KERAJAAN Persekutuan menerusi Bajet 2022 menyediakan RM4.6 bilion untuk projek pembangunan di negeri ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Beliau menjelaskan, peruntukan itu melibatkan 434 projek pembangunan sedia sedia termasuk 79 projek baharu di negeri ini.
“Beberapa projek utama berimpak tinggi yang mampu memangkin pertumbuhan ekonomi Johor akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
“Salah satunya Landasan Berkembar Elektrik Gemas ke Johor Bahru; Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) dan pembinaan sekolah baharu 36 bilik darjah di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Putra 2, Kulai.
“Ini termasuk Program Perumahan Rakyat (PPR) Ulu Tiram dan pembinaan Hospital Pasir Gudang,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Pueri, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.
Dalam perkembangan lain, Mustapa berkata, kemasukan Johor dalam kerjasama wilayah Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia Malaysia Thailand (IMT-GT) akan memberikan impak yang lebih besar terhadap ekonomi negeri itu.
Katanya, hubungan erat antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan membantu mempercepatkan perancangan pembangunan yang dilaksanakan khususnya pelaksanaan RMK-12.
Sementara itu, beliau memberitahu, berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan Kemudahan Asas (HIES BA) 2019, kemiskinan mutlak di Johor iaitu 3.9 peratus pada 2019 adalah rendah berbanding kemiskinan mutlak nasional pada kadar 5.6 peratus dalam tempoh yang sama.
Daripada aspek strata katanya, kadar kemiskinan mutlak di luar bandar iaitu 4.8 peratus adalah lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan mutlak di bandar iaitu 3.6 peratus.
“Akibat pandemik Covid-19 dan senario ekonomi semasa, kemiskinan mutlak dianggarkan meningkat kepada 5.9 peratus di Johor dibandingkan dengan 8.4 peratus pada peringkat nasional pada tahun 2020,” katanya.
Jelasnya, mengikut rekod data eKasih, sebanyak 7,927 ketua isi rumah (KIR) dikategorikan sebagai miskin tegar dan 9,655 dikategorikan sebagai miskin di Johor setakat 31 Oktober lalu.
Daerah Johor Bahru katanya, mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,484 KIR miskin tegar manakala 1,499 KIR miskin.
“Sistem eKasih akan disemak semula dan diperkukuh serta langkah pemutihan dalam mengenal pasti, melaksana dan memantau program pembasmian kemiskinan bagi meningkatkan ketelusan dan ketepatan data,” katanya.
Pangkalan data bagi mengenal pasti kumpulan sasar dan membangunkan profil isi rumah miskin serta menyediakan bantuan sosial akan disepadukan melalui pembangunan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS) untuk menambah baik program membasmi kemiskinan, katanya.
UNIT Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri dengan kerjasama kerajaan negeri sedang mengenal pasti dua lokaliti di setiap negeri untuk melaksana projek rintis membasmi kemiskinan tegar secara holistik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, tujuannya bagi mencapai sasaran kemiskinan tegar sifar pada 2025 dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).
“Pada 6 November 2021, sebuah kampung di Sik, Kedah dicadangkan sebagai projek rintis pertama membasmi kemiskinan tegar secara holistik di kawasan luar bandar.
“Projek rintis ini menggabungkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun, universiti, pertubuhan masyarakat sivil (CSO), organisasi berasaskan komuniti (CBO) setempat dan pihak swasta,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pembangunan dan Infrastruktur negeri, Mohd. Solihan Badri.
Menurut Mustapa, sesi ‘Poverty Circle’ yang telah diadakan sebanyak lima kali akan mengenal pasti modul terbaik untuk projek rintis membasmi kemiskinan tegar.
Modul tersebut katanya, akan dilaksanakan mengikut keperluan lokaliti sama ada berasaskan komuniti, individu atau secara hibrid.
Mustapa (kanan) dan Hasni berbincang semasa mengadakan siri jerayawara (roadshow) RMK-12 ke Johor hari ini
Dalam pada itu, beliau berkata, Johor merupakan sebuah negeri penyumbang utama kepada ekonomi negara pada 2020 selain Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Sarawak.
