PRESIDEN OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, beliau tetap membuat laporan polis ke atas individu yang mempersendakan Orang Kurang Upaya (OKU) walaupun mereka telah memohon maaf secara terbuka.
Beliau berkata, laporan polis itu bertujuan menghalang insiden menghina OKU terus berlaku dalam kalangan masyarakat seterusnya menjadikan orang ramai lebih prihatin terhadap golongan berkenaan.
“Ada juga persatuan OKU dan individu lain yang menjaga OKU akan buat laporan polis, jika tidak ini (menghina OKU) akan berterusan, tidak akan berhenti.
“Kita perlu pastikan bahawa (menghina OKU) bukan sesuatu yang boleh dipermainkan dan kami tidak boleh diperkotak-katikkan kerana kami OKU. Kami mempunyai perasaan, kami mempunyai kehendak dan maruah jadi ini mesti dihentikan,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Travers, Brickfield di sini, pada kira-kira 2 petang.
Dua pemuda yang merakam perbuatan mereka menggunakan parkir khas bagi OKU di sebuah pusat beli-belah di Kuala Lumpur sehingga viral dan mendapat kecaman orang ramai telah membuat permohonan maaf kepada komuniti OKU menerusi klip video.
Selain itu, beberapa individu yang turut tular kerana mempersendakan OKU semasa menggunakan tandas khas untuk golongan tersebut di sebuah stesen minyak juga telah mengemukakan permohanan maaf secara bertulis kepada Ras Adiba.
Sementara itu, Ras Adiba meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya membantu memperkasakan OKU antara lain dengan meminda Akta Orang Kurang Upaya 2008.
“Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 juga mesti benarkan pendakwaan dibuat ke atas mana-mana tingkah laku, timbanglah hukuman maksimum terhadap mereka (yang menghina OKU).
“Seksyen 233 Akta Komunikasi 1988 juga perlulah membenarkan suatu dakwaan jenayah terhadap mana-mana pihak yang buat komen atau kenyataan jelik dan sebagainya terhadap OKU,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya penganjuran kempen jenayah kebencian OKU untuk memastikan OKU terus dilindungi.
Ras Adiba juga menasihati orang ramai supaya tidak menggunakan kemudahan khas untuk golongan OKU. – BERNAMA
HARGA makanan dan minuman di restoran India Muslim atau mamak dijangka naik sehingga 10 peratus tahun depan.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Jawahar Ali Taib Khan berkata, kenaikan harga itu tidak dapat dielakkan bagi menampung kenaikan harga barang yang meningkat sehingga 30 peratus.
Kenaikan harga tersebut akan melibatkan makanan dan minuman seperti roti canai, thosai, capati, mee goreng mamak, teh tarik dan milo.
Menurut beliau, harga setiap makanan dan minuman di kira-kira 9,000 restoran mamak di seluruh negara dijangka naik sehingga 20 sen.
“Kami telah dapat mengekalkan harga selama lebih tiga tahun. Presma mungkin satu-satunya persatuan yang meminta ahlinya tidak menaikkan harga mereka sehingga 30 Disember.
“Tetapi yang pasti kami akan mengenakan kenaikan menjelang tahun depan, pada kadar yang munasabah. Kami akan minimumkan kenaikan kami,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Jawahar menambah, langkah itu bukan untuk mencari keuntungan berlebihan, sebaliknya untuk menampung peningkatan kos yang begitu ketara.
“Walaupun kami mengenakan bayaran RM2.50 untuk sekeping roti canai, kami tidak dapat untung banyak kerana kami menyediakan kuah atau kari dhal bersamanya,” katanya lagi.
Isu kenaikan harga akan dibincangkan dalam perhimpunan agung tahunan Presma Rabu depan.
Beliau memberitahu, Presma juga telah menulis surat kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi untuk mendapatkan temu janji dan mendapatkan nasihat daripada kementerian itu.
Dilaporkan bulan lepas beberapa syarikat, termasuk Nestlé (Malaysia) Bhd dan Fraser & Neave Holdings Bhd telah menaikkan harga runcit produk tertentu ketika ekonomi kembali rancak ekoran sekatan akibat Covid-19.
