KEGEMBIRAAN sekumpulan 49 pengunjung yang sedang berhibur di sebuah pusat hiburan di Jalan Dr. Lim Chwee Leong, Georgetown, Pulau Pinang malam semalam terbantut selepas premis itu diserbu polis.

Mereka yang terdiri daripada 35 pelanggan tempatan dan 14 wanita warga asing berusia antara 20 hingga 54 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam. 

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam operasi itu polis turut menahan seorang lelaki tempatan yang merupakan penjaga premis berkenaan bersama-sama tiga pekerja iaitu pasangan lelaki dan wanita tempatan dan seorang lelaki warga asing. 

Menurutnya, hasil pemeriksaan lanjut mendapati penjaga premis berkenaan melakukan  kesalahan menggaji serta melindungi warga asing. 

“Lelaki tersebut dikenakan kompaun RM30,000 atas tiga kesalahan iaitu gagal menyediakan laluan keluar masuk, menjalankan aktiviti hiburan dan gagal memastikan pelanggan menjaga penjarakan fizikal. 

“Selain itu, kesemua warga tempatan yang diperiksa juga dikenakan kompaun RM4,000 setiap seorang atas kesalahan gagal menjaga penjarakan fizikal,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut Soffian, saringan air kencing yang dilakukan  terhadap kesemua mereka didapati negatif daripada sebarang pengambilan dadah. 

Ujar beliau, siasatan ke atas seorang pekerja bersama 14 wanita warga asing akan dilakukan di bawah Akta Imigresen dan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP). 

Selain itu katanya, kes juga akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1998. 

“Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” jelasnya. 

Tambah beliau, kesemua individu terbabit kini ditahan reman selama tiga hari hingga Isnin ini untuk siasatan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here