Mustapa berkata, purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Johor mencapai 3.1 peratus setahun iaitu melebihi purata nasional sebanyak 2.7 peratus setahun dalam tempoh 2016 hingga 2020.
“Pertumbuhan ekonomi Johor diterajui oleh sektor perkhidmatan khususnya dalam subsektor perdagangan borong dan runcit; makanan dan minuman dan penginapan; diikuti sektor pembuatan khususnya dalam produk elektrik, elektronik dan optikal,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya mengadakan siri jerayawara (roadshow) RMK-12 ke Johor hari ini.
Lawatan tersebut katanya, bermula pada jam 9 pagi dengan sesi taklimat program menangani kemiskinan di Iskandar Malaysia dan Johor oleh Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Ismail Ibrahim dan Timbalan Pengarah (Pemantauan), Pejabat Pembangunan Negeri Johor, Amy Lydia Adnan di Ibu Pejabat IRDA di sini.
Selepas itu, Mustapa melawat Rumah Iskandar dan dua keluarga miskin di Kampung Sungai Melayu.
PILIHAN Raya Negeri Melaka pada 20 November ini adalah peluang untuk rakyat di negeri itu melakukan perubahan bagi mewujudkan sebuah kepemimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau percaya rakyat negeri Melaka berasa amat terkilan dengan laporan-laporan media mengenai pelbagai dakwaan salah laku yang melibatkan penyelewengan khazanah kekayaan negeri itu oleh pihak-pihak yang rakus dan tidak bertanggungjawab.
‘’Rakyat di negeri Melaka mesti mengambil langkah yang berani untuk melakukan perubahan. Tiada gunanya kita menyerahkan kepimpinan kerajaan Negeri kepada mereka yang kita sendiri tahu akan meneruskan tabiat kepimpinan yang rakus kuasa dan tamak haloba untuk kelompok kelompok tertentu dan diri sendiri.
‘’Kekayaan negeri Melaka mesti diurus dengan jujur, amanah dan berintegriti agar hasil kemakmurannya dapat dinikmati oleh semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,’’ katanya ketika melanarkan Ikrar Perikatan Nasional sempena PRN Melaka di Shah Alam hari ini.
Munyiddin berkata, kepimpinan yang berintegriti dan prihatin rakyat inilah yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional kepada seluruh rakyat di Melaka.
‘’Inilah ikrar dan komitmen Perikatan Nasional. Perikatan Nasional berikrar akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri Melaka. pentadbiran akan bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat senantiasa menjadi nadi dan keutamaan pentadbiran negeri,’’ katanya.
Beliau berkata, Perikatan Nasional telah merangka satu tawaran yang inklusif dan menyeluruh kepada seluruh rakyat negeri Melaka bagi memastikan tiada golongan yang dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri ini dalam pelbagai sektor ekonomi.
‘’Justeru, Perikatan Nasional telah menyediakan Ikrar berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan. Ikrar yang ditawarkan ini bukan omongan kosong, mahupun janji bulan dan bintang.
‘’Ikrar ini adalah satu komitmen bahawa Kerajaan negeri yang bakal dibentuk nanti adalah berteraskan suara rakyat yang mahu melihat Melaka Bangkit Gemilang sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.
Srikandi Muda PN, Syazwani Karmaine,33, (kiri) dan Flora Johnny,21, melihat buku Manifesto Perikatan Nasional pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
‘’Tumpuan Kerajaan baharu Perikatan Nasional yang akan dibentuk kelak akan berpaksikan kepada Keutuhan Ekonomi, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kerancakan Sektor Pelancongan, Kelestarian Alam Sekitar, Kecekapan Infrastruktur serta Keteguhan Dan Kejujuran Pentadbiran,’’ katanya.
Tegas Muhyiddin, bagi memastikan tawaran Ikrar Perikatan Nasional Untuk Melaka dipenuhi, sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan akan ditubuhkan dan dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman.
‘’Ini adalah manifestasi kesungguhan Perikatan Nasional untuk memastikan ikrar yang dibuat untuk rakyat di negeri Melaka ini akan direalisasikan menerusi satu daya usaha yang gigih dan telus,’’ katanya.
