Category: Semasa

  • “Saya tidak musnahkan salinan asal laporan audit 1MDB – Bekas Ketua Audit Negara

    “Saya tidak musnahkan salinan asal laporan audit 1MDB – Bekas Ketua Audit Negara

    BEKAS Ketua Audit Negara Tan Sri Dr Madinah Mohamad hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak memusnahkan salinan asal Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ketika mengambil alih jawatan itu daripada Tan Sri Ambrin Buang pada 2017 kerana ia mengandungi maklumat dan bukti yang material mengenai syarikat pelaburan strategik itu.

    Madinah, 65, berkata beliau membuat keputusan itu selepas dimaklumkan tentang salinan asal laporan itu dalam satu taklimat bersama Pasukan Khas Audit (PKA) 1MDB pada 16 Mac 2017.

    “Timbalan Pengarah Audit Datuk Nor Salwani Muhammad memaklumkan terdapat dua versi Laporan Pengauditan 1MDB dan telah menyerahkan satu-satunya versi asal laporan yang masih ada dalam simpanan beliau.

    “ (iaitu saya) sama ada ia perlu dimusnahkan atau tidak,” kata Madinah ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

    Saksi pendakwaan ke-12 itu berkata Nor Salwani turut memberitahunya bahawa Laporan Pengauditan 1MDB telah dicetak dua kali pada awal 2016 dan sekali lagi pada 2 Mac tahun sama.

    “Laporan yang dicetak pada awal 2016 merupakan laporan muktamad untuk dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 24 Feb 2016. 

    “Bagaimanapun, isi kandungan laporan ini telah diubah dengan menggugurkan beberapa perenggan di dalamnya melalui mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara ketika itu, Tan Sri Dr Ali Hamsa pada 24 Feb 2016. Nor Salwani juga memberitahu saya tarikh awal pembentangan kepada PAC telah diubah kepada 4 Mac 2016,” katanya.

    Madinah berkata beliau turut dimaklumkan tentang dua perenggan yang digugurkan daripada salinan asal laporan pengauditan itu adalah perbezaan maklumat dalam penyata kewangan 1MDB dan minit mesyuarat mengenai kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho (Jho Low) pada Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah 1MDB pada 26 Sept 2009.

    “Pada ketika itu, Laporan Pengauditan 1MDB telah diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88) dan oleh sebab itu, saya tidak dapat mendedahkan kewujudan dua versi itu kepada mana-mana pihak.

    “Bagaimanapun, pada 15 Mei 2018 saya telah mengklasifikasikan semula laporan tersebut sebagai dokumen terbuka berikutan kenyataan media Perdana Menteri yang mengarahkan ia diklasifikasikan sebagai dokumen terbuka,” katanya.

    Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan Perdana Menteri ketika itu selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018.

    Madinah berkata Nor Salwani turut memaklumkan PKA telah dijemput oleh Majlis Penasihat Kerajaan untuk membuat pembentangan pada 31 Mei 2018.

    “Saya kemudian mengarahkan satu salinan asal Laporan Pengauditan 1MDB diserahkan kepada Majlis Penasihat Kerajaan, Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ogos 2018.

    “Selepas pendedahan saya mengenai wujudnya dua versi Laporan Pengauditan 1MDB pada 30 Ogos 2018, saya telah diarahkan Jabatan Perdana Menteri untuk membentangkan perkara sama dalam mesyuarat kabinet pada 23 Nov 2018,” katanya.

    Menurut saksi itu, sejurus mesyuarat tersebut, kabinet telah mengarahkan beliau mengeluarkan kenyataan media selaku Ketua Audit Negara mengenai beberapa perenggan di dalam Laporan Pengauditan 1MDB telah diarahkan untuk digugurkan dan dipinda.

    “Kenyataan media itu telah pun dikeluarkan pada 24 Nov 2018,” kata Madinah.

    Najib, 68, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan dibuat terhadap laporan akhir audit 1MDB yang telah dimuktamadkan Ketua Audit Negara, sebelum laporan itu ‘sekali lagi dimuktamadkan’ dan dibentang di hadapan PAC bagi mengelak sebarang tindakan diambil terhadap beliau.

    Arul Kanda, 45, pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan tersebut bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

    Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Putrajaya antara 22 dan 26 Feb 2016

    Mereka didakwa di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

    — BERNAMA

  • Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

    Jenazah Osman Sapian selamat dikebumikan

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SUASANA pilu menyelubungi upacara pengkebumian jenazah bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhah, Taman Mount Austin, Johor Bahru, hari ini.

    Jenazah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu selamat dikebumikan pada pukul 4 petang tadi.

    Turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad; Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Timbalan Pengerusi Amanah Negeri Johor, Dzulkefly Ahmad.

    Terdahulu jenazah Allahyarham tiba di kediamannya di Larkin, Johor Bahru, jam 2.23 petang selepas bertolak dari rumah anaknya di Damansara, Kuala Lumpur.

    Sebaik selesai penghormatan terakhir oleh ahli keluarga, jenazah kemudiannya dibawa ke Masjid Ar Raudhah untuk disolatkan sebelum dibawa ke Tapak Perkuburan Islam Ar Raudhah di Mount Austin untuk dikebumikan.

    Osman dilaporkan menghembuskan nafas terakhir jam 11.45 malam akibat tekanan darah rendah di rumah anaknya di Damansara pada Selasa.

    Pada 13 Oktober media melaporkan Allahyarham dikejarkan ke Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor (KPJ) kerana diserang strok ringan sebelum dipindahkan ke Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM) Selangor untuk mendapatkan rawatan lanjut kerana tahap kesihatannya merosot.

    Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 bersama Pakatan Harapan (PH) selepas memenangi kerusi DUN Kempas pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

    Beliau menjawat jawatan itu bagi tempoh 12 Mei hingga 8 April 2019 sebelum meletak jawatan dan diambil alih oleh ADUN Bukit Kepong, Datuk Dr. Sahruddin Jamal.

  • Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara ganti Mazlan Lazim

    Razarudin dilantik Timbalan Ketua Polis Negara ganti Mazlan Lazim

    PENGARAH Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Razarudin Husain dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Negara baharu, berkuat kuasa 26 Dis ini.

    Razarudin, 58, menggantikan Datuk Seri Mazlan Lazim yang bersara wajib pada 25 Dis.

    Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pelantikan itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas menerima nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas perakuan Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP).

    Pelantikan itu selaras dengan Fasal 4 dan 5 Perkara 140 Perlembagaan Persekutuan, katanya pada sidang media selepas menyampaikan watikah Timbalan Ketua Polis Negara kepada Razarudin di sini hari ini.

    “Razarudin mempunyai rekod perkhidmatan yang cemerlang dalam melumpuhkan serta memerangi kegiatan jenayah di seluruh negara.

    “Saya percaya gandingan baharu beliau bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan memantapkan lagi gerak kerja Polis Diraja Malysia dalam memelihara keselamatan dan ketenteraman awam,” kata Hamzah.

    Razarudin yang berasal dari Dengkil, Selangor, telah berkhidmat selama 36 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada 27 Dis 1982.

    Sebelum pelantikan terkini, beliau pernah memegang jawatan penting dalam PDRM antaranya Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Pulau Pinang, Pegawai Turus Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Perak dan seterusnya Timbalan Ketua Polis Perak dan sebelum diamanahkan mengetuai kontinjen itu.

    — BERNAMA

  • Dua individu direman bantu siasatan kes penyelewengan RM48,000

    Dua individu direman bantu siasatan kes penyelewengan RM48,000

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DUA individu terdiri daripada bekas Penolong Pengurus Besar Wilayah dan bekas pengurus cawangan sebuah badan berkanun direman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan wang dianggarkan berjumlah RM48,000 yang dipercayai berlaku di Kedah, empat tahun lalu.

    Sumber memaklumkan, kedua-dua mereka yang berusia 61 dan 35 tahun, disyaki menggunakan jawatan dengan meminta hasil penjualan sawit dari kilang untuk kegunaan peribadi pada 2018.

    Kedua-dua mereka bagaimanapun dikatakan tidak lagi berkhidmat dengan badan berkanun tersebut memandangkan Penolong Pengurus Besar Wilayah itu sudah pun bersara manakala pengurus cawangan tersebut pula diberhentikan.

    Sumber memaklumkan, bekas pengurus cawangan tersebut ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sungai Petani kira-kira pukul 3 petang semalam manakala Penolong Pengurus Besar Wilayah itu ditahan 10 minit kemudian di lokasi sama.

    Kedua-dua mereka tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Sungai Petani kira-kira pukul 10 pagi sebelum keluar kira-kira 15 minit kemudian setelah permohonan reman dikeluarkan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim.

    Sementara itu Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan dua individu tersebut namun enggan mengulas lanjut.

    “Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

  • Buruh ditahan jadi penghantar pil yaba

    Buruh ditahan jadi penghantar pil yaba

    SEORANG buruh ditahan dan merampas 10,000 pil yaba bernilai RM100,000 selepas polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Bayu Lalang Banggol Chicha, Pasir Mas semalam.

