PERBADANAN Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah mengesan sebanyak 102 lokasi sampah haram di negeri itu sejak tiga tahun lalu.
Pengarahnya, Nordin Amat berkata, kebanyakanya lokasi sampah haram tersebut terletak di kawasan industri dalam daerah yang sedang pesat membangun antaranya Kulim dan Sungai Petani.
Katanya, sehingga kini sebanyak 59 lokasi sampah haram itu telah ditutup manakala 43 lagi lokasi masih aktif.
“Setakat ini sebnayak lapan kes sampah haram telah dibawa ke muka pengadilan dengan enam daripadanya telah disabitkan dengan kesalahan melibatkan denda antara RM10,000 hingga RM30,000.
“Buat masa ini pihak kami sedang menyiapkan 10 lagi kertas siasatan dan senang menanti keizinan untuk mendakwa daripada Timbalan Pendakwaraya Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Apresiasi Sempena Sambutan ‘World Clean Up Day’ (WCD) dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah (Perkiss) sempena Hari Kitar Semula Kebangsaan Peringkat Negeri 2021 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman.
Bagi mengekang kegiatan pembuangan sampah di 43 lokasi sampah haram yang masih aktif, beliau memaklumkan pemantauan sentiasa dijalankan oleh pihaknya melalui pembantu penguatkuasa.
“Apabila lokasi sampah haram dikenal pasti, pihak kami biasanya akan menaikkan gegantung di situ. Jika ‘peringatan’ itu tidak diendahkan, maka tindakan boleh diambil di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
“Kebanyakan sampah yang dibuat melibatkan sisa binaan dan domestik. Namun ada juga di sesetengah kawasan mereka tinggalkan sisa-sisa elektronik (e-Waste),” katanya.
SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar kesal dengan pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan sungai.
Justeru, baginda bertitah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R. Vidyananthan segera mengambil perhatian dan tindakan bagi mengatasi masalah pembuangan sampah di sungai-sungai.
Sultan Ibrahim kesal dengan pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap yang mengotori sepanjang lembangan Sungai Danga
“Exco Kesihatan dan Alam Sekitar ambil perhatian perkara ini, jangan tengok masalah kesihatan sahaja, manakala penjagaan alam sekitar juga penting untuk kehidupan rakyat.
“Kerja-kerja perlu dilakukan secara berterusan, begitu juga aspek penguatkuasaan dan pemantauan. Jangan tunggu hingga ditegur, baru kerja hendak dijalankan,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada hari ini.
Terdahulu, Sultan Johor mengemudi sendiri ‘Air Boat’ milik Baginda hampir sejam bermula pukul 9 pagi dengan menyusuri Sungai Danga bagi melihat kebersihan sungai serta kawasan persekitaran.
Pemandangan Sungai Danga, di Johor Bahru yang dicemari dengan pelbagai sampah sarap
Baginda turut bertitah Exco berkenaan supaya segera menyediakan laporan berhubung punca masalah pencemaran sampah sarap di sungai-sungai.
“Banyak peruntukan disalurkan kepada agensi dan jabatan yang bertanggungjawab menjaga sungai dan alam sekitar, namun tiada kesan,” titah Sultan Johor.
SERAMAI 127 pemburu haram berjaya ditahan sepanjang tahun ini menerusi 11 siri Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di seluruh negara.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 69 kertas siasatan telah dibuka dan 293 jerat hidupan telah dimusnahkan di lapangan sepanjang tempoh tersebut.
Jelas beliau, sebanyak RM31.86 juta nilai sitaan juga berjaya dilakukan tahun ini iaitu paling besar berbanding dua tahun lalu iaitu sebanyak RM4.25 juta.
“Kejayaan ini adalah adalah hasil OBK yang dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi lain antaranya PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan banyak lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim dan Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Dalam pada itu, Abdul Kadir memberi jaminan ketua-ketua sindiket penyeludupan haiwan liar di negara ini kini berada dalam radar dan pemantauan pihaknya serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ujar beliau, pihaknya mendapati ketua-ketua sindiket itu yang masih gagal ditahan setakat ini hanya berjumlah kurang daripada 10 orang.