Muhyiddin berkata, sejarah menceritakan tentang kegemilangan Melaka lama dahulu dan beliau yakin semangat dan kekuatan ini sebenarnya masih ada dalam diri warga negeri Melaka.
‘’ Sayangnya semangat dan kekuatan ini tidak diterjemah dan dimanafaatkan sepenuhnya oleh pimpinan kerajaan negeri sebelum ini. Saya percaya perang politik yang berterusan dalam kalangan mereka sendiri menyebabkan hasrat untuk memaju dan mengembalikan kegemilangan Melaka terbantut.
‘’Cukuplah pengalaman pahit yang saudara dan saudari serta kita semua lalui sebelum ini. Untuk kali ini, saya menyeru agar seluruh rakyat Melaka bersatu hati dan memberi mandat kepada Perikatan Nasional untuk bersama-sama melakarkan satu sejarah baharu – Melaka Kembali Bangkit Gemilang.,’’ katanya.
Bangunkan ekonomi jana peluang perniagaan, pekerjaan
Perikatan Nasional akan memastikan ekonomi negeri Melaka dibangunkan supaya lebih utuh dan mampan. Ini termasuklah tumpuan kepada industri strategik dan berimpak tinggi serta fokus kepada pendigitalan dan pembangunan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
Melalui pendekatan ini, lebih banyak peluang perniagaan dapat dijana dan tentunya para peniaga di Melaka dapat memperoleh pendapatan yang lebih tinggi, bahkan boleh meningkat berlipat kali ganda. Pulangan kepada negeri pula akan diterjemahkan melalui pembangunan pesat yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan rakyat di negeri Melaka.
Dengan limpahan ekonomi, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dan berpendapatan tinggi dapat ditawarkan untuk rakyat di negeri Melaka. Ini termasuklah graduan TVET, Orang Kurang Upaya (OKU) serta pesara yang masih ingin aktif berkhidmat.
Bagi kumpulan berpendapatan rendah pula, pelbagai aktiviti ekonomi tambahan dalam sektor pertanian, perikanan dan perkhidmatan akan disediakan untuk mereka menambah pendapatan masing-masing.
Tunjang 2: Keprihatinan Kepada Rakyat
Hab TVET diwujudkan
Perikatan Nasional akan memastikan aspek kesihatan mental dan jasmani, perumahan, kemudahan rekreasi serta pendidikan untuk setiap lapisan masyakarat diberikan perhatian sepenuhnya.
Bagi membina bakat masa hadapan yang hebat dalam kalangan anak watan Melaka, pendidikan merupakan asas penting yang wajib diperteguhkan. Antara pendekatan Perikatan Nasional adalah dengan meningkatkan prestasi pendidikan rendah dan menengah serta meletakkan Melaka dalam ranking 3 negeri terbaik dalam pencapaian keputusan peperiksaan awam di Malaysia.
Selain itu, Hab Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan diwujudkan di negeri Melaka melalui kerjasama dengan kementerian, agensi berkaitan dan pihak swasta tempatan dan antarabangsa.
Bantuan One-Off kepada guru tahfiz, KAFA, Tadika JAIM
Kerajaan Perikatan Nasional akan berikan perhatian kepada pengurusan sekolah tahfiz. Bantuan penyelenggaraan kepada semua sekolah tahfiz di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).
Bantuan one-off RM200 kepada Guru Tahfiz, Guru KAFA dan juga Guru Tadika di bawah seliaan JAIM.
Program bantuan, kemahiran untuk suri rumah, ibu tunggal, OKU
Pelbagai program bantuan, latihan kemahiran dan khidmat nasihat akan disediakan, khususnya dalam memperkasa dan mengoptimumkan penglibatan kumpulan sasar ini dalam aktiviti ekonomi dan sosial. Perhatian turut diberikan kepada koperasi usahawan wanita yang bergiat aktif dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Dewan Undangan Negeri Belia Melaka akan diwujudkan bagi membina dan menggilap generasi pemimpin masa depan dari kalangan anak muda jati Melaka.
