Category: Semasa

  • Lapan termasuk kanak-kanak ditahan kerana disyaki guna bom ikan

    Lapan termasuk kanak-kanak ditahan kerana disyaki guna bom ikan

    LAPAN lelaki tanpa dokumen perjalanan sah termasuk seorang kanak-kanak ditahan bersama peralatan bom ikan dalam Op Gelora Khas di perairan Pulau Billean, Jambongan, Sabah, semalam.

    Pasukan Polis Marin Sandakan (PPM) menahan kumpulan penangkap ikan itu pada jam 10.30 pagi itu dan semua suspek berusia antara lapan hingga 50 tahun.

    Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda, berkata pasukan PPM sedang menjalankan rondaan sebelum mengesan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

    Katanya, sebaik mengesan dua bot nelayan berkenaan, pasukan operasi menghampiri mereka untuk pemeriksaan dan mendapati, semua individu gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

    Hasil pemeriksaan lanjut, kami menemui beberapa peralatan untuk aktiviti pengeboman ikan bersama pelbagai hasil laut.

    “Semua tangkapan dan rampasan dibawa balik ke Pangkalan Marin Sandakan kerana disyaki menjalankan aktiviti mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, peralatan dirampas seperti detonator, botol kaca, mancis kayu dan hos dan pelbagai hasil laut.

    “Semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beluran untuk tindakan lanjut.

    “Nilai rampasan dianggarkan RM43,920 dan kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957,” katanya.

  • VTL darat:1,440 individu bermula 29 November

    VTL darat:1,440 individu bermula 29 November

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 1,440 pengembara dijangka akan menggunakan Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) darat melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua pada minggu pertama pelaksanaannya bermula 29 November ini.

    Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, berdasarkan perbincangan kedua-dua negara, jumlah mereka yang menggunakan laluan tersebut dijangka meningkat kepada 2,500 orang pada minggu kedua dan seterusnya 5,000 orang pada minggu ketiga.

    Justeru itu, beliau berharap agar pembukaan VTL darat yang dijadualkan berjalan serentak dengan VTL udara pada tarikh sama tidak akan ditangguhkan.

    “Berdasarkan keupayaan dan persediaan awal untuk buka sempadan, dijangkakan minggu pertama jumlah pergerakan keluar masuk ialah 1,440 orang pengembara.

    “Sama ada bilangan ini menggunakan pengangkutan awam atau dibenarkan menggunakan kenderaan persendirian, ia sedang dimuktamadkan,” katanya ketika Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di Iskandar Puteri, hari ini.

    Hasni (UMNO-Benut) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Bukit Batu), Andrew Chen Kah Eng (PH-Stulang) dan Liow Cai Tung (PH-Johor Jaya) yang bertanyakan kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) VTL darat, kategori dan jumlah pengembara.

    Bagaimanapun Hasni berkata, Johor telah bersedia dengan segala SOP dan telah pun membangunkan sistem yang boleh membantu kerajaan Persekutuan untuk menampung VTL darat ini.

    “Kita ada Johor Travel Safe, sistem yang telah dibangunkan dan telah membantu kerajaan Persekutuan ketika pelaksanaan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) dan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) yang membenarkan masing-masing seramai 2,000 orang dan 400 orang,” katanya.

    Mengenai kategori pengembara yang dibenarkan, Hasni berharap agar kategori yang sama untuk VTL udara akan dibenarkan juga untuk VTL darat.

    “Bagi memastikan SOP yang dilaksanakan bersesuaian dengan kapasiti saringan dan pengembara, satu ujian rintis berhubung VTL darat dijangka berjalan esok,” katanya.

    Ujar Hasni lagi, kerajaan negeri bersama-sama Kementerian Kesihatan sedang menyediakan dan mengukuhkan SOP berkenaan VTL darat terutamanya mengenai prosedur saringan kepada mereka yang ingin keluar dan masuk sempadan kedua-dua buah negara.

