Category: Semasa

  • Tidak perbaharui lesen premis judi:Harap sokongan padu rakyat

    Tidak perbaharui lesen premis judi:Harap sokongan padu rakyat

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PERTUBUHAN Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Kedah mengharapkan sokongan padu rakyat terhadap keputusan kerajaan negeri untuk tidak memperbaharui lesen premis perjudian berkuat kuasa serta-merta.

    Ketua Penerangannya, Azrol Mansor berkata, sokongan itu perlu memandangkan terdapat pihak tertentu yang cuba mengheret isu tersebut ke mahkamah untuk mencabar keputusan tersebut.

    “Semua pihak harus membantu usaha murni kerajaan negeri dalam mendidik masyarakat tentang bahaya dan implikasi terhadap tabiat berjudi.

    “Kepada kerajaan negeri Kedah, teruskan usaha untuk menjadikan negeri ini sifar perjudian dengan penguatkuasaan lebih tegas kepada premis yang beroperasi secara berlesen, haram mahu pun yang beroperasi dalam talian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Azrol Mansor

    Beberapa pihak sebelum ini difahamkan telah menghantar permohonan kepada mahkamah untuk mencabar keputusan kerajaan negeri tersebut.

    Malah Pengerusi Biro Undang-UNdang Kebangsaan, Ramkarpal Singh dalam satu kenyataan sebelum ini menyebut, sebanyak empat penduduk Kedah telah memfailkan semakan kehakiman untuk membatalkan langkah itu dengan alasan ia tidak munasabah serta melangkaui kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan.

    Menurut Ramkarpal, tindakan undang-undang itu difailkan di Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 18 November lalu dengan plaintif diwakili firma guaman Messrs Karpal Singh & Co.

  • Imigresen tahan 129 pendatang tanpa izin

    Imigresen tahan 129 pendatang tanpa izin

    SERAMAI 129 pendatang tanpa izin ditahan di sebuah kilang mengeluarkan peralatan besi kerana disyaki tidak memiliki sebarang dokumen sah dan menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan oleh Imigresen.

    Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, mereka yang ditahan dalam serbuan pada 8 malam itu terdiri daripada 110 lelaki dan 19 wanita warga Indonesia, Myanmar, India serta Bangladesh berusia lingkungan 20 hingga 49 tahun.

    “Seramai 134 orang telah diperiksa dan 129 daripadanya ditahan kerana didapati tidak mempunyai sebarang dokumen dan ada juga yang menyalahgunakan dokumen yang dikeluarkan.

    “Bagi mereka yang tiada dokumen, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan yang didapati menyalahgunakan dokumen pula disiasat di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam sidang media operasi penguatkuasaan di Balakong, malam Isnin.

    Beliau juga berkata, program Pelan Rekalibrasi Pendatang Tanpa Izin, Tenaga Kerja yang tamat pada 31 Disember ini tidak akan dilanjutkan.
     
    “Bagi majikan yang mendaftarkan pekerja mereka di dalam portal, walaupun PLKS (Pas Lawatan Kerja Sementara) belum dikeluarkan (dan) sedang diproses, tindakan penguatkuasaan tidak akan dikenakan.

    “Saya minta semua majikan mengambil peluang program ini kerana ia akan berakhir pada hujung Disember ini,” katanya.


    Khairul Dzaimee juga berkata, Jabatan Imigresen telah membuat persiapan rapi bagi memastikan program Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL), yang dijadualkan bermula 29 November ini, berjalan lancar.

    Beliau berkata, ini termasuk persiapan dari segi tenaga kerja seperti sistem Imigresen yang diaktifkan semula selepas ‘berehat’ kira-kira dua tahun akibat pandemik Covid-19.

