Category: Semasa

  • 33 pekerja kilang, keluarga positif Covid-19

    33 pekerja kilang, keluarga positif Covid-19

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SERAMAI 133 pekerja sebuah kilang dan ahli keluarga mereka disahkan positif Covid-19 mengakibatkan kewujudan kluster industri baharu dikenali sebagai Kluster Dah Meha Industri Kulim di Kedah.

    Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Othman Warijo berkata, daripada jumlah 133 individu yang positif itu, 97 merupakan pekerja kilang sementara 36 lagi adalah kontak keluarga.

    Jelasnya, setakat ini taburan kes positif bagi kluster itu melibatkan empat daerah di Kedah iaitu di Kulim, Sik, Baling dan Kuala Muda.

    “Setakat pukul 12 tengah hari semalam, seramai 194 individu telah menjalani saringan Covid-19. Kes ini mula dikesan setelah pihak pengurusan kilang melaksanakan saringan kendiri sebelum ini.

    “Kesemua yang positif Covid-19 itu telah lengkap divaksinasi dan hanya bergejala ringan. Buat masa ini, mereka telah diarahkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Tambahnya, siasatan awal dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mengesyaki penularan jangkitan berkemungkinan berpunca daripada kegagalan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja antaranya di surau.

    Selain itu pihaknya turut tidak menolak kemungkinan penularan itu berpunca daripada kegiatan rekreasi melibatkan kumpulan pekerja seperti kembara motosikal dan futsal.

    Dr. Othman memaklumkan, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kluster.

    “Jabatan ini mendapati keadaan terkawal dan akan terus mengawasi situasi semasa. Pihak pengurusan kilang juga diarahkan untuk mengemas kini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang tersebut.

    “Sehubungan itu jabatan ini menyeru orang ramai supaya terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi SOP digariskan oleh kerajaan dalam kehidupan seharian,” katanya.

  • Pekebun sayur buntu tanah kebun dilanda banjir 10 kali dalam tempoh 2 bulan

    Pekebun sayur buntu tanah kebun dilanda banjir 10 kali dalam tempoh 2 bulan

    LEBIH 40 pekebun sayur di Kampung Selamat, Seberang Jaya, Pulau Pinang merayu kerajaan negeri menyelesaikan masalah banjir kilat yang memusnahkan tanaman mereka setiap kali hujan lebat.

    Malah, mereka mendakwa dalam tempoh hanya dua bulan lalu, kebun mereka sudah ditenggelami banjir hampir 10 kali menyebabkan mereka kini menanggung kerugian besar.

    Tambah mereka, masalah banjir kilat melibatkan hampir 10 hektar kawasan kebun sayur-sayuran itu sudah berlanjutan sejak 30 tahun lalu namun semakin serius sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

    Menurut Pengerusi Penduduk Kampung Selamat yang juga pekebun sayur di kawasan itu, Lee Kheng Hwa, 50, penduduk akan mengalami kerugian kira-kira RM3,000 setiap kali hujan lebat ekoran sayur-sayuran mereka musnah akibat banjir kilat.

    Tambahnya, pendapatan pekebun sayur di kawasan itu juga kini susut sehingga 80 peratus terutama sejak September lalu ekoran masalah tersebut.

    “Saya juga tidak lagi menyemai anak benih sayur-sayuran baru di tanah kebun saya seluas kira-kira 0.2 hektar sejak beberapa bulan lalu kerana bimbang sekiranya hujan lebat berulang dan tanaman saya musnah akibat banjir.

    “Lebih malang harga anak benih dan kos baja serta racun juga semakin mahal ketika ini dan ini menambah bebanan kepada kami yang sudah sedia kerugian akibat masalah banjir ini,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas menyerahkan memorandum berhubung masalah itu kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang bersama-sama anggota parti MCA negeri yang diketuai Setiausahanya, Yeoh Chin Kah.

    Dalam pada itu, Chin Kah menggesa kerajaan negeri memberi perhatian serius dan menyelesaikan segera masalah yang dihadapi pekebun sayur di Kampung Selamat berkenaan apatah lagi ini bukan kali pertama mereka membangkitkan mengenai isu tersebut.