    Lelaki itu, 33, ditahan di bahagian dapur rumah dan pemeriksaan ke atas beg silang suspek di atas lantai menemui 2,000 biji pil yaba.

    Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, polis turut menemui 8,000 pil sama dalam bungkusan baju hujan.

    Menurut beliau, suspek dipercayai menerima upah sebanyak RM1,000 setiap kali penghantaran dilakukan ke lokasi yang ditentukan.

    “Suspek tidak mengaku dadah yang bernilai RM100,000 ditemui dalam rumah itu adalah miliknya ketika soal siasat dilakukan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

    Beliau berkata, suspek mengaku mengambil upah sebagai penghantar dadah daripada seorang individu dikenali sebagai Din dan mendapat upah sebanyak RM1,000 seminggu.

    “Suspek memberitahu, kebiasaan penghantaran dilakukan sebanyak satu hingga dua kali seminggu,” katanya.

    Sementara itu, Mohd. Nasaruddin berkata, serbuan di Kampung Tujuh, Tumpat membawa kepada penangkapan Din yang berusia 35 tahun bagi membantu siasatan.

    Katanya, hasil soal siasat awal, suspek mengaku dadah yang dijumpai adalah miliknya dan telah mengarahkan suspek pertama dikenali sebagai Keriuntuk mengambil dan menghantar dadah kepada pelanggan lain.

    “Upah akan dibayar setelah kerja itu diselesaikan dan Din turut mengaku mendapatkan bekalan dadah daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Yoe yang tinggal di sekitar Rantau Panjang.

    “Semasa serbuan dilakukan, polis tidak menjumpai barang salah di dalam dan luar kawasan rumah suspek,” katanya.

    Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1) (a) ADB 1952.

  • Penjualan tiket pengangkutan VTL Malaysia-Singapura digantung sementara – KKM

    Penjualan tiket pengangkutan VTL Malaysia-Singapura digantung sementara – KKM

    KERAJAAN telah memutuskan untuk menangguh sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi insiatif Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysa-Singapura.

    Tiket tersebut, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, sepanjang tempoh 23 Disember ini sehingga 20 Januari depan.

    Keputusan dibuat berikutan perkembangan terkini di Singapura yang mendapati dua daripada tiga kes positif Covid-19 berkemungkinan varian Omicron manakala keputusan bagi lain-lain kes masih belum selesai.

    “Bagi pengembara yang sudah memiliki tiket perjalanan VTL darat dan udara serta memenuhi syarat ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan bawah inisiatif VTL ini.

    “Penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022, selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara. Bagaimanapun, kuota tiket yang dijual akan dikurangkan daripada kuota sedia ada,” katanya.

    Khairy yang berkata demikian dalam satu kenyataan semalam turut memberitahu, ketiga-ketiga-tiga kes itu tidak mempunyai sebarang sejarah perjalanan ke luar negara.

    Bagaimanapun, katanya, bagi pengembara yang telah memiliki tiket perjalanan VTL darat dan udara serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, mereka boleh meneruskan perjalanan di bawah inisiatif VTL ini.

  • Padah rasuah polis, tiga warga India dan peniaga minuman dihukum denda

    Padah rasuah polis, tiga warga India dan peniaga minuman dihukum denda

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    AKIBAT tidak mahu diambil tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara sehingga cuba merasuah polis sebanyak RM2,922, tiga warganegara India berdepan denda berlipat kali ganda di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.

    Selain denda RM15,000 setiap seorang, Kansara Sanjay Bhojabhai, 42; Chavda Narendrakumar Ranjitsinh, 36, dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 33, turut dijatuhi hukuman penjara satu hari akibat kesalahan itu.

    Malah Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail yang mendengar pengakuan bersalah ketiga-tiga bekas pengurus dan jurutera itu memutuskan mereka turut berdepan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

    Kesemua lelaki yang merupakan bekas pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini dikenakan hukuman tersebut apabila mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Hindi.

    Mengikut pertuduhan, mereka merasuah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara apabila berhimpun di premis dalam kawasan jangkitan bagi tujuan sosial.

    Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10.16 malam di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, di sini, 3 September lalu.

    Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, Pendakwa Raya SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin mencadangkan kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran, namun peguam, K. Bharathi memohon hukuman penjara minimum kerana pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah selain ia merupakan kesalahan pertama mereka.

    Hujah Bharathi, kesemua tertuduh juga hilang punca pendapatan setelah dipecat pada September lalu dan masing-masing mempunyai tanggungan anak dan isteri yang tidak bekerja.

    Sementara itu, dalam kamar sama, seorang peniaga minuman didenda RM20,000 selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada seorang anggota polis, Februari lalu.