    Sebelum ini, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad pada 18 Nov lepas berkata VTL melalui Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura dibuka serentak dengan VTL antara Lapangan Terbang Changi dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. – Bernama

  • 17 positif Covid-19, 30 pekerja The Datai Langkawi dikuarantin

    17 positif Covid-19, 30 pekerja The Datai Langkawi dikuarantin

    Oleh RIZQI ZABIDI

    PENULARAN kes Covid-19 yang membawa kepada penutupan sementara sebuah resort terkemuka, The Datai Langkawi bermula semalam hanya melibatkan kalangan pekerja resort itu tanpa menjangkiti mana-mana tetamu mahu pun pelancong yang menginap di situ setakat ini.

    Pengarah Kesihatan Negeri Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, setakat semalam terdapat 17 kes positif Covid-19 yang telah didaftarkan melibatkan pekerja di hotel berkenaan.

    Selain itu katanya, seramai 30 pekerja yang merupakan kontak rapat kes telah diarahkan untuk menjalani kuarantin.

    “Semua pekerja termasuk mereka yang positif telah lengkap menerima vaksinasi Covid-19. Semua kes adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah oleh pasukan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Langkawi.

    “Pihak pengurusan resort tersebut telah mengambil langkah penutupan secara sukarela bermula 22 November 2021 selama 10 hari bagi kerja-kerja pembersihan dan kawalan jangkitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menerusi kenyataan dikeluarkan dalam laman web rasminya semalam, pihak pengurusan resort tersebut turut memohon maaf kepada pengunjung yang terjejas dengan penutupan tersebut selain memberi pilihan kepada mereka untuk menukar tarikh atau pembatalan secara percuma tanpa dikenakan sebarang penalti.

    Mengulas lanjut Othman berkata, kes-kes tersebut dikesan melalui aktiviti saringan sukarela dalam kalangan pekerja yang dilakukan oleh majikan.

    “Daripada 17 kes tersebut, tiga telah disahkan melalui ujian pengesahan di Klinik Kesihatan Langkawi manakala selebihnya disahkan melalui ujian di klinik swasta.

    “Majoriti pekerja tersebut tinggal di asrama pekerja disediakan majikan dan berkemungkinan penularan berlaku di situ,” katanya.

    Tambahnya, Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi ketika ini masih meneruskan siasatan dan pengesanan kes di samping memberi khidmat nasihat serta pemantauan berterusan bagi memastikan rantaian jangkitan itu dapat diputuskan.

    “Selain itu bagi memastikan jangkitan Covid-19 di Langkawi sentiasa terkawal dan tidak menjejaskan aktiviti pelancongan, Kerajaan negeri Kedah juga telah menubuhkan Jawatankuasa Gelembung Pelancongan Langkawi yang diketuai Pegawai Daerah Langkawi dan dianggotai pelbagai jabatan serta agensi kerajaan selain pihak swasta.

    “Jawatankuasa ini sentiasa mengawasi perkembangan masuk dan keluar pelancong termasuk dalam aspek pematuhan prosedur operasi standard oleh semua pihak terlibat.” katanya.

  • Kantoi sorok 304 biji pil yaba di celah pelepah kelapa dalam kebun

    Kantoi sorok 304 biji pil yaba di celah pelepah kelapa dalam kebun

    KELIBAT seorang lelaki yang dalam keadaan mencurigakan semasa polis melakukan rondaan di sebuah kebun di belakang sebuah rumah di Kampung Bechah Tendong, Pasir Mas, semalam, membongkar kepada penemuan 304 biji pil yaba.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya melakukan rondaan di kawasan berkenaan pada pukul 5.30 petang dan menemui suspek, 41, di kawasan itu.

    “Semasa penemuan berkenaan, suspek menggenggam empat biji pil yaba di tangan kanannya dan pemeriksaan lanjut menemui 300 biji pil yaba di dalam plastik hijau yang diletakkan di celah pelepah kelapa di kawasan yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Katanya, keputusan ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai empat rekod lampau melibatkan dadah.

    Suspek yagn tidak bekerja katanya, mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan memberitahu bekalan berkenaan diperoleh daripada seorang individu yang tinggal di sebuah kampung di Kota Bharu.