Dalam pada itu, Persatuan Pemilik Restoran India Malaysia (Primas) yang mewakili 1,500 ahli percaya ada antara ahlinya telah menaikkan harga makanan dan minuman yang dijual di premis mereka.
“Harga bahan dan barangan yang kami beli meningkat 50 hingga 100 peratus,” kata Naib Presiden Primas, C Krishnan.
Beliaumenyifatkan kenaikan mendadak harga barangan disebabkan oleh barangan import yang lebih mahal disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan global sejak pandemik Covid-19.
ENAM aspirasi yang disasar dalam tempoh 100 hari pertama Angkatan Tentera Malaysia dan Kementerian Pertahanan (Mindef) dicapai dengan jayanya, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberitahu, keenam-enam aspirasi tersebut merangkumi memerangi Covid-19; mengawal sempadan negara dan mengeratkan kerjasama antarabangsa.
Katanya, itu termasuk memenuhi keperluan kediaman anggota; membela kebajikan veteran ATM dan melaksanakan program jiwa murni.
Hishammuddin berkata, pencapaian itu tidak berhenti di situ sahaja, sebaliknya beliau bersama-sama seluruh warga kerja Mindef enggan berlengah dan meneruskan perancangan untuk 100 hari akan datang mulai esok.
“Esok, Mindef akan memulakan perancangan pasca 100 harinya dan Insya-Allah saya sendiri akan melihat apakah dasar dan inisiatif yang boleh dilaksanakan sepanjang tahun 2022 melalui Pelan Tindakan 2022.
“Mindef akan turut memberi tumpuan terhadap perancangan jangka masa panjang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), Pelan Strategik Mindef 2021-2025 serta Dasar Industri Pertahanan dan Keselamatan Negara (DIPKN) yang akan dimuktamadkan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Perbarisan Aspirasi Keluarga Malaysia – sempena 100 Hari Pertama Pentadbiran di bawah Menteri Kanan Pertahanan, di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.
Mengulas pencapaian ATM dan Mindef secara lanjut, Hishammuddin berkata, melalui operasi Combat Medic Vaccination Team khususnya di Sabah dan Sarawak, bantuan yang dihulurkan berjaya memberi vaksinasi kepada 25,092 penduduk pedalaman.
Untuk inisiatif Vaksinasi Pandu Lalu pula, kata beliau, dalam tempoh kurang dua bulan, seramai 14,097 remaja menerima vaksinasi lengkap.
DUA carta aliran kewangan yang didedahkan oleh peguam negara ketika itu Tan Sri Mohamed Apandi Ali, lima tahun lalu sudah membuktikan bahawa wang yang disalurkan ke akaun bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, bukan derma dari Arab Saudi, kata Mahkamah Rayuan.
Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang mempengerusikan panel tiga hakim itu, sebulat suara memutuskan bahawa carta aliran yang ditunjukkan oleh Apandi kepada media pada Jan 2016, menunjukkan bahawa dana syarikat SRC International yang sebenarnya mengalir ke dalam akaun Najib.
“Malah, DW14 (saksi pembelaan ke-14, Apandi) mengesahkan bahawa dua carta aliran yang dipegangnya semasa sidang akhbarnya pada 26 Jan 2016, untuk membebaskan perayu (Najib) adalah carta aliran yang sama yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan sebagai bukti. (semasa perbicaraan rasuah RM42 juta SRC terhadap perayu).
“Carta aliran tersebut jelas menunjukkan dana SRC masuk ke akaun bank perayu, dan ia bukan derma daripada Arab Saudi seperti yang didakwa perayu.
“Dalam apa jua keadaan pendapat dan keputusan peguam negara tidak mengikat penggantinya. Peguam negara hari ini bebas untuk membuat keputusan dan menggunakan kuasa perlembagaan dan undang-undangnya mengikut undang-undang.
“Budi bicara untuk mendakwa mana-mana orang, walaupun peguam negara sebelum ini telah memilih untuk tidak mendakwa, terletak pada peguam negara pada hari itu menurut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan,” kata panel hakim itu seperti dilapor Malaysiakini
Hakim lain yang bersidang sama adalah Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Has Zanah Mehat.
