Category: Semasa

  • Long Tiger mungkin lari masuk Negeri Sembilan?

    Long Tiger mungkin lari masuk Negeri Sembilan?

    POLIS Negeri Sembilan sedia membantu Kontinjen Johor dalam mengesan lelaki berketurunan Rohingya dikenali sebagai ‘Long Tiger’ yang lolos daripada tahanan ketika menghadiri perbicaraan di Mahkamah Majistret Tangkak, Johor Rabu lepas.

    Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, meskipun tiada pasukan khas ditubuhkan setakat ini, pihaknya sentiasa bersiap siaga selain semua anggota di lapangan telah dimaklumkan mengenai perkara itu.

    “Sebarang kemungkinan boleh berlaku (Long Tiger memasuki sempadan Negeri Sembilan) dan kita sedia membantu polis Johor mengesan suspek. Semua elemen dan petugas telah dimaklumkan berhubung kes tersebut,” katanya kepada Bernama di Seremban, hari ini.

    Pada 15 Dis lepas, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid menghadiri prosiding di Mahkamah Majistret Tangkak bagi perbicaraan kes berkait Seksyen 388 Kanun Keseksaan, sebelum terlepas daripada tahanan kira-kira 11.55 pagi.

    Ketua Polis Daerah Tangkak, Supt Mohd Fadhil Minhat dilaporkan berkata, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari daripada tahanan.

    Dalam pada itu, Mohamad berkata, polis Negeri Sembilan merekodkan kutipan bayaran saman berjumlah RM5.46 juta membabitkan 111,116 kes dalam tempoh lapan hari sejak pelaksanaan tawaran diskaun 80 peratus saman trafik sempena 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula 9 Dis lepas.

    Beliau berkata jumlah transaksi yang dibuat di kaunter cawangan trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri melalui bayaran tunai dan e-pembayaran dengan kad kredit atau debit merekodkan sebanyak 2.3 peratus iaitu RM122,600 daripada keseluruhan kutipan bayaran saman setakat semalam.

    “Kebanyakan saman yang dijelaskan orang ramai adalah dari tempoh 1998 hingga kini. Bagaimanapun, jumlah kutipan menerusi aplikasi MyBayar Saman tidak dapat dikeluarkan kerana melibatkan perisian di Bukit Aman,” katanya.

    Sehubungan itu, Mohamad menasihatkan orang ramai supaya merebut peluang berkenaan selain tidak menunggu sehingga tarikh akhir 31 Dis untuk membuat pembayaran saman trafik terutama di kaunter trafik di IPD bagi mengelakkan kesulitan.

    Jelasnya, ini kerana kutipan kompaun tunai perlu dibankkan mengikut tatacara pengurusan terimaan bagi penutupan akaun akhir 2021 oleh Jabatan Akauntan Negara dan orang ramai perlu membuat pembayaran tunai pada 30 Dis.

    Namun, pembayaran melalui aplikasi mudah alih termasuk MyBayar Saman, mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Maybank dan Pejabat Pos Malaysia boleh dibuat hingga 31 Dis ini, katanya.

    Pada 12 Dis lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dilaporkan berkata tempoh tawaran diskaun pembayaran saman yang dijadual berakhir 12 Dis, dilanjutkan hingga 31 Dis bagi memberi masa lebih panjang untuk orang ramai menjelaskan saman. – BERNAMA

  • Penubuhan sayap Srikandi Muda fokus perhimpunan Bersatu – Setiausaha Agung

    Penubuhan sayap Srikandi Muda fokus perhimpunan Bersatu – Setiausaha Agung

    PENUBUHAN sayap baharu parti Bersatu, Srikandi Muda yang memberi fokus kepada wanita berusia 35 tahun ke bawah dan memperjuangkan kepentingan rakyat tanpa mengira latar belakang akan menjadi agenda utama perhimpunan agung tahunan parti berkenaan Sabtu ini. 

    Setiausaha Agung Bersatu Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata penubuhan sayap Srikandi Muda akan melibatkan pindaan Perlembagaan Bersatu yang bakal dimuktamadkan pada perhimpunan kali ini.