    “Siasatan akan diteruskan untuk mengenal pasti maklumat lanjut berkenaan individu berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata, nilai rampasan keseluruhan adalah sebanyak RM3,040 dan kes disiasat di bawah Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) akta yang sama.

  • Peniaga kedai runcit nyaris maut akibat tebing sungai runtuh

    Peniaga kedai runcit nyaris maut akibat tebing sungai runtuh

    SEORANG peniaga kedai runcit nyaris maut selepas bahagian belakang rumahnya di tebing Sungai Kemasin di Kampung Kuau, di Kelantan runtuh dalam kejadian yang berlaku hari ini.

    Hamzah Jusoh, 53, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang, ketika beliau sedang mengemas bahagian belakang rumahnya itu.

    “Mula-mula saya nampak rekahan di simen di bahagian belakang rumah. Kemudian sedikit demi sedikit tanah tebing mulai runtuh ke dalam Sungai Kemasin.

    “Saya segera masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan diri. Sebuah basikal serta beberapa lagi barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui, hari ini.

    Hamzah berkata anggota bomba yang melawat lokasi kejadian menasihatkan supaya beliau, isteri dan anak-anaknya mengosongkan rumah itu, yang turut dijadikan kedai runcit itu buat sementara waktu.

    “Bomba beritahu tiga hingga empat bulan kena kosongkan rumah ini. Jadi kami sekeluarga dibantu penduduk kampung memindahkan barangan ke rumah adik saya yang terletak berhampiran,” katanya.

    Menurut Hamzah selain kediamannya, sebuah rumah jiran yang terletak bersebelahan turut mengalami kerosakan akibat runtuhan tebing sungai itu.

    Tinjauan Bernama di lokasi mendapat bomba telah meletakkan pita keselamatan di lokasi tersebut bagi menghalang orang ramai menghampiri kawasan tebing sungai. – Bernama

  • Projek Rintis Bantuan Tanpa Tunai jana transaksi lebih RM300,000- Rina Harun

    Projek Rintis Bantuan Tanpa Tunai jana transaksi lebih RM300,000- Rina Harun

    PROJEK Rintis Bayaran Bantuan Tanpa Tunai yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, bermula Februari hingga Julai tahun ini di lokasi-lokasi terlibat, telah menjana transaksi berjumlah RM334,059.

    Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata projek rintis fasa satu bayaran tanpa tunai dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) itu, melibatkan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat di beberapa daerah di Perlis, Kedah dan Melaka, dengan penyertaan 246 premis.

    “Satu kajian kebolehlaksanaan projek rintis itu juga telah dilaksanakan pada 14 Jun sehingga 10 Julai 2021, di seluruh lokasi rintis terbabit melibatkan seramai 1,066 peserta dan daripada kajian tersebut sejumlah 845 atau 79.3 peratus peserta memberi sokongan penuh pelaksanaan program ini,” katanya di Majlis Pelancaran Peluasan Program Bayaran Bantuan Tanpa Tunai di Taman Sinar Harapan, di Terengganu, hari ini.

    Sehubungan itu, katanya program bayaran bantuan tanpa tunai fasa satu tersebut kini diperluaskan di seluruh Perlis, Kedah, Melaka, dan penambahan tiga lagi negeri iaitu Terengganu, Kelantan serta Selangor, dengan melibatkan 178 premis.

    Katanya fasa dua pelaksanaan program tersebut akan bermula awal tahun depan melibatkan Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, manakala fasa tiga pula akan bermula pada 2023 di negeri-negeri lain.

    Rina berkata kementerian optimis bahawa peluasan program bayaran tanpa tunai itu merupakan program berimpak tinggi untuk menambah baik penyampaian kepada penerima banguan JKM.

    Ia sejajar dengan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia 2021 dan memacu transformasi perkhidmatan digital sektor awam yang menyokong ke arah kewujudan masyarakat digital.– Bernama

  • 1,696 bomba dijangkiti Covid-19, 2 pegawai kanan meninggal dunia

    1,696 bomba dijangkiti Covid-19, 2 pegawai kanan meninggal dunia

    SERAMAI 1,696 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara dijangkiti Covid-19 sejak tahun lalu sehingga kini.