Keputusan berkenaan adalah sebahagian daripada hujah penghakiman penuh setebal 317 muka surat untuk menolak rayuan bekas perdana menteri semalam untuk membatalkan sabitannya serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan jenayah, pecah amanah (CBT), dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana daripada SRC.
Pada 26 Jan 2016, ketika itu Apandi sambil memegang carta aliran semasa sidang media, mengumumkan bahawa tiada pertuduhan akan dikenakan terhadap Najib yang juga perdana menteri ketika itu, berdasarkan siasatan yang dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam Negara ketika itu berkata, beliau telah meneliti kertas siasatan dan berpuas hati bahawa tiada alasan untuk diambil tindakan.
Bagaimanapun, semasa pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018, pihak pendakwaan melalui peguam negara ketika itu Tommy Thomas mendakwa Najib berhubung kes rasuah SRC RM42 juta.
Semasa perbicaraan SRC, pasukan pembelaan Najib antara lain berpendapat bahawa RM42 juta itu adalah sebahagian derma daripada Arab Saudi dan bukannya dana daripada syarikat itu.
Bagaimanapun dalam keputusan sebulat suara itu Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa pembelaan derma Arab Saudi adalah “tidak boleh dipertahankan”.
Sebelum ini anak syarikat 1MDB, SRC kemudiannya menjadi milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc.
Selain bekas perdana menteri, Najib juga pernah menjadi menteri kewangan, penasihat emeritus SRC, dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.
Bagaimanapun, hukuman penjara dan denda terhadap Najib ditangguhkan sementara menunggu penyelesaian rayuan bekas perdana menteri itu ke Mahkamah Persekutuan.
Mengikut alasan penuh penghakiman, Mahkamah Rayuan menyatakan hakim perbicaraan (hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali) dengan betul mengenepikan keterangan Apandi bahawa dia membebaskan Najib daripada sebarang salah laku dalam perkara SRC.
Panel hakim menegaskan bahawa semasa peringkat pembelaan perbicaraan kes itu, bekas peguam negara mengakui keputusannya dibuat berdasarkan bahan yang ada dalam kertas siasatan setakat 26 Jan 2016.
DW14 seterusnya bersetuju bahawa dia tidak menyedari bahawa selepas itu 76 lagi kenyataan baharu dan beberapa lagi kenyataan telah direkodkan daripada saksi yang berkaitan dengan siasatan.
“Yang arif hakim telah mempertimbangkan keterangan DW14 dan membuat kesimpulan bahawa keterangannya tidak menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan, hanya kerana terdapat siasatan lanjut selepas Januari 2016.
“Kesimpulan dan arahan DW14 pada Januari 2016 adalah berdasarkan penyiasatan yang dijalankan sehingga itu,” kata Mahkamah Rayuan.
DUA lelaki tempatan ditahan kerana menyeludup 29,930 kotak rokok dan 2,993 karton rokok putih tidak bercukai dianggarkan bernilai RM300,000 di sebuah premis di Desa Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
Kedua-dua suspek yang ditahan kira-kira pukul 5.30 petang itu berusia 58 dan 38 tahun.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, hasil soal siasat seorang daripada suspek telah membawa polis ke sebuah lagi premis di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.
“Susulan itu polis menemukan 807 karton rokok jenama M-One warna merah berjumlah 8,070 kotak rokok pada 8 malam itu.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan kesemua suspek ditahan di lokap Balai Polis Salak Selatan, Kuala Lumpur manakala reman suspek dimohon di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah hari ini untuk melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Idzam menyeru orang ramai agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 0083, Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan untuk tindakan segera.
SEORANG guru wanita berusia 50 tahun diperdaya RM199,111 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai ejen insurans pada bulan lalu.
Suspek menghubungi mangsa pada 10 Oktober lalu yang mendakwa kononnya daripada ejen insurans dan mengatakan guru wanita itu telah membuat tuntutan insurans sebanyak empat kali dengan jumlah RM76,800.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Melaka, Superitendan E. Sundra Rajan berkata, mangsa telah menafikan perkara tersebut, namun panggilan itu disambungkan ke Balai Polis Pudu.
“Panggilan mangsa disambungkan kepada SM Azman yang mengatakan pengadu terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram berkait dengan seorang suspek lelaki bernilai RM2.8 juta.
