Category: Semasa

  • Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

    Selepas seminggu bernikah suami dijemput Ilahi

    ISTERI kepada Allahyarham Muhamad Syafiq Saharuddin, 26, yang lemas di tali air berhampiran Desa Salak Pekerti, Kampung Labu Lanjut, semalam, berkata, sebelum meninggal suaminya mahu dia meletakkan gambar mereka bernikah sebagai ‘wallpaper’ pada telefonnya.

    “Arwah suami meminta saya meletakkan gambar kami bernikah sebagai ‘wallpaper’ telefon ketika menghantar saya ke tempat kerja, Sabtu lalu, sebelum hilang pada petang itu,” kata Siti Haida Aliza, 26, isteri kepada Allahyarham Muhamad Syafiq.

    Kata Siti Haida lagi, pada pagi itu Allahyarham suaminya menghantar dia ke tempat kerja di Nilai, Negeri Sembilan dan selepas itu bertolak ke Batang Kali, Selangor untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang rakan.

    Dia tidak menyangka hasrat suaminya menjadikan gambar pernikahan mereka sebagai ‘wallpaper’ bertujuan mengabdikan kenangan mereka berdua buat selama-lamanya.

    Katanya, kejadian ini sangat meruntun jiwanya kerana mereka berdua baru seminggu bernikah selepas lapan tahun menjalin persahabatan.

    “Selepas bernikah pada 12 Disember lalu, arwah mengambil cuti sehingga majlis persandingan kerana memaklumkan ingin menghabiskan masa dengan saya sepanjang cuti di rumah sewa di Kampung Baru Lanjut.

    “Pada petang sebelum kejadian, arwah ada menghubungi saya memaklumkan rumah sewa kami dinaiki air dan tidak menyangka air naik tinggi.

    “Saya beritahu arwah supaya mengambil barangan dan pakaian persandingan dan tidak menyangka air naik tinggi,” katanya ditemui selepas upacara pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur, hari ini.

    Menurutnya, berita kehilangan Allahyarham dimaklumkan oleh rakan, namun dia mengambil sikap positif bahawa suaminya selamat dan tidak dapat dihubungi sepanjang malam kerana masalah cuaca.

    “Malam itu saya balik ke rumah ibu bapa di Nilai kerana esok (Ahad) akan mengadakan majlis kahwin di Senawang.

    “Sepanjang malam saya cuba menghubungi arwah namun gagal dan sepanjang malam tidak dapat melelapkan mata memikirkan keselamatan dia.

    “Pagi bersiap untuk ke tempat majlis perkahwinan ahli keluarga memaklumkan mayat arwah dijumpai lemas dan ketika itu hanya Allah saja yang tahu perasaan ketika ingin meraikan majlis bersejarah hidup kami,” katanya.

    Siti Haida berkata, dia reda dengan ketentuan Allah walaupun baru seminggu melangsungkan perkahwinan.

    Jenazah Muhamad Syafiq disembahyangkan di Masjid Kampung Lanjut dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Lanjut selepas Zuhur yang turut dihadiri ibu arwah, Fatimah Taib, 53, dan bapanya, Saharuddin Mat, 53.

    Sementara itu, Saharuddin berkata, kali terakhir dia berjumpa anaknya arwah pada petang Jumaat dan tidak sempat bersembang kerana mempunyai urusan lain.

    Menurutnya, dua hari sebelum meninggal dunia, anaknya menghadiahkan al-Quran terjemahan dan dia gembira kerana sudah lama mahu memilikinya.

    “Sebelum ini arwah kelihatan sangat gembira kerana cita-citanya untuk berumahtangga dengan gadis pilihannya tercapai dan saya reda dengan pemergiannya,” katanya.

  • SAR cari mangsa kelima banjir Telemong diperluas – Bomba

    SAR cari mangsa kelima banjir Telemong diperluas – Bomba

    OPERASI mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kelima kejadian banjir lumpur di Telemong, di Bentong, Pahang diperluaskan kepada lima kilometer radius kawasan pencarian.