“Begitupun kita yakin mereka dapat ditahan dengan kerjasama daripada pihak polis dan JKDM,” katanya.
Jelas beliau, hidupan liar seperti tenggiling merupakan antara haiwan yang sering diseludup masuk ke negara ini yang mana dua tan haiwan berkenaan berjaya dirampas pihaknya tahun lalu.
Tambahnya, pihaknya mendapati Malaysia menjadi transit penyeludupan bagi beberapa hidupan liar terutama tenggiling yang dibawa masuk dari Indonesia sebelum diseludup menerusi jalan udara dan laut ke beberapa negara khususnya Vietnam dan China.
“Selain itu, negara kita juga menjadi tumpuan pemburu haram untuk mencuri beberapa spesis burung antaranya spesis murai batu untuk diseludup ke luar negara kerana mendapat permintaan yang tinggi,” katanya.
KOMEN terbaru Datuk Seri Najib Tun Razak yang mendakwa Bersatu sedang menyusun propaganda untuk menumbangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan mengembalikan Tan Sri Muhyiddin Yassin di kedudukan itu menimbulkan persoalan.
Beliau menyebut, ‘’page-page propaganda PPBM-PN utama seperti page Otai pun telah memulakan serangan bertubi-tubi ke atas PM Ismail Sabri.’’
Kadang kala kasihan penulis melihat Najib yang nampak semakin ‘tidak keruan’ dan tidak habis-habis menyerang Muhyiddin, walaupun Ahli Parlimen Pagoh itu amat jarang sekali menyebut nama Ahli Parlimen Pekan tersebut.
Tetapi penulis tertanya-tanya apakah motif Najib menggunakan perkataan, ‘’ Paling membimbangkan ialah menteri-menteri dalam kerajaan Ismail Sabri merupakan menteri utama yang mengatur dasar ekonomi, pertanian, kewangan,perladangan yang mempengaruhi harga barang khususnya harga makanan juga adalah daripada parti yang mahu tumbangkan Ismail.
‘’Diorang (Mereka) serang Ismail berkenaan harga barang naik tapi korang (mereka) juga yang bertanggungjawab atas dasar yang disebabkan harga barang naik.’’
Kalau begitu hujah Najib, macam mana pula ketika Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, siapakah menteri yang menguruskan Covid-19? Bukankah ketika itu Ismail Sabri adalah Menteri Kanan Pertahanan, bukankah Dr.Adham Baba (Menteri Kesihatan), bukankah Khairy Jamaluddin (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi) dan bukankah Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar).
Bukankah kesemua mereka daripada UMNO berada di ‘barisan hadapan’ bersama Muhyiddin sebagai Perdana Menteri bagi menguruskan negara yang sedang ‘diserang’ pandemik Covid-19? Adakah kita boleh meragui kesungguhan mereka? Adakah kita boleh mewujudkan persepsi ‘korang juga bertanggungjawab’…tentukan segala tindakan kerajaan bagi menangani pandemik tersebut yang dicanang oleh Najib sebagai ‘kerajaan gagal’?
Bagaimana perasaan Najib dan UMNO, kalau wujud tafsiran seumpama itu seperti mana ‘hujah jahil’ Najib dalam membangkit soal parti mana menteri yang bertanggungjawab menjaga harga makanan dan barang-barang?
Tetapi kita semua tahu menteri-menteri tersebut sama ada daripada UMNO mahupun Bersatu melakukan kerja mereka dengan jujur dan ikhlas, tetapi malangnya mereka diganggu dan terganggu oleh pemimpin seperti Najib yang merasakan hanya beliau sahaja bijak menguruskan negara, beliau sahaja prihatin rakyat dan beliau sahaja pandai bab ekonomi.
Namun jangan lupa di bawah kepemimpinan beliau juga, Barisan Nasional (BN) hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah dan di bawah pentadbiran beliau juga tercetus skandal 1MDB yang ‘menggegarkan dunia’ hingga ia akan difilemkan.
Najib seharusnya tidak terlalu teruja mahu terus ‘menyerang’ atau memburuk-burukkan Muhyiddin dan Bersatu, kalaulah apa yang ditulis dalam media sosial mahu dijadikan ‘senjata’ untuk membuat dakwaan, rasanya perkara yang sama boleh dilakukan ke atas beliau.
