Category: Semasa

  • Judi: Mufti P. Pinang kecewa kenyataan Muhammad Sanusi

    Judi: Mufti P. Pinang kecewa kenyataan Muhammad Sanusi

    MUFTI Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor melahirkan rasa dukacita dan menyifatkan kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor yang mengaitkan judi ekor dengan Pulau Pinang adalah sesuatu yang tidak wajar.

    Malah, beliau turut beranggapan kenyataan Muhammad Sanusi itu satu penghinaan terhadap institusi-institusi agama Islam di Pulau Pinang yang sentiasa komited kepada usaha-usaha bagi memertabatkan kedudukan Islam di negeri itu.

    Tambah beliau, sebagai seorang pemimpin kerajaan sebuah negeri di dalam Persekutuan Malaysia, Muhammad Sanusi sepatutnya mempamerkan kematangan berfikir dan menunjukkan contoh yang baik kepada rakyat dalam menghayati semangat Keluarga Malaysia sebagaimana dicetuskan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

    “Selaku seorang ‘abang’ suka saya menasihati Menteri Besar Kedah supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan.

    “Beliau perlu menjaga imej jawatan yang disandangnya sebagai seorang prmimpin sebuah kerajaan negeri yang dihormati, bukan sebagai pemimpin di peringkat kampung atau kawasan yang pengaruhnya agak terhad.

    “Beliau juga sepatutnya seboleh-bolehnya cuba tidak membuat kenyataan-kenyataan yang boleh menimbukan kontroversi dengan pemimpin-pemimpin negeri yang lain terutama negeri jiran, sebaliknya berusaha menjalin hubungan yang mesra dengan semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau mengulas mengenai kenyataan Muhammad Sanusi semalam yang menyebut sesiapa yang ingin membeli nombor ekor (judi) boleh berbuat demikian di Pulau Pinang selepas Kerajaan Negeri Kedah memutuskan akan melarang semua kedai nombor ekor daripada terus beroperasi dengan tidak memperbaharui lesen perniagaan mereka dalam usaha menjadikan negeri itu bebas aktiviti perjudian.

    Dalam pada itu Wan Salim berkata, umum sedia maklum Yang di-Pertuan Agong merupakan Ketua Agama Islam bagi negeri-negeri yang tidak mempunyai raja atau sultan dan Pulau Pinang termasuk sebuah negeri yang segala urusan mengenai agama Islam terletak secara langsung di bawah naungan Seri Paduka Baginda.

    Jelasnya, walaupun pada masa ini parti yang memerintah Pulau Pinang adalah Pakatan Harapan (PH) yang merupakan gabungan antara parti-parti DAP, PKR dan Amanah, namun kedudukan agama Islam sebagai Agama Persekutuan tetap terpelihara dan diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan negeri.

    “Sebagai contoh, bajet yang diperuntukkan kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi melaksanakan pelbagai program dan keislaman di negeri ini mencecah hampir RM70 juta sejak tahun 2008,” katanya.

  • Penagih lemas terjun sungai semasa larikan diri daripada polis

    Penagih lemas terjun sungai semasa larikan diri daripada polis

    SEORANG penagih dadah lemas selepas terjun ke sungai semasa dikejar polis di Taman Arbi berdekatan Kampung Tabuan Melayu, Khuching, pukul 10 pagi ini.

    Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, Syed Mahadar Wan Mohamad, 37, bersama-sama seorang lagi rakannya bertindak melarikan diri ketika polis menjalankan pemeriksaan di kawasan kediaman itu.

    “Dalam Ops Tapis membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah, suspek bertindak melarikan diri terjun ke sungai ketika polis menghampiri rumahnya.

    “Tindakan itu menyebabkan lelaki terbabit lemas manakala rakannya yang selamat ditangkap sepasukan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Difahamkan suspek berasal dari Sebuyau pergi ke rumah rakannya di kampung berkenaan.

    Berdasarkan video yang tular dalam media sosial, penduduk kampung yang berada di lokasi kejadian sempat memberi bantuan awal kepada lelaki terbabit sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.