    Pegawai Bomba dan Penyelamat, Sufian Yakub berkata, ketika ini operasi SAR memfokuskan kawasan seberang sungai, melibatkan dua buah bot penyelamat dengan kekuatan 20 anggota bomba dan polis.

    “Operasi diperluaskan ke kawasan hilir sungai dan mencari di kawasan seberang sungai,” katanya kepada Bernama di lokasi kejadian hari ini.

    Selain itu, Sufian berkata, 51 sukarelawan yang terdiri daripada orang kampung Felda Chemomoi, turut membantu misi SAR itu.

    Semalam, Bernama melaporkan empat mayat warga tempatan ditemukan dalam insiden banjir lumpur di Telemong, di Banting.

    Terdahulu Pengerusi Pasukan Bomba Sukarela Telemong, Lai Wah Foong berkata laluan masuk ke tempat kejadian sebelum ini tidak boleh dilalui susulan kejadian tanah runtuh di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak. – Bernama

  • Rangkuman banjir: Terengganu pulih, mangsa di Pahang, N. Sembilan meningkat

    Rangkuman banjir: Terengganu pulih, mangsa di Pahang, N. Sembilan meningkat

    SITUASI banjir yang melanda negara mula menunjukkan perkembangan positif setakat tengah hari ini apabila terdapat pengurangan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di beberapa negeri.

    Malah, banjir yang melanda Terengganu pulih sepenuhnya hari ini dengan tiga PPS di Kemaman ditutup secara berperingkat bermula 9 pagi tadi.

    Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam satu kenyataan memaklumkan PPS terakhir iaitu di Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor, Kemaman ditutup pada 12 tengah hari.

    Pengarah Pejabat Meteorologi Terengganu Rosli Zakaria pula berkata cuaca baik tanpa hujan lebat berterusan di keseluruhan negeri sejak semalam dijangka berlanjutan untuk tempoh seminggu lagi.

    Di KELANTAN, jumlah PPS berkurangan kepada 28 yang menempatkan 3,667 orang daripada 1,101 keluarga, setakat 12 tengah hari tadi. 

    Sekretariat Pengurusan Bencana dan Operasi Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri Kelantan Zainuddin Hussin berkata ia membabitkan PPS di empat jajahan iaitu Kuala Krai (13 PPS), Pasir Mas (11) dan masing-masing dua di Gua Musang dan Tanah Merah.

    Portal rasmi eBanjir Kelantan melalui https://ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan hanya satu sahaja sungai utama berada pada paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas yang merekodkan bacaan 9.76 meter.

    Di PERAK, jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata 263 mangsa masih ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Sementara mangsa banjir dari Kampung Kuala Slim, daerah Muallim yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kuala Slim dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selepas air banjir surut pagi tadi.

    Katanya paras semasa air di Sungai Bidor, Hilir Perak pula dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu 3.80 meter pagi tadi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir di negeri itu turun kepada 254 mangsa daripada 60 keluarga berbanding 465 mangsa pagi tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin berkata tiga PPS di daerah Melaka Tengah iaitu di PPS Balai Raya Kampung Tanah Merah, PPS SK Krubong dan SK Taman Merdeka ditutup sekitar 12 tengah hari tadi.

    Di PAHANG, situasi agak berbeza dengan jumlah mangsa meningkat kepada 39,806 orang daripada 10,779 keluarga yang ditempatkan di 280 PPS di sembilan daerah iaitu Bentong, Raub, Lipis, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan dan Pekan. 

    Lebuhraya Pantai Timur menerusi catatan di laman Facebook memaklumkan laluan di KM76-KM126 Karak-Temerloh masih ditutup kedua-dua hala selain KM112.2 -KM111.2 dan KM113 Lanchang – Temerloh kedua-dua arah juga masih ditutup akibat banjir dengan trend air menaik. 

    Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia negeri Lt Kol (PA) Mohd Syukri Madnor berkata mangsa banjir melibatkan daerah Jelebu, Port Dickson dan Seremban meningkat kepada 765 orang daripada 188 keluarga.

    “Sehingga kini, enam PPS masih dibuka melibatkan empat di Jelebu manakala Port Dickson dan Seremban masing-masing satu,” katanya dalam kenyataan.

