Category: Semasa

  • Gagal seludup 1.3 tan daun ketum ke negara jiran

    Gagal seludup 1.3 tan daun ketum ke negara jiran

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 1,322 kilogram (kg) daun ketum berjaya dirampas oleh sepasukan anggota tentera ketika barangan terlarang itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran, kelmarin.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku kira-kira pukul 5.03 petang apabila sepasukan anggota tentera melakukan rondaan di trek menghala ke Batu Sempadan 29/190, Sektor Op Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia di Kuala Nerang.

    “Di lokasi tersebut, tim ronda yang melakukan rondaan telah berjaya merampas sebuah Mitsubishi Pajero, sebuah Isuzu Trooper serta tiga buah motosikal jenis Honda Wave, Yamaha Spark dan Honda EX5.

    “Sejumlah guni serta plastik ditempatkan dalam kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Pajero dan Isuzu Trooper tersebut. Di dalamnya didapati daun ketum seberat 1,322 kg ditemukan,” katanya.

    Selain daun ketum dan semua kenderaan itu, kenyataan tersebut memaklumkan pasukan berkenaan turut merampas sejumlah mata wang Malaysia dan Thailand selain telefon bimbit.

    Katanya, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM77,384.

    “Kesemua suspek disyaki bertindak melarikan diri ke arah kawasan hutan apabila menyedari kehadiran tim ronda di kawasan tersebut.

    “Kesemua barang rampasan dibawa ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

  • Jawatankuasa jaga kebajikan 299 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

    Jawatankuasa jaga kebajikan 299 kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

    KERAJAAN Pulau Pinang akan menubuhkan jawatankuasa petugas khas (task force) dengan sokongan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM); Jabatan Pendidikan negeri dan agensi lain bagi menjaga kebajikan kanak-kanak terbabit menjadi yatim piatu akibat Covid-19.

    Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin memberitahu, jawatankuasa petugas khas itu akan melihat bentuk sokongan dan bantuan yang diperlukan kanak-kanak terbabit khususnya dalam memastikan mereka meneruskan sesi persekolahan.

    Ini kerana ujarnya, terdapat kes iaitu dua pelajar masing-masing berusia 16 dan 18 tahun yang menjadi yatim piatu akibat pandemik Covid-19 memilih untuk bekerja bagi meneruskan kehidupan serta menyara empat lagi adik mereka.

    “Selain itu, JKM ketika ini turut menghubungi kumpulan kanak-kanak yang terjejas akibat Covid-19 ini bagi menawarkan khidmat kaunselor dan sokongan selain kita turut menghulurkan bantuan-bantuan lain seperti bakul makanan dan sebagainya,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

    Menurut Dr. Norlela, seramai 299 kanak-kanak di Pulau Pinang menjadi menjadi yatim piatu sejak pandemik Covid-19 melanda dua tahun lalu.

    Katanya, daripada jumlah itu, majoriti mereka yang kehilangan ibu bapa yang merupakan punca utama rezeki keluarga iaitu seramai 194 orang; kehilangan ibu (78); penjaga (6) dan kedua-dua ibu dan bapa (4).

    Daripada jumlah itu juga katanya, seramai 224 merupakan kanak-kanak dari keluarga Melayu; 47 (Cina); India (24) dan lain-lain bangsa (4).

    Tambahnya, daripada segi pecahan daerah pula, 95 daripada mereka tinggal di Timur Laut; Seberang Perai Utara (46); Seberang Perai Tengah (84); Seberang Perai Selatan (33) dan Barat Daya (41).

    “Seramai 142 atau 47.7 peratus daripada kanak-kanak merupakan murid sekolah rendah, 152 atau 50.8 peratus pelajar sekolah menengah dan lima orang atau 1.7 peratus ialah pelajar sekolah agama,” katanya.

  • Sulaiman lantik 10 exco, Rauf diberi portfolio Pelaburan, Perindustrian

    Sulaiman lantik 10 exco, Rauf diberi portfolio Pelaburan, Perindustrian

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    PENGERUSI Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh antara 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka baharu yang akan mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam, 3 petang ini.

    Ab. Rauf yang menang dengan majoriti tipis 364 undi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.

    Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, beliau akan memegang portfolio Perancangan Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

    Exco lain yang dilantik semula ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal bagi jawatan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan dan ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman yang bertukar kepada portfolio Kerjaraya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.

