Category: Semasa

  • Jabatan Meteorologi nafi berlaku ‘kepala ribut’

    Jabatan Meteorologi nafi berlaku ‘kepala ribut’

    JABATAN Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hari ini menafikan ‘kepala ribut’ akan berlaku seperti yang tular dalam media sosial dan aplikasi WhatsApp.

    Met Malaysia dalam satu kenyataan menegaskan, dakwaan itu tidak benar sama sekali dan sebarang penyebaran maklumat berita palsu dan tidak sahih boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat sahih berkenaan ramalan dan amaran cuaca melalui laman sesawang rasmi dan laman media sosial rasmi Met Malaysia atau melalui talian hotline 1-300-22-1638 dan aplikasi myCuaca.

    “Justeru kami ingin mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai apa yang mereka baca dalam talian dan menyemak dahulu kesahihan maklumat itu sebelum membuat sebarang pandangan atau kesimpulan mengenai isu berkenaan atau memanjangkan mesej berkenaan,” demikian menurut kenyataan itu.

    Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat palsu menerusi SMS atau media sosial kerana ia adalah kesalahan mengikut Seksyen 211 dan 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    “Jika didapati bersalah, mereka boleh disaman tidak lebih RM50,000 atau dipenjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya,” katanya.

  • Mangsa banjir dedah RM10 pun tiada untuk makan

    Mangsa banjir dedah RM10 pun tiada untuk makan

    SEORANG mangsa banjir, Hotijah Hadrawi, 45, di Kampung Sri Tanjung, Dengkil, mendedahkan, semasa banjir dia dan suami, Sumbre Ali, 50, keluar rumah tanpa sempat membawa apa-apa termasuk dalam keadaan tiada wang.

    Selama tiga hari bencana banjir itu berlaku, dia dan suaminya Sumbre Ali, 50, terpaksa ‘tebalkan muka’ untuk meminta makanan di surau atau masjid terdekat.

    Bagaimanapun, disebabkan statusnya sebagai warganegara Indonesia, pihak berkenaan hanya memberikannya makanan sekiranya ada lebihan.

    “Kejadian banjir itu berlaku terlalu cepat, kami hanya sempat menyelamatkan diri dan tidak membawa apa-apa. Baju yang dipakai ini pun sudah tiga hari kami pakai. Mujurlah ada individu yang baik hati datang kepada kami dan memberikan sehelai baju lain untuk dibuat ganti.

    “Tetapi untuk makan kami terpaksa ikat perut dan tebalkan muka untuk minta kepada orang lain. Jika ada makanan, kami makan. Jika tiada, kami berusaha hari lain pula, tetapi selalunya ada makanan lebihan di masjid cuma kena datang lambat sedikit selepas semua orang sudah dapat makanan.

    “Saya keluar rumah tidak bawa apa-apa, duit walaupun RM10 pun saya tiada untuk makan,” katanya yang sudah 12 tahun bekerja di negara ini.

    Setiap hari dia bersama-sama suaminya datang melihat keadaan rumah sewanya, namun air surut sedikit sahaja dan masih tidak berani untuk meredah kerana takutkan adanya arus elektrik.

    “Saya baru sebulan menetap di rumah ini, sebelum ini duduk di kampung berdekatan namun tahun lalu rumah berkenaan turut banjir. Jadi kami pindah ke sini kerana difahamkan sini tidak kena banjir.

    “Namun, mungkin sudah ditakdirkan bila kami menetap di sini, inilah pertama kali berlaku banjir di kawasan ini.

    “Keadaan masa itu sangat kelam kabut, kami cepat-cepat keluar rumah kerana kawasan ini berhadapan dengan sungai. Risau berlaku apa-apa yang tidak diingini, kami terus keluar dari rumah, apa yang saya fikir ketika itu cuma nyawa saya dan suami,” katanya.

    Sementara itu, Shafry Md. Yunos, 52, yang juga pemilik rumah yang disewa Hotijah itu berkata, kejadian ini sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.

    “Bukan sahaja rumah saya terjejas banjir, tetapi lima lagi rumah sewa saya juga mengalami nasib sama. Sudah 40 tahun saya menetap di sini, inilah bencana paling teruk saya pernah alami.

    “Selalunya kalau banjir di Dengkil ini, kawasan kami selamat. Cuma kali ini nasib malang menimpa kami, tiada apa yang mampu selamatkan pada masa kejadian. Saya ada letakkan segala dokumen yang dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat tinggi dalam rumah, harapnya masih selamat,” katanya.

  • Wanita rugi RM44,000 diperdaya ‘pegawai kesihatan’

    Wanita rugi RM44,000 diperdaya ‘pegawai kesihatan’

    SEORANG kakitangan swasta wanita berusia 27 tahun dari Butterworth, Pulau Pinang kerugian sebanyak RM44,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai penjawat awam.

    Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd. Radzi Ahmad berkata, mangsa pada mulanya menerima panggilan telefon daripada seorang individu yang mendakwa ‘pegawai kesihatan’.

    Ujarnya, suspek mendakwa mangsa telah mengambil ubat secara berlebihan sebanyak 16 kali di sebuah klinik kesihatan bermula dari November sehingga bulan ini.

    “Panggilan terbabit kemudiannya disambungkan kepada ‘Inspektor Yong’ dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang kononnya ditugaskan untuk menyiasat kes berkenaan.

    “Mangsa kemudian dimaklumkan dia turut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM2.7 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Menurut Mohd. Radzi, mangsa turut diarahkan oleh suspek untuk memberikan maklumat akaun banknya untuk semakan sebelum tindakan membekukan akaunnya diambil.

    Bagaimanapun kata beliau, selepas berbuat demikian, mangsa mendapati wang simpanannya telah dipindahkan ke akaun lain.

    “Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. 

    Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah percaya dengan panggilan telefon yang mengaku daripada penjawat awam.

    Tegasnya, pihak polis tidak akan sesekali mendapatkan maklumat perbankan daripada mana-mana individu menerusi panggilan telefon.

  • Penebar roti canai parah ditikam rakan sekerja

    Penebar roti canai parah ditikam rakan sekerja

    SEORANG penebar roti canai warga Indonesia cedera parah selepas ditikam rakan senegaranya di medan selera di Bandar Baru Sungai Buloh, Sungai Buloh, malam tadi.

    Mangsa yang dikenali sebagai Zakaria, ditikam dengan pisau oleh suspek, 27, yang juga pekerja kedai nasi lemak di restoran sama dalam kejadian pukul 9.45 malam.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, siasatab mendapati suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

    “Suspek sudah ditahan oleh orang awam dan tangkapan semula dibuat oleh anggota polis rondaan. Motif kejadian mangsa ditikam masih lagi dalam siasatan,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk menerima rawatan.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” katanya.

  • Ganti dokumen peribadi percuma untuk mangsa banjir – Hamzah

    Ganti dokumen peribadi percuma untuk mangsa banjir – Hamzah

    MANGSA banjir yang kehilangan kad pengenalan, pasport dan dokumen peribadi di bawah agensi Kementerian Dalam Negeri boleh mendapatkan penggantian dokumen peribadi itu secara percuma. 

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Jabatan Pendaftaran Negara serta Jabatan Imigresen akan diarahkan supaya membantu mangsa yang dokumen mereka musnah atau hilang akibat banjir dalam masa terdekat. 

    “Sekarang ini mangsa boleh memberi tumpuan kepada proses pembersihan banjir dan pihaknya menerusi Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Imigresen serta agensi berkaitan akan membantu mendapatkan dokumen berkenaan. 

    “Selepas ini segala dokumen, sijil kelahiran, sijil kematian, pasport atau dokumen yang musnah akibat  bencana (banjir) ini akan diberikan (penggantian) secara percuma,” katanya kepada pemberita selepas melawat dan memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Batu 18, Kampung Jawa dekat sini, hari ini. 

    Beliau berkata banjir yang berlaku di Hulu Langat serta Shah Alam di Selangor adalah di luar jangkaan dan persediaan agensi di bawah kementeriannya memberi fokus ke negeri di Pantai Timur. 

    “Kebiasaannya negeri di Pantai Timur akan mengalami banjir sekitar November hingga Mac dan keadaan ini menyebabkan aturan gerak aset tertumpu ke kawasan berkenaan,” katanya. 

    Bagaimanapun menurut Hamzah, susulan kejadian banjir di Selangor, perbincangan akan diadakan  bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan dalam mengkaji struktur penggunaan aset dan penambahbaikan yang boleh dilakukan dalam operasi banjir. 

    Mengulas komen netizen yang mendakwa usaha menyelamat yang lambat oleh Polis Diraja Malaysia kepada mangsa banjir, Hamzah berkata: “Saya ucapkan terima kasih kepada masyarakat yang menyalurkan maklumat untuk bantuan… (tetapi) kita perlu faham keadaan (banjir) di Selangor jarang berlaku dan kita perlu melihat apa yang perlu dilakukan selain kekangan serta masalah untuk masuk ke kawasan menyelamat,” katanya. 