    “Apabila diluluskan kita akan lantik (jawatankuasa) penaja bagi Srikandi Muda yang akan mula (berkhidmat) tahun hadapan,” katanya pada sidang media mengenai Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Kuala Lumpur hari ini. 

    Beliau berkata pada masa ini Bersatu mempunyai ahli wanita di bawah 35 tahun dan Pilihan Raya Negeri Melaka baru-baru ini menunjukkan ramai wanita muda yang menyokong perjuangan Bersatu, oleh itu sayap khusus iaitu Srikandi Muda membolehkan fokus diberikan kepada golongan ini.

    Katanya perhimpunan agung Bersatu kali ini akan mencatat sejarah apabila anggota bukan Melayu terdiri daripada ahli jawatankuasa penaja sayap bersekutu Bersatu akan hadir pada Ahad. 

    Hamzah berkata topik lain yang akan dibincangkan dalam perhimpunan agung tahunan kali keempat Bersatu ialah memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia dengan sikap terbuka.

    “Ini supaya wujud landskap baharu dalam negara dengan semua rakyat Malaysia mempunyai kepentingan masing-masing dan tidak ada permusuhan kaum,” katanya. 

    Beliau berkata seramai 1,600 perwakilan Bersatu dari seluruh negara dijangka menghadiri perhimpunan agung tahunan yang diadakan secara fizikal di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Sabtu dan Ahad ini. 

    Hamzah berkata perhimpunan akan dimulakan dengan perasmian perhimpunan sayap-sayap parti iaitu Armada dan Srikandi oleh Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 18 Disember.

    Katanya, ia diikuti perhimpunan agung parti dengan ucapan dasar Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin keesokan harinya. 

    Beliau berkata Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu akan berlangsung dalam prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dengan perwakilan dikehendaki menjalani ujian saringan COVID-19 di rumah dan di lokasi perhimpunan. 

    — BERNAMA

  • ‘Sekolahku Sejahtera’ tidak ganggu tugas hakiki guru

    ‘Sekolahku Sejahtera’ tidak ganggu tugas hakiki guru

    KONSEP ‘Sekolahku Sejahtera’ yang akan diperkenalkan di sekolah tidak lama lagi, tidak akan membebankan dan mengganggu tugas hakiki guru, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata, pelaksanaannya tidak melibatkan kewujudan mata pelajaran baharu sebaliknya guru-guru akan menyelitkan elemen-elemen dalam konsep “Sekolahku Sejahtera” itu sewaktu sesi mengajar dan aktiviti kokurikulum.

    Radzi pada Isnin lepas berkata, konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ bersifat penerapan nilai murni antara lain bertujuan membendung gejala buli dalam kalangan pelajar sekolah. Ia mempunyai 14 elemen dengan guru akan menerapkan elemen itu secara tidak langsung di dalam kelas yang dibuat secara alami.

    “Konsep ini bukan suatu perkara retorik tapi ianya satu perjuangan untuk memastikan murid-murid ada sikap nilai murni sejak dari usia muda,” kata Radzi pada Majlis Penyampaian Anugerah Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2021, di Putrajaya hari ini.

    Beliau berkata, Kementerian Pendidikan (KPM) berpendirian bahawa budaya buli dalam kalangan pelajar sekolah adalah suatu isu yang perlu ditangani dengan serius agar ia tidak menjadi suatu budaya atau berulang di masa hadapan.

    Katanya, kejadian yang menimpa Pegawai Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain perlu dijadikan pengajaran kerana budaya buli boleh membawa kepada kehilangan nyawa.

    Pada sidang media selepas itu, Radzi berkata, KPM sedang menyediakan kerangka baharu yang menyeluruh bagi membanteras masalah buli di sekolah termasuk di sekolah berasrama, yang melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan terhadap pendekatan sedia ada.

    Kerangka itu, katanya, memberi tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.

    Berhubung status 10 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang ditamatkan pengajian kerana terlibat dalam kes buli seperti yang tular baru-baru ini, Radzi berkata, mereka boleh memasuki sistem persekolahan KPM namun perlu menjalani beberapa proses sebelum diterima masuk selain mengikuti sesi kaunseling.