    Tempat Rahmad selaku Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah akan disandang ADUN Merlimau, Dr. Akmal Salleh sebagai muka baharu yang diketengahkan dalam senarai Exco kerajaan Melaka.

    ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan yang mempertahankan kerusi itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini diberi kepercayaan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

    Muka baharu lain yang dilantik termasuklah Datuk Abdul Razak Abdul Rahman (Telok Mas – Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Asas Tani); VP Shanmugam (Gadek – Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan) dan Datuk Kalsom Nordin (Pengkalan Batu – Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan).

    Tanggungjawab selaku Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi diberikan kepada ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin, manakala wakil MCA bagi kerusi Machap Jaya, Ngwe Hee Sem sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna.

    Istiadat pengurniaan angkat sumpah jawatan dan taat setia dan sumpah simpan rahsia kesemua 10 Exco tersebut akan dilangsungkan di Balai Istiadat, Seri Negeri.

    Sementara itu, Sulaiman berkata, calon bagi menggantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka yang disandang Ab. Rauf akan diputuskan selepas ini menjelang persidangan pertama DUN kelak.

    “Untuk jawatan Speaker belum ditentukan, kita masih ada masa sebelum sesi persidangan seterusnya bermula,” katanya ringkas pada sidang akhbar pengumuman barisan Exco Melaka sebentar tadi.

  • Puad Zarkashi gagal ketepi injunksi saman fitnah Muhyiddin

    Puad Zarkashi gagal ketepi injunksi saman fitnah Muhyiddin

    AHLI Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi gagal dalam usaha mengetepikan injunksi terhadapnya dalam saman fitnah oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

    Memetik laporan Free Malaysia Today, beliau disaman oleh Muhyiddin berhubung satu catatan Facebook yang dikatakan memberi gambaran bahawa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu enggan menjalani kuarantin 10 hari sebaik pulang daripada lawatan rasmi ke Indonesia pada 5 Feb.

    Pejabat Perdana Menteri ketika itu berkata, Muhyiddin dikehendaki menjalani kuarantin di rumah, termasuk perlu memakai gelang kuarantin COVID-19.

    Susulan itu, Muhyiddin mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd Puad dan mendapatkan injunksi sementara menuntut catatan Facebook miliknya itu dipadam.

    Hari ini, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Firuz Jaffril menolak permohonan Mohd Puad untuk mengetepikan injunksi itu dengan berkata bahawa mahkamah tidak bersetuju dengan hujahannya.

    “Namun, defendan tidak sepenuhnya rugi. Jika beliau berjaya di penghujung perbicaraan, mahkamah akan membuat penentuan,” kata Firuz.

    Muhyiddin turut menuntut ganti rugi am, teladan dan teruk daripada Mohd Puad.

    Beliau diwakili peguam DP Naban dan Rosli Dahlan, manakala Rajasingam Gothandapani dan Shahrul Fazli Kamarulzaman mewakili Mohd Puad.

    Shahrul berkata, pengurusan kes ditetapkan pada 9 Dis di hadapan hakim baharu, Hayatul Akmal Abdul Aziz, memandangkan Firuz dijadual dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

  • Siasatan 1MDB: PAS minta penjelasan SPRM, PDRM

    Siasatan 1MDB: PAS minta penjelasan SPRM, PDRM

    PAS menuntut penjelasan terperinci daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung siasatan aset dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan akaun Iron Rhapsody Ltd dan Cutting Edge Industries Ltd.

    Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin berkata, kedua-dua syarikat tersebut telah dikaitkan dengan suami kepada bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Tawfiq Ayman dan Samuel Goh.

    Menurut beliau, PDRM wajar tampil menjelaskan hasil siasatan memandangkan ia telah bermula sejak awal tahun 2021.

    “PDRM juga mengakui bahawa siasatan telah dijalankan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001. Penjelasan harus segera dilakukan kerana ia melibatkan wibawa institusi awam.

    “PAS turut merakamkan ucapan terima kasih kepada SPRM dan agensi penguatkuasan antarabangsa susulan kejayaan membantu memulihkan pemulangan aset dana 1MDB yang kini berjumlah RM20.5 bilion kepada kerajaan Malaysia,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

    Pada Februari lalu, Free Malaysia Today melaporkan Tawfiq dan anak-anaknya menguruskan akaun bawah nama Cutting Edge Industries Ltd, yang menerima wang yang dikaitkan dengan 1MDB.

    Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho atau Jho Low.