Tetapi itu bukanlah politik yang bijak, sebaliknya hanya menampakkan seseorang itu semakin ‘muflis modal politik’ dalam usaha melemahkan ‘musuh politiknya’.
Dalam bab kenaikan harga barang ini, Najib sepatutnya boleh mendapat pandangan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang berhujah jauh lebih objektif dan bijak berbanding Najib yang dilihat lebih bermotif politik!
Seperkara lagi, apa salahnya dengan kenyataan Timbalan Ketua Penerangan II Bersatu Malaysia, Dr.Ariff Bahardin bahawa Bersatu akan berusaha untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sekali lagi?
Kalaulah dalam UMNO pun sudah ada bunyi-bunyi mahu ‘bossku’ kembali menjadi Perdana Menteri, pelikkah kalau penyokong Bersatupun mempunyai impian yang sama untuk Muhyiddin?
Lagipun Muhyiddin adalah Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional berbeza dengan Najib hanya sekadar Penasihat BN dan tiada apa-apa jawatan dalam kepemimpinan UMNO…sepatutnya itu lagi nampak pelik.
Atau adakah Najib melihat peluang Muhyiddin jauh lebih cerah daripada beliau untuk membuat ‘come back’? Kalau tidak ada perasaan itu, carilah modal lain untuk terus diingati, bukannya siang malam dok ‘meratib’ nama Muhyiddin.
MARA memperuntukkan sebanyak RM40 juta bagi membantu usahawan Bumiputera luar bandar di Sabah yang menceburi bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, jumlah tersebut akan disalurkan kepada 500 usahawan melalui Mara daerah di wilayah itu.
“Tumpuan kita adalah bagaimana memperkukuhkan usahawan-usahawan Bumiputera luar bandar melalui pejabat-pejabat daerah Mara.
‘’Mara juga ada bazar, lot-lot kedai dan Arked Mara yang diberikan sewa kepada usahawan-usahawan Bumiputera,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi MARA, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Jelas Mahdzir, selain aspek pendidikan, Mara dan KPLB juga memberi penekanan khusus kepada agenda pemerkasaan usahawan Bumiputera di luar bandar.
“Mara adalah satu agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang sangat mengambil inisiatif kepada program agenda keusahawanan bumiputera selain daripada pendidikan TVET,” kata Mahdzir.
*Kekurangan pelajar punca KPTM Semporna ditutup
Sementara itu, beliau memaklumkan Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) cawangan Semporna yang ditutup mulai tahun depan berpunca daripada kekurangan kemasukan pelajar yang berterusan.
Katanya, walaupun Mara adalah agensi kerajaan, namun KPTM Semporna terpaksa menanggung semua operasinya sendiri.
“Kita sebenarnya serba salah juga mengenai isu ini kerana ia adalah tempat pelajar-pelajar bumiputera belajar, namun kita terpaksa melihat perkara ini (penutupan) ekoran tidak mencukupi sasaran pelajar. Kapasiti KPTM Semporna ini mempunyai kapasiti 600 orang namun sekarang kita hanya memiliki 169 pelajar sahaja,’’ katanya.
Selain itu menurut Mahdzir, KPTM juga tidak mempunyai peruntukan dari kerajaan dan perlu membayar sendiri gaji kakitangan termasuk tenaga pengajarnya yang membabitkan kos operasi yang tinggi.
Ditanya mengenai status pelajar yang masih berada di KPTM Semporna, beliau menjelaskan, penuntut sedia ada akan menamatkan pengajian secara berperingkat.
IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menyiasat 19 kes sindiket pemberi pinjaman wang tidak berlesen di Serdang pada tahun ini yang membawa kepada tindakan pendakwaan terhadap dua individu mengikut Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
Menurut Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. A. Anbalagan, sebanyak 18 kes disiasat pada tahun lalu dan enam individu didakwa termasuk dua diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959.
“Jumlah kerugian melibatkan kes pemberi pinjaman wang tanpa lesen sejak tahun lalu adalah sebanyak RM114,750. Modus operandi sindiket itu adalah menggantung poster di beberapa lokasi tertentu.
“Sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen juga mempamerkan nombor di media sosial untuk dihubungi mangsa,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Bandar Puchong, Serdang hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tertarik dengan iklan berkenaan akan menyerahkan dokumen peribadi melalui WhatsApp tanpa bersemuka dan tidak menandatangani dokumen perjanjian.
“Sindiket akan mengenakan kadar faedah tinggi dan kegagalan peminjam untuk membayar balik wang akan menyebabkan berlaku jenayah kekerasan terhadap mangsa dengan melakukan ugutan.
“Sindiket itu turut merosakkan harta benda, menyimbah cat, membakar premis atau kenderaan milik mangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Anbalagan turut menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan khidmat pinjaman wang ditawarkan menerusi media sosial dan poster diiklankan.
“Orang ramai boleh membuat pengesahan di laman di ccid.rmp.gov.my/semakmule.
“Selain itu, individu yang mempunyai masalah boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK),” katanya.
POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) bagi menyiasat dan menumpaskan sindiket penyeludupan hidupan liar di negara ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, unit itu akan berpusat di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan bakal dianggotai seramai 50 anggota polis termasuk pegawai.
Jelas beliau, Unit WCB itu akan menggunakan kepakaran yang ada dalam pasukan polis untuk membantu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menumpaskan sindiket yang mempunyai rangkaian penyeludupan hidupan liar.
“Unit ini akan ditubuhkan dalam masa terdekat dan kertas kerja mengenai penubuhannya juga telah pun siap,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang akhbar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Batu Feringghi, Pulau Pinang hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir.
Menurut Mazlan, polis akan menggunakan undang-undang sedia ada seperti Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) untuk menyita aset-aset yang dimiliki sindiket rangkaian penyeludupan hidupan liar.
MAHKAMAH Sesyen di Kuala Lumpur hari ini memindahkan kes Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menghadapi empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalahgunakan wang sumbangan dan pengubahan wang haram, ke Mahkamah Tinggi.
Hakim Azura Alwi memindahkan kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi pada 25 November lepas membenarkan permohonan pasukan pembelaan supaya kes dihadapi Syed Saddiq dipindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Sementara itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq memberitahu mahkamah bahawa dokumentasi berhubung perintah Mahkamah Tinggi yang membenarkan kes itu dipindahkan telah siap.
“Dokumentasi itu telah siap dalam bentuk digital,” katanya semasa sebutan kes untuk pihak-pihak memaklumkan status berhubung keputusan Mahkamah Tinggi itu.
Bagi pertuduhan pecah amanah, Syed Saddiq, 28, didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang diamanahkan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah ke atas dana itu, dengan membuat pengeluaran wang berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad, tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.
Dia dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020, mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Syed Saddiq juga menghadapi tuduhan menyalahgunakan wang sumbangan untuk kempen PRU14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Islamic Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di antara 8 April sehingga 21 April 2018 dan dituduh mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pada 5 Ogos di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Syed Saddiq didakwa atas dua pertuduhan pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram yang didakwa dilakukan di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram.
Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. – Bernama
MARA Corporation Sdn Bhd (MARA Corp) melalui anak syarikatnya Mara Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc) merancakkan industri pembinaan di Sabah menerusi projek pembangunan kondominium Signal Hill.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, projek tersebut dijangka turut menyediakan lebih 2,000 peluang pekerjaan.
“Bukan itu sahaja, projek ini turut akan memberi peluang kepada syarikat kontraktor binaan, perunding projek dan syarikat pemasaran hartanah serta memberi peluang kepada golongan peniaga bumiputera yang terkesan ekoran penularan wabak COVID-19 yang melanda negara,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Kondominium Signal Hill yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor di Kota Kinabalu hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Mara, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.
Projek itu juga kata Mahdzir, dijangka mampu merancakkan semula ekonomi dan industri pembinaan tempatan terutama dalam fasa pemulihan ini.
‘’Projek pembangunan kondominium tersebut menawarkan sebanyak 441 unit kediaman dengan gaya hidup moden yang menitikberatkan aspek keselamatan penghuninya. Ia turut mempunyai 14 unit lot kedai berkeluasan hampir 20,000 kaki persegi.