    Daripada jumlah itu, dua daripada mereka dilaporkan terkorban iaitu pegawai kanan di Sabah dan Negeri Sembilan yang dijangkiti wabak itu daripada komuniti, bukannya ketika sedang bertugas.

    Selain itu menurut Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid, seramai 68 anggota bomba sedang menjalani kuarantin selepas disahkan positif termasuk kurantin di rumah, di hospital Covid-19 atau di pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC).

    “Bagaimanapun situasi jangkitan Covid-19 dalam kalangan anggota bomba ini tidak sesekali menjejaskan perkhidmatan jabatan ini kepada masyarakat,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 di Seberang Jaya, Pulau Pinang hari ini.

    Dalam majlis yang turut dihadiri Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar itu, seramai 37 pegawai dan anggota menerima pingat kebesaran termasuk Pingat Jasa Bomba; Pingat Setia Bomba dan Pingat Cemerlang Bomba serta Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (68 orang) dan Sijil 30 Tahun Perkhidmatan (19 orang).

    Dalam perkembangan sama, Mohammad Hamdan berkata, setakat ini kira-kira 26 peratus daripada keseluruhan 14,500 anggota bomba di seluruh negara telah menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

    “Pemberian dos penggalak ini merupakan persediaan kita dalam menghadapi musim banjir memandangkan pengurusan bencana itu kali ini cukup mencabar disebabkan kita masih lagi berada dalam situasi pandemik Covid-19,” katanya.

  • UniKL bangunkan pusat simulasi penerbangan pesawat Boeing 737-800

    UniKL bangunkan pusat simulasi penerbangan pesawat Boeing 737-800

    UniKL Malaysian Institute of Aviation Technology (UniKL MIAT) berjaya membangunkan sebuah Pusat Simulasi Penerbangan bagi Program Latihan Penarafan (Aircraft Type Rating) untuk pesawat Boeing 737-800.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pusat  yang terletak di kampus Subang itu dilengkapi dengan peralatan avionik dan instrumen dengan piawaian pesawat sebenar.

    “Simulator B737-800 ini akan digunapakai untuk latihan kejuruteraan baikpulih pesawat khususnya B737-800. Mahasiswa akan dilatih dan didedahkan kepada pelbagai sistem kejuruteraan pesawat melalui proses pengujian sistem avionik dan instrumen.

    ‘’Dengan adanya simulasi penerbangan ini, pelajar akan didedahkan dengan kejuruteraan teknologi simulasi penyelengaraan dan penerbangan terkini selain diajar asas penerbangan dan seterusnya dapat menerbangkan pesawat dengan baik,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pusat Simulasi Penerbangan UniKL MIAT Kampus Subang dan majlis pelancaran Siri Bicara Menteri UniKL MIAT di Subang hari ini.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Ramlan Harun dan Pengerusi UniKL, Prof. Emeritus Datuk Dr. Sukiman Sarmani.

    Mahdzir berkata, pusat simulasi itu juga mendapat pengiktirafan daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia, CAAM dan Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah, EASA,  untuk tujuan latihan jurutera penyelengaraan pesawat.

    Beliau memberitahu, simulator bernilai RM2.9 juta di UniKL MIAT itu juga merupakan satu-satunya simulator B737-800 yang beroperasi di Malaysia selain yang terdapat di Malaysia Airlines.

    “Perolehan Simulator 737-800 ini adalah sebahagian daripada inisiatif UniKL MIAT dibawah projek Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) bertujuan untuk melatih lebih ramai jurutera, mekanik dan juruteknik yang berkelayakan dalam bidang penyelenggaraan pesawat bertauliah,’’ katanya.

    Mahdzir Khalid berbual dengan salah seorang pelajar Pusat Simulasi Penerbangan UniKL MIAT Kampus Subang.

    Selain itu kata beliau, tempoh masa latihan bagi pelajar juga dapat dipendekkan sebanyak 3 peratus dari tempoh asal yang ditetapkan”.

