tumpuan kepada aspek penjagaan kesihatan mental untuk mewujudkan sistem sokongan yang kukuh kepada rakyat terutamanya kumpulan yang menghadapi masalah tekanan kerja yang serius seperti frontliners iaitu petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan serta guru.

    Dalam perkembangan berkaitan, beliau mencadangkan agar Program Khas (Catch up) peringkat nasional diperkenalkan khusus bagi membantu pelajar di sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang tercicir sepanjang tempoh pandemik sama ada secara hybrid atau bersemuka mengikut kesesuaian pihak sekolah, universiti, guru dan pelajar.

    “Di bawah Catch-up Programme, pihak sekolah perlu mengenal pasti pelajar yang tertinggal untuk diberi tumpuan mengikuti kelas intensif bagi menggilap semula pembelajaran mereka dan memupuk semangat untuk mencatat keputusan yang baik dalam pelajaran.

    “Untuk menjayakan program ini, pihak guru dan sekolah perlu diberikan sokongan seperti penyediaan kemudahan peranti, gajet dan internet serta sokongan moral yang kukuh untuk menangani masalah pelajar yang ketinggalan,” katanya.

    Berhubung jaminan peluang pekerjaan, Muhyiddin berharap kerajaan dapat memberi penekanan terhadap bidang-bidang kemahiran baharu dalam usaha melahirkan pekerja berkemahiran tinggi terutama yang berteraskan transformasi digital.

    Dalam hal ini, katanya, penglibatan agensi seperti HRD Corp dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) perlu ditingkatkan selain penyediaan latihan reskilling dan upskilling yang komprehensif.

    “Inisiatif ini perlu dilaksanakan dengan penuh komitmen agar ia dapat memberi impak positif terutamanya bagi kumpulan yang paling terkesan seperti belia, siswazah menganggur dan pekerja yang hilang punca pendapatan sepanjang pandemik. Mereka ini mesti dibantu,” jelasnya.

    Bagi merancakkan semula ekonomi negara pasca pandemik COVID-19, beliau berkata, kerajaan hendaklah memberi fokus untuk menarik lebih banyak pelaburan baharu berteknologi tinggi dan teknologi hijau untuk jangka masa pendek dan panjang.

    “Untuk itu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bersama-sama kementerian lain yang berkaitan perlu menggiatkan misi pelaburan ke luar negara di samping meningkatkan kerjasama perdagangan serantau dan global,” jelasnya.

  • Felda di Negeri Sembilan jadi ‘port’ penagihan dadah – Polis

    Felda di Negeri Sembilan jadi ‘port’ penagihan dadah – Polis

    JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mengenal pasti kawasan Felda menjadi antara sarang aktiviti penyalahgunaan dadah di Negeri Sembilan yang menyumbang 30 peratus daripada keseluruhan tangkapan berkaitan dadah di negeri itu pada tahun ini.

    Ketua JSJN Negeri Sembilan, Superintendan Mohd. Faisal Mohd. Noor berkata, pengedar dadah menjadikan kawasan Felda yang berada di pedalaman sebagai tempat untuk mereka mengedar dadah.

    “Lagipun di kawasan Felda banyak laluan tikus yang memudahkan mereka mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

    “Sebab itulah tumpuan kita sekarang adalah di kawasan Felda dan JSJN Negeri Sembilan turut melancarkan operasi jihad dadah sepanjang tahun ini yang mana sebanyak empat serbuan dilakukan melibatkan daerah Seremban, Tampin, Jelebu dan Jempol,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Pelupusan Barang Kes Dadah 2021 di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan, Seremban, hari ini.

    Menurutnya, daripada operasi dilakukan seramai 162 individu telah ditahan iaitu 14 adalah pengedar, memiliki dadah (28), penagih (21) manakala dikenakan waran tangkap (82).

    Selain itu katanya, berdasarkan statistik, seramai 4,334 individu telah ditangkap bagi tempoh Januari hingga Oktober membabitkan pengedar seramai 1,298, memiliki dadah (734) dan penagih (2,303).

    Katanya, seramai 80 individu pula ditangkap mengikut Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 dan 238 individu mengikut Seksyen 39 C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh sama.

    “Jumlah anggaran keseluruhan nilai rampasan dadah adalah RM2.64 juta dan nilai sitaan aset-aset sebanyak RM5.5 juta.