    Menurut laporan The Edge, Iron Rhapsody menerima USD16.22 juta daripada syarikat atau akaun bank yang dikaitkan dengan Jho Low pada 2008 dan 2009.

  • Kes jenayah turun 21.4 peratus sejak PKP pada 2020

    Kes jenayah turun 21.4 peratus sejak PKP pada 2020

    KES jenayah pada 2020 turun 21.4 peratus kepada 65,623 berbanding 83,456 pada 2019.

    Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, antara sebab penurunan kes adalah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Beliau berkata, kes terbabit terdiri daripada jenayah kekerasan dan jenayah harta benda dengan jenayah kekerasan merekodkan penurunan 19.5 peratus kepada 13,279 kes pada 2020 dan jenayah harta benda pula menurun 21.8 peratus kepada 52,344 kes bagi tempoh yang sama.

    “Antara punca penurunan kes jenayah adalah disebabkan sekatan aktiviti sosial dan rentas sempadan daerah dan negeri berikutan PKP yang telah membataskan pergerakan individu,” menurutnya dalam kenyataan, hari ini.

    Mohd. Uzir berkata, aktiviti penguatkuasaan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa dan kesedaran masyarakat dalam mempertingkat perlindungan daripada ancaman jenayah turut menyumbang kepada penurunan kes.

    Beliau berkata, berdasarkan rekod kes jenayah kekerasan mengikut daerah pentadbiran, didapati Seremban di Negeri Sembilan mencatat peratusan penurunan tertinggi tahun lepas iaitu 40.6 peratus kepada 326 kes berbanding 549 pada 2019.

    Ini diikuti Johor Bahru (-36.7 peratus) dan Melaka Tengah (-26.3 peratus) manakala untuk jenayah harta benda, Seberang Perai Tengah di Pulau Pinang mencatat penurunan tertinggi sebanyak 35.8 peratus kepada 982 kes tahun lepas berbanding 1,529 pada 2019. 

    Mohd. Uzir berkata, sebaliknya, bilangan aduan kes jenayah siber yang diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia tahun lepas meningkat 99.5 peratus kepada 20,805 berbanding 10,426 pada 2019.

    “Antara aduan yang diterima adalah elemen lucah, palsu, jelik, sumbang dan mengancam,” katanya.

    Beliau berkata, kesemua elemen aduan menyaksikan peningkatan dengan yang tertinggi ialah elemen palsu iaitu sebanyak 117.6 peratus pada 2020.

    Katanya sebanyak 6,637 aduan direkodkan tahun lepas untuk elemen palsu berbanding 3,050 pada 2019.

    Jabatan Perangkaan Malaysia hari ini menerbitkan Statistik Jenayah, Malaysia, 2021 yang memuatkan lapan statistik jenayah terpilih iaitu jenayah indeks, dadah, rasuah, alam sekitar, kesalahan trafik, jenayah siber, jenayah maritim dan pemulihan. – Bernama

  • Nazir, 54 tokoh mohon sokongan raja untuk ‘tetapan semula’ negara

    Nazir, 54 tokoh mohon sokongan raja untuk ‘tetapan semula’ negara

    TOKOH perbankan, Datuk Seri Nazir Tun Razak bersama-sama sekumpulan 54 individu terkemuka lain menggesa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah dan Majlis Raja-raja memperakui penubuhan sebuah platform tanpa partisan yang sedang mereka usahakan.

    MalaysiaKini hari ini melaporkan, platform tersebut yang berkemungkinan diberi nama ‘Perhimpunan Malaysia Yang Lebih Baik’ akan memberikan mencadangkan pembaharuan ketika negara berdepan pelbagai cabaran.

    Cadangan itu yang disampaikan melalui sepucuk surat menyatakan seorang demi seorang Perdana Menteri menjanjikan pembaharuan yang besar, tetapi ia kemudian sering dibayangi nada perkauman dan agama sehingga akhirnya hanya sedikit perubahan dicapai.

    Selain itu, mereka berkata ahli Parlimen sering gagal menangani isu struktur kerana mereka sering mengutamakan kepentingan jangka pendek dan pilihan raya mereka sendiri.

    Justeru, kata kumpulan terbabit, platform perbincangan ‘Perhimpunan Malaysia Yang Lebih Baik’ itu akan menjadi pendekatan yang lebih berkenaan untuk mendorong pembaharuan.

