Category: Semasa

  • PSP 2021-2025 rangka pelaksanaan ICT luar bandar

    PSP 2021-2025 rangka pelaksanaan ICT luar bandar

    PELAN Strategik Pendigitalan (PSP) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2021-2025 dilancarkan hari ini untuk merangka pelaksanaan inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi masyarakat di luar bandar dengan peruntukan sebanyak RM28 juta.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata PSP, yang merangkumi empat teras strategik lima tahun serta disokong oleh 14 strategi dan 78 program pendigitalan, akan dipantau KPLB dari semasa ke semasa agar pelaksanaannya berada pada landasan tepat.

    “Pelan ini bersifat ‘living document’ (dokumen yang berkembang) dan dinamik yang harus ditambah baik serta dinilai secara berkala oleh KPLB menerusi semakan semula secara berjadual,” katanya pada sidang media selepas melancarkan PSP itu dan menghadiri majlis perhimpunan bulanan KPLB, di Putrajaya, hari ini.

    Mahdzir Khalid menyampaikan Anugerah Kualiti dan Inovasi KPLB 2021 di Putrajaya, hari ini.

    Empat teras PSP adalah pemantapan perkhidmatan digital bersepadu dan inklusif; pengukuhan infrastruktur digital berasaskan teknologi terkini dan selamat; pemerkasaan pembudayaan dan profesionalisme Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) serta tadbir urus ICT tuntas dan mampan.

    “PSP menjadi terjemahan komitmen KPLB terhadap usaha menggariskan strategi pelaksanaan transformasi digital bagi menjayakan agenda Luar Bandar Sejahtera,” katanya.

    Melalui PSP, katanya KPLB menyokong Pelan Strategik Pendigitalan Sektor Awam 2021-2025 sebagai pemacu agenda kerajaan digital yang mampan ke arah membentuk masyarakat digital dan memastikan masyarakat di luar bandar tidak ketinggalan dalam era pendigitalan.

    Mahdzir Khalid beramah mesra dnegan penerima-penerima Anugerah Kualiti & Inovasi KPLB di Putrajaya, hari ini.

    Mahdzir berkata menerusi pelan itu, KPLB akan menumpukan usaha penambahbaikan 191 pusat komuniti desa di seluruh negara melalui peruntukan sebanyak RM8.5 juta agar setiap pusat itu dilengkapi dengan perkhidmatan Internet yang pantas.

    Beliau berkata pihaknya juga telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi membincangkan cadangan meningkatkan capaian Internet di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).

    “Sekiranya proses berjalan lancar, ia akan dilaksanakan pada pertengahan tahun depan,” katanya.

    Ketika ini terdapat 10,301 Tabika dan 544 Taska Kemas beroperasi di seluruh negara termasuk di luar bandar.

  • Kilang roti guna kotak bertanda halal secara tidak sah

    Kilang roti guna kotak bertanda halal secara tidak sah

    SELAMBA guna kotak roti bertanda halal sedangkan tidak pernah memohon sijil halal daripada pihak berkuasa berkaitan.

    Lebih menjijikkan, najis tikus turut dijumpai di atas plastik membungkus roti manakala sisa minyak yang telah digunakan menitik ke atas roti yang baharu dimasak.

    Itu antara keadaan yang dikesan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang membuat roti di Jalan Kedah, Georgetown, Pulau Pinang dalam pemeriksaan awal pagi ini.

    Sehubungan itu, kilang yang sudah beroperasi sejak 50 tahun lalu diarah tutup dua minggu kerana tidak menepati standard keselamatan dan kualiti makanan di bawah Program Jaminan Keselamatan Makanan yang boleh menyebabkan pencemaran dan keracunan makanan.

    Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang roti itu pernah diberikan amaran tahun lalu kerana isu kebersihan dan keselamatan yang sama.

    “Namun, dalam pemeriksaan sekali lagi hari ini kita dapati keadaan kebersihan di kilang ini tidak memuaskan dan arahan penutupan selama dua minggu bagi kerja-kerja pembersihan telah dikeluarkan.

    “Selain itu, pemilik kilang itu juga diarahkan untuk membuang kesemua plastik bungkusan roti itu yang dicemari najis tikus kerana boleh memudaratkan kesihatan orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

    Sementara itu dalam satu lagi pemeriksaan di kedai pembuatan mi di Jalan Pintal Tali, Georgetown, kedai yang sudah beroperasi sejak 80 tahun lalu itu turut diarahkan tutup dua minggu kerana kesalahan membabitkan keselamatan dan kebersihan makanan.