    Hamzah berkata pihaknya akan mendapatkan bantuan lebih 5,000 anggota daripada Rela dan agensi berkaitan bagi menampung kekuatan lebih 23,000 anggota dan pegawai PDRM dalam operasi membantu mangsa di lapan negeri yang terjejas akibat banjir. – BERNAMA

  • Banjir di Selangor ragut 9 nyawa, 6 daripadanya di Taman Sri Muda

    Banjir di Selangor ragut 9 nyawa, 6 daripadanya di Taman Sri Muda

    KEADAAN banjir di luar jangka melanda Lembah Klang, terutama Selangor sejauh ini dilaporkan telah meragut sembilan nyawa di negeri ini.

    Terbaharu, dua lagi mayat dipercayai dua beranak ditemukan di kawasan Seksyen 25, Taman Sri Muda, Shah Alam kira-kira pukul 4 petang.

    Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib yang mengesahkannya memberitahu, mangsa dipercayai berusia warga emas berumur antara 70 dan 90 tahun.

    Sebelum itu, Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Datuk Nor Hisham Mohammad mengesahkan tiga mangsa ditemui lemas dan seorang ditemui meninggal dunia di ruang atas rumah di Taman Sri Muda pagi tadi.

    Dua lagi mangsa bencana dipercayai terkorban di Dengkil, Sepang dan seorang lagi di Desa Coalfields, Kuala Selangor.

    Seorang mangsa dikhuatiri masih hilang dipercayai di Sungai Pinang, Selangor

    Situasi banjir di Lembah Klang ketika ini, terutama Selangor disifatkan luar biasa dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), bertambah.

    Hujan berterusan kadang-kala lebat selama dua hari mulai Khamis lalu di sekitar Lembah Klang menyebabkan ramai yang tidak bersedia dan terperangkap sama ada di kediaman mereka atau di dalam kenderaan di jalan-jalan utama yang dinaiki air.

    Setakat ini, rekod banjir di lapan negeri di Semenanjung Malaysia menunjukkan sejumlah 398 PPS telah dibuka dan melibatkan 50,566 mangsa dari 14,693 keluarga.

  • Bekas ketua unit syarikat automotif dipenjara seminggu kerana rasuah

    Bekas ketua unit syarikat automotif dipenjara seminggu kerana rasuah

    SEORANG bekas ketua unit kereta terpakai sebuah syarikat automotif tempatan dihukum penjara seminggu dan denda RM148,200 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas kesalahan menerima rasuah RM21,940 berhubung penjualan 21 kereta.

    Bagaimanapun Cheah Kuang Ming, 39, mengaku bersalah selepas 12 pertuduhan yang dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azura Alwi.

    Bagi pertuduhan pertama hingga sembilan, Kuang Ming dipenjara antara satu dan tiga hari bagi setiap kesalahan serta denda berjumlah RM90,700.

    Bagi pertuduhan ke-10, dia dipenjara tujuh hari dan denda RM27,500 manakala pertuduhan ke-11 dan 12, tertuduh dipenjara tiga dan lima hari serta denda RM30,000.

    Bagaimanapun mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini dan tambahan jel 53 bulan, jika gagal membayar denda.

    Mengikut pertuduhan pertama hingga kesembilan, tertuduh didakwa secara rasuah telah menerima wang berjumlah RM10,440 ke akaun Maybank miliknya.

    Ia diperoleh daripada beberapa individu sebagai balasan untuk memastikan supaya 10 kenderaan dijual kepada empat syarikat automotif.

    Bagi pertuduhan ke-10 tertuduh didakwa menerima suapan, iaitu deposit tunai berjumlah RM5,500 dari sebuah syarikat automotif melalui akaun Maybank miliknya sebagai upah mengambil tindakan memilih syarikat itu membeli 11 buah kenderaan dari syarikat automotif tempatan.

    Pertuduhan ke-11 dan ke-12, tertuduh didakwa menerima RM6,000 melalui akaun Maybank miliknya, sebagai upah memastikan sebuah syarikat pembangunan perisian sebagai pembekal modul sistem utama kepada sebuah syarikat automotif tempatan.

    Kesalahan dilakukan di Malayan Banking Berhad cawangan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail di sini antara 16 Julai 2019 hingga 22 Julai lalu.

    Oleh itu, dia didapati melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

    Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Semasa prosiding, peguam, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria yang mewakili tertuduh, merayu agar anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan telah menyesal dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

    “Dia tidak tahu ia merupakan satu rasuah, kerana beranggapan ia sebagai komisen atau tips daripada pembeli malah ia merupakan amalan biasa bagi penjual kereta terpakai,” katanya.

    Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menjatuhi hukuman pemenjaraan lebih daripada tempoh tujuh hari kerana kesalahan yang dilakukan tertuduh bertentangan dengan polisi kerjanya.

    “Tertuduh tidak boleh menerima komisen kerana ia bertentangan kontrak kerja,” katanya.