    Menurut mereka, wakil rakyat hendaklah menjadi pemimpin bukan partisan dan bersuara untuk pelbagai lapisan masyarakat Malaysia, manakala komposisinya harus dipersetujui terlebih dahulu oleh satu pasukan yang terdiri daripada perdana menteri, ketua pembangkang dan pemimpin masyarakat sivil.

    Sebarang kebuntuan dalam pemilihan ahlinya, kata mereka, hendaklah dirujuk kepada Majlis Raja-Raja untuk keputusan muktamad.

    Tambah Nazir dan kumpulan berkenaan, platform itu akan membincangkan isu-isu kenegaraan dan reformasi institusi, termasuk sistem pilihan raya, pembiayaan politik, hubungan persekutuan-negeri, peranan institusi, tindakan afirmatif dan pendidikan.

    Ia dicadangkan untuk mengenal pasti dasar khusus dan perubahan perundangan yang diperlukan – yang dianggarkan mengambil masa 18 hingga 24 bulan melalui perbincangan secara tertutup untuk mencapai kata sepakat.

    “Syor Perhimpunan Malaysia Yang Lebih Baik ini akan dikemukakan kepada parlimen untuk pertimbangan dan perbahasan serta undian.

    “Keputusan Parlimen kemudian akan tertakluk kepada pengesahan Tuanku.

    “Proses ini tidak akan menjejaskan bahkan sebaliknya meningkatkan demokrasi kita,” tulisnya.

    Jika Agong dan Majlis Raja-raja memberi lampu hijau, Nazir dan kumpulan itu berkata, mereka akan bekerjasama dengan kerajaan, pembangkang dan NGO utama untuk mengusahakan butiran badan terbabit.

    Surat itu bertarikh 29 Oktober dan ditandatangani bersama oleh ramai tokoh terkemuka, termasuk ahli politik, ahli akademik, pemimpin NGO, bekas penjawat awam kanan dan pemimpin korporat dalam kapasiti peribadi mereka.

    Ia diedarkan kepada media selepas berakhirnya Mesyuarat Ke-257 Majlis Raja-raja, semalam.

    Menurut Bernama, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Syed Danial Syed Ahmad berkata Majlis Raja-raja membincangkan pelbagai isu seperti pelantikan hakim dan jawatan lain, Rancangan Malaysia Ke-12 dan keadaan ekonomi Malaysia.

    Dalam laporan itu tiada disebutkan mengenai cadangan penubuhan badan yang disebut Nazir serta 54 individu terbabit.

  • Ibu tunggal rugi RM85,700 diperdaya lelaki AS

    Ibu tunggal rugi RM85,700 diperdaya lelaki AS

    SEORANG ibu tunggal terpedaya dengan Love Scam dan kerugian RM85,700 selepas berkenalan dengan seorang lelaki mendakwa dari Amerika Syarikat (AS) melalui Instagram sejak Julai lalu.

    Mangsa, 59, dari Masjid Tanah dan tidak bekerja berkenalan dengan suspek melalui Instagram sebelum berhubung melalui WhatsApp.

    Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, suspek memperkenalkan diri sebagai Ahmed Hashima dari AS dan memberitahu akan mengirimkan hadiah mewah sebagai tanda persahabatan kepada mangsa.

    “Suspek mahu menghantar barang seperti beg tangan berjenama, kasut berjenama, dompet berjenama, dua utas jam tangan berjenama, seutas rantai dan gelang tangan emas dan wang berjumlah AS$15,000.

    “Pada Ogos lalu mangsa menerima mesej melalui apliksi WhatsApp yang mendakwa dari Pos Laju Kuala Lumpur dan memaklumkan barang mangsa telah sampai dan diminta untuk membuat pembayaran kerana barangan tersebut mempunyai masalah.

    “Disebabkan percaya, mangsa telah membuat bayaran secara berperingkat-peringkat ke dalam empat akaun bank berbeza berjumlah RM85,700.

    “Bagaimanapun setelah bayaran dibuat mangsa masih tidak menerima barangan tersebut, malah lelaki yang dikenalinya itu masih meminta wang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Jelas beliau, berikutan itu mangsa membuat laporan polis setelah mengesyaki diperdaya oleh individu terbabit.

    Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” katanya.

  • Bot terbalik: 1 remaja perempuan hilang, 3 terselamat

    Bot terbalik: 1 remaja perempuan hilang, 3 terselamat

    SEORANG remaja perempuan dikhuatiri lemas manakala tiga lagi terselamat selepas bot dinaiki terbalik dalam kejadian di perairan Kampung Semawang, Batu 19, Sandakan, malam tadi.