“Panggilan mangsa seterusnya disambungkan kepada Inspektor Mastura yang memberitahu dia boleh membantu mangsa menyelesaikan kes itu, sebelum mangsa menerima satu lagi panggilan daripada Puan Yong dan Tuan Chong yang menyamar pegawai bertugas.
“Kedua-dua suspek itu memberitahu mangsa akan didakwa di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Sabah, selain memintanya membayar wang jaminan sebanyak RM568,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Sundra berkata, disebabkan mangsa tidak mempunyai wang untuk membayar wang jaminan itu, mangsa telah membuat pinjaman dengan dua bank berlainan bernilai RM380,888.
Katanya, pada 12 November mangsa menerima panggilan daripada Puan Yong dan mengarahkan mangsa menukar nombor telefon pada kad bank milik mangsa kepada nombor telefon yang diberikan oleh suspek, selain mengarahkan semua wang simpanan mangsa yang ada dalam satu lagi akaun bank dipindahkan ke dalam satu akaun.
“Tanpa rasa curiga mangsa telah mengikut semua arahan suspek dan selepas itu wanita itu telah dihubungi semula oleh Puan Yong yang memintannya membuat pinjaman dengan pihak pinjaman kredit namun tidak berbuat demikian kerana berasa curiga.
“Mangsa kemudiannya membuat semakan akaun bank miliknya dan mendapati sejumlah wang RM199,111 telah dikeluarkan. Berasa diri diperdaya, mangsa membuat laporan polis semalam (7 Dis) di Balai Polis Tiang Dua,” katanya.
SERAMAI tujuh waris pelajar Sekolah Kebangsaan Darulaman Heights (SKDH) di Bandar Darulaman dekat Jitra, Kedah berhimpun pagi ini bagi mendesak supaya seorang guru yang enggan divaksin, dipindahkan dari sekolah tersebut.
Menurut salah seorang waris terlibat, M. Hasbee Fathil, 44, tindakan tersebut diambil kerana mereka bimbang dengan risiko yang bakal ditanggung pelajar di sekolah berkenaan terutamanya dari sudut kesihatan.
Malah katanya, bebanan guru lain di sekolah itu juga dikatakan bertambah apabila mereka terpaksa menanggung tugasan guru yang enggan divaksin itu.
“Difahamkan guru tersebut tidak dibenarkan untuk mengajar secara bersemuka dan kini ditempatkan di surau. Keadaan itu sudah tentu menambah beban kepada guru-guru lain yang terpaksa pula menggalas tugas ditinggalkan guru tersebut.
“Kami berharap ada tindakan segera diambil untuk mengeluarkan guru tersebut dari sekolah ini. Kami amat risaukan keselamatan anak-anak di sini malah laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara ini,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Selain berhimpun secara aman di depan sekolah, para waris itu turut menyerahkan memorandum berhubung perkara tersebut kepada pihak sekolah yang diterima Guru Besarnya, Burhanurdin Hasan.
Sementara itu seorang lagi waris terlibat, Mohd. Huzainy Ahmad, 44, berkata, desakan tersebut mendapati sokongan ramai lagi ibu bapa pelajar di situ namun kebanyakannya tidak dapat hadir atas urusan kerja.
“Lagi pun kita tak mahu beramai-ramai di sini kerana dibimbangi melanggar prosedur operasi standard (SOP).
“Walaupun guru tersebut ditempatkan di surau, namun daripada cerita anak-anak, memang ada juga dia bergerak ke sana-sini. Sebagai waris, kami amat berharap ada tindakan tegas terhadap guru tersebut dan jika dia tak mahu divaksin, sila keluar dari sekolah ini,” katanya.
Sementara itu JPN Kedah memaklumkan laporan berhubung perkara itu telah disiapkan dan akan dihantar ke Kementerian Pendidikan untuk tindakan lanjut. – SB
SEORANG penolong pegawai perubatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1,750, sejak tahun lalu.
Mohd. Fariq Ariffin, 34, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan selesai dibacakan di hadapan Hakim M. Bakri Abd. Majid.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam, tertuduh didakwa memperoleh suapan RM100 hingga RM600 daripada seorang individu melalui akaun bank sebagai upah memberikan kerja pengurusan enam jenazah dari Unit Forensik Hospital Kajang kepada individu tersebut.
Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah bank cawangan Bercham di Taman Medan Bercham, Ipoh pada 28 April 2020 hingga 5 Februari lalu.
Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) yang membawa hukuman penjara selama tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan pilihan, tertuduh didakwa menerima wang berkenaan daripada individu sama tanpa balasan yang diketahui ada kaitan dengan tugas rasmi bagi kerja pengurusan jenazah pada tarikh dan tempat yang sama.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Fadhli Ab. Wahab, manakala tertuduh diwakili peguam Syahrul Nizam Mohd. Rabi.
Mahkamah kemudiannya membenarkan Mohd. Fariq diikat jamin RM5,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap bulan dan pasport diserahkan kepada mahkamah.
Mahkamah turut membenarkan kes tertuduh disebut semula pada 10 Januari 2022 di Mahkamah Sesyen Shah Alam bersama tertuduh lain dalam kes itu.
Pada 6 Oktober lalu, media melaporkan SPRM Selangor telah menahan lima kakitangan sebuah hospital kerana disyaki meminta dan menerima wang suapan daripada ejen sebagai balasan mendapatkan kerja-kerja pengurusan jenazah di hospital berkenaan.
Menurut sumber SPRM, kegiatan tersebut dipercayai dilakukan sejak 2019 hingga 2021 dan melibatkan jumlah suapan lebih RM20,000.
Pada Rabu, tiga kakitangan hospital yang sama telah didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan sama.
WALAUPUN Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak menyokong banyak perkara yang dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yassin, namun satu perkara yang diakuinya mengenai bekas rakan seperjuangannya dalam parti yang menggantikan beliau sebagai Perdana Menteri adalah pendirian utuhnya dalam menyekat sebarang percubaan untuk menggugurkan beberapa pertuduhan jenayah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Portal MalaysiaNow melaporkan, bekas Perdana Menteri itu berkata, Muhyiddin memberi jaminan beliau tidak akan masuk campur dalam perbicaraan Najib dan kes-kes mahkamah yang lain.
“Sekurang-kurangnya, dalam perkara ini, saya yakin Muhyiddin kotakan janjinya itu — beliau nampaknya menolak untuk gugurkan pertuduhan-pertuduhan terhadap Najib atau mendapatkan pengampunan bagi sabitan jenayahnya,” tulis pemimpin veteran itu dalam “Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia”, sebuah memoir setebal 304 muka surat yang bakal dilancarkan, di mana ia mengandungi rangkuman peristiwa sepanjang 15 tahun persaraannya sebelum kembali mengetuai tampuk pentadbiran negara pada 2018 dan kemudiannya meletakkan jawatan selepas 22 bulan.
Namun Dr. Mahathir mendakwa, kerana prinsip jugalah yang menyebabkan Muhyiddin tumbang pada Ogos lalu, apabila beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas beberapa ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadapnya yang didalangi Najib dan Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Apabila Muhyiddin menolak untuk menghentikan prosiding mahkamah terhadap Najib, Najib ugut untuk tarik sokongan terhadap gabungan itu, mengakibatkan beberapa peristiwa terjadi menyebabkan Ismail Sabri naik ke tampuk kuasa,” dakwanya dan menambah beliau sudah mengingatkan Muhyiddin untuk tidak mengambil risiko menerima sokongan Najib bagi membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Semalam, Mahkamah Rayuan menolak percubaan Najib untuk mengenepikan sabitan tujuh pertuduhan ke atasnya termasuk salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram.
P
Sabitan yang dijatuhkan pada Julai tahun lalu itu turut membawa hukuman 12 tahun penjara dan denda sebanyak RM210 juta, sekitar empat bulan selepas Muhyiddin menduduki jawatan perdana menteri selepas membawa Bersatu keluar daripada gabungan Pakatan Harapan (PH).
Dr.Mahathir dan Muhyiddin adalah pemimpin utama yang membentuk Bersatu pada 2016 bagi mencabar Najib ketika pendedahan berhubung skandal berkait 1MDB memuncak dalam negara.
Parti itu kemudiannya bergabung bersama PH bagi menamatkan enam dekad pentadbiran kerajaan Barisan Nasional, sekali gus menyaksikan Dr. Mahathir menjadi ketua kerajaan paling tua di dunia yang dipilih dalam pilihan raya pada usia 93 tahun.