    “Secara prinsipnya, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif VTL darat ini dan ia merupakan satu langkah progresif untuk pembukaan semula sempadan antarabangsa negara yang selamat.

    “Ia adalah satu lagi kejayaan penting dalam kerjasama Malaysia dan Singapura yang berupaya untuk memulihkan ekonomi kedua-dua negara terutama sekali di Johor,” katanya.

  • Rentas sempadan Malaysia-Singapura dilaksana mengikut kuota harian

    Rentas sempadan Malaysia-Singapura dilaksana mengikut kuota harian

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    MALAYSIA dan Singapura bersetuju bahawa pembukaan sempadan akan dilakukan secara beransur-ansur dan sistematik bagi membolehkan aktiviti rentas sempadan dilaksanakan dalam keadaan paling selamat.

    Justeru kata Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad, pendekatan yang bersesuaian adalah dengan menetapkan kuota harian bagi aktiviti rentas sempadan.

    “Bagi memastikan pelaksanaan aktiviti ini tidak menjejaskan kepentingan kesihatan awam, ujian saringan Covid-19 yang boleh memberikan keputusan pada kadar segera serta tidak membebankan warganegara Malaysia akan dilaksanakan.

    “Selain itu, pelbagai isu perlu diberikan penekanan dan perhatian termasuk pengiktirafan sijil vaksinasi di antara dua buah negara.

    “Bagitu juga kapasiti semasa tambak (Causeway) dan juga Second Link, kebenaran mengakses maklumat status vaksinasi oleh Malaysia dan Singapura, perjalanan bebas kuarantin dan pematuhan SOP kesihatan dari semasa ke semasa perli diberi perhatian,” katanya.

    Hasni Mohammad

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata demikian dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

    Hasni menjawab soalan Liow Cai Tung (DAP-Johor Jaya) berkenaan bila sempadan Malaysia-Singapura akan dibuka sepenuhnya.

    Katanya, walaupun pembukaan sempadan negara adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan kerana melibatkan isu di antara dua buah negara, kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan pergerakan rentas sempadan dapat direalisasikan.

    Jelasnya, ini terutamanya untuk rakyat Malaysia yang berulang-alik ke republik tersebut dan untuk itu, beberapa pendekatan telah dilaksanakan kerajaan negeri berhubung perkara berkenaan.

    “Kerajaan Negeri Johor sentiasa dilibatkan secara langsung di dalam usaha pembukaan sempadan Malaysia dan Singapura.

    “Pada 27 September 2021, Kerajaan Negeri Johor telah membentangkan cadangan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang terkini bagi tujuan ulang-alik antara Malaysia dan Singapura dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik Bilangan 37/2021,” katanya.

    Menurutnya, satu pasukan petugas khas juga telah ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Pembukaan Sempadan yang terdiri daripada pelbagai agensi-agensi Persekutuan dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor.

    Pasukan itu katanya, akan memberi tumpuan kepada usaha pembukaan sempadan darat bagi memudahkan urusan pergerakan warganegara khususnya pekerja antara kedua-dua negara Malaysia dan Singapura.

  • Wang ‘terbang’ dari trak berperisai di lebuh raya

    Wang ‘terbang’ dari trak berperisai di lebuh raya

    KEADAAN satu lebuh raya di California, Amerika Syarikat (AS) menjadi huru-hara apabila pengguna jalan tersebut mengerumuni sebuah trak berperisai selepas sejumlah besar wang tunai jatuh dari kenderaan itu.

    Insiden di lebuh raya itu berlaku selepas pintu kenderaan terbabit terbuka menyebabkan wang berterbangan.

    kejadian tersebut berlaku di lebuh raya Interstate-5, berhampiran San Diego.

    Boleh dilihat pemandu kenderaan di kawasan terbabit sanggup berhenti dengan harapan dapat mengambil wang berkenaan, namun cubaan itu digagalkan polis yang bertindak tegas menahan dua individu.

    “Terdapat banyak bukti video orang mencuri wang tunai dari lebuh raya dan mengambilnya.