    Di SELANGOR, menurut laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia, paras Sungai Selangor masih berada pada tahap bahaya namun dalam trend menurun iaitu di Kampung Asahan pada ketinggian 3.71 meter dan Sungai Selangor di Rantau Panjang pada ketinggian 8.23 meter. – Bernama

  • Permaisuri Johor umum sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir di Selangor

    Permaisuri Johor umum sumbangan RM100,000 untuk mangsa banjir di Selangor

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    PERMAISURI Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah hari ini mengumumkan sumbangan berjumlah RM100,000 untuk bantuan mangsa banjir di Selangor.

    Raja Zarith bertitah, sumbangan itu daripada Jawatankuasa Khidmat Masyarakat dan Kesihatan Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM).

    Baginda yang juga Penasihat DiRaja BSMM berharap, dana itu akan disalurkan sebaiknya BSMM Selangor untuk membantu mangsa-mangsa banjir.

    “Ramai yang tinggal sehelai sepinggang dan ramai lagi yang menanggung kerugian besar akibat bencana alam itu. Mereka memerlukan bantuan dan sokongan dalam apa jua bentuk sekalipun,” titah baginda kepada Royal Press Office (RPO), hari ini.

    Jawatankuasa berkenaan yang ditubuhkan pada 2006 merupakan sebahagian daripada BSMM dengan Raja Zarith merupakan Pengerusi ketika itu.

    Kini jawatankuasa tersebut dipengerusikan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

  • Dipukul tanpa sebab, pasangan kekasih hairan diserang sekumpulan lelaki

    Dipukul tanpa sebab, pasangan kekasih hairan diserang sekumpulan lelaki

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    TANPA mengetahui punca sebenar, sepasang kekasih hairan apabila mereka diugut dan dipukul sekumpulan lelaki yang tidak dikenali dalam kejadian di sebuah restoran makanan laut di Taman Impian Emas, Johor Bahru pada 11 Disember lalu.

    Dalam kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, Tai Yoke Eng, 25, berkata, pada mulanya dia hanya menerima jemputan kenalannya untuk menghadiri jamuan makan bersama beberapa individu lain di restoran tersebut.

    Dakwa pekerja bank itu, situasi kurang senang mula terjadi apabila teman lelaki kepada kenalannya mula memegang bahagian tubuhnya hingga membuatkan dia tidak selesa.

    “Saya menepis tangan lelaki berkenaan dan menghubungi teman lelaki untuk datang mengambil saya. Ketika kami mahu pulang, seorang lelaki membaling kerusi ke arah kami.

    “Sejurus kemudian muncul sekumpulan lelaki seramai kira-kira 10 orang dan mereka bertindak memukul teman lelaki saya.

    “Kenalan saya memegang saya dan menghalang saya daripada membantu teman lelaki,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat MCA Bahagian Pasir Gudang, hari ini.

    Menurut wanita itu, tangannya mengalami lebam manakala teman lelakinya, Benjamin Low Keng Seng, 27, cedera di bahagian muka dan tubuh badan akibat kejadian itu.

    Selain itu katanya, sehingga kini mereka masih tertanya-tanya mengapa kejadian itu berlaku kerana kenalannya itu enggan memberitahu punca mereka diserang sehingga dicederakan.

    “Kami telah membuat laporan polis secara berasingan berhubung kejadian tersebut dan berharap tindakan tegas dapat diambil bagi menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.

    Sementara itu, Keng Seng yang bekerja sendiri berkata, dia turut mengalami kecederaan dalaman sehingga mengakibatkan muntah darah.

    “Saya bukan sahaja ditumbuk dan ditendang, malah turut dipijak salah seorang lelaki yang bertindak menyerang saya.

    “Selain itu, ketika kami telah berjaya memasuki kereta untuk melarikan diri, salah seorang daripada mereka menendang bahagian depan kereta sehingga berlaku kerosakan,” katanya.

    Dalam pada itu, Ketua Biro Aduan Awam Pasir Gudang, Lim Thow Siang berharap pihak polis akan mengambil tindakan segera mengikut lunas undang-undang.

    Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Rupiah Abd. Wahid turut mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

  • Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilancarkan

    Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilancarkan

    TABUNG Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi membantu mereka yang terkesan akibat banjir dilancarkan hari ini.

    Ketika melancarkannya hari ini, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, inisiatif itu dilaksana bagi memberi peluang kepada orang ramai dan syarikat korporat untuk menyumbangkan bantuan melalui saluran yang betul.

    Beliau berkata, sumbangan wang tunai boleh terus disalurkan kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) melalui Tabung Bantuan Banjir Keluarga Malaysia di nombor akaun Alliance Islamic Bank Bhd 160140010004801.

    “Saya memohon untuk kita bersama-sama membantu, jadi kepada semua pihak sama ada individu, NGO (pertubuhan bukan kerajaan) atau syarikat korporat yang ingin menyalurkan bantuan boleh disalurkan kepada YKN,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan tabung berkenaan di Kuala Lumpur.

    Menurut beliau, setiap sumbangan wang tunai akan dikecualikan daripada cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

    Rina, yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN berkata, Shapadu Group menjadi syarikat korporat pertama menyumbang kepada tabung berkenaan dengan sumbangan RM150,000.

    Syarikat itu turut menyediakan 1,000 pek makanan hari ini untuk diagihkan kepada mangsa banjir di sekitar Selangor yang tidak ditempatkan di pusat pemindahan sementara.

    Katanya, penyumbang juga boleh membantu mangsa banjir dalam bentuk barangan yang boleh dikumpulkan dan dihantar ke Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi.

    Dalam pada itu, Rina berkata, peruntukan berjumlah RM35 juta telah disediakan bagi bantuan bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) khusus untuk bencana banjir kali ini.

    Katanya, kementerian itu juga masih menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk peruntukan tambahan bagi menangani impak bencana itu. – Bernama

  • Peniaga maut kereta rempuh tiang elektrik depan istana

    Peniaga maut kereta rempuh tiang elektrik depan istana

    SEORANG peniaga maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Jalan Sultan Mahmud berhadapan Istana Nur Nadhirah, Kuala Terengganu pada pukul 6.50 pagi tadi.

    Soo Chong Liang, 39, tercampak keluar kira-kira lapan meter dari kenderaannya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku selepas kereta Honda Accord yang dipandu mangsa hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan dan melanggar tiang elektrik.

    “Kenderaan berkenaan tercampak kira-kira 50 meter di Taman Awam Batu Buruk dan melanggar dua pokok kelapa.

    “Akibat itu juga, mangsa yang dalam perjalanan dari Pusat Bandar Kuala Terengganu menghala ke lampu isyarat Batu Buruk, Kuala Terengganu tercampak keluar dari kenderaan,” katanya ketika dihubungi.

    Menurut Ismail, mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nurzahirah ( HSNZ) untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan 1987.

  • 122 cerun kritikal, berisiko runtuh di musim tengkujuh

    122 cerun kritikal, berisiko runtuh di musim tengkujuh

    JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 122 daripada 220 cerun di seluruh negara berada dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi untuk berlaku runtuhan ketika musim tengkujuh.

    Ketua Pengarahnya, Hisamuddin Termidi, berkata semua cerun itu sedang dipantau jabatan berkenaan dan diberi keutamaan untuk pemasangan sistem amaran awal yang dilengkapi siren supaya penduduk dapat mengambil tindakan menyelamatkan diri.

    Antara kawasan yang dikenal pasti paling berisiko adalah Jalan Genting Peres-Kuala Klawang, Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat dan Sungai Penchala.

    “Sungai Penchala paling teruk seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh dan kemusnahan,” katanya selepas majlis perasmian dan penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok, Kedah, hari ini.

    Hisamuddin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menempatkan sistem amaran awal itu.

    “Saya difahamkan, UTM mendapat teknologi dan peralatan dari Jepun untuk tujuan itu dan buat masa sekarang kita sedang tunggu masa yang sesuai.

    “Apabila mendapat persetujuan UTM, kita akan buat rundingan untuk tempatkan sistem amaran awal ini di kawasan yang dipersetujui bersama,” katanya.

    Media semalam melaporkan, sebanyak empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, pada pukul 1.22 pagi.