    Mengulas berkenaan pelupusan dadah, beliau berkata, dadah pelbagai jenis dan peralatan memproses dadah bernilai RM23.5 juta akan dilupuskan di Pusat Kualiti Alam, di sini.

    “Pelupusan barang kes dadah ini adalah yang sudah selesai perbicaraan dan masih tersimpan di stor membabitkan 1,469 kertas siasatan bagi tahun 2020 dan 2021,” katanya.

  • Wartawan hamil, suami maut dalam serangan bom kereta

    Wartawan hamil, suami maut dalam serangan bom kereta

    KEJAM, hajat seorang wartawan wanita untuk melahirkan anak di hospital tidak kesampaian apabila dia bersama-sama suaminya maut dalam satu serangan bom kereta yang berlaku di Yemen.

    Wartawan wanita itu dan suaminya yang juga seorang wartawan maut dalam serangan bom yang disasarkan kereta yang dinaikinya mereka, pada Selasa.

    Menurut sumber keselamatan kerajaan Yemen, peranti letupan yang dipasang pada kenderaan wartawan yang bernama Mahmud al-Atmi itu meletup ketika dia membawa isterinya, Rasha Abdallah ke hospital untuk bersalin.

    Rasha, 27, dan suaminya yang mempunyai anak berusia dua tahun, pernah bekerja di beberapa syarikat media tempatan dan asing sebelum ini.

    Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu.

    Bagaimanapun serangan itu dipercayai didalangi pemberontak Houthi yang disokong Iran.

    Wartawan Yemen kerap menjadi sasaran serangan Houthi dalam perang saudara di Yemen sejak 2014 yang disifatkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sebagai krisis kemanusiaan yang buruk.

    Puluhan ribu penduduk dan orang awam pula terbunuh manakala jutaan lagi hilang tempat tinggal sejak konflik tercetus

    Tindakan Houthi menguasai bandar Sanaa menyebabkan kerajaan Yemen yang disokong antarabangsa memindahkan pentadbiran mereka ke Aden.

    Tindakan pemberontak itu juga mendorong pembentukan pakatan tentera negara tertentu diketuai Arab Saudi untuk menyekat kemaraan mereka. – AGENSI

  • Polis berkas empat beradik rogol adik sebapa

    Polis berkas empat beradik rogol adik sebapa

    POLIS menahan empat beradik lelaki yang dipercayai merogol adik perempuan sebapa yang berusia 13 tahun sejak lebih tiga tahun lalu.

    Perbuatan tersebut dilakukan secara bergilir-gilir di rumah mereka di Kubang Pasu.

    Menurut sumber, kesemua suspek berusia antara 17 hingga 36 tahun itu akhirnya ditahan di lokasi berasingan di daerah ini iaitu dua daripadanya pukul 5 petang semalam manakala dua lagi sekitar pukul 1 dan 2 petang kelmarin.

    Difahamkan, empat beradik itu daripada bapa yang sama namun berlainan ibu dengan remaja perempuan tersebut.

    Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

    Menurutnya, mereka ditahan bagi membantu siasatan.

    Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan dan 14 (A) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

  • Harimau kumbang berjaya ditangkap, masuk perangkap

    Harimau kumbang berjaya ditangkap, masuk perangkap

    KEBIMBANGAN penduduk Kampung Bayai Baru, Batu Kikir di Jempol dengan kehadiran seekor harimau kumbang berakhir apabila haiwan liar itu berjaya ditangkap selepas berjaya masuk perangkap.

    Harimau kumbang betina seberat 40 kilogram memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, pada minggu lalu.

    Harimau kumbang betina seberat 40 kilogram memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan. Foto Facebook Perhilitan

    Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Nurul Ermi Ramli berkata, perangkap itu dipasang pada 28 Oktober lalu berikutan aduan penduduk mengenai kesan gigitan pada haiwan ternakan mereka dan terdapat kesan tapak kaki harimau.

    “Sebagai tindakan, Perhilitan telah memasang perangkap pada hari aduan diterima. Pada awal pagi 30 Oktober, penduduk memberitahu harimau kumbang telah masuk ke dalam perangkap.

    “Penemuan harimau kumbang di kampung itu merupakan kes pertama diterima Perhilitan. Biasanya aduan gangguan hidupan liar diterima melibatkan kera saja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Penemuan harimau kumbang di kampung itu merupakan kes pertama diterima Perhilitan Negeri Sembilan. Foto Facebook Perhilitan

    Beliau berkata, harimau kumbang itu kemudian dipindahkan sementara ke Perhilitan daerah Jempol untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.