    “KPM sedia maklum mereka ini sudah ada rekod sebab itu kita (KPM) tidak boleh terima dengan mudah. Mereka juga akan dipantau dengan rapi apabila diterima masuk kelak,” katanya sehingga kini KPM belum menerima permohonan kemasukan ke sekolah daripada penjaga murid-murid terbabit. – BERNAMA

  • Perarakan rai kemenangan hina Melayu punca rusuhan 13 Mei

    Perarakan rai kemenangan hina Melayu punca rusuhan 13 Mei

    PERARAKAN meraikan kemenangan yang dilakukan oleh parti politik selepas memenangi Pilihan Raya Umum 1969, yang menyimpang daripada laluan asal antara punca terjadinya rusuhan kaum 13 Mei, dedah buku ‘May 13, 1969: A Racial Riots In Security Perspective’ yang dilancarkan hari ini.

    Buku setebal 324 halaman yang diterbitkan oleh Kelab Pegawai Regimen Askar Melayu Diraja juga mendedahkan, perarakan parti berkenaan yang disertai selain daripada anggota parti juga dituruti oleh anggota kumpulan kongsi gelap dan ejen-ejen komunis.

    Perarakan berkenaan telah keluar daripada laluan yang dibenarkan dan melalui Kampung Baru, Kuala Lumpur yang diduduki oleh orang Melayu, sambil mengeluarkan kata hinaan dan celaan.

    Berikutan itu, penduduk kampung berkenaan mengadakan perarakan balas, sehingga menyebabkan terjadinya rusuhan pada 13 Mei.

    Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Zamrose Mohd Zain dalam ucapan semasa melancarkan buku berkenaan berkata buku tulisan Mejar General (Bersara) Datuk Dr Nordin Yusuf itu, perlu dibaca generasi sekarang dan masa depan agar kejadian yang sama tidak berulang.

    Beliau berkata peristiwa berkenaan yang merupakan detik hitam dalam sejarah perpaduan kaum di negara ini, perlu dipastikan tidak berlaku lagi kerana ia merugikan negara.

    “Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada penulis atas usaha murninya menulis peristiwa sejarah ini, dan gariskan penglibatan Tentera Darat dan Rejimen Askar Melayu Diraja,” katanya pada majlis berkenaan yang diadakan di Wisma Perwira Tentera Darat di Kem Perdana Sungai Besi di Kuala Lumpur hari ini.

    Turut hadir, bekas Ketua Polis Negara Tun Hanif Omar dan Presiden Kelab Pegawai Rejimen Askar Melayu Diraja Brig Jen (Bersara) Datuk Ahmad Zaki Mahmud.

    Selain itu, Zamrose berkata peristiwa berkenaan turut menonjolkan sikap profesionalisme Angkatan Tentera Malaysia (ATM), yang menyerahkan kembali kuasa kepada kerajaan yang sah selepas ketenteraman awam dapat dikembalikan.

    Buku berkenaan yang dijual dengan harga RM150 senaskah boleh dibeli dengan menghubungi secara terus kepada penerbit buku itu iaitu Casamas Resources Sdn Berhad. – BERNAMA

  • Buli lagi! Pelajar tingkatan 3 sakit dada dilanyak senior

    Buli lagi! Pelajar tingkatan 3 sakit dada dilanyak senior

    BELUM lagi reda isu buli di sebuah maktab rendah sains Mara (MRSM) di Perak, timbul pula insiden terbaharu melibatkan seorang pelajar tingkatan tiga di Kluang, Johor.

    Dalam kejadian di sebuah sekolah menengah pada 9 Disember lalu, pelajar terbabit mengadu sakit dada dipercayai akibat dibuli senior.

    Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Superintendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, pihaknya hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima laporan pada pukul 6.18 petang semalam.

    Menurut beliau, susulan kejadian itu mangsa dilaporkan mengalami kesakitan di dada serta trauma dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

    “Siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila seorang pelajar senior tidak berpuas hati dengan sikap mangsa yang menyebabkan dia dibuli,” katanya dalam kenyataan media.