    Mengulas mengenai kejadian kepala air di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat melakukan siasatan kejadian tanah runtuh.

    “Ini kerana belum ada jalan untuk memasuki ke kawasan punca berlakunya kejadian itu,” katanya.

  • Warga emas patah tulang pinggul nekad redah banjir 500 meter ke PPS

    Warga emas patah tulang pinggul nekad redah banjir 500 meter ke PPS

    SEORANG warga emas nekad meredah air banjir sehingga paras dada sejauh hampir 500 meter Sabtu lalu walaupun mengalami masalah patah tulang pinggul, semata-mata mahu menyelamatkan diri dan keluarganya.

    Che Som Isa, 67, sanggup mengetepikan rasa sakit ketika meredah air banjir bersama-sama dua cucu dan menantunya ke pusat penempatan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang.

    Ini berikutan penempatannya di Kampung Alor Pasir, Pasir Mas, telah dinaiki air mencecah hampir 0.8 meter.

    Menceritakan detik itu, Che Som yang hampir 10 tahun mengalami masalah kesihatan itu akibat kemalangan jalan raya tidak menyangka air naik begitu cepat.

    “Apabila air mula naik sehingga mencecah paras dada, saya enggan bertangguh untuk berpindah, disebabkan kami sekeluarga tidak ada kemudahan perahu atau bot, kami nekad mengharungi air banjir untuk ke PPS berdekatan,” katanya ketika ditemui di PPS SK Gual Tinggi, Rantau Panjang, hari ini.

    Mengulas lanjut, ibu kepada enam anak berusia antara 48 hingga 32 tahun itu berkata, kesan daripada kemalangan itu, pahanya terpaksa dimasukkan besi dan ketika meredah banjir, kesakitan itu semakin terasa kerana keadaan yang sejuk serta merasa lenguh apabila berjalan dalam jarak yang terlampau jauh.

    “Selepas mengharungi banjir dalam jarak yang jauh itu, paha saya mula rasa sakit dan lenguh berpanjangan. Mahu tidak mahu saya perlu keluar dari kediaman bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

    “Saya bersyukur sebaik sahaja tiba di PPS ini, petugas kesihatan segera membantu saya dan memberi rawatan selanjutnya untuk mengurangkan rasa sakit ini,” katanya yang terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja.

    Che Som berkata, menetap di PPS akibat banjir bukanlah kali pertama dalam diari hidupnya kerana sejak tahun 2014 rumahnya sering dilanda banjir khususnya pada musim tengkujuh dan sudah reda dengan keadaan itu, namun berdoa supaya rumahnya tidak runtuh kerana selalu ditenggelami air banjir.

  • Akui kelemahan, urus banjir akan ditambah baik, tanggungjawab bersama – PM

    Akui kelemahan, urus banjir akan ditambah baik, tanggungjawab bersama – PM

    Akui kelemahan, urus banjir akan ditambah baik, tanggungjawab bersama – PM

    PERDANA Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

    Beliau berkata tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah memainkan peranan penting.

    “Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang… Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.

    “Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator… kalau dianggap kelemahan koordinasi saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Besar D’Sury di Jelebu.

    Sementara itu,  Perdana Menteri mahu kerja-kerja pembaikan jalan raya akibat tanah runtuh di Bukit Tangga, Jelebu, Negeri Sembilan dilakukan dengan cepat bagi membolehkan akses jalan raya dapat dilalui antara Seremban-Jelebu.

    Menerusi catatan yang dimuat naik di Facebook, beliau berkata kerja-kerja pembaikan sedang dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi memastikan aktiviti harian rakyat tidak terganggu.

    “Jalan utama ini digunakan oleh ramai rakyat untuk ke bandar utama. Kita tidak mahu aktiviti harian rakyat tersekat,” kata Perdana Menteri yang turun meninjau lokasi kejadian tanah runtuh di Bukit Tangga, Jelebu, yang merupakan lokasi pertamanya dalam lawatan ke negeri itu.

    Pada Ahad lepas, media melaporkan berlaku kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Tangga menghala Jelebu, susulan hujan lebat. – BERNAMA