Category: Semasa

  • Mohamaddin Ketapi sah jadi ahli Bersatu

    Mohamaddin Ketapi sah jadi ahli Bersatu

    AHLI Parlimen Lahad Datu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Segama Datuk Mohamaddin Ketapi semalam secara rasmi menjadi ahli Bersatu yang baharu.

    Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata permohonan keahlian Mohamaddin diperaku dan diterima dalam Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang dipengerusikan  presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    “Bersatu menyambut baik keahlian beliau kerana ia bukan sahaja bakal mengukuhkan lagi kedudukan Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor. Malah ia juga akan memberikan manfaat besar kepada pembangunan serta kebajikan rakyat di Parlimen dan DUN (Dewan Undangan Negeri) yang beliau (Mohamaddin) wakili,” kata Hamzah menerusi satu kenyataan malam tadi.

    Pada 30 Okt lepas, Mohamaddin mengumumkan keluar Parti Warisan Sabah kerana ingin memberi tumpuan untuk memaju dan membangunkan Parlimen Lahad Datu serta DUN Segama.

    Hamzah juga turut memaklumkan dalam mesyuarat itu, Bersatu memutuskan akan mengadakan Persidangan Agung Tahunan (PAT) Bersatu Kelima  pada 18 dan 19 Dis ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya yang bakal dihadiri 1,600 perwakilan seluruh negara secara fizikal.

    “Justeru, selamat bersidang diucapkan kepada semua perwakilan Mesyuarat Agung Bahagian di seluruh negara yang akan bermula 26 hingga 28 Nov ini,” katanya.

    Mengenai perkembangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Hamzah berkata Bersatu akan mengadakan perbincangan lanjut bersama parti komponen Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menentukan strategi dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri berkenaan pada 18 Dis ini.

    Berhubung PRN Melaka yang diadakan 20 Nov lepas, Hamzah berkata Bersatu beranggapan keputusan pada pilihan raya negeri berkenaan membuktikan PN adalah parti yang mempunyai pengaruh serta sokongan  kukuh dalam kalangan pengundi negeri itu.

    “Bersatu merakamkan ucapan terima kasih kepada pengundi PRN Melaka yang telah mengundi dan memberi sokongan kepada calon-calon daripada Bersatu dan parti komponen PN yang lain iaitu Pas dan Gerakan.

    ”Sokongan ini adalah manifestasi penerimaan baik rakyat terhadap PN dan parti komponennya. Susulan itu, Bersatu telah mengenal pasti kelemahan semasa PRN Melaka lalu dan akan mengambil langkah penambahbaikan dengan segera,” katanya. – BERNAMA

  • 34 kampung di Marudi terima bekalan air bersih

    34 kampung di Marudi terima bekalan air bersih

    SEBANYAK 34 buah kampung di Marudi, Miri, Sarawak, mula menerima bekalan air bersih di bawah Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

    Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek dengan kos RM38.5 juta itu mula dibina pada Mac 2019 dan siap sepenuhnya pada September lalu.

    “Alhamdulillah, projek bekalan air di kawasan Marudi ini berjaya disiapkan dalam tempoh 18 bulan,’’ katanya.

    Melalui pelaksanaan projek itu kata beliau, penduduk di kawasan tersebut kini boleh menikmati bekalan air bersih dan terjamin.

    ‘’Dengan siapnya Projek BALB Marudi itu ia mampu membekalkan air ke kampung-kampung yang masih belum mendapat bekalan air bersih dan terawatt,’’ katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Kawasan Marudi di Miri hari ini.

    Majlis pelancaran disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg. Turut hadir, Timbalan Menteri II KPLB, Datuk Hasbi Habibollah dan Ahli Parlimen Baram, Anyi Ngau.

    Projek bekalan air tersebut kata Mahdzir, memberi manfaat kepada 1,586 buah rumah dan 7,930 orang penduduk serta melibatkan jajaran sistem paip sepanjang 71 kilometer dari Telang Usan ke Kampung Lubok Nibong.

    “Sebelum ini penduduk di kawasan tersebut menghadapi masalah bekalan air terawat dari Loji Rawatan Air sedia ada di WTP Marudi disebabkan kedudukan loji di kawasan itu rendah yang menyukarkan untuk menyalurkan air ke kawasan tinggi di sepanjang jalan dari Telang Usan ke Kampung Lubok Nibong,’’ katanya.