    Ahsmon berkata, kes masih lagi dalam siasatan pihak polis.

  • [VIDEO] Muhyiddin yakin Ikrar Perikatan Nasional bakal bawa perubahan besar kepada Melaka

    [VIDEO] Muhyiddin yakin Ikrar Perikatan Nasional bakal bawa perubahan besar kepada Melaka

    TAN Sri Muhyiddin Yass yakin Ikrar Perikatan Nasional dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang berteraskan 6 tunjang utama, berpacukan 11 strategi dan berlandaskan 74 pendekatan bakal melakar sejarah baharu kepada rakyat negeri itu.

    Pengerusi Perikatan Nasional itu berkata, beliau yakin dengan tawaran yang inklusif ini, Perikatan Nasional akan membawa perubahan besar kepada pendekatan pentadbiran negeri bertunjangkan nilai integriti dan ketelusan dengan jaminan kepentingan dan kesejahteraan rakyat senantiasa menjadi nadi dan keutamaan.

    ‘’Jika dipilih menerajui kerajaan selepas 20 November ini, saya berjanji akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Pemantau Pelaksanaan yang dianggotai anak jati Melaka daripada golongan profesional dan berpengalaman bagi memastikan tawaran ikrar Pilihan Raya Negeri Melaka ini dipenuhi.

    ‘’Saya yakin Pilihan Raya Negeri Melaka ini akan digunakan sebaiknya oleh rakyat untuk membetulkan keadaan dengan mengambil langkah berani melakukan perubahan dan memilih Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang baharu, insya-Allah,’’ katanya dalam catatan dalam Facebook beliau.

    Muhyiddin berkata, tumpuan Perikatan Nasional jika dipilih untuk membentuk kerajaan negeri kelak akan berpaksikan kepada enam tunjang tersebut iaitu Keutuhan Ekonomi, Keprihatinan Kepada Rakyat, Kerancakan Sektor Pelancongan,Kelestarian Alam Sekitar,Kecekapan Infrastruktur serta Keteguhan dan Kejujuran Pentadbiran

    ‘’Kesemua tunjang ini akan menjadi paksi dalam memastikan setiap aspek keperluan rakyat diberi perhatian dan tiada golongan dipinggirkan daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri Melaka,’’ katanya.

    Sementara itu dalam pesanan kepada pengundi Melaka melalui rakaman video, Muhyiddin berkata, beliau merayu supaya mereka memberi sokongan kepada kesemua calon-calon Perikatan Nasional yang berkaliber dan berkelayakan.

    ‘’Calon yang saya percaya calon yang bersih akan dapat dipilih untuk membentuk sebuah kerajaan di Melaka yang pastinya akan membawa negeri Melaka ke satu mercu kecemerlangan dan kegemilangan pada masa-sama akan datang.

    ‘’Jadi saya merayu undilah, sokonglah calon-calon Perikatan Nasional,’’ katanya.

  • CAP gesa KPKT ambil langkah segera elak insiden kanak-kanak terjatuh balkoni

    CAP gesa KPKT ambil langkah segera elak insiden kanak-kanak terjatuh balkoni

    PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa berkenaan khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil langkah segera membendung insiden kemalangan membabitkan kanak-kanak yang terjatuh dari beranda pangsapuri.

    Perkara itu susulan video seorang kanak-kanak yang dilihat bermain dan memanjat beranda sebuah unit rumah pangsapuri yang tular dalam laman sosial sehingga menimbulkan kegusaran dalam kalangan orang ramai.

    Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, KPKT pada 2018 pernah memaklumkan akan mengkaji pelaksanaan langkah keselamatan baharu di bangunan bertingkat selepas beberapa tragedi maut membabitkan kanak-kanak terjatuh dari tingkat atas bangunan. 

    Menurut beliau, menterinya ketika itu memaklumkan Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984 (UBBL 1984) telah menetapkan pagar beranda (bangunan bertingkat) tidak boleh kurang dari satu meter tinggi. 

    Selain itu jelasnya, KPKT ketika itu juga tidak mahu rumah dirasakan seperti penjara dengan membuat pagar terlalu tinggi dab akan menilai semula struktur untuk melihat sama ada spesifikasi itu perlu diubah. 

