YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini mengingatkan rakyat bahawa kelonggaran daripada Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dinikmati kini boleh hilang sekali lagi jika mereka berterusan lalai.
Seri Paduka bertitah semua pihak mengambil iktibar daripada pelbagai ujian sebelum ini selain terus memainkan peranan sehingga negara bebas sepenuhnya daripada wabak COVID-19.
Al Sultan Abdullah dalam pada itu turut menasihati rakyat agar terus bersabar, menjaga kesihatan diri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan dalam usaha mengekang penularan pandemik itu.
“Beta percaya, setiap badai yang melanda akan berhenti jua, yang gelap pasti akan menjadi terang dan yang kelam akan kembali bercahaya,” titah Al-Sultan Abdullah pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada istiadat itu, seramai 44 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2021 hari ini sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan diadakan berikutan penularan COVID-19.
Mengenai sambutan hari ini, Seri Paduka bertitah ia dirancang untuk berlangsung pada Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang belum reda.
“Alhamdulillah, situasi pandemik COVID-19 di negara kini semakin bertambah baik, negara mula beransur meniti ke fasa terakhir PPN yang memberi pelbagai kelonggaran kepada rakyat beta,” titah Yang di-Pertuan Agong.
PPN yang merangkumi empat fasa diumumkan pada 15 Jun lepas oleh Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin. – Bernama
TINDAKAN berani satu sindiket dadah antarabangsa yang menyimpan bekalan dadah di dalam sebuah bilik hotel di Teluk Bahang, Pulau Pinang untuk diseludup menggunakan jalan laut tidak berhasil apabila berjaya dibongkar polis Pulau Pinang.
Dalam serbuan di hotel yang terletak di Jalan Hassan Abbas, Teluk Bahang kira-kira pukul 9.15 malam Khamis lalu, tiga lelaki tempatan berusia 34 hingga 41 tahun yang dipercayai ahli sindiket dadah antarabangsa berjaya ditahan.
Turut dirampas bersama suspek adalah 19.2 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai RM690,635 yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran menggunakan laluan laut.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, dadah jenis syabu dalam bentuk hablur kristal itu ditemukan di dalam sebanyak 18 bungkusan plastik berwarna hijau keemasan.
Tambahnya, polis turut merampas dua pucuk pistol bersama satu kelopak mengandungi 16 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm) dan satu kelopak dengan tiga butir peluru bersaiz 9mm serta lima buah telefon bimbit pelbagai jenis daripada suspek.
“Siasatan awal mendapati suspek menjadikan bilik hotel tersebut sebagai transit sementara sebelum menggunakan jalan laut untuk menghantar dadah ke negara jiran.
“Mereka dipercayai akan menggunakan bot ke perairan antarabangsa untuk menghantar bekalan syabu kepada ahli sindiket yang menunggu di situ.
“Sehubungan itu, kita kini sedang mengesan beberapa lagi ahli termasuk dalang utama sindiket tersebut yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah berkenaan sejak beberapa bulan lepas,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Rahimi, siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada dua pucuk pistol dan peluru yang dirampas bersama suspek digunakan untuk kegiatan jenayah atau bagi mempertahankan diri ketika mengedarkan dadah.
Tambahnya, ujian air kencing pula mendapati ketiga-tiga suspek yang bekerja sendiri itu positif dadah dan mempunyai empat hingga 10 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.
“Kesemua suspek kini direman bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960,” katanya.
SEPASANG kekasih yang dipercayai terlibat dalam pelbagai kes jenayah termasuk pembunuhan seorang lelaki di Flat Sungai Pinang, Pulau Pinang dua tahun lalu ditahan polis pada 3 November lalu.
Suspek pertama iaitu lelaki berusia 35 tahun ditahan di tepi jalan di Jelutong pukul 10.30 pagi yang mana polis turut menemukam sepucuk pistol jenis Beretta Brigadier bersama kelopak dan 11 butir peluru bersaiz 9 milimeter (mm).
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, susulan penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang wanita berusia 30 tahun yang merupakan teman wanita kepada suspek pertama di sebuah kondominium di Jalan Fettes.
Menurut beliau, semakan rekod jenayah terhadap individu pertama dapati mempunyai 14 rekod lampau di bawah kesalahan Kanun Keseksaan dan tiga rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Semakan rekod jenayah terhadap suspek wanita pula didapati mempunyai satu rekod jenayah lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Menurut Rahimi, kedua-dua suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana memiliki senjata api tanpa permit yang sah
Selain itu tambahnya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 kerana memiliki peluru hidup tanpa permit yang sah.