    Mahdzir berkata, dengan perolehan pusat simulasi itu juga sekaligus menaik taraf kampus UniKL MIAT dengan elemen Smart MRO dan menjadi pemangkin bagi menjayakan revolusi industri 4.0.

    “Projek naiktaraf ini sedang giat dijalankan dan bakal  memperkenalkan MRO masa hadapan kepada para mahasiswa UniKL MIAT. Ini adalah untuk memastikan bahawa mereka memperolehi ilmu pengetahuan dan kemahiran tinggi yang kekal relevan dengan industri masa hadapan”, katanya.

    Sementara itu, Mahdzir menjadi tokoh pemimpin pertama ditampilkan dalam program Siri Bicara Menteri UniKL yang dihadiri 150 orang pemimpin mahasiswa dari kesemua 12 buah kampus UniKL.

    Program yang julung-julung kali dianjurkan oleh Bahagian Gaya Hidup Kampus UniKL itu bertujuan menyediakan platform interaksi secara langsung diantara pemimpin negara dengan pemimpin mahasiswa.

  • Sindiket dadah Abang 888 akhirnya tumpas

    Sindiket dadah Abang 888 akhirnya tumpas

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KEGIATAN sindiket penyeludupan dadah rentas negara yang menjadikan rumah inap desa di Melaka sebagai pusat transit tumpas selepas polis mencekup seorang ahli geng ‘Abang 888’, minggu lalu.

    Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd. Ali berkata, suspek berusia 39 tahun itu dicekup
    dalam serbuan melibatkan dadah bernilai RM1.44 juta di sebuah rumah inap desa di Jalan Pantai Puteri kira-kira pukul 8 malam, pada 18 November lalu.

    Katanya, hasil pemeriksaan pegawai dan anggota daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri telah menemukan dadah jenis syabu seberat 40 kilogram yang disorokkan di dalam premis sewa tersebut.

    “Hasil risikan, sepasukan anggota JSJN telah membuat serbuan dan menangkap seorang lelaki warga Indonesia dipercayai ahli sindiket pengedaran dadah rentas negara dikenali geng Abang 888.

    “Pemeriksaan lanjut di lokasi menemukan 40 kilogram dadah jenis syabu dengan anggaran nilai RM1.44 juta yang dibungkus dalam plastik teh herba Cina disyaki untuk dipasarkan ke negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

    Berdasarkan soal siasat yang dijalankan, Abdul Majid berkata, suspek mendakwa telah berada di negara ini sejak tiga tahun lalu dan bekerja sebagai buruh.

    “Aktiviti sindiket ini dipercayai telah aktif selama sebulan dan rumah inap desa itu telah disewa selama seminggu untuk dijadikan pusat transit.

    “Bekalan ini akan diambil oleh transporter daripada negara jiran dan dipercayai diseludup masuk ke sana menggunakan laluan laut,” katanya.

    Suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 November ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

    Sementara itu, ujar Abdul Majid JSJN Melaka setakat ini berjaya menumpaskan kegiatan dadah berjumlah RM13.1 juta pada tahun ini, berbanding RM487,000 dalam tempoh sama, tahun lalu.

  • KPM akan keluarkan jadual baharu SPM 2021 – Radzi

    KPM akan keluarkan jadual baharu SPM 2021 – Radzi

    KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Dr Radzi Jidin hari ini berkata, KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan oleh KPM.

    “Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

    “Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat,” katanya dalam video berdurasi lebih satu minit itu.

    Video yang turut dikongsi di akaun Facebook KPM itu mendapat komen positif daripada netizen yang menzahirkan terima kasih dan rasa syukur.

    Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah memberi pandangan mereka berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

    KPM menerusi satu kenyataan pada 17 Nov lepas memaklumkan bahawa jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

    Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar. Media turut melaporkan terdapat pihak yang meminta jadual SPM 2021 yang akan berlangsung pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

    Ini memandangkan Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja. – BERNAMA