    Selepas itu, katanya, ia akan dipindahkan dan dilepaskan ke habitat yang sesuai.

  • Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

    Hutan Lipur Bukit Wang dilanda kepala air

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENGUNJUNG yang berkelah di Hutan Lipur Bukit Wang dekat Kubang Pasu, Kedah, hari ini dikejutkan dengan kejadian kepala air yang berlaku kira-kira pukul 6 petang tadi.

    Selain mengakibatkan beberapa kampung terdekat mengalami banjir kilat, kejadian itu turut menyebabkan dua remaja lelaki terkandas hingga terpaksa diselamatkan oleh pasukan bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd. Adenin Suhaimi, terdapat sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas akibat kejadian tersebut.

    “Kejadian kepala air itu dipercayai berlaku akibat hujan lebat selama beberapa jam petang tadi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Klip video mengenai kejadian itu yang dirakam beberapa pengunjung turut tular dalam media sosial, malam ini.

    Sekurang-kurangnya lapan keluarga yang tinggal di Kampung Sampang, Kampung Bukit Wang dan Kampung Padang Panjang terjejas

    Sementara itu Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.09 petang tadi menyatakan terdapat lapan individu termasuk warga emas dan kanak-kanak terperangkap dalam kejadian banjir kilat di Kampung Padang Panjang.

    “Setibanya di lokasi, terdapat tiga rumah yang dinaiki air setinggi hampir 1.5 meter. Kesemua mereka yang berusia antara 4 hingga 74 tahun kemudiannya berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke lokasi selamat,” katanya.

    Tambahnya, pihak bomba turut melakukan penilaian risiko di lokasi kejadian bagi memastikan tiada mangsa tertinggal dengan operasi tamat sepenuhnya pada 7.30 petang.

  • Ziyad tidak akan terima ganjaran RM1 juta: KBS

    Ziyad tidak akan terima ganjaran RM1 juta: KBS

    JAGUH lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak akan menerima ganjaran RM1 juta di bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) susulan penyertaannya dibatalkan di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

    Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, ketetapan dibuat oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) itu bukan sebagai hukuman kepada atlet berkenaan susulan terlepas peluang mempertahankan pingat emas pada temasya itu Ogos lepas.

    Ahmad Faizal tanpa mendedahkan secara terperinci berkata, beberapa pihak telah menawarkan untuk memberi ganjaran kepada atlet berusia 31 tahun itu sebagai menghargai pengorbanan dan usahanya di temasya sukan berkenaan.

    “KBS memutuskan tiada ganjaran yang akan diberikan kepada Muhammad Ziyad menerusi SHAKAM.

    “Namun saya akan berhubung dan berbincang dengan Muhammad Ziyad tentang ganjaran yang tidak ada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan,” katanya pada sidang media Majlis Sambutan Hari Integriti dan pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi peringkat KBS 2021 di Menara KBS di Kuala Lumpur, hari ini.

    Muhammad Ziyad dinafikan sebagai pemenang pingat emas acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) dengan catatan lontaran sejauh 17.94 meter (m) yang juga rekod baharu dunia, pada temasya berkenaan sekali gus gagal mengulangi kejayaan diraih pada edisi Sukan Paralimpik Rio 2016.

    Beliau diklasifikasikan sebagai ‘Did Not Start (DNS)’ atau tidak bermula susulan protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine, yang mendakwa Muhammad Ziyad lewat melapor diri di bilik panggilan sebelum pertandingan berlangsung.

    Kontroversi melanda hari ketujuh temasya itu menyaksikan atlet Ukraine Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus, memecahkan rekod dunia milik Muhammad Ziyad iaitu 17.29m yang dilakukan pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2017 di London.

    Minggu lepas, sebuah jawatankuasa siasatan dalaman dilantik bagi merungkai isu melanda Muhammad Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo itu, merumuskan atlet tersebut dan jurulatihnya tidak dapat membuktikan mereka tiba pada waktu ditetapkan di bilik panggilan.