    Mohd. Wazir berkata, arahan itu dikeluarkan selepas pemiliknya didapati meletakkan makanan yang telah siap diproses di atas lantai selain produk keluarannya tidak mempunyai label.

    Ujarnya, kedai yang sama juga pernah diserbu tahun lalu dan pemiliknya diberi amaran supaya meningkatkan mutu kebersihan dan keselamatan makanan, namun didapati masih mengabaikan aspek itu kali ini.

    “Tindakan ke atas kedua-dua premis itu dibuat dibawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 yang mana kita turut mengeluarkan tiga kompaun berjumlah hampir RM3,000 terhadap pemilik kedua-dua premis,” katanya.

  • Keputusan permohonan eGTukar pada 6 Disember

    Keputusan permohonan eGTukar pada 6 Disember

    KEPUTUSAN permohonan pertukaran guru melalui eGTukar bagi pertukaran tahun hadapan akan dikeluarkan pada 6 Dis ini.

    Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook berkata, keputusan bagi permohonan eGTukar itu akan diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) pada tarikh berkenaan.

    “Untuk makluman semua, insya-Allah kita akan keluarkan keputusan eGTukar untuk pertukaran tahun hadapan pada 6 Dis 2021. Dan ini, insya-Allah akan memberi ruang untuk guru-guru membuat persiapan yang sewajarnya. Sama-sama kita tunggu 6 Dis ini,” katanya.

    Radzi berkata keputusan eGTukar itu merupakan antara perkara yang sering diajukan oleh guru-guru terutamanya apabila penggal persekolahan akan berakhir tidak lama lagi. – BERNAMA

  • KTMB penuhi hasrat remaja terlantar naik kereta api

    KTMB penuhi hasrat remaja terlantar naik kereta api

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Setiap kali melihat kereta api melalui landasan di depan rumahnya, hati seorang remaja perempuan, Aziana Shaari, 17, sentiasa bergejolak untuk merasai sendiri pengalaman berada di dalam pengangkutan awam itu sambil menikmati keindahan di sepanjang perjalanannya.

    Namun keterbatasan yang ada pada dirinya menyebabkan hasrat itu terpaksa dipendam sejak sekian lama. Sementelah dirinya hanya mampu terlantar di katil akibat tulang belakang yang hancur kerana dihempap dinding konkrit ketika berusia sembilan tahun, ibu Aziana sendiri, Fatimah Hashim, 49 merasakan seolah-olah impian tersebut hampir mustahil untuk dilaksanakan.

    Namun hari ini impian tersebut akhirnya tercapai apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengambil inisiatif menyediakan sebuah tren khas bagi menunaikan hasrat remaja tersebut untuk menikmati perjalanan dari Stesen Sungai Petani ke Butterworth sebelum berpatah balik ke Sungai Petani.

    Menurut Pengerusi KTMB, Datuk Musa Sheikh Fadzir, inisiatif tersebut dibuat sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihaknya dalam memenuhi impian remaja berkenaan.

    “Sebelum ini kami memang memikirkan untuk membawa Aziana menaiki kereta api menggunakan kerusi roda namun apabila pertimbangan dibuat, langkah itu dilihat agak menyukarkan buat Aziana,” katanya.

    “Justeru pihak pengurusan bersetuju menyediakan tren khas agar Aziana dapat menaikinya bersekali dengan katil yang boleh ditolak,” katanya.

    Beliau bercakap kepada pemberita selepas turut serta mengiringi perjalanan Aziana bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KTMB, Mohd. Rani Hisham Shamsuddin, hari ini.

    Selain menunaikan hasrat remaja itu, KTMB turut menyampaikan sumbangan berupa pek susu dan lampin pakai buang untuk kegunaan remaja itu.

    Layanan diterima Aziana nyata cukup istimewa apabila tren tersebut turut berenti sebentar di lokasi kediamannya di Bakar Bata, di mana kalangan penduduk kampung turut berdiri berhampiran landasan bagi melambai kepadanya.

    Sementara itu, Aziana ketika ditemui pemberita nyata tidak mampu banyak bercakap bagi menyatakan perasaannya diberi peluang merasai pengalaman istimewa tersebut selain mengungkapkan rasa seronok.

    Manakala Fatimah yang merupakan seorang ibu tunggal pula tidak henti-henti menyatakan rasa terima kasih kepada KTMB serta semua pihak yang terlibat untuk menunaikan impian anak bongsunya itu.