    Katanya, keadaan menjadi lebih mendesak memandangkan sambutan Tahun Baharu Cina bakal menjelang tidak lama lagi dan isu itu jika dibiarkan berlarutan boleh menyebabkan bekalan sayur-sayuran berkurangan di pasaran sekali gus mendorong kepada kenaikan harga.

    “Sebagai langkah segera kerajaan negeri boleh memasang dua buah pam air di kawasan tanah kebun sayur milik penduduk ini untuk mengepam air keluar ke sungai atau laut setiap kali selepas hujan.

    “Selain itu, pekebun sayur ini juga meminta supaya sistem perparitan dan longkang di kawasan itu dapat dibersihkan lebih kerap memandangkan semakin cetek akibat mendapan daripada projek-projek pembangunan dan pembukaan kawasan baharu berdekatan kebun,” katanya.

  • Pulau Pinang tidak akan kenakan caj baharu lesen jual arak di restoran, kopitiam

    Pulau Pinang tidak akan kenakan caj baharu lesen jual arak di restoran, kopitiam

    PULAU PINANG tidak akan menguatkuasakan dasar baharu yang mewajibkan kedai kopi (kopitiam) dan restoran memohon lesen untuk menjual arak bermula pada 1 Januari depan.

    Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo berkata, dasar baharu itu jelas membebankan peniaga kedai kopi dan restoran yang sudah sedia terbeban dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

    Sehubungan itu katanya, para pengusaha kedai kopi dan restoran boleh meneruskan penjualan arak sama seperti sebelum ini tanpa perlu memohon apa-apa lesen tambahan.

    “Malah, Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah menyatakan dengan jelas pendirian kita pada mesyuarat Selasa lalu bersama pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang mana kita tidak akan menguatkuasakan keputusan berkenaan,” katanya.

    Beliau ditemui pemberita selepas meninjau projek Gurney Wharf di Georgetown, Pulau Pinang hari ini.

    Jagdeep mengulas mengenai kekeliruan berhubung arahan daripada JKDM yang mana semua pengusaha kedai kopi dan restoran perlu memohon lesen untuk menjual arak daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) bermula 1 Januari depan.

    Arahan itu mencetuskan rasa tidak puas hati pengusaha kedai kopi dan restoran yang mana mereka mendakwa perlu mengeluarkan kos sehingga RM1,300 bagi memohon lesen tersebut.

    Berikutan itu juga, beberapa pihak khususnya parti DAP mengecam arahan tersebut dan mendesak Kementerian Kewangan menarik balik selain menggesa PBT di seluruh negara tidak melaksanakan syarat pelesenan baharu terbabit.

    Dalam pada itu Jagdeep berkata, arahan terbaharu itu juga tidak selari dengan hasrat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke arah meringankan beban rakyat yang masih terjejas ekoran pandemik Covid-19.

    “Kita telah melakukan pelbagai inisiatif untuk mengurangkan beban rakyat dalam mengharungi situasi pandemik ini, jadi mengapa pula peraturan yang jelas membebankan ini mahu dilaksanakan?” katanya.

  • Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran Veterinar

    Pemandu lori didenda RM2,000 pindah 21 ekor lembu tanpa kebenaran Veterinar

    GARA-GARA memindahkan sebanyak 21 ekor lembu hidup tanpa kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada Januari lalu, seorang pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Munisipal Seberang Perai, Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

    Denda itu diputuskan Majistret Noor Farah Hazwani Osman ke atas Mohd. Aidil Abdul Halim, 40, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan terhadapnya.

    Mengikut pertuduhan, dia didakwa memindahkan 21 ekor lembu hidup dengan menggunakan sebuah lori bernombor pendaftaran DCD9845 tanpa mendapat kebenaran bertulis daripada Pengarah Negeri atau mana-mana pihak berkuasa veterinar.

    Mohd. Aidil didakwa melakukan kesalahan itu di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Sungai Bakap di Lebuh Raya Utara Selatan daerah Seberang Perai Selatan di sini kira-kira pukul 10.07 malam pada 29 Januari lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan (Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 yang dibaca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953.