Bayaran lesen perniagaan, sewa tapak penjaja, peniaga dikurangkan
Bagi meringankan impak pasca COVID-19, bayaran lesen perniagaan dan bayaran sewa tapak kepada penjaja dan peniaga kecil akan dikurangkan. Ini bagi meringankan beban kewangan dan memberi ruang kepada mereka untuk kembali berniaga.
Perikatan Nasional menyedari dalam tempoh yang sukar ini, perbelanjaan untuk menyambut kelahiran anak juga memberi kesan kepada sebahagian rakyat. Oleh yang demikian, bantuan one-off sebanyak RM200 akan diberikan kepada semua anak yang dilahirkan di negeri Melaka pada tahun 2021.
Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yaasin berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional di Shah Alam, hari ini.
GAMBAR: Warta Rakyat
Tunjang 3: Kerancakkan Sektor Pelancongan
Jadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan
Perikatan Nasional akan mengambil pendekatan untuk merancakkan semula industri pelancongan di Melaka. Oleh itu, Perikatan Nasional ingin menawarkan program yang inovatif dan berimpak tinggi.
Bagi melancarkan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian, Kerajaan Perikatan Nasional akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem “park and ride”.
Perikatan Nasional juga akan menggiatkan usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan.
pendekatan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan pelancong kapal persiaran yang menyusuri Selat Melaka dan pusat penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) akan dipergiat dengan menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti sampingan.
Program Bandaraya Melaka Bebas Kenderaan diperkenalkan
Melaka akan dipromosikan sebagai destinasi aktiviti rekreasi, termasuk sukan air dan sukan lasak, yang menjadi tarikan masa kini. Bagi menyokong inisiatif ini, program Bandaraya Melaka Bebas Kenderaan akan diperkenalkan di lokasi dan waktu tertentu di hujung minggu bagi pelancong dalam dan luar negara.
Perhatian akan diberikan kepada pemulihan, pemuliharaan serta penjagaan lokasi tarikan pelancong, pesisiran pantai dan bangunan warisan. Perikatan Nasional mahukan limpahan ekonomi sektor pelancongan bukan hanya kepada pengusaha atau syarikat besar, tetapi turut memberi impak kepada seluruh rakyat Melaka melalui peluang pekerjaan dan perniagaan, khususnya kepada penjaja dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana berkaitan pelancongan.
Tunjang 4: Kelestarian Alam Sekitar
Usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai
Fokus akan diberikan kepada peningkatan penggunaan teknologi hijau, penggunaan tanah secara optimum serta pengurusan sisa pepejal.
Usaha memulih dan memulihara ekosistem kawasan sungai, pesisir pantai dan marin juga akan dipergiat bagi melestari kawasan dan memperkaya sumber laut. Dengan ini, rakyat dapat hidup dalam persekitaran bersih dan sihat.
Tunjang 5: Kecekapan Infrastruktur
Atasi masalah banjir, bekalan air bersih, kesesakan trafik, akses internet
Memperkukuh penyediaan infrastruktur yang cekap, termasuk pembinaan dan naik taraf jalan serta naik taraf sistem saliran dan tebatan banjir. Pelan induk penyuraian trafik juga akan disediakan bagi melancarkan lalu lintas, terutama di kawasan tumpuan pelancong.
perluasan liputan Internet 5G akan dipercepatkan dan kemudahan hotspot wifi secara percuma disediakan di tempat terpilih seperti pusat pelancongan, perniagaan dan pendidikan.
Keteguhan dan kejujuran dalam pentadbiran Kerajaan negeri Melaka adalah tunjang penting untuk menjayakan setiap strategi dan pendekatan yang dirancang. Agenda untuk memperkasa perkhidmatan awam negeri dipergiat melalui pendigitalan dan penglibatan secara terus dengan rakyat. Pemerkasaan ini juga turut melibatkan tadbir urus yang cekap dan berintegriti bagi agensi serta syarikat milik kerajaan negeri.
Ini adalah aspek penting kewujudan sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang berpaksikan kecekapan, ketelusan dan kebertanggungjawaban yang menjadi asas sebuah pentadbiran kerajaan yang baik atau good governance.