    “Impian Aziana untuk menaiki kereta api ini sudah dinyatakan sejak dia mula-mula sakit lagi. Namun melihat kepada keadaannya, memang susah untuk saya tunaikan hasratnya.

    “Apa yang boleh saya lakukan hanya menolaknya ke bawah pokok di depan rumah dan menanti kereta api lalu untuk dia melihat kenderaan awam itu. Namun hari ini saya amat gembira kerana impiannya menjadi kenyataan,” katanya.

    Selain tulang belakang yang hancur, kemalangan melibatkan dinding konkrit itu turut menyebabkan buah pinggang Aziana rosak, usus tidak berfungsi selain tidak mempunyai rasa dari paras pinggang hingga kaki.

    Fatimah boleh dihubungi di talian 014-3148891 atau bagi yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0230-0290-0058-8382 (Fatimah Hashim).

  • Wanita mati lemas kereta terbabas masuk parit

    Wanita mati lemas kereta terbabas masuk parit

    SEORANG pekerja pusat kecantikan dan kesihatan dipercayai mati lemas selepas kenderaan dinaikinya terbabas ke dalam parit di Bandar Bukit Raja, Klang awal pagi tadi.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, rakannya yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Serena terselamat.

    Mangsa yang merupakan wanita berusia 35 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadiaan dalam kejadian kira-kira pukul 2.22 pagi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, S Vijaya Rao, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan ke Persiaran Batu Belah dari Lorong Sungai Puloh.

    Beliau berkata, kenderaan dipandu lelaki berusia 37 tahun itu kemudiannya hilang kawalan di laluan selekoh tajam sebelum merempuh pokok.

    “Ia terus terbabas ke dalam parit menyebabkan mangsa wanita tersepit. Mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba namun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya ketika dihubungi, menurut laporan Kosmo!.

    Katanya, mangsa lelaki yang terselamat itu hanya mengalami cedera ringan dan kedua-duanya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk tindakan lanjut

    “Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

    Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, seramai tujuh anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 2.23 pagi dan tiba 11 minit kemudian.

    “Tugas menyelamat mangsa mengambil masa hampir 30 minit kerana kenderaan tenggelam di dalam parit,” katanya.

  • Cabar Darurat: Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain gagal

    Cabar Darurat: Rayuan Anwar, 4 wakil rakyat lain gagal

    AHLI PARLIMEN PORT DICKSON, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat lain gagal dalam rayuan mereka untuk membatalkan nasihat Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menggantung Parlimen semasa darurat.

    Memetik laporan Malaysiakini, dalam keputusan sebulat suara hari ini, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Has Zanah Mehat menolak rayuan oleh Anwar dan empat wakil rakyat lain.

    Wakil rakyat lain ialah Ahli Parlimen Pulai, Datuk Seri Salahuddin Ayub (MP Pulai), Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim.

    Dalam keputusan sebulat suara hari ini, Has memutuskan bahawa mahkamah sebelum ini tidak tersilap dalam keputusan menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh lima wakil rakyat pembangkang itu.

    Beliau berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan isu pengisytiharan darurat oleh Agong.

    Panel itu, yang turut diketuai oleh Vazeer Alam Mydin Meera dan Ahmad Zaidi Ibrahim, sebelum ini telah mendengar hujahan daripada peguam wakil rakyat berkenaan dan peguam kanan Persekutuan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC), berhubung rayuan untuk mendapatkan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman berhubung keabsahan nasihat Muhyiddin kepada Agong.

    Sebelum ini, Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz, telah memfailkan tiga cabaran undang-undang berasingan tetapi serupa terhadap nasihat Muhyiddin untuk penggantungan Parlimen semasa darurat.

    Tiga tindakan undang-undang itu menyasarkan kesahihan keputusan kabinet pimpinan Muhyiddin ketika itu, untuk menasihatkan Seri Paduka supaya mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

    Bagaimanapun, tiga bangku Mahkamah Tinggi yang berasingan memberikan keputusan yang tidak berpihak terhadap tindakan undang-undang oleh Anwar, Hassan serta Salahuddin, Johari dan Aziz.

    Mahkamah Tinggi telah bersetuju dengan hujahan daripada AGC bahawa Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar cabaran undang-undang yang dikaitkan dengan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.

  • Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh keputusan rayuan kes seleweng dana SRC

    Mahkamah tolak permohonan Najib tangguh keputusan rayuan kes seleweng dana SRC

    MAHKAMAH Rayuan hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan penyampaian keputusan rayuannya terhadap hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta bagi kes salah guna dana SRC International Sdn Bhd.

    Dalam surat ditandatangani timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan Mohd Khairi Haron berkata permohonan Najib dan peguamnya Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan keputusan itu ke tarikh lain ditolak, lapor portal MalaysiaNOW

    Mereka juga diarahkan untuk memastikan kehadiran di Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 8 Disember seperti yang ditetapkan sebelum ini.

    Semalam, Najib memohon Mahkamah Rayuan menangguhkan penyampaian keputusan rayuannya untuk mengetepikan sabitan dan hukumannya yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur..

    Najib disabitkan tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM42 juta dana 1MDB melalui SRC International.

    Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya.

    Keputusan rayuannya dijadual akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember depan walaupun Najib memohon untuk menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh lain berikutan lawatannya ke Singapura.

  • Harga sayur naik 200 peratus sebab faktor hujan, sejuk melampau

    Harga sayur naik 200 peratus sebab faktor hujan, sejuk melampau

    KENAIKAN harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini yang didakwa ada mencecah sehingga 200 peratus adalah berpunca daripada faktor cuaca dan hujan tidak menentu yang dialami di seluruh negara ketika ini.

    Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bahawa bekalan sayur-sayuran di pasaran berkurangan akibat kerosakan sayur-sayuran milik petani di Cameron Highland, Pahang.

    Selain itu katanya, bekalan sayur-sayuran import turut berkurangan ekoran negara pengeluar mengalami keadaan cuaca sejuk melampau serta kenaikan kos pengangkutan kontena dari negara asal.

    “Sehubungan itu, Seksyen Penguat Kuasa PPDNHEP Pulau Pinang telah menjalankan pemeriksaan dan menyerahkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) ke atas pengimport serta pemborong sayur bagi mendapatkan maklumat harga sayur-sayuran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Semalam, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendakwa tinjauan pihaknya mendapati berlaku kenaikan mendadak harga sayur-sayuran di pasar awam di negeri itu dengan ada yang mencecah sehingga 200 peratus lebih mahal.

    Antara hasil pertanian itu adalah kubis bunga, sawi pendek (choy sum) dan brokoli yang menyaksikan kenaikan ketara iaitu dari 100 hingga 200 peratus selain sawi, kacang buncis serta kubis.

    Sehubungan itu, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP dan FAMA menyiasat segera isu kenaikan harga sayur-sayur tersebut memandangkan golongan berpendapatan rendah akan terjejas teruk dengan kenaikan harga barang ketika ini.

    “Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga secara berlebihan serta melanggar Akta Anti-Pencatutan 2010.

    “CAP juga telah berulang kali menyeru agar FAMA mengawal pemasaran dan pengedaran sayur-sayuran di negara ini tetapi seruan kami tidak didengari,” katanya dalam satu kenyataan.

  • Lelaki sebak disambut rakan saat bebas selepas setahun dipenjara

    Lelaki sebak disambut rakan saat bebas selepas setahun dipenjara

    NOR Syarizan Nor Azmi, 21, tidak dapat menahan sebak dan terharu sebaik melihat abang dan rakannya berdiri di luar pagar penjara ketika dibebaskan pada Khamis lalu.

    Dia mengakui gembira sejurus melihat rakan-rakannya dan momen itu sempat dirakamkan abangnya sebelum menjadi tular dalam media sosial Tik Tok.

    “Saya rasa seronok bila keluar, saya tengok kawan-kawan, sahabat-sahabat sambut saya depan pintu pagar penjara, saya jadi sebak. Saya gembira tengok senyuman kawan-kawan. Itu apa yang saya rasa,” katanya seperti dilaporkan FMT, hari ini.

    Syarizan menjadi tumpuan warganet selepas rakaman video detik pembebasannya dari Pusat Koreksional Puncak Alam tular.

    Dalam rakaman berdurasi 23 saat itu, Syarizan yang memakai persalinan serba putih, berlari mendapatkan abang dan rakan sebaik melangkah keluar dari pusat itu.

    Dia kemudian bersalaman dan memeluk abangnya dengan erat. Rakaman itu menyentuh hati warganet yang rata-rata kagum dengan persahabatan sejati antara mereka.

    Syarizan sebelum itu mengaku tersilap langkah apabila terikut ajakan rakan sebaya meminum ketum sehingga membawa kepada penangkapannya. Dia dipenjara selama setahun dua hari atas kekhilafannya itu.