    Jika sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Subseksyen 36(7) akta yang sama yang membawa hukuman denda maksimum RM15,000.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Veterinar negeri, Roziman Awang Tahrin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Ketika prosiding hari ini, Mohd. Aidil turut memohon kepada mahkamah untuk mengurangkan denda kerana perlu menyara keluarga termasuk ibu bapa selain menanggung bayaran insurans dan pinjaman rumah.

    Tertuduh turut merayu mahkamah memulangkan lori yang disita memandangkan perlu digunakan untuk mencari rezeki.

    Mahkamah kemudian menetapkan denda RM2,000 atau penjara selama dua bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda selain memerintahkan hasil jualan ternakan sebanyak RM7,200 dilucut hak.

    Difahamkan tertuduh menjelaskan denda tersebut hari ini.

  • 2,288 pelajar terima tawaran pinjaman Mara ke luar negara

    2,288 pelajar terima tawaran pinjaman Mara ke luar negara

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) terus memperkasakan sektor modal insan dalam bidang pendidikan dengan menawarkan pinjaman pelajaran ke luar negara kepada 2,288 pelajar.

    Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkara, Mara masih mengamalkan dasar penghantaran pelajar ke luar negara terutama pelajar cemerlang untuk menyambung pengajian di pelbagai peringkat daripada Ijazah Pertama hingga ke peringkat profesional dan Doktor Falsafah.

    “Pelaksanaan program ini adalah selari dengan hasrat kerajaan dalam menghasilkan modal insan yang berkualiti, bertaraf global yang bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi mempunyai akhlak dan sahsiah terpuji serta berketerampilan,” katanya.

    Beliau berkata demikian selepas Majlis Simbolik Penyerahan Surat Tawaran kepada tiga pelajar tajaan Mara sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

    Turut hadir Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf.

    Antara pelajar yang menerima tawaran itu ialah Irfan Shamer Burhanudin yang menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Usulluddin) di Universiti Al Albayt, Jordan.

    Nurul Hanis Muhammad yang menerima tajaan melalui Profesional Development Programme (Pro-P) untuk mengikuti pengajian Perakaunan-ACCA di University of South Wales, United Kingdom.

    Noorshafrina Zulkalnain ditawarkan ke pengajian Ijazah Sarjana Applied Mathematics & Physics di Moscow Institute of Physics & Technology, Rusia melalui tajaan Graduate Excellence Programme (GREP).

    Jelas Mahdzir, Mara pada tahun ini telah menaja seramai 57,351 orang pelajar untuk menyambung pengajian di dalam dan luar negara.

    Daripada jumlah itu, 52,556 pelajar menyambung pengajian dalam negara dan 4,795 pelajar ke luar negara.

    Itu melibatkan program pinjaman pelajaran Mara peringkat siswazah (YTP), TESP, STEP dan pasca siswazah (GREP & Pro-P).

    Mara jelas Mahdzir, mengamalkan polisi tajaan 89 peratus kepada golongan B40, 10 peratus untuk golongan M40 dan satu peratus kepada golongan T20.

    “Melalui peruntukan yang disediakan, ini membuktikan kerajaan menerusi Mara terus komited dalam agenda pemerkasaan bumiputera terutama mereka yang datang daripada masyarakat luar bandar untuk menjadi tulang belakang kepada asas pembangunan negara,” kata Mahdzir.

  • JKDM Labuan diperintahkan mahkamah pulangkan kenderaan Brunei

    JKDM Labuan diperintahkan mahkamah pulangkan kenderaan Brunei

    JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Labuan diperintahkan Mahkamah Sesyen Labuan untuk mengembalikan sebuah kenderaan berdaftar di Brunei kepada pemiliknya selepas dirampas kerana berada di pulau bebas cukai itu melebihi tempoh ditetapkan.

    Hakim Egusra Ali memerintahkan demikian selepas pemilik kenderaan terbabit yang juga seorang ahli perniagaan, Wong Jyh Chyn@James, 30, memohon perintah mahkamah agar kereta pacuan empat roda Toyota Hilux itu dipulangkan kepadanya.

    Egusra memerintahkan JKDM Labuan memulangkan kenderaan terbabit dalam masa empat hari bermula semalam.

    Berdasarkan fakta kes, James membawa masuk kenderaan terbabit dari Brunei ke Labuan pada 20 Februari tahun lalu dan hanya dibenarkan berada di pulau berkenaan selama tiga bulan.