    “Wang pelbagai denominasi berjumlah ribuan dolar itu adalah milik sebuah bank dan mesti dikembalikan ke balai polis,” kata Peronda Lebuhraya California, Curtis Martin dalam satu sidang media.

    Video berkenaan tular dalam media sosial menunjukkan orang ramai berlari di lokasi, mengambil wang tunai dan juga melemparkan wang itu ke udara sebagai tanda meraikannya.

  • Mekanik maut dihempap kereta sedang dibaiki di bengkel

    Mekanik maut dihempap kereta sedang dibaiki di bengkel

    SEORANG mekanik ditemukan maut dalam keadaan dihempap sebuah kereta yang dipercayai sedang dibaikinya di sebuah bengkel di Kampung Bukit, Bayan Lepas, Pulau Pinang malam tadi.

    Mangsa, Muaz Mat Isa, 31, ditemukan dalam keadaan tersepit di bawah kereta jenis Proton Exora kira-kira pukul 11.45 malam.

    Mangsa ditemui oleh rakannya yang datang mencarinya di bengkel itu dan difahamkan ketika kejadian mangsa sedang bekerja bersendirian.

    Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Helmirizal Che Morad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pukul 11.54 malam dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    Pihak bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit di bawah kereta menggunakan peralatan khas

    Tambahnya, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian didapati seorang lelaki berada dalam keadaan terlentang di bawah kereta tersebut.

    “Kerja-kerja mengeluarkan mangsa yang tersepit dilakukan menggunakan peralatan khas dan mangsa berjaya dikeluarkan kira-kira pukul 1 pagi dalam keadaan cedera pada bahagian muka dan badan.

    “Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut beliau, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan difahamkan dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk dibedah siasat. – SB

  • PRN Melaka: Kesemua calon bebas, Putra, Iman hilang wang deposit

    PRN Melaka: Kesemua calon bebas, Putra, Iman hilang wang deposit

    PERCUBAAN kesemua calon Bebas termasuk “YB Viral” Datuk Norhizam Hassan Baktee dan dua parti politik untuk membuat penampilan sulung dalam pilihan raya dengan memasuki gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, berakhir dengan kehilangan deposit.

    Kesemua 22 calon Bebas, lima calon Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan calon tunggal Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman) adalah antara 34 calon yang hilang deposit dalam PRN Melaka setelah gagal memperolehi satu per lapan  atau 12.5 peratus undi daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira.

    Norhizam yang juga penyandang kerusi DUN Pengkalan Batu, hilang deposit dalam percubaannya mempertahankan kerusi tersebut setelah meraih 1,218 undi.

    PRN Melaka adalah penampilan sulung buat Putra dan Iman dalam pilihan raya. 

    Masing-masing dua calon daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) turut hilang deposit.

    Dua calon PN yang hilang deposit ialah Clarice Chan Ming Wang yang bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir dan Fong Khai Ling di DUN Kota Laksamana.

    Calon BN yang kehilangan deposit ialah Lee Kah Sean yang bertanding di DUN Bandar Hilir dan Benjamin Low Ching Hong di DUN Kota Laksamana, manakala calon PH ialah Zainal Hassan di DUN Tanjung Bidara dan Maznah Baharuddin di DUN Ayer Limau.

    Sembilan calon yang memasuki gelanggang melibatkan pertandingan enam penjuru masing-masing di tiga kerusi DUN iaitu Gadek, Asahan dan Duyong, juga hilang deposit.

    Mereka ialah Azafen Amin (Bebas); Mohan Singh Booda Singh (Bebas); Laila Norinda Maon (Putra); Mohd Noor Salleh (Bebas); Azmar Abdul Hamid (Bebas); Mohd Akhir Ayob (Bebas); Gan Tian Soh (Bebas); Muhamad Hafiz Ishak (Bebas) dan Mohd Faizal Amzah (Putra).