Namun susulan beberapa kontroversi berhubung peralihan kuasa yang bakal menyaksikan bekas musuhnya Anwar Ibrahim menggantikan beliau bagi jawatan paling kanan dalam negara itu, keretakan mulai jelas dalam kerajaan PH.
Pada awal 2020, gabungan itu akhirnya tumbang sehingga menyebabkan perpecahan dalam PKR dan Bersatu.
Sepanjang 17 bulan mentadbir negara, Muhyiddin beberapa kali mengulangi tidak akan masuk campur dalam kes-kes rasuah berprofil tinggi membabitkan pemimpin-pemimpin Umno walaupun mereka bersama-sama dalam membentuk blok menyokong Ahli Parlimen Pagoh itu sebagai perdana menteri pada 2020.
Muhyiddin berkata beliau terpaksa meletakkan jawatan selepas sekumpulan “kleptokrat” berkomplot menentang beliau bagi melepaskan diri daripada perbicaraan, merujuk kepada Najib, Ahmad Zahid dan sekumpulan ahli-ahli Parlimen Umno yang berdepan pertuduhan rasuah.
Dalam usaha akhirnya untuk menghalang kumpulan itu kembali berkuasa, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti kepada ahli-ahli Parlimen PH, akan tetapi ditolak gabungan itu menyebabkan beliau terpaksa meletakkan jawatan beberapa hari selepas itu.
MalaysiaNow turut melaporkan secara terperinci bagaimana Ahmad Zahid bertemu Muhyiddin untuk mendapatkan sokongan bagi menggugurkan beberapa pertuduhan rasuah yang dihadapinya.
Sementara itu Mahathir juga yakin pengganti Muhyiddin, iaitu Ismail juga menerima tekanan yang sama dari Najib.
“Bagi Najib, apa yang penting adalah untuk kembali berkuasa — dan semakin dekat menuju ke arah itu. Dia sudah menunjukkan satu kebangkitan yang mengagumkan selepas tumbang pada pilihan raya umum (PRU) 2018.”
Menyoroti semula krisi politik yang menjadi punca peletakan jawatannya secara mengejut pada Februari 2020, Dr.Mahathir berkata ia mungkin satu langkah yang salah.
“Saya minta maaf jika keputusan saya untuk letak jawatan adalah salah namun saya tulis ini secara jujur: Saya tidak boleh teruskan. Saya tertekan, kecil hati dan rasa kecewa.
“Ia bukanlah satu perkara mudah untuk terima parti anda sudah tidak lagi percaya dengan anda. Dan saya juga tidak jangka akan dikhianati oleh pengasas bersama parti saya,” katanya dalam memoir yang boleh didapati di kedai buku minggu depan.
Namun beliau melahirkan rasa syukur kerana dapat menjalani hidup “yang luar biasa” selain turut diberi kesihatan yang baik.
“Saya pernah fikir usia 96 tahun adalah terlalu tua namun di sinilah saya pada usia emas saya, menyiapkan bab akhir buku ini,” katanya dalam halaman-halaman akhir buku terbarunya itu.
“Saya tahu saya sudah menjalani kehidupan yang luar biasa, saya sangat bersyukur kepada Tuhan, saya habiskan usia saya untuk berkhidmat kepada negara.”
POLIS sedang mengesan pemandu sebuah kereta yang dirakam melawan arus di Jalan Bukit Rotan, Kuala Selangor, Isnin lalu.
Kejadian itu dirakam menerusi kamera papan pemuka (dashcam) berdurasi 21 saat dan tular dalam media sosial sejak Selasa.
Berdasarkan rakaman video itu, memaparkan pemandu sebuah kenderaan sempat mengelak daripada terlanggar kereta yang melawan arus berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat itu menerusi laman Facebook (FB) pada pukul 4.05 petang.
“Siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kira-kira pukul 2.09 petang, 6 Disember lalu (Isnin).
“Kes itu bagaimanapun masih sedang disiasat polis,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.
Jelas beliau, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam pada itu, Ramli menegaskan pihaknya giat mengesan pemandu berkenaan dan meminta kerjasama saksi kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.