    “Namun sehingga kini, apakah langkah yang telah diambil KPKT dalam menangani kemalangan seperti ini? 

    “Kita percaya untuk mengelakkan sebarang tragedi yang melibatkan kanak-kanak dan beranda daripada berlaku, langkah keselamatan mestilah disepadukan ke dalam struktur bangunan itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

    Tambah beliau, kerajaan perlu menerima realiti akan sentiasa ada keluarga yang mempunyai anak kecil yang tinggal di bangunan bertingkat seperti rumah pangsa kerana kekangan kewangan. 

    Katanya, kerajaan juga perlu memahami bahawa ibu bapa tidak boleh memerhati anak-anak mereka sepanjang masa dan kanak-kanak yang sentiasa ingin tahu tentang sesuatu perkara tidak akan sentiasa mendengar dan mematuhi ibu bapa mereka tentang perkara-perkara yang mereka telah diberitahu untuk tidak lakukan. 

    Tambah beliau, ibu bapa hanya perlu pergi ke bilik lain, walaupun tidak keluar rumah dan anak mereka boleh terlibat dengan perkara yang dilarang secara jelas.

    “Contohnya, kita tidak mengetahui keseluruhan situasi dengan kanak-kanak dalam video yang tulat itu, tetapi caranya yang tergesa-gesa untuk melepasi pagar dan kembali ke beranda menunjukkan dia mungkin telah diberitahu untuk tidak memanjat pagar dan mengetahui sedang melakukan sesuatu yang dia tidak sepatutnya lakukan,” katanya.

  • Fathul Bari dilantik Pengerusi PR1MA yang baharu

    Fathul Bari dilantik Pengerusi PR1MA yang baharu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) hari ini mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya sebagai Pengerusi yang baharu berkuat kuasa 12 November lalu menggantikan Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim.

    Dr. Fathul Bari memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Hadis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

    Beliau memiliki pengalaman yang luas dalam sektor korporat antaranya sebagai Pengerusi Dewan Perniagaan Industri Malaysia-Asia Barat (MyMEC) sejak 2017 dan Pengerusi Eksekutif Prime Care Medical Center Sdn. Bhd. sejak 2021,

    Ini termasuk sebagai Ahli Jawatankuasa Pengurusan Zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sejak 2020 serta Ahli Lembaga Pengurusan (ALP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sejak 2020.

    Terkini, beliau dilantik sebagai Pengerusi Yayasan Khayr Ummah Antarabangsa (IKAF) selain terlibat aktiviti sosial dan kemasyarakatan.

    Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Mohd. Nazri Md. Shariff mengucapkan tahnah atas pelantikan tersebut.

    “Dengan pelantikan ini, kami di PR1MA yakin dan optimis bahawa Datuk Dr. Fathul Bari akan memacu perkembangan PR1MA yang kini pada landasan kukuh selari dengan misi yang dimandatkan.

    “Khususnya menyediakan kediaman mampu milik dan berkualiti tinggi untuk rakyat Malaysia berpendapatan pertengahan,” katanya dalam satu yang kenyataan dikeluarkan PR1MA, hari ini.

  • Majlis Syura Ulamak Pas alu-alukan keputusan Kerajaan Kedah

    Majlis Syura Ulamak Pas alu-alukan keputusan Kerajaan Kedah

    MAJLIS  Syura Ulamak Pas mengambil mengalu-alukan tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menghentikan kelulusan lesen premis judi di seluruh negeri Jelapang Padi itu melalui pihak berkuasa tempatan (PBT).

    Dalam kenyataan majlis tersebut berkata, tindakan dalam ruang lingkup kuasa yang ada pada kerajaan negeri itu selaras dengan kaedah Fiqh yang menyebut “sesuatu yang tidak dapat dilaksanakan semua tidak ditinggalkan sebahagian besar daripadanya”.