POLIS menahan dua lelaki pada Jumaat lepas dan semalam yang dipercayai terlibat dalam tujuh kes samun dengan menyamar sebagai anggota polis di Tanah Merah.
Ketua Polis Daerah Tanah Merah, DSP Zainuddin Md Yusuf berkata, kedua-duanya yang berumur 22 dan 38 tahun ditahan pada 7.15 malam di Taman Kota Harmoni dan 5.30 petang di sebuah bengkel di Jalan Wan Ahmad.
“Selain penahanan lelaki berumur 22 tahun di Taman Kota Harmoni itu, polis turut menahan seorang lelaki berumur 38 tahun bersama-samanya namun hasil soal siasat, lelaki itu tidak terlibat samun dan mengaku hanya menemani untuk menjual dadah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zainuddin berkata, penahanan dibuat susulan pihaknya menerima aduan berkaitan samun oleh seorang pengadu yang dipercayai melibatkan kedua-dua suspek di tepi Jalan Lawang, Kampung Batu Jong, Batu Gajah, di sini pada 6.15 petang, Khamis lepas.
Beliau berkata, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah kereta Proton Saga BLM mengaku mereka anggota polis dan menahan pengadu yang menunggang motosikal supaya menyerahkan kesemua barang untuk diperiksa kerana disyaki pengedar dadah.
“Pengadu yang diugut akan ditahan sekiranya tidak menyerahkan barang-barang miliknya terpaksa menyerahkan barang itu yang merangkumi beg silang, dompet duit serta dua telefon bimbit yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1,350 dan kemudian datang ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya.
Zainuddin berkata, hasil penahanan kedua-dua suspek, polis merampas beberapa barangan termasuk kereta Proton Saga itu, 4,000 biji pil kuda, lima telefon bimbit pelbagai jenama, satu beg silang, dua topeng muka serta wang tunai berjumlah RM1,752.
Beliau berkata, siasatan terhadap kedua-dua lelaki itu, mereka mengaku terlibat dalam tujuh kes samun membabitkan empat kes terhadap warga asing di rumah kongsi, dua kes ke atas penunggang motosikal dan satu kes membabitkan kedai runcit.
Katanya, hasil ujian saringan mendapati kedua-duanya positif terhadap dadah dan sedang direman hingga Khamis ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA
POLIS menahan seorang lelaki di sebuah stesen minyak di Bandar Baru Nilai, di Nilai awal pagi tadi kerana disyaki cuba menyogok anggota polis sebanyak RM200,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap lima rakannya yang ditahan kerana disyaki terlibat dalam sindiket pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, lelaki tempatan berusia 30-an itu ditahan pada 1.40 pagi, kira-kira empat jam selepas penahanan rakan-rakannya yang terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita, berumur dalam lingkungan 21 hingga 24 tahun.
Menurutnya, kelima-lima individu berkenaan ditahan dalam serbuan di sebuah pangsapuri di bandar itu dan disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan tidak wujud menerusi laman Facebook sejak enam bulan lepas.
“Turut dirampas ialah 15 unit telefon bimbit, dua komputer riba dan wang tunai berjumlah RM2,473, manakala RM200,000 serta dua telefon bimbit pula dirampas daripada lelaki yang cuba menyogok polis itu,” katanya pada sidang media di Nilai, hari ini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata ,modus operandi sindiket itu ialah dengan menyasarkan rakyat tempatan melalui promosi skim pelaburan di Facebook dan seterusnya berhubung dengan mangsa hanya menerusi aplikasi WhatsApp.
Beliau berkata, mereka juga dipercayai menggunakan pelbagai akaun bank dan nama skim pelaburan ditukar setiap tiga bulan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Menurut Mohamad, menerusi penahanan itu pihaknya dapat menyelesaikan 11 kes berkaitan sindiket itu, selain akan terus mengesan saki-baki individu yang terlibat.
Katanya, kesemua suspek direman dua hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Justeru, Mohamad menggesa orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila berurusan secara dalam talian dan tidak mendedahkan maklumat peribadi serta perbankan.- BERNAMA
VETERAN Pas kecewa kerana suara parti itu seolah-olah tidak dipedulikan kerajaan selepas Jemaah Menteri membenarkan arak keluaran tempatan, Timah mengekalkan namanya.
