PERBICARAAN kes Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli, yang didakwa menggunakan kedudukan untuk mendapatkan kontrak pekerjaan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd, akan bermula 9 Mei tahun depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Rozina Ayob menetapkan lima hari bermula 9 Mei 2022 untuk perbicaraan dan 8 Feb sebagai pengurusan kes.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya akan memanggil 42 saksi.

“Majoriti saksi dari Labuan,” katanya.

Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali, ketika dihubungi Bernama, berkata pihaknya telah menerima senarai nama saksi pendakwaan.

Rozman, 57, didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Timbalan Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan, telah menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan iaitu kontrak pekerjaan sebagai operator Dermaga Merdeka Pelabuhan Labuan bagi Syarikat Labuan Liberty Port Management Sdn Bhd di mana bapa dan adik lelakinya mempunyai kepentingan.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Bilik Mesyuarat TKSU, Aras 9, Kementerian Pengangkutan Malaysia, Jalan Tun Hussein, Presint 4, Putrajaya antara 2.30 hingga 5.30 petang 21 Mac 2018.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here