    Abdul Razak menambah, tindakan susulan diambil oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang untuk mengesan suspek terlibat.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

    “Kami memandang serius kes jenayah seperti buli melibatkan pelajar di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan pihak terlibat,” katanya.

    Hari ini, media melaporkan lima pelajar tingkatan empat di sebuah sekolah menengah di Muar, direman hingga Sabtu bagi membantu siasatan kes buli terhadap pelajar berusia 14 tahun di sekolah sama.

    Mereka didakwa membuli seorang pelajar junior sehingga mengakibatkan pelajar berkenaan cedera di rusuk kiri.

    Sebelum itu, 10 pelajar MRSM di Perak yang dikenal pasti terbabit dalam kes buli yang tular baru-baru ini ditamatkan pengajian serta-merta.

  • Isu forex hanya dakwaan lisan,tiada duit masuk akaun saya – kata Dr.Mahathir

    Isu forex hanya dakwaan lisan,tiada duit masuk akaun saya – kata Dr.Mahathir

    TUDUHAN sesetengah pihak berhubung isu kehilangan RM30 bilion oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam tukaran mata wang asing (forex) disifatkan hanya dakwaan lisan semata-mata.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan beliau tidak terlibat dalam operasi sebenar BNM.

    Beliau juga menegaskan, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi meneliti peranan yang didakwa dimainkannya untuk menutup kerugian.

    Menurut Dr. Mahathir, seorang pegawai BNM juga menyatakan bahawa bank pusat itu kehilangan RM30 bilion melalui perdagangan mata wang dan kononnya beliau menyembunyikan kerugian berkenaan.

    “Jika benar wang itu hilang, siasatan hendaklah berkaitan dengan operasi bank. Malah, apabila kerugian diketahui umum, perkara itu dibawa ke Parlimen untuk dibincang dan dibahaskan,” katanya dalam tulisan di laman blog chedet.cc, hari ini.

    Mengulas lanjut, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkata, tindakan yang dilakukan Najib itu berbeza dengan reaksi terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB) apabila Parlimen diarahkan untuk tidak membenarkan isu tersebut dibentang apatah lagi dibahaskan.

    Tambahan pula, kata beliau, pegawai tertinggi BNM telah berulang kali menegaskan bahawa mereka tidak melaporkan kepada Perdana Menteri atau Menteri Kewangan mengenai kerugian forex dan bersedia untuk bertanggungjawab.

     “Semua fakta ini boleh didapati dalam rekod awam. Dalam analisis akhir, adakah bukti bahawa saya telah mendapat manfaat daripada kerugian tersebut. Saya percaya prinsip cui bono, yang mendapat manfaat, terpakai. Adakah sebarang wang masuk ke dalam akaun saya? Jelas sekali, tiada.

    “Bagaimanapun, dalam kes 1MDB dan SRC International, berjuta-juta masuk ke dalam akaun Najib dan beliau dengan senang hati membelanjakan wang itu untuk kepentingan peribadinya.

    “Ini adalah dapatan mahkamah dan beliau telah didapati bersalah oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan,” jelas beliau.

    Minggu lalu, Najib meluahkan rasa kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan sabitan bersalahnya dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.

    Beliau menegaskan telah membawa banyak kejayaan kepada negara termasuk meningkatkan aset kepada RM2 trilion sepanjang tempoh selaku Perdana Menteri.

    “Jika anda bercakap mengenai aib negara, ada isu skandal lain seperti tukaran mata wang asing (forex) yang menyebabkan negara kerugian RM31 bilion. Bukankah itu jauh lebih besar?,” katanya.

  • Dua pegawai SPRM direman hingga Ahad bantu siasatan kes rompakan RM700,000

    Dua pegawai SPRM direman hingga Ahad bantu siasatan kes rompakan RM700,000

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah ditahan melibatkan satu kes rompakan yang berlaku Jumaat lalu.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, dua pegawai SPRM itu ditahan bagi membantu siasatan kes rompakan berkumpulan melibatkan kerugian RM700,000.

    Menurut Abd. Jalil, kedua-dua pegawai berusia 37 dan 39 tahun itu telah direman selama empat hari mulai hari ini sehingga Ahad.