    Dalam PRN Melaka itu, calon PH bagi DUN Kota Laksamana Low Chee Leong memperolehi majoriti terbesar dengan meraih 11,494 undi, manakala calon Bebas di DUN Serkam, Datuk Dr Norazlanshah Hazali, memperolehi undi terendah iaitu sebanyak 79 undi.

    BN memperoleh mandat untuk mentadbir kerajaan Melaka setelah memenangi lebih dua pertiga kerusi DUN.  Gabungan UMNO, MCA dan MIC memperoleh 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan.

    –BERNAMA

  • Sulaiman angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13

    Sulaiman angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Ke-13

    AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Melaka ke-13 di Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka di sini, awal pagi ini.

    Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia berkenaan dilakukan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama.

    Turut hadir isteri Mohd Ali, Toh Puan Asmah Abd Rahman, Perdana Menteri merangkap Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Sulaiman, 55, sebelum ini dinamakan sebagai calon Ketua Menteri Melaka jika BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

    Ini merupakan kali kedua Sulaiman dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka selepas pertama kali dilantik ke jawatan berkenaan pada tahun lepas.   – BERNAMA

  • Tok Mat Hasan pimpin BN menang besar, PN kekal menang dua kerusi, PH catat keputusan terburuk

    Tok Mat Hasan pimpin BN menang besar, PN kekal menang dua kerusi, PH catat keputusan terburuk

    BARISAN Nasional (BN) yang dipimpin oleh Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Pengarah Pilihan Raya berjaya menubuhkan kerajaan selepas menguasai 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri (PRN) yang diadakan hari ini.

    Mohamad Hasan yang sebelum ini turut bertanggungjawab memastikan kemenangan BN dalam beberapa pilihan raya kecil memastikan BN Melaka bukan sahaja menambah jumlah kerusi dimenangi berbanding Pilihan Raya Umum Ke -14 lalu tetapi juga merampas kerusi yang dikuasai oleh Pakatan Harapan.

    Pada PRU-14, BN Melaka hanya  memenangi 13 tetapi menambah lapan lagi kerusi dalam dalam PRN  menjadikannya 21 kerusi sekaligus membolehkan parti itu memerintah dengan dua pertiga majoriti di Dewan Undangan Negeri (DUN).

    Kerusi-kerusi yang dipertahankan oleh BN ialah Kuala Linggi, Tanjong Bidara, Lendu, Ayer Limau, Taboh Naning, Asahan, Pantai Kundor, Ayer Molek, Serkam, Merlimau, Rim  dan  Sungai Rambai.

    Kerusi yang dirampas dari PH dan Perikatan Nasional ialah Pengkalan Batu, Rembia, Gadek, Machap Jaya, Durian Tunggal, Paya Rumput, Kelebang, Duyong dan Telok Mas.

    Bagaimanapun kejutan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang apabila Calon Perikatan Nasional Mohd Aleef Yusof menumbangkan Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Mohamad Ali Mohamad dan Calon Pakatan Harapan, Hasmonrni Tamby.

    Selain kerusi DUN Sungai Udang, Perikatan Nasional turut memenangi kerusi DUN Bemban sekaligus mengekalkan rekod menguasai dua kerusi DUN seperti sebelum ini walaupun gagal mempertahankan DUN Paya Rumput dan Telok Mas.

    Pakatan Harapan mencatat rekod paling buruk apabila memenangi hanya 5 kerusi iaitu Ayer Keroh, Bukit Katil , Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir

    Sementara itu, ADUN Lendu yang juga calon Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Ali mengekalkan kerusi kawasan tersebut dengan majoriti lebih besar iaitu lebih 3,000 undi berbanding 627 undi pada PRU-14.

    Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab.Rauf Yusoh dilihat bernasib baik di Dun Tanjong Bidara apabila menang dengan majoriti tipis apabila mendapat 3,558 undi menewaskan Calon Perikatan Nasional, Mas Ermieyati Samsuddin (3,195 undi) dan Calon Pakatan Harapan Zainal Hassan (489 undi).