    “Selepas ini, saya akan hargai mereka yang ada dengan saya, masa saya keluar (penjara). Saya akan cuba berubah selepas ini, untuk mereka dan keluarga,” katanya.

    Nor Azhar, 25, abang kepada Syarizan memuat naik rakaman video itu untuk kenang-kenangan dan dia tidak menyangka ia menjadi tular dan ditonton lebih sejuta orang.

    “Sebenarnya, yang keluar (penjara) tu adik saya. Saya abang dia. Yang lain tu kawan-kawan. Kita orang memang rapat empat orang.

    “Mula-mula bapa saya dah pergi (penjara) dengan adik-adik saya naik kereta. Mak saya nak pergi klinik, jadi bapa saya balik, dia suruh saya pergi. Saya cakap dekat kawan saya, kalau boleh rakam. Pengawal (polis) buka pagar saja, dia berlari keluar terus salam kita orang,” katanya.

    Azhar yang bekerja sebagai penghantar barang memberitahu FMT, dia lega dan berterima kasih kepada warganet yang tidak mengecam Syarizan sebaliknya memberikan kata dorongan kepada anak muda itu.

    “Masa saya rekod video itu, nak santai-santai je. Nak post biasa saja. Tak harapkan viral pun. Saya tengok banyak yang positif komen. Kalau kat Facebook ada kena kecam sikit (tapi) di TikTok semua positif,” katanya.

    Abang sulung daripada lima beradik itu berkata, dia dan keluarganya tidak pernah ‘membuang’ adik ketiganya itu, malah perpisahan selama setahun menjadikan mereka lebih rapat.

    “Saya harap lepas dia keluar, dia akan berubah. Dia pun sudah baca komen (positif), saya harap lepas ini dia tak buat lagi.

    “Sejahat mana pun dia, dia tetap darah daging kita. Jangan sebab satu kesilapan ini, kita buang dia. Kita beri dia peluang kedua. Baiki perangai dan perbuatan dia,” katanya.

  • Nama besar Hollywood buat drama bersiri  skandal 1MDB

    Nama besar Hollywood buat drama bersiri skandal 1MDB

    SEBUAH drama bersiri berdasarkan buku berkaitan 1MDB “Billion Dollar Whale” sedang dalam pembikinan, dibangunkan oleh pencipta siri “House of Cards” Beau Willimon dan SK Global yang merupakan penerbit bersama filem “Crazy Rich Asians”, dengan kerjasama barisan nama besar lain termasuk Michelle Yeoh.

    Menurut laman berita hiburan Deadline.com, Willimon mengusahakan drama siri tersebut bersama Westward Jordan Tappis dan penulis drama pemenang Anugerah Tony David Henry Hwang, sementara John Penotti dari SK Global, Charlie Corwin dan Marcy Ross akan bertindak sebagai penerbit eksekutif.

    Bekas gadis Bond, Yeoh pula akan menjadi penerbit siri tersebut.

    Menyifatkan drama bersiri itu sebagai “kisah tamak, penipuan kewangan, dan satira sosial komedi gelap”, Penotti dan Corwin berkata sukar untuk menggambarkan kesan budayanya “di Asia dan di seluruh dunia”, lapor portal MalaysiaNow.

    “Kami sangat teruja kerana dapat menghidupkan kisah luar biasa ini untuk khalayak global,” Willimon dan Tappis dipetik sebagai berkata.

    “Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World”, ditulis oleh wartawan Wall Street Journal Tom Wright dan Bradley Hope, ia berpusat pada Low Taek Jho, seorang lelaki yang didakwa mendalangi skandal 1MDB yang disifatkan sebagai salah satu kes penipuan terbesar pernah direkodkan di dunia.

    Kes itu kini dalam siasatan di beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Switzerland dan Amerika Syarikat.

    Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa terlibat dengan Low, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, kini berdepan pelbagai pertuduhan jenayah berhubung dana negara.

    Pada Julai tahun lalu, beliau disabitkan tujuh pertuduhan jenayah pecah amanah, pengubahan wang haram dan salah guna kuasa melibatkan kira-kira RM42 juta dana 1MDB melalui SRC International.

    Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

    Mahkamah membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya.

    Keputusan rayuannya dijadual akan diputuskan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember depan walaupun Najib memohon untuk menangguhkan keputusan itu ke satu tarikh lain berikutan lawatannya ke Singapura.