    Hasil daripada sesi temu bual serta dokumen diperoleh jawatankuasa itu mendapati tiada kelibat Muhammad Ziyad dan jurulatihnya Mohd Faizol Harun pada waktu ditetapkan walaupun mereka mendakwa tiba sebelum tamat waktu pendaftaran di Bilik Panggilan Satu, Stadium Olimpik Tokyo. – Bernama

  • Mahkamah perintah Awie bayar RM80,000 kepada bekas isteri

    Mahkamah perintah Awie bayar RM80,000 kepada bekas isteri

    MAHKAMAH Rayuan di Putrajaya hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang memerintahkan pelakon dan penyanyi Datuk Ahmad Azhar Osman, atau lebih dikenali sebagai Awie, membayar ganti rugi RM80,000 kepada Rozana Misbun kerana mencederakan bekas isterinya itu tujuh tahun lepas.

    Rozana telah memfailkan saman sivil pada tahun 2017 terhadap Awie memohon ganti rugi bagi kecederaan yang dialaminya akibat dipukul pelakon itu yang didakwa berlaku di tiga lokasi termasuk Permodalan Nasional Berhad (PNB) di Jalan Tun Razak pada 2014.

    Panel tiga hakim diketuai Datuk Nor Bee Ariffin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Awie dan mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen serta Mahkamah Tinggi yang memihak kepada Rozana.

    Nor Bee berkata, ganti rugi am RM30,000 bagi kesakitan serta penderitaan dan ganti rugi teruk RM50,000 bagi tekanan serta rasa malu yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen kepada Rozana adalah adil dan munasabah berdasarkan kecederaan yang dialaminya.

    Mahkamah Tinggi telah mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen itu sehingga menyebabkan Awie membawa perkara tersebut ke Mahkamah Rayuan.

    Nor Bee yang bersidang bersama-sama Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Ghazali Cha memutuskan bahawa tidak ada merit dalam rayuan Awie serta memerintah beliau membayar RM15,000 sebagai kos.

    Dalam penghakimannya, Nor Bee berkata, panel itu tidak berpuas hati dengan hujah bahawa Mahkamah Sesyen telah terkhilaf atau tersalah arah dari segi undang-undang, fakta atau bukti dalam kes tersebut.

    “Responden (Rozana) memberi keterangan bahawa ketiga-tiga insiden memang berlaku dan Mahkamah Sesyen menerima keterangan itu serta mendapati beliau adalah saksi yang boleh dipercayai dan perkara ini telah disahkan oleh Mahkamah Tinggi,” katanya.

    Beliau berkata, mahkamah juga tidak bersetuju dengan hujah peguam Hazman Harun yang mewakili Awie bahawa Rozana adalah terhalang daripada memfailkan tindakan sivil berhubung insiden itu selepas beliau bersetuju menyelesaikan kes tersebut melalui bayaran kompaun.

    Pada Mei 2016, Mahkamah Majistret Ampang membebas dan melepaskan Awie daripada pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada Rozana di sebuah rumah di Taman Ukay Bistari, Ukay Perdana selepas penyanyi rock kumpulan Wings itu membayar kompaun sebanyak RM10,000 serta meminta maaf secara terbuka dalam mahkamah kepadanya.

    “Pada pandangan kami, membayar kompaun bagi kesalahan itu adalah perkara yang berkaitan dengan undang-undang serta prosedur jenayah dan tidak mempunyai sebarang kesan ke atas hak responden (Rozana) untuk memfailkan tindakan sivil terhadap perayu (Awie) bagi mendapatkan remedi berdasarkan fakta yang sama dalam pertuduhan bagi insiden pertama,” kata Nor Bee.

    Beliau berkata, Awie turut didakwa bagi kes kedua iaitu mencederakan Rozana di kaunter PNB dan penyanyi itu telah mengaku bersalah serta didenda sebanyak RM2,000.

    Hakim itu berkata, meskipun tiada pertuduhan dikenakan terhadap Awie bagi insiden ketiga yang didakwa berlaku di kawasan parkir PNB, namun Rozana telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

    Awie menafikan bahawa insiden ketiga itu berlaku dan memfailkan tuntutan balas terhadap Rozana atas dakwaan pecah amanah kerana telah menggunakan wang yang disimpan untuk pendidikan anak mereka. Bagaimanapun, tuntutan balas itu telah ditolak oleh Mahkamah Sesyen.

    Rozana diwakil peguam Azlan Abd Roni, Nasyrah Ezzan Ali dan Ahmad Fakhri Abu Samah. – Bernama