SEORANG mangsa banjir, Hotijah Hadrawi, 45, di Kampung Sri Tanjung, Dengkil, mendedahkan, semasa banjir dia dan suami, Sumbre Ali, 50, keluar rumah tanpa sempat membawa apa-apa termasuk dalam keadaan tiada wang.

Selama tiga hari bencana banjir itu berlaku, dia dan suaminya Sumbre Ali, 50, terpaksa ‘tebalkan muka’ untuk meminta makanan di surau atau masjid terdekat.

Bagaimanapun, disebabkan statusnya sebagai warganegara Indonesia, pihak berkenaan hanya memberikannya makanan sekiranya ada lebihan.

“Kejadian banjir itu berlaku terlalu cepat, kami hanya sempat menyelamatkan diri dan tidak membawa apa-apa. Baju yang dipakai ini pun sudah tiga hari kami pakai. Mujurlah ada individu yang baik hati datang kepada kami dan memberikan sehelai baju lain untuk dibuat ganti.

“Tetapi untuk makan kami terpaksa ikat perut dan tebalkan muka untuk minta kepada orang lain. Jika ada makanan, kami makan. Jika tiada, kami berusaha hari lain pula, tetapi selalunya ada makanan lebihan di masjid cuma kena datang lambat sedikit selepas semua orang sudah dapat makanan.

“Saya keluar rumah tidak bawa apa-apa, duit walaupun RM10 pun saya tiada untuk makan,” katanya yang sudah 12 tahun bekerja di negara ini.

Setiap hari dia bersama-sama suaminya datang melihat keadaan rumah sewanya, namun air surut sedikit sahaja dan masih tidak berani untuk meredah kerana takutkan adanya arus elektrik.

“Saya baru sebulan menetap di rumah ini, sebelum ini duduk di kampung berdekatan namun tahun lalu rumah berkenaan turut banjir. Jadi kami pindah ke sini kerana difahamkan sini tidak kena banjir.

“Namun, mungkin sudah ditakdirkan bila kami menetap di sini, inilah pertama kali berlaku banjir di kawasan ini.

“Keadaan masa itu sangat kelam kabut, kami cepat-cepat keluar rumah kerana kawasan ini berhadapan dengan sungai. Risau berlaku apa-apa yang tidak diingini, kami terus keluar dari rumah, apa yang saya fikir ketika itu cuma nyawa saya dan suami,” katanya.

Sementara itu, Shafry Md. Yunos, 52, yang juga pemilik rumah yang disewa Hotijah itu berkata, kejadian ini sekali gus menjejaskan sumber pendapatannya.

“Bukan sahaja rumah saya terjejas banjir, tetapi lima lagi rumah sewa saya juga mengalami nasib sama. Sudah 40 tahun saya menetap di sini, inilah bencana paling teruk saya pernah alami.

“Selalunya kalau banjir di Dengkil ini, kawasan kami selamat. Cuma kali ini nasib malang menimpa kami, tiada apa yang mampu selamatkan pada masa kejadian. Saya ada letakkan segala dokumen yang dibalut dengan plastik dan diletakkan di tempat tinggi dalam rumah, harapnya masih selamat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here