JABATAN Mineral dan Geosains (JMG) mengenal pasti 122 daripada 220 cerun di seluruh negara berada dalam keadaan kritikal dan berisiko tinggi untuk berlaku runtuhan ketika musim tengkujuh.

Ketua Pengarahnya, Hisamuddin Termidi, berkata semua cerun itu sedang dipantau jabatan berkenaan dan diberi keutamaan untuk pemasangan sistem amaran awal yang dilengkapi siren supaya penduduk dapat mengambil tindakan menyelamatkan diri.

Antara kawasan yang dikenal pasti paling berisiko adalah Jalan Genting Peres-Kuala Klawang, Jalan Sungai Tekali, Ulu Langat dan Sungai Penchala.

“Sungai Penchala paling teruk seperti kejadian yang berlaku baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh dan kemusnahan,” katanya selepas majlis perasmian dan penyerahan Telaga dan Sistem Penapisan Air Bawah Tanah Ringkas (SPATR) di Loji Rawatan Air (LRA) Tupah, Merbok, Kedah, hari ini.

Hisamuddin berkata, pihaknya bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk menempatkan sistem amaran awal itu.

“Saya difahamkan, UTM mendapat teknologi dan peralatan dari Jepun untuk tujuan itu dan buat masa sekarang kita sedang tunggu masa yang sesuai.

“Apabila mendapat persetujuan UTM, kita akan buat rundingan untuk tempatkan sistem amaran awal ini di kawasan yang dipersetujui bersama,” katanya.

Media semalam melaporkan, sebanyak empat rumah rosak dan seorang wanita warga emas cedera selepas berlaku tanah runtuh di Jalan Palimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala, Kuala Lumpur, pada pukul 1.22 pagi.

Mengulas mengenai kejadian kepala air di sebuah pusat peranginan di Bentong, Pahang pada Sabtu lalu, beliau berkata, pihaknya masih belum dapat melakukan siasatan kejadian tanah runtuh.

“Ini kerana belum ada jalan untuk memasuki ke kawasan punca berlakunya kejadian itu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here