    Dalam kejadian pukul 8.30 malam itu, remaja berusia 14 tahun terjatuh ke dalam laut dan hilang sehingga kini.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.50 malam.

    “Menurut laporan, terdapat sebuah bot terbalik ketika dalam perjalanan dari Kampung Semawang Laut ke Kampung Semawang Darat pada pukul 6 petang dan terdapat empat mangsa terhumban ke dalam laut.

    “Tiga berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung manakala seorang lagi mangsa hilang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

    Katanya, setakat ini mangsa belum ditemui dan maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa.

  • Izinkan Sulaiman tadbir Melaka dengan cara sendiri

    Izinkan Sulaiman tadbir Melaka dengan cara sendiri

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    SUDAH hampir seminggu Barisan Nasional (BN) menang 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Melaka. Bukan sedikit mandat yang diterima namun kemenangan dua pertiga itu menjadikan Melaka antara negeri kukuh dan stabil dari segi pentadbiran kerajaan negerinya.

    Dengan kemenangan itu termasuk merampas semula beberapa kerusi yang hilang seperti Duyong, Kelebang dan Gadek, sudah pasti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali tidak ada masalah sokongan untuk mengetuai dan menduduki kerusi Ketua Menteri.

    Sokongan itu bukan sekadar dari segi jumlah kerusi kerajaan yang dibentuk antara UMNO, MCA dan MIC tetapi lebih penting Sulaiman perlukan sokongan dan ruang untuk beliau mencorak perjalanan negeri Melaka mengikut acuan tersendiri.

    Kelayakan beliau sudah teruji ketika dilantik sebagai Ketua Menteri selama 18 bulan sebelum ini. Walaupun ada pelbagai cakap-cakap dan gosip di belakang ketika itu, Sulaiman tetap tenang dan tidak melatah serta menjalankan tugasnya seperti biasa.

    Maka sewajarnya Sulaiman diberikan peluang untuk membuktikan segala dakwaan termasuk dibayangi individu tertentu sebelum ini tidak benar. Pelbagai faktor yang memungkinkan BN menang tempoh hari, salah satunya sudah tentu kerana wajah Sulaiman yang diangkat sebagai ‘poster boy’ semasa kempen.

    Dari segi kemenangan beliau di Lendu pun nampak peningkatan yang ketara apabila meraih 3,104 majoriti jauh meninggalkan dua pencabarnya berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang hanya menang dengan kelebihan 627 undi.

    Dalam hal ini, Sulaiman berhak menentukan pasukan Exco beliau yang tersendiri dengan gabungan muka lama dan baru untuk memastikan segala manifesto yang dijanjikan akan diadaptasi kepada pelaksanaan.

    Isu tiada Exco bukan Melayu dalam pimpinan Sulaiman sebelum ini juga sudah boleh diatasi dengan kemenangan ADUN Gadek, VP Shanmugam, selain dua kerusi disumbang MCA menerusi Datuk Lim Ban Hong (Kelebang) dan Ngwe Hee Sem (Machap Jaya).

    Hendak memuaskan hati semua pihak memang sukar tetapi Sulaiman tahu siapa yang boleh dilantik mengetuai portfolio-portfolio penting di Melaka yang dikhabarkan majlis pelantikan Exco akan berlangsung hari ini di Istana Melaka.

    Seperkara lagi yang menarik perhatian adalah konsep parti menguasai kerajaan. Jika diambil kira perkara itu sudah menjadi tradisi jawatan tertinggi dalam parti di sesebuah negeri akan menguruskan parti dan kerajaan pada masa sama.

    Ini bagi memudahkan penyampaian perkhidmatan. Maka dalam hal ini, Sulaiman dilihat tidak ada masalah untuk turut mengepalai partinya di Melaka berbekalkan pengalaman yang ada ketika mentadbir kerajaan negeri selama ini.

    Rakyat sudah menaruh kepercayaan terhadap Sulaiman dan BN di Melaka, sewajarnya ahli UMNO dan pimpinan parti turut meletak kepercayaan mereka kepada Setiausaha Badan Perhubungan UMNO negeri itu ke kedudukan lebih tinggi.

    Dengan cara itu, ia secara tidak langsung dapat menghapus dakwaan Sulaiman dibayangi individu tertentu sehingga kononnya berlaku perubahan keputusan dalam perkara tertentu setiap kali mesyuarat Exco seperti didakwa seorang bekas Exco sebelum ini.