POLIS Pulau Pinang berjaya menumpaskan satu kumpulan samun bersenjata yang melarikan kereta mewah di negeri itu selepas menahan empat suspek dalam beberapa siri serbuan bermula 21 Oktober hingga 11 November lalu di Kedah dan Perak.
Kempat-empat suspek berusia 22 hingga 26 tahun itu ditahan secara berasingan di sekitar Kulim dan Sungai Petani, Kedah serta di Teluk Intan, Perak hasil hasil risikan polis dan maklumat awam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais berkata, kesemua suspek disyaki terlibat melarikan dua buah kereta Mercedes Benz di pusat servis kereta di Jalan Pengkalan Bukit Tengah, Seberang Perai pada 21 Oktober lalu dengan bersenjatakan parang.
Senior Asisten Komisioner Rahimi Mohd. Ra’ais
Tamabahnya, kenderaan yang dilarikan suspek itu turut berjaya dijumpai semula di Serdang, Kuala Lumpur dan di Teluk Intan.
“Hasil ujian air kencing ke atas empat suspek mendapati seorang daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine manakala semakan rekod jenayah mendapati kesemua mereka mempunyai beberapa rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah dan dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang hari ini.
Menurut Rahimi, kes itu disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan (kesalahan melakukan samun) dan Seksyen 379a Kanun Keseksaan (kesalahan mencuri kenderaan).
Ujarnya, polis Perak turut membuka siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan cubaan membunuh kerana salah seorang suspek melanggar kereta dipandu polis ketika cuba melarikan diri dalam operasi di Teluk Intan.
FOKUS utama kerajaan untuk membendung penularan pandemik COVID-19 mula membuahkan hasil berkat kerjasama semua pihak dan pelaksanaan strategi yang berkesan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang sehingga kini berjaya memberi vaksin kepada lebih 95 peratus populasi dewasa dan lebih 66 peratus populasi remaja setakat 2 Nov, merupakan game changer (pencetus perubahan) yang menjadi pemangkin kepada usaha pemulihan ekonomi dengan pembukaan semula sektor ekonomi dan sosial termasuk pergerakan merentas negeri.
Selain itu, beliau berkata bilangan kes jangkitan harian COVID-19 juga berjaya diturunkan dan memberi kelegaan kepada rakyat serta petugas barisan hadapan.
“Secara umumnya dari segi psikologi, rakyat kini berasa lebih positif kerana telah dapat memulakan semula kehidupan seharian.
“Walau bagaimanapun kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa pandemik dan bersiap sedia memperkenalkan langkah-langkah tertentu demi memelihara nyawa rakyat dan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada Istiadat Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tahun 2021 di Istana Negara, Kuala Lumpur, hari ini.
Ismail Sabri turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan serta sokongan dan dukungan semua lapisan masyarakat dalam membantu kerajaan memerangi pandemik COVID-19.
“Kerajaan juga amat bersimpati dan merakamkan ucapan takziah kepada mereka yang telah kehilangan ahli keluarga akibat pandemik ini. Sesungguhnya kehilangan ini amat menyedihkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata kerajaan akan memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan tanpa mengira kaum, bangsa mahupun agama dan untuk tujuan itu, kerajaan memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk konsep Keluarga Malaysia.
Beliau berkata konsep Keluarga Malaysia sebagai pendekatan pentadbiran negara bersifat inklusif merentasi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat Malaysia yang mengajak seluruh rakyat bersama-sama menggembleng tenaga bagi membawa negara keluar daripada pandemik COVID-19 khususnya memulihkan ekonomi.
Menurutnya, konsep itu telah mendapat maklum balas serta penerimaan positif dalam kalangan rakyat dan ia akan dijadikan falsafah baharu dalam pentadbiran negara.
SEMPENA sambutan Hari Diabetes Sedunia yang akan disambut esok, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkaitan mengambil langkah segera untuk mengawal bilangan kanak-kanak obes di negara ini.
Pengerusi CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, kanak-kanak di Malaysia dilabelkan sebagai yang paling gemuk di rantau ini, tetapi berat mereka membawa beban yang lebih besar berbanding hanya saiz mereka.