    ‘’Ia juga merupakan satu usaha yang sangat baik bagi menghalang kemudaratan harta dan sosial berlaku kepada rakyat. Malah, Majlis Syura Ulamak menyeru rakyat dan kerajaan tidak lagi menjadikan judi sebagai sumber pendapatan dan ekonomi bagi mengekang dan memerangi ‘ekonomi gelap’,’’ kata kenyataan itu hari ini.

    Majlis Syura Ulamak juga mengalu-alukan keputusan Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri yang mengehadkan penjualan arak kepada masyarakat bukan Islam sahaja khususnya di kawasan PBT yang tiada permintaan ke atas minuman keras.

    ‘’Hal ini kerana fakta menunjukkan bahawa arak menjadi salah satu punca kemalangan maut akibat pemandu mabuk serta memberikan implikasi kehilangan nyawa dan kecederaan bukan sahaja kepada mangsa bahkan keluarga selain kepentingan awam,’’ kata kenyataan tersebut.

    Selain itu Majlis Syura Ulamak Pas juga menegaskan,  tiada mana-mana agama di dunia ini yang membenarkan penganutnya berjudi dan Islam pula melarang keras umatnya terlibat secara langsung dan tidak langsung dengan arak dan judi.

    ‘’Majlis Syura Ulamak sentiasa mendokong usaha baik mana-mana pihak bagi melahirkan masyarakat yang lebih aman, makmur dan terhindar dari segala musibah yang berpunca daripada arak serta judi,’’ kata kenyataan tersebut.

  • Komuniti marin terlibat jenayah membimbangkan

    Komuniti marin terlibat jenayah membimbangkan

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bimbang lebih ramai komuniti marin terlibat dalam jenayah rentas sempadan di Selat Melaka khususnya di kawasan perairan Johor Barat.

    Ini berikutan kejadian jenayah terbabit didorong oleh desakan hidup setelah mereka terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

    Lebih membimbangkan apabila warga tempatan yang menjadi tali barut kepada kegiatan sindiket itu yang berperanan sebagai transporter dan spotter mampu menghasilkan pendapatan yang lumayan.

    Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin berkata, jenayah rentas sempadan lazimnya didalangi sindiket yang memperguna warga tempatan sebagai ejen-ejen jenayah terbabit.

    “Sekiranya perkara ini tidak ditangani secara cekap dan strategik melalui pendekatan kesedaran, penguatkuasaan dan hukuman, ia akan menjadi barah dalam masyarakat,” katanya pada sidang akhbar Op Redback ke-16, Johor Bahru, hari ini.

    Hamid berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan berlaku peningkatan kegiatan penyeludupan migran ke negara ini susulan pembukaan semula sektor ekonomi yang memerlukan ramai pekerja asing.

    Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd. Amin

    Katanya, perkara itu turut menjadi kebimbangan agensi terbabit setelah ramai masyarakat setempat yang bertindak menjadi penghantar untuk menghantar pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Ibu kota.

    “Ada besar kemungkinan (peningkatan penyeludupan migran) setelah negara kita menjadi tumpuan dan menjanjikan banyak peluang pekerjaan (pasca Covid-19).

    “Nasihat kami kepada mereka yang bertindak sebagai ejen sindiket ini untuk tidak terlibat sebaliknya melaporkan kegiatan itu kepada pihak berkuasa. Kami faham rakyat terkesan pandemik, tetapi ini bukanlah caranya, bantu kami tangani jenayah ini,” katanya.

    Difahamkan individu yang berperanan sebagai penghantar boleh menerima bayaran sekurang-kurangnya RM3,000 bagi setiap migran yang dibawa masuk dan spotter turut menerima upah dadah bagi membantu sindiket rentas sempadan.

    Sejak awal tahun sehingga kini, Maritim Johor telah menahan seramai 115 PATI dan membuat rampasan dadah seberat 142 kilogram (kg) berjumlah RM7.1 juta.

    Sementara itu, ujar Hamid, Op Redback ke-16 yang merupakan kerjasama antara Maritim Malaysia dan Australian Border Force (ABF) akan menitikberatkan elemen komunikasi strategik dalam menyedarkan masyarakat agar menghentikan penglibatan dalam jenayah seperti penyeludupan manusia, dadah dan barangan terlarang.