    Mahdzir berkata, skop projek BALB itu termasuk pembinaan satu unit tangki sedutan di Telang Usan berkapasiti 1.17 juta liter padu, satu unit rumah pam penggalak di Telang Usan dan satu unit kolam takungan di Anja berkapasiti 2.76 juta liter padu.

  • Polis sahkan siasat Ahli Parlimen Sepanggar, Aziz Jamman

    Polis sahkan siasat Ahli Parlimen Sepanggar, Aziz Jamman

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman disiasat berhubung ucapannya pada persidangan Parlimen awal bulan ini.

    Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan perkara itu berkata ia merupakan siasatan biasa selepas pihaknya menerima laporan membabitkan Mohd Azis.

    “Kita terima laporan, jadi kita jalankan siasatan, selepas itu kita akan rujuk AGC (Jabatan Peguam Negara). Ini baru siasatan dan bukan ambil tindakan lagi,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan polis yang mengambil keterangan Mohd Azis.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di Maran hari ini, dan yang turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman.

    Selasa lepas Mohd Azis pada sidang media di bangunan Parlimen berkata beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.

    Sementara itu Mazlan memaklumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri untuk menyewa rumah daripada pihak swasta bagi mengatasi masalah kekurangan kuarters pegawai dan anggota PDRM.

    Katanya sebagai permulaan pihaknya telah memohon lebih 200 unit rumah untuk disewa.

    “Sebagai permulaan kita akan sewa di Lembah Klang dahulu terutama di Kuala Lumpur sebelum meneruskan ke bandar besar seperti Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

    “Jika nak bina kuarters baharu ia ambil masa, jadi ini merupakan salah satu usaha kita untuk menjaga kebajikan pegawai dan anggota PDRM…kerana ada di antara mereka yang bekerja di Kuala Lumpur tetapi menetap di Bangi, Shah Alam dan Kajang,” katanya. – BERNAMA

  • Harga sayur tak naik sampai 200 peratus – KPDNHEP

    Harga sayur tak naik sampai 200 peratus – KPDNHEP

    HASIL siasatan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati harga sayur dikatakan meningkat hingga 200 peratus tidak berlaku seperti didakwa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Selasa lepas.

    Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata hasil siasatan pegawai penguat kuasa kementerian turut mendapati persatuan itu tidak dapat menentukan lokasi berlaku kenaikan harga itu.

    “(Mengenai) harga sayur yang dikatakan hingga 200 peratus kenaikan, tetapi hasil siasatan kita mendapati bahawa bila kita tanya di mana ia berlaku, tidak ada.

    “…bila pegawai penguat kuasa kita ke lapangan untuk melihat dan meninjau apa yang dimaklumkam, jadi bila tanya CAP mereka tidak boleh tentukan di mana, cuma mereka kata hanya cakap-cakap,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2022 peringkat jawatankuasa bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

    Bagaimanapun Rosol berkata kajian daripada pegawai-pegawai penguat kuasa KPDNHEP mendapati memang berlaku kenaikan harga sayur tetapi tidak setinggi didakwa.

    Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen ketika sesi perbahasan membangkitkan isu mengenai kenaikan harga barang seperti sayur dan roti yang dikatakan begitu tinggi sehingga memberi kesan kepada rakyat.

    Sehubungan itu, Rosol menyeru rakyat supaya memaklumkan kepada saluran KPDNHEP seperti di portal e-Aduan sekiranya mendapati berlaku kenaikan harga barang yang mendadak supaya pegawai penguat kuasa dapat memantau dan mengambil tindakan secepat mungkin.

    Mengenai isu kenaikan harga roti oleh syarikat pengeluar roti terkemuka negara pada 1 Dis ini, beliau berkata kementerian akan menjalankan siasatan untuk mengenal pasti perkara itu.

    “… sehingga hari ini, ia (syarikat pengeluar roti itu) tidak memaklumkan kepada kementerian untuk menaikkan harga (roti),” katanya.

    Seramai 17 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan, pembangkang dan Bebas mengambil bahagian dalam sesi perbahasan itu.

    Dewan Rakyat kemudian meluluskan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM1,094,676,700 yang diperuntuk kepada KPDNHEP dalam Bajet 2022 dengan lebih suara menyokong.