Ketua Sidang Assabiqun (Veteran) Pas Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata, parti Iitu selama ini bertegas membantah penggunaan nama Timah pada label arak berkenaan, dan keputusan Jemaah Menteri secara tidak langsung memberi persepsi bahawa Pas gagal menyelesaikan isu melibatkan agama Islam.
“Saya amat kecewa…sebenarnya pimpinan Pas dah bantah dan bangkit (isu Timah) ke mesyuarat Kabinet tetapi nampaknya pandangan Pas tidak diambil perhatian serius oleh kerajaan. Sepatutnya apa yang disuarakan Pas diambil peringatan oleh kerajaan, kerana Pas sebahagian kerajaan,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today (FMT)
Beliau berkata, keputusan itu seperti menafikan keberadaan Pas dalam pakatan kerajaan Keluarga Malaysia, sedangkan parti itu mendukung sebarang keputusan kerajaan.
“Sebab itu secara langsung atau tidak, Pas dianggap oleh rakyat terutama beragama Islam sudah tidak ada peranan padahal kita sudah bantah perkara itu habis-habisan,” tegasnya.
Beliau juga mengkritik tindakan kerajaan pusat yang lebih menumpukan isu besar seperti Rang Undang-Undang 355 (RUU355), sehingga menyebabkan perkara menyentuh sensitiviti umat Islam termasuk judi dan arak dipandang remeh.
“Bukankah sudah ada rundingan dengan syarikat dan mereka juga bersetuju tukar nama lain tetapi kerajaan pula umumkan nama (arak Timah) dikekalkan. Sepatutnya tak perlu takut pada bukan Islam,” katanya.
Sementara itu Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, parti itu tetap menolak penggunaan nama Timah terhadap arak jenama tempatan walaupun kerajaan membuat keputusan membenarkan penggunaan nama tersebut.
Katanya, pendirian mereka berhubung perkara itu tetap sama sejak dari awal lagi.
“Dalam hal ni jelaslah, tuan-tuan tengok pendirian Pas bab arak ni clear (jelas). Kita tidak setuju dalam apa nama… Timah ke tak Timah ke, itu jelas kepada kita daripada awal lagi.
“Tak ada lagi tuan-tuan tengok di kalangan pimpinan Pas sokong bab Timah ni, bab arak ni. Kita tak setuju, atas nama apa pun Timah ke, Dollah ke, Wahab ke, kita tidak bersetuju,” tegas Idris yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu seperti dilapor Astro Awani.
DUA sindiket dadah yang aktif melakukan kegiatan penyeludupan dan pengedaran di Johor tumpas setelah polis melancarkan tiga serbuan berasingan di sekitar Kota Tinggi dan Johor Bahru pada Selasa dan Rabu minggu lepas.
Dalam tiga serbuan berasingan yang dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor, pasangan suami isteri antara lima dalang sindiket yang ditahan bersama kira-kira 35 kilogram (kg) pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.1 juta.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan dan seorang lelaki Indonesia berusia 39 dan 49 tahun dalam sebuah kenderaan kira-kira 3 petang berhampiran kedai makan di Kota Tinggi, Selasa lalu
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan jenis Honda CRV menemukan 14.5kg ganja bernilai RM36,392 yang berada dalam bonet kenderaan tersebut.
“Modus operandi sindiket dadah ini adalah dengan menyeludup dadah ke negara jiran melalui jalan laut. Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Julai lalu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ayob Khan berkata, hasil saringan air kencing mendapati salah seorang suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
Malah, warga Indonesia terbabit pula tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dan disyaki sudah berada di negara ini secara haram sejak lima tahun lalu sebelum kedua-dua suspek direman selama seminggu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Dalam operasi berasingan, kita telah melancarkan dua serbuan dalam operasi khas bermula pukul 9 pagi hingga 3 petang di sekitar Johor Bahru, Rabu lalu. Pada serbuan pertama, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun telah ditangkap bersama sejumlah dadah jenis serbuk ekstasi dan ketamin.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Susulan itu, polis telah membuat tangkapan terhadap pasangan suami isteri berusia 53 dan 59 tahun,” katanya
Menurut Ayob Khan, hasil saringan awal mendapati seorang suspek positif dadah jenis ketamin dan semakan rekod mendapati suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.