‘’Pembinaan projek dengan kos RM500 juta itu akan bermula pada pertengahan tahun hadapan dan dijangka siap dalam masa tiga tahun,’’ katanya.
Beliau memberitahu, selain pembeli tempatan, kondominium Signal Hill turut mensasarkan warga asing menerusi Program Malaysia My Second Home (MM2H) yang bakal membawa manfaat ekonomi kepada Sabah.
“Menerusi usahasama pembangunan projek ini, MARA Inc. telah mengorak satu langkah lagi iaitu memperkasakan perkembangan syarikat dalam sektor pembinaan dan hartanah di negeri Sabah dan meningkatkan pengetahuan serta pengalaman dalam aspek pembangunan projek hartanah premium,’’ katanya.
PEMULIHAN ekonomi negara ketika wabak Covid-19 melanda mungkin lebih baik jika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberikan pelbagai bantuan kepada rakyat tidak terbeban dengan hutang serta liabiliti tambahan akibat skandal 1MDB.
Ahli Majlis Tertinggi Pimpinan Bersatu, Dr. Muhammad Faiz Na’aman berkata, memang betul banyak negara sedang merangkak memulihkan ekonomi mereka setelah dihentam teruk oleh wabak Covid-19 daripada awal tahun lepas hingga ke hari ini.
‘’Tetapi bezanya Malaysia terpaksa menanggung kerugian berganda apabila dalam waktu yang sama terpaksa membayar hutang 1MDB sebanyak RM41.36 bilion.
‘’Bukan itu saja, kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Kelapan (Muhyiddin) turut mewarisi jumlah keseluruhan hutang negara lebih daripada RM1 trilion yang terhasil sejak kerajaan BN dahulu.
‘’Ini fakta yang pernah diumumkan oleh Menteri Kewangan, Senator Tengku Zafrul Abdul Aziz, April tahun ini. Maka sudah pasti ia turut memberi kesan terhadap pemulihan negara serta kesejahteraan rakyat marhaen,’’ katanya.
Beliau berkata demikian melalui artikel dalam portal Malaysiakini, hari ini.
Sehubungan itu, Dr.Muhammad Faiz menyifatkan, tindakan ‘meratib’ nama dan cuba menyalahkan langkah-langkah mengekang penularan Covid-19 seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang terpaksa diambil kerajaan pimpinan Muhyiddin lalu adalah sikap terdesak pihak yang pernah beliau labelkan sebagai ‘binatang politik’ kerana menangguk di air keruh ketika negara terlibat dalam ‘perang global’ menentang virus maut tersebut.
‘’Malah ‘sikap munafik’ Najib makin terserlah apabila beliau sendiri pernah secara terbuka mencadangkan kerajaan PN melaksanakan PKP atau lockdown paling ketat seperti yang pernah dibuat ketika awal tahun 2020.
‘’Kesan besar langkah itu walaupun positif untuk mengawal penularan Covid-19 namun ia memberi impak drastik terhadap ekonomi rakyat. Oleh kerana itu ia tidak diulangi lagi agar wujud keseimbangan antara ekonomi dan kesihatan rakyat,’’ katanya.
NAJIB RAZAK
Sambil mengecam tindakan Najib yang dianggap tidak lekang ‘meratib’ nama Muhyiddin sejak didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap kesemua tujuh pertuduhan melibatkan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (hasil wang rakyat) pada 27 Julai 2020, Dr.Muhammad Na’aman berkata, Najib boleh memberikan 1,001 alasan dalam media sosial kononnya dianiaya.
‘’ Namun hakikatnya sebagai Perdana Menteri Keenam Malaysia ketika skandal antarabangsa melibatkan wang negara itu kecoh seluruh dunia, Najib adalah watak paling berkuasa untuk menghalang campur tangan broker seperti Jho Low dalam urusan bisnes pelaburan syarikat proksi kerajaan seperti 1MDB,’’ dakwanya.
Dalam tulisan itu juga, Dr.Muhammad Na’aman turut menegaskan, rakyat tidak lupa bahawa Najib juga sedang dituntut pembayaran tunggakan cukai RM1.69 bilion dan anaknya pula RM37.6 juta oleh LHDN melalui mahkamah