KERAJAAN Negeri Kedah diharap tidak melayan politikus yang sudah dijangka akan menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu khususnya daripada pemimpin DAP.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamad Fawwaz Mohamad Jan berkata, seperti dijangka pemimpin DAP akan memanaskan isu itu dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit.

Sedangkan tegasnya, tindakan kepimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor adalah usaha besar dalam menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.

“Setidak-tidaknya, di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain.

“Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mohamad Fawwaz berharap segala tentangan dan kritikan daripada keputusan itu tidak dirasakan Kedah bersendirian.

Malah jelas beliau, pihaknya yakin majoriti rakyat Malaysia yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman daripada belenggu judi dan arak.

Dalam masa sama tambah beliau, Pemuda Pas Pulau Pinang turut berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah serupa.

“Kantung pendapatan kerajaan mesti disucikan daripada sumber judi dan arak dan lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan.

“Kamu percaya cita-cita murni mewujudkan Keluarga Malaysia hanya akan dapat direalisasikan antaranya dengan menghapus punca penyebab kepada masalah-masalah masyarakat.

“Lebih banyak duri dibuang dijalanan, akan lebih laju kita semua dapat melangkah dan selamat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here