    DI Telok Mas, seperti dijangkakan Pengerusi Perikatan Nasional, Mohd Rafiq Naizamohideen yang mendapat 3,976 undi tewas kepada Calon Barisan Nasional, Abdul RAzak Abdul Rahman yang mendapat 6,052 undi.

    Di Asahan, bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan gagal memenangi kerusi tersebut yang dikuasai Calon Barisan Nasional Fairul Nizam Roslan.

  • 54 individu diberkas leka berhibur di pusat hiburan

    54 individu diberkas leka berhibur di pusat hiburan

    KEGEMBIRAAN sekumpulan 49 pengunjung yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam terbantut selepas premis itu diserbu polis.

    Mereka yang terdiri daripada 35 pelanggan tempatan dan 14 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam. 

    Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berkenaan bersama-sama tiga pekerja iaitu pasangan lelaki dan wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing. 

    Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan melakukan  kesalahan menggaji serta melindungi warga asing. 

    “Lelaki tersebut dikenakan kompaun RM30,000 atas tiga kesalahan iaitu gagal menyediakan laluan keluar masuk, menjalankan aktiviti hiburan dan gagal memastikan pelanggan menjaga penjarakan fizikal. 

    “Selain itu, kesemua warga tempatan yang diperiksa juga dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

    Menurut Soffian, saringan air kencing yang dilakukan  terhadap kesemua mereka didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah. 

    Ujar beliau, siasatan ke atas seorang pekerja bersama 14 wanita warga asing akan dilakukan di bawah Akta Imigresen dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). 

    Selain itu katanya, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. 

    “Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. 

    Tambah beliau, kesemua individu terbabit kini ditahan reman selama tiga hari hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

  • Negara Teluk, Asia waspada perangi ekstremisme

    Negara Teluk, Asia waspada perangi ekstremisme

    NEGARA-NEGARA Teluk dan Asia perlu waspada dalam memerangi ekstremisme serta tidak harus mengalihkan pandangan daripada peperangan ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata, perkembangan di Afghanistan mungkin menjadi pencetus semangat kepada kumpulan militan yang tidak aktif di Asia Tenggara sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kedua-dua rantau akan menjadi syurga buat pengganas yang mencari pangkalan baharu.

    Hishammuddin berkata, ketika dunia menumpukan perhatian kepada peperangan menentang COVID-19, tindakan itu seolah-olah memberi gambaran bahawa keganasan dan ekstremisme sudah tidak begitu penting namun kerajaan di seluruh dunia tidak harus membiarkan perkara ini mengaburi pandangan mereka serta membuai mereka dengan rasa selamat yang palsu.

    “Ketika puak pelampau ini merasakan perhatian kita telah teralih maka pada saat itulah mereka akan bertindak memperhebat niat jahat mereka,” katanya dalam ucapan yang disampaikan secara maya pada Sesi Pleno Kedua Dialog Manama anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISS) yang berlangsung di Bahrain hari ini.

    Turut hadir, Menteri Hal Ehwal Luar Negeri bagi Kerajaan Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud, Penasihat Keselamatan Negara bagi United Kingdom, Sir Stephen Lovegrove dan Ketua Pengarah merangkap Ketua Eksekutif ISS, Dr John Chipman.

    Hishammuddin juga berkata, kedua-dua rantau berpeluang menempa masa depan yang lebih baik bersama-sama dalam landskap global baharu apabila dunia beralih ke fasa endemik.

    Beliau berkata, Negara-Negara Teluk dan Asia harus mencari persamaan dan memupuknya merentasi pelbagai sektor sebagai dua rantau yang dihubungkan oleh begitu banyak persamaan.

    “Kita perlu bekerja keras ketika ini dalam usaha menjamin masa depan yang kita inginkan untuk anak cucu kita. Kita perlu melakukannya untuk diri sendiri demi membina asas yang kukuh buat wawasan masa depan bersama ini.

    “Kita harus mampu melakar nasib sendiri secara bersama. Kita harus mengelak daripada ditarik ke arah yang berbeza dan menempa keunikan dalam wawasan,” katanya. – BERNAMA