Katanya, perintah kawalan pergerakan (PKP) sebelum ini memburukkan lagi situasi memandangkan kebanyakan kanak-kanak tidak dapat melibatkan diri dalam aktiviti fizikal manakala ibu bapa mengadu anak-anak mereka mengambil lebih banyak makanan daripada biasa.
Jelas beliau, kanak-kanak obes dan berat berlebihan cenderung menjadi orang dewasa yang obes dan obesiti dalam kalangan orang dewasa lebih teruk daripada segi kesannya.
“Kanak-kanak obes atau berat berlebihan berhadapan dengan peningkatan risiko mengalami keadaan kesihatan yang serius seperti diabetes jenis dua, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi yang mana semuanya dianggap penyakit orang dewasa di masa lalu.
“Kanak-kanak dengan berat berlebihan juga mungkin mengalami masalah psikologi seperti kurang keyakinan diri yang berpunca daripada diusik atau dibuli oleh rakan sebaya.
“Mereka juga boleh terdedah kepada tabiat diet yang tidak sihat dan gangguan makan seperti anorexia nervosa dan bulimia selain terdedah kepada kemurungan atau berisiko bagi penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu tambah Mohideen, CAP menggesa kerajaan mengambil langkah segera dalam mengatasi masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak termasuk mendidik rakyat khususnya ibu bapa dan kanak-kanak mengenai bahaya obesiti serta diabetes.
Selain itu katanya, kerajaan juga perlu mengharamkan mesin layan diri di sekolah, hospital dan tempat awam lain dan menyediakan kemudahan rekreasi yang mencukupi di semua kawasan perumahan.
“Makanan tidak sihat yang tinggi lemak, gula, garam dan bahan penambah seharusnya tidak digalakkan dengan memperkenalkan cukai ke atas makanan itu.
“Kerajaan juga perlu mewajibkan pengeluar makanan untuk melabelkan jumlah natrium pada label dan mewajibkan pelabelan yang jelas bagi kandungan lemak dalam semua makanan, termasuk makanan segera,” katanya.
BEKAS Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Kumpulan Felda Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali mendahului senarai penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2021.
Dua tokoh itu dikurniakan darjah kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.
Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menyaksikan 44 penerima menerima anugerah berkenaan hari ini.
Seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020.
Richard adalah penerima SSM bagi 2020 manakala Raja Muhammad Alias merupakan penerima darjah kebesaran itu tahun ini.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menerima darjah kebesaran Panglima Mangku Negara (PMN) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’.
Seramai 19 individu menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran ‘Tan Sri’ iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.
Turut dianugerahi PSM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Ismail Ibrahim; bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; pakar astronomi dan profesional astrofizik Datuk Prof Emeritus Dr Mazlan Othman; Pengarah Eksekutif Leong Hup International Berhad Datuk Lau Eng Guang; Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Pengerusi Eksekutif The Edge Media Datuk Tong Kooi Ong.
Penerima PSM lain ialah Pengerusi Ikhlas Capital Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak; Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad Datuk Leow Chong Howa; Pengarah Eksekutif Perfect Group Holdings Limited Datuk Tan Jyh Yaong; bekas Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mohd Shariff Omar; bekas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus.
Seramai 18 individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua penerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD), masing-masing membawa gelaran Datuk.
Antara penerima PJN ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk E.S.M Nantha Balan; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Nor Azimah Abdul Aziz; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr Jayum Anak Jawan; bekas pemain badminton kebangsaan Datuk Misbun Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Mohamad Idham Nawawi.
Penerima PSD pula antaranya ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri Shahrul Kamal Osman dan bekas Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen (B) Datuk Azlan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, 33 individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN) antaranya Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian; Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ketua Pemuda PAS Pusat Senator Khairil Nizam Khirudin.
Seramai 61 individu dikurniakan Johan Setia Mahkota (JSM); tiga penerima Johan Setia Diraja (JSD); 205 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN); tujuh penerima Kesatria Setia Diraja (KSD); 303 penerima Ahli Mangku Negara (AMN); 514 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN); 38 penerima Bentara Setia Diraja (BSD) dan dua penerima Pingat Gagah Berani (PGB).
Antara penerima JSM ialah Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM Mohammad Soib Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zainab Ahmad dan bekas pemain tenpin boling kebangsaan Shalin Zulkifli.
Penerima JSD masing-masing Dang Perwara Bahagian Pengurusan serta Penolong Datuk Paduka Maharajalela Istana Negara iaitu Datuk Hamimah A. Karim dan Sophian Ab Rahman selain bekas Ketua Polis Daerah Brickfields Anuar Omar.