“Modus operandi sindiket dadah yang beroperasi sejak Ogos lalu itu pula adalah dengan menyewa pangsapuri berpagar dan berpengawal yang dijadikan stor pembungkusan dadah untuk aktiviti ‘private party’ dan pusat hiburan di sekitar Johor Bahru.
“Hasil tangkapan itu, polis merampas 21.18kg serbuk ekstasi, 78.6 gram (g) ketamin, 1.8g syabu, 90 pil ekstasi dan 170 pil eramin 5 selain merampas sebuah kereta mewah jenama BMW dan merampas wang tunai RM3,495,” ujarnya.
Ketiga-tiga suspek terbabit turut direman selama tujuh hari sehingga Rabu ini.
Ujar beliau, Dadah yang dirampas dalam kedua-dua operasi itu boleh digunakan oleh seramai 85,838 orang penagih sekiranya terlepas ke pasaran.
LIMA bayi antara 50 mangsa terselamat daripada dibawa arus sungai deras berikutan kejadian kepala air di kawasan perkelahan Sungai Kenerong, Jelawang, Dabong, di Kuala Krai petang semalam.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBK II) Mohd Azwan Daud berkata, enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong tiba di lokasi kejadian 5.26 petang selepas menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5 petang.
Beliau berkata, setibanya di tempat kejadian kepala air Sungai Kenerong, didapati ada mangsa terperangkap di kawasan perkelahan itu dan operasi menyelamat dijalankan menggunakan tali serta bot bagi membawa keluar dan memindahkan kesemua mangsa.
“Difahamkan, mangsa yang terdiri daripada 35 dewasa, 10 kanak-kanak serta lima bayi yang terperangkap di kawasan perkelahan berkenaan sedang berkelah bersama keluarga sebelum kejadian tersebut berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Gambar: Facebook Balai Bomba dan Penyeamat Dabong
Katanya, kesemua mangsa berjaya diselamatkan dan operasi menyelamat tamat pada 8.50 malam. – BERNAMA
KERAJAAN negeri Kedah akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi, dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.
Memetik laporan Free Malaysia Today, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, aktiviti perjudian telah menyebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan tamadun, selain masalah hutang.
“Kerajaan tidak akan beri lesen (baharu), kalau you nak beli (nombor ekor), beli di Pulau Pinang.
“Saya Islam tak boleh main judi. Nanti kat akhirat saya kena tanya, aktiviti macam ni anda buat apa? Kalau saya cakap saya tak buat, saya kena tibai. Sementara saya ada kuasa, baik saya gunakan,” katanya pada sidang media selepas membentangkan Bajet 2022 Kedah, hari ini.
Beliau berharap semua pihak, termasuk penduduk negeri itu memahami keputusan kerajaan negeri tidak memperbaharui lesen premis perjudian.
“Kerana bila ada premis, ada aktiviti, bukan saja bukan Islam (yang terlibat), jadi saya harap (keputusan ini) dapat difahami dengan seadil-adilnya.
“Manfaat kepada premis judi tak banyak pun, melainkan hanya tauke saja yang untung, (selain itu) lebih banyak mudarat kepada orang ramai,” katanya.
Sanusi berkata, mesyuarat Exco kerajaan negeri Kedah minggu lalu turut memutuskan untuk mengehadkan penjualan minuman keras di semua premis, khususnya kawasan luar bandar yang tiada permintaan.
“Di PBT (pihak berkuasa tempatan) yang tiada permintaan, khususnya di luar bandar, penjualan di premis minuman keras juga akan dihadkan.
“Kita juga telah berbincang dengan kedai bebas cukai di Langkawi dan kedai lain yang tidak mempunyai lesen, tidak lagi menjual arak secara terbuka untuk menjamin akal fikiran rakyat kita agar kekal waras,” jelasnya.