    “Siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu rompakan berkumpulan.

    “PDRM menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil. Kertas siasatan akan dikemukakan ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Ahad lalu, SPRM mengesahkan seorang pegawainya telah ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung satu kes jenayah.

    SPRM dalam kenyataan menegaskan, agensi itu memberikan kerjasama penuh kepada polis bagi mengesan pegawai terbabit.

    Sehari sebelumnya, media melaporkan dua individu termasuk seorang pegawai agensi penguat kuasa ditahan polis selepas disyaki terbabit kes rompakan berkumpulan di sebuah rumah di Jalan Ampang, Kuala Lumpur membabitkan kerugian hampir RM1 juta.

    Dalam kejadian jam 12 tengah hari Jumaat lalu, tiga lelaki dikatakan memperkenalkan diri sebagai pegawai penguat kuasa sebuah agensi, memecah masuk rumah seorang ahli perniagaan berusia 50-an, kononnya menjalankan siasatan terhadap mangsa.

    Difahamkan, mereka menggeledah rumah dan meminta mangsa mengambil beg berisi wang tunai sebelum melarikan diri bersama beg berkenaan dengan menaiki sebuah kenderaan.

    Selepas kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis yang kemudian berjaya menahan dua lelaki termasuk pegawai penguat kuasa, masing-masing berusia 30-an, manakala gerakan memburu seorang lagi suspek giat dijalankan.

  • Lelaki culik budak perempuan, samun OKU, paksa rakam amang seksual

    Lelaki culik budak perempuan, samun OKU, paksa rakam amang seksual

    POLIS menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki melarikan seorang kanak-kanak perempuan berumur tujuh tahun dan melakukan amang seksual di sini, di Kampung Kangkar Baru, dekat Yong Peng, semalam.

    Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, individu berusia 36 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4.45 petang dan polis turut merampas sebuah kereta jenis Proton Waja berwarna kelabu serta sebuah telefon bimbit jenis Vivo.

    Katanya, dalam kejadian Selasa lepas, lelaki itu dipercayai melarikan kanak-kanak berkenaan di depan rumahnya di Taman Teratai, Kangkar Pulai di sini dengan sebuah kereta pada kira-kira pukul 5.30 petang, menghala arah Stulang Laut .

    Dalam satu kenyataan di sini beliau berkata, lelaki itu kemudiannya menyamun kira-kira RM500 daripada seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) berumur dalam lingkungan 20 tahun, yang kemudiannya dipaksa oleh suspek untuk merakam kejadian amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan (yang dilarikan) dalam kereta.

    Menurut beliau, lelaki OKU itu kemudiannya ditinggalkan di tepi jalan Stulang Laut, dan kanak-kanak berkenaan yang ditemukan orang awam di depan kedai makan Kangkar Pulai dalam keadaan ketakutan serta trauma, telah dibawa ke hospital sebelum diserahkan kembali kepada keluarganya.

    Ayob berkata, lelaki berkenaan akan direman sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKSTK) 2017 dan Seksyen 363 KK.

    “Hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 392 KK adalah penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, manakala hukuman bagi kesalahan di bawah Seksyen 14 (a) AKSTK adalah penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan serta hukuman di bawah seksyen 363 KK adalah penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak dalam kenyataan berasingan berkata, polis menahan seorang lelaki warga asing awal pagi ini susulan laporan berhubung kes cabul kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.

    Beliau berkata, menurut laporan ibu kanak-kanak itu, kejadian berlaku semasa anaknya yang berada di sebuah kedai serbaneka di Ulu Tiram di sini, apabila dia mendakwa lelaki yang bekerja di premis itu telah memegang bahu dan meraba perutnya pada pukul 7.50 malam, Selasa lepas.