  • Tujuh anggota polis Kelantan dibuang kerja

    Tujuh anggota polis Kelantan dibuang kerja

    SERAMAI tujuh anggota polis dikenakan tindakan buang kerja sejak awal Januari lalu hingga hari ini, kata Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

    Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas anggota terbabit didapati bersalah oleh mahkamah atas pelbagai kesalahan yang dilakukan seperti penagihan dadah dan kesalahan jenayah.

    “Sepanjang tahun ini sebanyak 116 laporan diterima oleh Jabatan Intergriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Kelantan, berhubung salah laku disiplin pegawai dan anggota.

    “Daripada jumlah itu, 61 kes sudah berjaya diselesaikan manakala baki 55 kes masih dalam siasatan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

    Mengulas lanjut, Shafien berkata kebanyakan kes melibatkan anggota berpangkat rendah dan berlaku di peringkat daerah.

    Dalam perkembangan lain, Shafien berkata sejumlah 770 kes penipuan dengan jumlah kerugian bernilai RM14.2 juta direkodkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di negeri ini sejak awal Januari hingga 30 Nov tahun ini, berbanding tahun lalu merekodkan 866 kes dengan jumlah kerugian sebanyak RM17 juta.

    “Walaupun jumlah kes menurun namun penipuan e-dagang dan tipu pelaburan dalam talian pula menunjukkan peningkatan, dengan masing-masing merekodkan 318 dan 68 kes.

    “Kebanyakan kes penipuan seperti ini berlaku disebabkan mangsa kekurangan ilmu, kerana mereka sepatutnya menyiasat terlebih dahulu kesahihan pihak yang mereka berurusan atau menawarkan pinjaman tersebut,” katanya. – Bernama

  • Bekas polis bantuan lepas dan bebas tuduhan merogol

    Bekas polis bantuan lepas dan bebas tuduhan merogol

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    MAHKAMAH Sesyen Segamat hari ini melepas dan membebaskan seorang bekas anggota polis bantuan daripada tuduhan merogol seorang remaja berumur 15 tahun yang didakwa empat tahun lalu.

    Mohamad Abdul Hafiz Abdul Kadir, 31, yang kelihatan tergamam melahirkan rasa lega dan bersyukur dengan keputusan tersebut.

    Hakim Norina Zainol Abidin membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

    Perintah itu dibuat bagi tertuduh ketika kes dikemukakan untuk keputusan pada akhir peringkat pendakwaan.

    Mohamad Abdul Hafiz dituduh merogol remaja perempuan yang ketika kejadian berusia 15 tahun di Jalan Taman Perindustrian Labis, Segamat, antara pukul 8 hingga 9.30 malam pada Mac 2017.

    Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.

    Seramai tujuh saksi pendakwaan dipanggil sepanjang perbicaraan yang bermula sejak Julai 2020.

    Mahkamah memerintahkan jumlah ikat jamin sebanyak RM10,000 turut dibayar semula kepada Mohamad Abdul Hafiz.

    Timbalan Pendakwa Raya, Raudhah Mazman menjalankan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam, Mathan Anandaram.

  • Banjir: Bantuan sewajarnya bagi pekebun kecil terjejas – Zuraida

    Banjir: Bantuan sewajarnya bagi pekebun kecil terjejas – Zuraida

    KEMENTERIAN Perusahaan Perladangan dan Komoditi akan menyediakan bantuan sewajarnya buat pekebun kecil yang terjejas akibat banjir yang melanda di beberapa negeri, kata Menterinya, Datuk Zuraida Kamaruddin.

    Beliau berkata, pihaknya telah mengumpulkan dana menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan beberapa organisasi bagi tujuan tersebut.

    “Setakat ini kita belum menerima sebarang permohonan atau aduan berkaitan… kita akan lihat dan pertimbangkan nanti sekiranya ada keperluan khusus lain yang memerlukan peruntukan,” katanya kepada Bernama selepas merasmikan Foundation of Women Community in Sports Malaysia (FOWCUS) di Kuala Lumpur, hari ini.

    Zuraida adalah Presiden FOWCUS yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan bagi memartabatkan penglibatan golongan wanita dalam bidang sukan.

    Negeri yang terjejas banjir dan melibatkan penempatan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) ialah Pahang, Kelantan, Melaka, Perak, Negeri Sembilan, Terengganu dan Selangor.

    Zuraida berkata, situasi banjir yang masih melanda di beberapa negeri berkenaan dijangka tidak memberi kesan besar kepada sektor komoditi negara terutama sawit dan getah.

    “Mungkin dari aspek pekerja dan operasi sedikit terjejas pekerja iaitu kesukaran menguruskan ladang dan sebagainya,” katanya. – Bernama