    Bagaimanapun, James tidak dapat kembali ke Brunei bersama kenderaannya berikutan penutupan sempadan negara dan pulau berkenaan hingga menyebabkannya terperangkap di pulau terbabit.

    Selepas menyedari pintu sempadan dibuka semula, James cuba keluar dari Labuan untuk kembali ke Brunei pada 18 Ogos lalu, namun ditahan JKDM Labuan dan kenderaannya dirampas.

    Beliau kemudian membuat permohonan meminta supaya kenderaannya dipulangkan, namun JKDM Labuan enggan berbuat demikian kecuali selepas James membayar bon sebanyak RM10,000 sementara menunggu siasatan selesai.

    Bagaimanapun, James enggan mematuhi bon sementara itu dan syarat yang dikenakan sebelum meminta peguamnya untuk membuat permohonan kepada Mahkamah Sesyen Labuan bagi mendapatkan perintah mahkamah bagi melepaskan kenderaannya dengan segera.

    Dalam prosiding semalam, Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir menyerahkan satu afidavit yang antara lain menyatakan bahawa James bertanggungjawab memaklumkan kepada JKDM yang beliau tidak dapat kembali dalam tempoh ditetapkan.

    Beliau turut menyatakan tiada sebarang permohonan rasmi berhubung perkara itu dibuat James.

    Peguam James, Datuk Seri Rakhbir Singh bagaimanapun berhujah bahawa beban berkenaan tidak boleh dipindahkan kepada anak guamnya atau mana-mana pemilik kenderaan atas perkara itu bagi memaklumkan JKDM jika sempadan dibuka semula.

  • Rosmah tidak dapat masuk mahkamah sekali lagi

    Rosmah tidak dapat masuk mahkamah sekali lagi

    ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sekali lagi gagal memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

    Memetik laporan Malaysiakini, status MySejahtera Rosmah hari ini masih menunjukkan bahawa beliau ialah kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

    Sehubungan itu, perbicaraan kes rasuah tenaga solar yang membabitkan dirinya, hari ini tidak dapat diteruskan.

    Pada Rabu lalu, prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membabitkan perbicaraan rasuahnya yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak, juga dikosongkan kerana dia tidak dapat memasuki bangunan mahkamah kerana status MySejahtera yang berwarna jingga.

    Semasa prosiding di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan pagi ini, peguam Jagjit Singh memaklumkan tertuduh tidak dapat memasuki Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur kerana status MySejahtera yang masih berwarna jingga.

    “Saya difahamkan pagi ini, statusnya telah disahkan oleh pendaftar mahkamah,” kata peguam itu ketika hakim bertanya jika status MySejahteranya telah kembali kepada warna biru (berisiko rendah).

    Jagjit menjelaskan bahawa pendaftar mahkamah, Catherine Nicholas, turun ke kereta Rosmah yang diletakkan di luar Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, dan mengesahkan status MySejahteranya masih berwarna jingga.

    Mohamed Zaini seterusnya melapangkan tarikh perbicaraan dan memohon pihak pembelaan mengemas kini status Rosmah pada Isnin ini, untuk mengetahui sama ada status MySejahtera masih jingga atau sebaliknya.

    Namun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan supaya prosiding mahkamah jenayah hari ini ditukar kepada prosiding dalam talian hibrid, mengikut peruntukan di bawah undang-undang.

    “Saya cadangkan kita meneruskan prosiding dalam talian hibrid, di mana beliau boleh memberi keterangan dari rumahnya,” kata bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu.

    Menurut beliau, Rosmah boleh memberi keterangan secara dalam talian, sama ada di pejabat peguam mahupun di rumah dengan kehadiran pihak pembelaan dan pendakwaan.

    Mendengar saranan itu, Mohamed Zaini berkata, beliau ada memikirkan pendekatan itu, namun tiada peruntukan undang-undang mengenainya.

    “Saya tidak mahu menjejaskan keseluruhan perbicaraan hanya sebab ia okay pada peringkat ini. Saya mahu lebih berhati-hati,” katanya.

    Beliau kemudian menetapkan tarikh tambahan bagi perbicaraan itu memandangkan masih ada dua saksi pembelaan yang perlu memberi keterangan.

    Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 23 hingga 24 Disember ini dan 13 serta 14 Januari depan untuk perbicaraan kes.

    Rosmah, 69, menghadapi pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan projek bernilai RM1.25 bilion untuk membekalkan tenaga hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

  • 472,572 pelancong berkunjung ke Langkawi sejak 16 September 2021

    472,572 pelancong berkunjung ke Langkawi sejak 16 September 2021

    Oleh RIZQI ZABIDI

    SEHINGGA 5 Disember lalu, seramai 472,572 pelancong dicatatkan mengunjungi Langkawi sejak sektor pelancongan di pulau legenda itu kembali dibuka di bawah gelembung pelancongan pada 16 September lepas.

    Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, trend kemasukan ke Langkawi dilihat sentiasa menunjukkan peningkatan pada setiap bulan apabila sektor pelancongan di pulau tersebut, kembali dibuka bulan lalu.

    “Sejak sektor pelancongan kembali dibuka pada 16 September lalu, pendapatan sektor pelancongan yang telah dijana di Langkawi berjumlah RM487 juta.

    “Itu menunjukkan bahawa Langkawi mempunyai potensi besar untuk kembali menyinar selepas sekian lama sunyi dari kemeriahan pelancong akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu pada malam tadi, LADA bersama pemain-pemain industri pelancongan Langkawi telah menerima enam anugerah pada Majlis Anugerah Emas, Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) 2021 yang diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya.

    Enam anugerah yang itu adalah Anugerah Khas Inisiatif Gelembung Pelancongan yang diberikan kepada LADA, Kereta Kabel Terbaik di Malaysia (Langkawi Skycab), Restoran Hidangan dan Warisan Melayu Terbaik (Langsura Geopark Sdn. Bhd.), Destinasi Mesra Eco Terbaik (Langsura Geopark Sdn. Bhd.), Hotel Tiga Bintang Terbaik Untuk Pemandangan Laut (Nadias Hotel Langkawi) dan Hotel Pematuhan Islamik Terbaik (Hotel Adya Langkawi).

    Mengulas mengenai anugerah diterima, Nasaruddin berkata pengiktirafan itu membuktikan betapa Langkawi mampu menawarkan pengalaman pelancongan unik dan mempesona buat para pengunjung.

    “Usaha bagi mengembalikan kegemilangan industri pelancongan di Langkawi akan terus dilaksanakan demi kelangsungan ekonomi Langkawi.

    “Bersandarkan trend semasa, LADA menjangkakan kedatangan pelancong ke Langkawi akan meningkat lebih baik pada 2022,” katanya.

  • Gagal seludup 85 ekor biri-biri, kambing dari Thailand

    Gagal seludup 85 ekor biri-biri, kambing dari Thailand

    CUBAAN menyeludup 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing bernilai RM63,100 dipercayai dari negara jiran berjaya dipatahkan polis di Pasir Mas, tengah malam tadi.

    Menurut Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir, dalam rondaan pada pukul 12.55 pagi di Jalan Repek-Lubok Jong berjaya mengesan sebuah lori yang berada dalam keadaan mencurigakan.

    “Kami mengekori lori berkenaan dan berjaya menahannya di tepi jalan Taman Tengku Anis. Pemeriksaan di belakang lori menemui 85 ekor biri-biri dan lapan ekor kambing.

    “Pemandu dan seorang kelindan berusia awal 20-an ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen permit permindahan haiwan ternakan dan binatang berkenaan diseludup masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak sah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Lori yang yang digunakan membawa biri-biri dan kambing seludup yang ditahan di Pasir Mas pada awal pagi Jumaat.

    Menurutnya, hasil siasatan awal, kedua-dua tahanan mengaku terlibat dengan penyeludupan biri-biri dan kambing dari Thailand.

    Katanya, kesemua kambing tersebut diambil di kawasan tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong.

    “Tangkapan dan rampasan diserahkan ke pihak veterinar untuk tindakan lanjut,” katanya.