    “Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari IPD Seri Alam telah menahan lelaki berkenaan yang berusia 33 tahun di tempat kerjanya kira-kira 1.20 pagi tadi bagi membantu siasatan, dan dia direman selama tujuh hari bermula hari ini, disiasat di bawah Seksyen 14 (a) AKSTK 2017,” katanya. – BERNAMA

  • Tujuh PATI ditahan cuba masuki Malaysia

    Tujuh PATI ditahan cuba masuki Malaysia

    Oleh RIZQI ZABIDI

    CUBAAN tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini secara haram menerusi laluan balak gagal apabila mereka ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di Kuala Nerang, Kedah, semalam.

    Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia menerusi satu kenyataan memaklumkan, penahanan tujuh individu warganegara Myanmar itu dibuat pada pukul 1.25 tengah hari semalam di laluan balak, sektor Op Benteng iaitu dalam kawasan tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia.

    “Subunit yang melakukan rondaan di laluan balak sempadan Malaysia Thailand telah bertembung degan tujuh orang awam terdiri daripada tiga lelaki dan empat perempuan yang berjalan di denai bukit. Mereka ditahan untuk pemeriksaan dan didapati masing-masing tidak memiliki Mykad,” katanya.

    Tambahnya, kesemua PATI itu kemudiannya dibawa ke Kem Sahara untuk siasatan.

    “Siasatan awal mendapati kesemua mereka merupakan PATI warganegara Myanmar berusia antara 17 hingga 39 tahun. Beberapa barangan turut dirampas antaranya wang tunai melibatkan mata wang Malaysia, Myanmar dan Thailand berjumlah RM3,237,” katanya.

    Menurutnya, kesemua PATI itu kemudiannya dihantar ke Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

  • Mahkamah terima rakaman percakapan pemaju maut jatuh kondo

    Mahkamah terima rakaman percakapan pemaju maut jatuh kondo

    MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan rakaman percakapan pengasas dan Pengerusi Eksekutif Ewein Bhd, Datuk Ewe Swee Keng yang maut selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah kondominium mewah di Pulau Pinang, dua bulan lepas, diterima masuk sebagai keterangan dalam perbicaraan kes rasuah Lim Guan Eng.

    Hakim Azura Alwi memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin agar rakaman percakapan mendiang Swee Keng, 53, ditandakan sebagai eksibit dan digunakan pada perbicaraan kes berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut dan jalan utama yang melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.

    “Mahkamah berpuas hati bahawa kenyataan-kenyataan itu telah diberikan oleh mendiang Swee Keng sendiri kepada pegawai perakam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa di dalam siasatan menurut Seksyen 30 Akta SPRM 2009, khususnya subseksyen 38 akta sama.

    “Maka, sebarang pertikaian tentang ketidakpatuhan terhadap subseksyen tersebut ditolak. Sehubungan itu, mahkamah membenarkan rakaman percakapan Swee Keng diterima masuk sebagai eksibit dalam kes ini,” kata hakim itu.

    Mendiang Swee Keng yang sepatutnya dipanggil sebagai saksi pendakwaan ke-15 meninggal dunia selepas dilaporkan terjatuh dari sebuah unit kondominium mewah di Jalan Kelawei, Pulau Pinang, pada 5 Okt lepas.

    Pada prosiding sebelum ini, pasukan pembelaan yang diwakili peguam Gobind Singh Deo membantah penerimaan rakaman kenyataan itu yang disifatkan sebagai rekaan.

    Pada prosiding hari ini, mahkamah juga mendengar keterangan bekas Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Mokhtar Mohd Jait, 64, yang mengesahkan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu ditawarkan secara tender terbuka kepada Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

    Saksi pendakwaan ke-21 itu berkata projek itu diberikan kepada CZBUCG melalui proses pembidaan menurut terma dan peraturan yang ditetapkan.

    CZBUCG telah dilantik bagi menjalankan projek pembinaan jalan utama dan terowong di negeri itu, kerana syarikat berkenaan mendapat ‘markah tertinggi’ bagi keseluruhan penilaian teknikal dan kewangan.

    Guan Eng berdepan pertuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, George Town antara Januari 2011 hingga Ogos 2017.

    Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu sebagai penghargaan mendapatkan projek itu dan dituduh melakukan perbuatan berhampiran The Garden Hotels, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011.

    Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut itu.

    Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

    Perbicaraan bersambung esok. – BERNAMA