    Operasi itu merupakan satu inisiatif kerjasama antara kedua-dua agensi tersebut dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui kawasan perairan sejak 2013.

  • Pasangan suami isteri maut, parah motosikal langgar babi melintas

    Pasangan suami isteri maut, parah motosikal langgar babi melintas

    SEORANG wanita meninggal dunia selepas motosikal yang diboncengnya bersama-sama suami terbabas selepas terlanggar seekor babi melintas di Kilometer 2 Jalan Air Mawang-Renggoh, Kuala Pilah, hari ini.

    Kejadian berlaku pada pukul 8.15 pagi semasa Norlela Mohamed Sharif, 35, membonceng motosikal jenis Suzuki Smash ditunggang suaminya, Karim Amrullah Ab. Maid, 40, ke tempat kerja.

    Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd. Ghani berkata, Norlela maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala manakala Karim juga mengalami cedera parah di kepala dan dibawa ke Hospital Tampin.

    “Siasatan awal mendapati pasangan suami isteri tersebut dari rumah mereka di Kampung Melekai, Johol menuju ke tempat kerja di kedai makan di Kampung Air Mawang.

    “Sebaik sahaja sampai di tempat kejadian, motosikal mereka telah melanggar seekor binatang dipercayai babi yang sedang melintas menyebabkan kenderaan tersebut hilang kawalan lalu terbabas dan jatuh di atas jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Beliau berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Pilah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • Pekebun dituduh bunuh rakan guna pisau

    Pekebun dituduh bunuh rakan guna pisau

    SEORANG pekebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh, Perak hari ini atas pertuduhan membunuh rakannya dengan menggunakan pisau, dua minggu lepas.

    Tiada pengakuan direkodkan daripada S. Alphonsus, 40, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

    Lelaki itu didakwa membunuh R. Ravindran, 35, di Jalan Persiaran Jelapang 18, Taman Silibin, Ipoh antara 1 dan 2 pagi, 4 Nov lepas.

    Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Sementara itu, Alphonsus mengaku tidak bersalah atas pertuduhan didapati memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam badannya di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh pada 11 malam, 6 Nov lepas.

    Pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang  boleh dikenakan denda maksimum RM5,000 atau  penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

    Peguam J. K. Kala yang mewakili tertuduh memohon supaya anak guamnya dibenarkan menggunakan selipar kerana mendakwa Alphonsus disahkan mengalami jangkitan kuman oleh doktor ketika dibawa ke hospital semasa dalam tahanan reman.

    Nur Melati Diana membenarkan ahli keluarga memberikan selipar kepada tertuduh dan menetapkan 9 Feb depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan bedah siasat.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab.– Bernama

  • Kedah tidak perlu layan politikus tentang henti operasi judi

    Kedah tidak perlu layan politikus tentang henti operasi judi

    KERAJAAN Negeri Kedah diharap tidak melayan politikus yang sudah dijangka akan menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu khususnya daripada pemimpin DAP.

    Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz Mohamad Jan berkata, seperti dijangka pemimpin DAP akan memanaskan isu itu dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit.

    Sedangkan tegasnya, tindakan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah usaha besar dalam menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.

    “Setidak-tidaknya, di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain.

    “Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Sementara itu, Mohamad Fawwaz berharap segala tentangan dan kritikan daripada keputusan itu tidak dirasakan Kedah bersendirian.

    Malah jelas beliau, pihaknya yakin majoriti rakyat Malaysia yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman daripada belenggu judi dan arak.

    Dalam masa sama tambah beliau, Pemuda Pas Pulau Pinang turut berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah serupa.

    “Kantung pendapatan kerajaan mesti disucikan daripada sumber judi dan arak dan lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan.

    “Kamu percaya cita-cita murni mewujudkan Keluarga Malaysia hanya akan dapat direalisasikan antaranya dengan menghapus punca penyebab kepada masalah-masalah masyarakat.

    “Lebih banyak duri dibuang dijalanan, akan lebih laju kita semua dapat melangkah dan selamat,” katanya.