    Persidangan Dewan Rakyat bersambung Isnin. – BERNAMA

  • Pelajar perempuan jadi mangsa culik berjaya larikan diri

    Pelajar perempuan jadi mangsa culik berjaya larikan diri

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEORANG pelajar perempuan berjaya melarikan diri setelah dilarikan seorang lelaki tempatan yang tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah sekolah di Taman Molek, Johor Jaya, Johor Bahru, pagi tadi.

    Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd. Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian pukul 6.50 pagi itu, mangsa yang berusia 13 tahun dihampiri seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Perodua Kancil ketika turun dari van sekolah menuju ke sekolahnya.

    “Lelaki itu memintanya menghantar satu borang tidak pasti ke sekolah selain meminta mangsa untuk masuk ke dalam kenderaan itu. Mangsa yang enggan kemudiannya ditarik masuk ke dalam kereta tersebut.

    “Mangsa dibawa lari sekitar Taman Molek, di sini, sebelum berjaya melepaskan diri selepas dibawa lari hampir 400 meter dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudiannya meminta bantuan orang awam, selain tidak mengalami sebarang kecederaan.

    Pihaknya mengesahkan menerima laporan polis berkaitan insiden itu yang dibuat oleh mangsa.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis sedang giat mengesan suspek.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan denda,” katanya.

  • Kerajaan lulus peruntukan lebih RM80 juta elaun JKKK Sarawak

    Kerajaan lulus peruntukan lebih RM80 juta elaun JKKK Sarawak

    KERAJAAN meluluskan peruntukan lebih RM80 juta setahun bagi pembayaran elaun Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Wilayah Sarawak.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Jemaah Kabinet pada 19 November lalu memutuskan elaun Setiausaha JKKK, elaun pengendalian mesyuarat dan elaun kehadiran mesyuarat JKKK di Wilayah Sarawak dibayar oleh Kerajaan Persekutuan.

    “Elaun bagi Pengerusi JKKK Sarawak sudah dibayar dan atas persetujuan kerajaan Sarawak juga, elaun bagi Setiausaha JKKK Sarawak dan elaun mesyuarat JKKK akan dibayar tidak lama lagi.

    “Saya juga ingin memaklumkan bahawa jumlah peruntukan elaun tahunan itu adalah yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Majlis Pelancaran Projek Bekalan Air Luar Bandar Kawasan Marudi yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. Abang Johari Tun Abang Openg di Miri hari ini.

    Mahdzir berkata, pembayaran bagi ketiga-tiga elaun tersebut yang sebelum ini menggunakan peruntukan Kerajaan Sarawak, dilihat dapat memantapkan lagi jentera pentadbiran JKKK diperingkat akar umbi.

    “Selain akan dapat mengurangkan beban kewangan Kerajaan Sarawak khususnya dalam pelaksanaan program pembangunan luar bandar yang melibatkan peranan institusi JKKK.

    “Ini adalah sebagai tambahan kepada elaun Pengerusi JKKK Wilayah Sarawak yang telah disediakan oleh Kerajaan Persekutuan sebelum ini sebanyak RM35.8 juta setahun,” katanya.

    Kerajaan Persekutuan kata beliau, menyediakan peruntukan lebih RM213 juta bagi pembayaran elaun untuk 15,434 JKKK dan JPKKP di seluruh negara setiap tahun.

    “Kementerian Pembangunan Luar Bandar pula kata beliau, melihat peranan JKKK dan JPKKP adalah amat penting terutamanya dalam situasi negara berhadapan dengan pandemik COVID-19,” katanya

    Justeru kata Mahdzir, JKKK dan JPKKP bukan sahaja berperanan sebagai ejen penyampai maklumat terkini daripada pihak kerajaan kepada komunitih setempat malah turut terlibat sebagai pelaksana pelbagai program pemerkasaan komuniti yang dianjurkan oleh kerajaan.

  • 3 negara jadi sumber tenaga kerja pengawal keselamatan

    3 negara jadi sumber tenaga kerja pengawal keselamatan

    KERAJAAN sedang merancang untuk menjadikan Bangladesh, Indonesia dan Filipina sebagai negara sumber tenaga kerja bagi memenuhi kekosongan dalam sektor perkhidmatan pengawal keselamatan.

    Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu akan dikaji secara terperinci terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat, dan kementeriannya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pemegang taruh untuk memastikan tiada isu atau masalah timbul mengenainya nanti.