Antara penerima KMN ialah Ketua Perancangan Strategik Bahagian Perancangan Strategik Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali; Ketua Polis Daerah Sentul ACP C. S. Shanmugamoorthy dan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan T. R. Thinalan.
Dua anggota Senoi Praaq Polis Diraja Malaysia yang terlibat dalam kejadian tembakan di sempadan Malaysia-Thailand pada November tahun lepas iaitu mendiang Sjn Baharuddin Ramli dan Sjn Norihan a/l Tari dianugerahi Panglima Gagah Berani (PGB).- Bernama
POLIS akan melakukan siasatan terperinci dakwaan anggota polis menaiki kereta peronda polis telah melakukan gangguan seksual terhadap seorang individu semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, pihaknya akan menjalankan siasatan untuk mengesahkan kesahihan dakwaan tersebut yang menjadi tular dalam media sosial.
“Kami meminta individu tersebut tampil membuat laporan polis dan keterangannya akan dirakam serta tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya wujud salah laku seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pihaknya tidak akan sesekali berkompromi dalam apa jua isu berhubung kait dengan pelanggaran undang-undang melibatkan warga Polis Diraja Malaysia di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk tampil membuat aduan di balai polis berhampiran sekiranya berlaku salah laku dan perlanggaran undang-undang yang melibatkan anggota polis,” katanya.
Semalam, tular dalam Twitter mengenai seorang individu yang mendakwa seorang anggota polis menaiki kereta peronda telah melakukan gangguan seksual terhadap dirinya.
IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan sebuah kereta di Kampung Kedondong, Pasir Mas, semalam, dan berjaya mematahkan cubaan menyeludup masuk 700 kilogram (kg) beras siam ke negara ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pemeriksaan lanjut, pihaknya turut menemukan 100kg beras pulut dalam kereta Proton Iswara tersebut.
Menurutnya, kejayaan rampasan beras siam dan pulut seludup itu hasil maklumat diterima oleh polis berkait dengan aktiviti penyeludupan.
Katanya, pada pukul 10.30 pagi, polis telah menerima maklumat berkait dengan aktiviti itu dan anggota unit kereta peronda polis terus bertindak menghala ke lokasi di jalan Kampung Apa-Apa.
Mohd. Nasaruddin berkata, sejurus tiba di lokasi, pihaknya telah terserempak dengan sebuah kereta yang dipandu dalam keadaan mencurigakan dari arah Gelang Mas menghala ke simpang tiga Kampung Kedondong.
“Anggota bertugas telah mengarahkan pemandu kereta itu untuk berhenti, namun pemandunya telah bertindak memecut laju masuk ke Kampung Kedondong.
“Secara tiba-tiba selepas itu, pemandu kereta tersebut bertindak menghentikan kereta yang dipandu dan kemudian terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan ke atas kereta itu menemui muatan beras yang dipercayai diseludup dari negara jiran.
Beliau memberitahu, nilai keseluruhan rampasan beras siam dan pulut itu termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM5,500.
Kesemua beras yang dirampas itu akan diserahkan kepada Seksyen Kawal Selia Padi dan Beras untuk tindakan lanjut, katanya.
Katanya lagi, kes disiasat bawah Seksyen 20 Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
SEORANG datuk maut manakala cucunya parah apabila kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Kilometer (KM) 58, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Kampung Kuala Rhu Kubur, Marang hari ini.
Mangsa, Azman Awang, 56, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, sementara cucu lelakinya dikenali sebagai Aisy Mateen Mohd. Amin berusia setahun lapan bulan dikejarkan ke Hospital Sultanah Nurzahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Deris berkata, kejadian itu berlaku pukul 12 tengah hari semasa kereta Mazda CX5 dipandu mangsa dalam perjalanan menghala ke Kampung Jambu Bongkok untuk pulang ke rumahnya di Kampung Rantau Abang, Dungun.
“Setibanya di lokasi kejadian, kenderaan dinaiki mangsa dan cucunya itu dipercayai secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum bertembung dengan sebuah lori yang datang dari laluan bertentangan, lalu terbabas ke kanan jalan.
“Mangsa yang tersepit di tempat duduk bahagian pemandu dibawa keluar oleh sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang selepas 15 minit operasi menyelamat dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd. Zain berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.