  • UMNO,carilah pemimpin lain…lupakan saja ‘malu apa bossku’

    UMNO,carilah pemimpin lain…lupakan saja ‘malu apa bossku’

    KELMARIN Malaysia menjadi tumpuan apabila Mahkamah Rayuan yang bersidang di Putrajaya mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak kerana melakukan penyelewenngan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

    Dalam reaksinya Najib amat kecewa dengan penggunaan ayat ‘Memalukan Negara’ yang digunakan oleh Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil ketika membaca penghakiman.

    Kata Najib, ‘’Jika anda mahu cakap tentang perkara yang memalukan negara, ada lagi isu-isu skandal lain, contohnya skandal berhubung pertukaran mata wang asing yang menyebabkan negara rugi sebanyak RM31 bilion. Bukankah itu satu isu memberi malu lebih besar kepada negara.’’

    Apabila penulis membaca komen bekas Perdana Menteri itu, penulis ‘terkebil-kebil’ tak tahu nak kata apa kerana semua orang tahu betapa hebatnya isu SRC dan 1MDB yang mendapat perhatian seluruh dunia dan kerana  itu jugalah Barisan Nasional (BN) hilang kuasa selepas 61 tahun memerintah dan ada orang nak menghasilkan filem berkaitan 1MDB.

    Penulis tidak berhasrat mengulas panjang keputusan mahkamah itu kerana Najib masih ada peluang untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Persekutuan. Tetapi apa yang penting dari segi politiknya, sudah tiba masanya UMNO mengetengahkan pemimpin baru dan bukan terus bergantung kepada populariti Ahli Parlimen Pekan itu.

    Cukup-cukuplah melaungkan ‘Malu apa bossku’ sehingga menenggelamkan laungan ‘ Hidup UMNO’ dan ‘Hidup Barisan Nasional’.

    Tak kan UMNO mahu bergantung kepada ‘Malu apa bossku’’ sedangkan ia kini sudah menjadi ‘trending’ dengan ‘Memalukan Negara’? Adakah ada pemimpin UMNO yang berani untuk menggesa kepada kepemimpinan parti untuk ‘merehatkan’ mana-mana pemimpin yang ada kes mahkamah atau sudah didapati bersalah mahkamah?

    Betul Najib masih ada lagi satu lagi peluang iaitu Mahkamah Persekutuan tetapi dari segi persepsi, kita tidak perlu berlapik lagi untuk menyatakan bahawa imej Najib sudah ‘musnah’.

    Penulis tahu masih ada penyokong tegar Najib yang masih menyebelahi beliau dan menganggap apa yang berlaku adalah fitnah..tidak mengapalah tetapi yang pasti dua mahkamah dan empat hakim sudah membuat keputusan mereka. Peringkat seterusnya, sama-sama kita tunggu.

    Apapun UMNO perlu berubah bukannya terus dibelenggu dengan pemimpin yang ada kes-kes mahkamah. Apakah mereka ini terlalu hebat sehingga UMNO tidak berani mencari pemimpin lain. UMNO bukannya kurang pemimpin, UMNO masih ada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Mohamad Hasan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Hishammuddin Hussein atau Khairy Jamaluddin…kenapa mereka ini tidak diketengahkan untuk mengemudi UMNO?

    Pada masa sama, Najib juga perlu berjiwa besar untuk mengundurkan diri daripada politik atau sekurang-kurangnya meletakkan semua jawatan dalam parti termasuklah Penasihat Barisan Nasional. Begitulah juga pemimpin lain yang ada kes mahkamah.

    Ia memandangkan setiap kali orang bercakap mengenai kes mereka pasti orang akan kaitkan dengan UMNO, justeru ia tidak adil kepada UMNO yang sedang berusaha untuk bangkit semula selepas kehilangan kuasa dalam pilihan raya umum dan kini kembali menerajui negara hasil kesepakatan dengan parti-parti lain.

    Pemimpin-pemimpin UMNO perlu ada keberanian untuk menarik parti keluar’ daripada terus dibelenggu dengan masalah yang dihadapi oleh Najib. Mereka boleh berhujah apa sahaja kalau mahu mempertahankan Najib tetapi majoriti rakyat terutamananya generasi muda ada pandangan sendiri.

    Kesimpulannya, keputusan Mahkaman Rayuan harus menjadi isyarat kepada UMNO untuk berani melakukan tindakan demi masa depan parti tersebut.