    Katanya, beliau akan membuat pengumuman muktamad selepas mengadakan perbincangan dengan pihak yang berkaitan, termasuk pemain industri serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Kementerian Luar, Kementerian Pertahanan dan lain-lain lagi.

    Beliau berkata, ia bagi memastikan bahawa tiada masalah lain yang timbul apabila pekerja-pekerja luar ini mula diimport nanti, kerana mereka perlu dipastikan benar-benar bekerja dalam negara, dan bukannya menjadi ejen negara luar atau sebagainya.

    “Ini kerana ia melibatkan soal keselamatan negara, pelbagai perkara boleh berlaku dan saya amat sensitif dengan isu ini,” katanya selepas merasmikan majlis perjumpaan Menteri Dalam Negeri bersama Industri Perkhidmatan Kawalan Keselamatan dan Agensi Persendirian di ibu negara hari ini.

    Sementara itu, Hamzah berkata, 66 lesen syarikat kawalan keselamatan dibatalkan sejak tahun 2014 atas pelbagai alasan, termasuk sebab menggaji pekerja tanpa menjalankan tapisan keselamatan, salah guna senjata api dan menggajikan pendatang tanpa izin.

    Beliau seterusnya menggesa semua syarikat kawalan keselamatan membuat pembaharuan lesen syarikat masing-masing bagi mengelak tindakan.

    “Syarikat kawalan keselamatan perlu membuat pembaharuan lesen pada atau sebelum 31 Dis ini bagi mengelak lesen mereka ditarik,” katanya.

    Sementara itu Hamzah berkata, Kementerian Dalam Negeri akan menubuhkan Akademi Latihan Industri Keselamatan khusus bagi membolehkan syarikat-syarikat kawalan keselamatan melatih petugas keselamatan mereka dengan latihan asas, sebagaimana pihak berkuasa lain.

    Menurutnya, akademi berkenaan akan bekerjasama dengan agensi sedia ada bawah Kementerian Dalam Negeri antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan dan Jabatan Imigresen. – BERNAMA

  • Pesara polis marin didenda RM100,000 atas tujuh pertuduhan rasuah

    Pesara polis marin didenda RM100,000 atas tujuh pertuduhan rasuah

    SEORANG pesara polis marin didenda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini selepas mengaku salah atas tujuh pertuduhan menerima rasuah membabitkan jumlah suapan sebanyak RM20,700, empat tahun lalu.

    Hakim M. Bakri Abd. Majid menjatuhkan hukuman itu selepas Zubairi Abdul Mutalib, 60, membuat pengakuan itu atas semua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 57 bulan jika dia gagal bayar denda itu.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan sebagai Ketua Jentera Ronda PSC 16 di Pengkalan Polis Marin, Kampung Kampung Acheh, Sitiawan telah memperolehi wang berjumlah RM20,700 daripada seorang lelaki.

    Wang itu diperoleh melalui akaun bank miliknya yang mana dia mengetahui lelaki itu mempunyai hubungan dengan kerja-kerja rasminya yang melibatkan penguatkuasaan di bawah Akta Perikanan 1985 ke atas bot bernombor pendaftaran vessel PKFA 9710.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pusat bandar Sri Manjung antara 2 Mac 2017 hingga 29 Sept 2017 daripada individu yang sama.

    Hakim turut memerintahkan wang simpanan berjumlah RM18,494.75 termasuk faedah sehingga hari ini dalam akaun Maybank Islamic Berhad adalah dilucuthakkan kepada kerajaan Malaysia.

    Bagaimanapun dia dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan selebihnya yang telah dipertimbangkan sebagai Take Into Consideration (TIC) oleh pihak mahkamah mengikut Seksyen 171A Kanun Prosedur Jenayah.

    Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Maziyah Mansor manakala Zubairi diwakili peguam, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

    Dalam pertuduhan sebelum ini, Zubairi pernah didakwa atas 144 pertuduhan menerima wang RM389,390 yang membabitkan lapan individu.

  • Semak semula dasar kerajaan mengenai arak, judi

    Semak semula dasar kerajaan mengenai arak, judi

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DASAR sedia ada berkaitan arak dan judi perlu disemak semula bagi membolehkan kedua-dua gejala negatif itu dapat ditolak secara beransur-ansur di semua peringkat, dalam negara ini.

    Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, bagi menjayakan agenda itu, semua masyarakat tanpa mengira agama dan kaum perlu menolak arak serta judi demi menjaga kelangsungan hidup negara agar lebih makmur dan sejahtera.

    Dalam masa sama katanya, kerajaan juga digesa agar menilai semula dasarnya yang masih melihat arak dan judi sebagai industri yang boleh mendatangkan pendapatan kepada kerajaan melalui cukai.

    “Kami tegaskan bahawa arak dan judi bukan satu industri yang menguntungkan bersandarkan kepada ‘kerugian’ yang terpaksa ditanggung akibat kesan negatif kedua-dua perkara itu.

    “Kami berpendirian industri arak dan judi membawa kesan mudarat lebih besar berbanding keuntungan kepada negara dan langkah mereka yang mempertahankan kedua-dua industri tersebut atas dasar hak peribadi serta hak bukan Islam, sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pelancaran Kempen Selamatkan Keluarga Malaysia Dari Arak dan Judi (Saji) di Anjung Salimah, Sungai Petani, Kedah, hari ini.

    Mohd Azmi yang juga Pengerusi Saji kebangsaan turut mengharapkan agar satu pelan nasional untuk mendidik rakyat menghindari ketagihan arak dan judi.

    “Kami bertegas bahawa jualan arak yang masih berleluasa di kedai runcit sepatutnya diharamkan. Dengan lemahnya undang-undang dan penguatkuasaan, gejala menjual arak dalam kalangan anak muda dan golongan miskin masih terus berlaku.

    “Kami juga akan mengadakan sesi rundingan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), kerajaan negeri dan kerajaan pusat agar dasar dan undang-undang dalam menangani kesan negatif arak serta judi dapat digubal,” katanya.

  • 1,003 majikan tutup operasi, 12,231 hilang kerja sepanjang Covid-19

    1,003 majikan tutup operasi, 12,231 hilang kerja sepanjang Covid-19

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SERAMAI 1,003 majikan di seluruh Johor menutup dan menghentikan operasi masing-masing selepas terkesan dengan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak tahun lalu.

    Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, daripada jumlah itu sebanyak 739 majikan menutup operasi sepanjang tahun lalu manakala baki selebihnya pada tahun ini.

    Dalam tempoh sama, seramai 12,231 orang pekerja tempatan telah terkesan atau diberhentikan termasuk dalam kalangan mereka yang terlibat dengan penutupan operasi majikan masing-masing.

    “Berdasarkan laporan pemberhentian pekerja oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Johor, seramai 9,512 orang pekerja tempatan telah hilang pekerjaan pada 2020 dan pada tahun ini pula sejumlah 2,719 orang pekerja tempatan telah hilang pekerjaan sehingga kini,” katanya.

    Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin berkata demikian pada sesi penggulungan sempena Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, Iskandar Puteri hari ini.

    Terdahulu ketika sesi soalan-soalan lisan, Mohd. Izhar memaklumkan, lebih 6,000 peluang pekerjaan juga telah pun ditawarkan dan disediakan bagi golongan pencari kerja, penganggur mahupun mereka yang telah diberhentikan pekerjaan.

    “Namun begitu hanya seramai 533 individu sahaja yang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor dan hebahan jawatan kosong dalam platform media sosial jabatan,” katanya menjawab pertanyaan Md. Ysahrudin Kusni (PH-Bukit Naning).

    Tambah beliau, seramai 27,410 orang tenaga kerja tempatan juga berjaya mendapat pekerjaan di bawah Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dari 15 Jun 2020 sehingga 5 November lalu.

    Sementara sejumlah 25,221 pekerja tempatan lain pula telah menghadiri program latihan di bawah inisiatif tersebut bagi tempoh sama.

    Dalam pada itu, terdapat 40,149 kekosongan jawatan ditawarkan di Johor sehingga 29 Oktober lalu merangkumi 17,881 kekosongan bagi sektor pembuatan dan 5,081 jawatan kosong di sektor penginapan diikuti 2,965 kekosongan dalam sektor pengangkutan.

    “Sektor khidmat sokongan menawarkan kekosongan jawatan sebanyak 2,863 manakala sejumlah 2,577 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor pemborong dan peruncitan.

    “Sebanyak 2,499 kekosongan jawatan pula ditawarkan bagi sektor profesional seperti setiausaha, kerani dan pembantu akauntan selain jawatan kosong dalam sektor-sektor lain,” katanya.