    Hakim Ahmad Kamal turut memerintah Pek Cheng Chue, 44, dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

    Mengikut pertuduhan pilihan, Cheng Chue didakwa memberi suapan kepada seorang anggota polis berpangkat koperal sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan memiliki minuman keras yang dipercayai tidak bercukai.

    Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat penjaja di Jalan Mohd. Akil, Batu Pahat pada pukul 7 petang, 1 Februari lalu.

    Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan di mana boleh dipenjara satu perempat daripada tempoh penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

    Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.

  • Institut Masa, PPMI santuni pendidikan kanak-kanak Palauh

    Institut Masa, PPMI santuni pendidikan kanak-kanak Palauh

    PENDIDIKAN adalah hak semua kanak-kanak tanpa mengira latar belakang etnik, sosial, ekonomi, agama dan budaya serta keupayaan dan kesihatan diri.

    Setiap mereka berhak mendapat pendidikan berkualiti yang sama rata dan saksama sebagaimana yang ditetapkan oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

    Bagaimanapun tidak semua kanak-kanak berpeluang mendapat akses kepada pendidikan sedemikian. Kumpulan etnik minoriti, pelarian, kanak-kanak tanpa kewarganegaraan merupakan antara kumpulan yang tergolong dalam kategori ini.

    Mereka bukan sahaja ketinggalan tetapi tercicir daripada menikmati peluang pendidikan formal disebabkan status mereka yang kebanyakannya tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

    Menyedari perkara ini, Institut Masa Depan Malaysia (Institut Masa), sebuah badan pemikir bebas berganding bahu dengan Pusat Pembangunan Minda Insan, Sabah bagi menyantuni pendidikan kanak-kanak Bajau Laut (Palauh), kumpulan etnik minoriti Sabah baru-baru ini.

    Program selama dua hari itu termasuk lawatan ke tiga buah PPMI iaitu di Kampung Kabog, Kunak 3 dan Kampung Hidayat, Pulau Bum Bum disertai oleh 14 kakitangan dan penyelidik Institut Masa serta guru-guru PPMI.

    Ketua Pegawai Eksekutif Institut Masa, Azril Mohd Amin berkata, program tersebut memberi peluang kepada para penyelidik untuk melihat dengan lebih dekat masalah yang dihadapi oleh komuniti minoriti itu lebih-lebih lagi yang melibatkan aspek pendidikan.


    Azril Mohd. Amin (kiri) menyampaikan sumbangan berupa peralatan pembelajaran dan pengajaran kepada Mudir
    Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) Kampung Kabog, Kunak, Lajunaidi Lajahidi.

    Menurut beliau, kumpulan kanak-kanak ini menimba ilmu dalam keadaan penuh cabaran, serba kekurangan dan tercicir daripada arus perdana.

    “Bagaimanapun di sebalik kekurangan ini mereka menunjukkan minat dan semangat yang tinggi untuk belajar terutama ilmu asas, membaca, menulis dan mengira serta pendidikan agama Islam,’’ katanya.

    Menurut Azril hubungan baik Institut Masa dengan beberapa buah pertubuhan bukan kerajaan Sabah seperti Haluan memudahkan perancangan rangka kerja jangka panjang bagi membantu komuniti ini antaranya menyediakan latihan kemahiran dan vokasional kepada para pelajar selain program motivasi untuk tenaga pengajar PPMI.

    Institut Masa juga kata beliau, akan meningkatkan kerja-kerja penyelidikan berkaitan hak-hak pendidikan bagi kumpulan minoriti Palauh, kumpulan yang tercicir dan terpinggir selain bercadang menjadikan beberapa PPMI dan Kelas Bimbingan Insan (KBI) di negeri ini sebagai `sekolah angkat.’

    Menurut Azril program ini juga adalah sebahagian daripada usaha membantu Majlis Pemulihan Negara (MPN) dengan memberi fokus kepada hak pendidikan untuk semua murid.

    Sementara itu Ketua Penyelaras PPMI Sabah, Lajulliadi Lajahidi berkata, pusat pendidikan tersebut bermula sebagai pusat aktiviti komuniti pada tahun 2011 dengan memberi fokus kepada pendidikan anak-anak etnik minoriti dan miskin luar bandar Sabah yang terpinggir daripada program pembangunan arus perdana negara.

    Dalam lawatan yang sama Institut Masa turut menyumbang barang-barang keperluan pembelajaran dan pengajaran kepada tiga PPMI tersebut.

  • Mayat budak lelaki mangsa banjir lumpur Bentong ditemukan

    Mayat budak lelaki mangsa banjir lumpur Bentong ditemukan

    MAYAT seorang kanak-kanak lelaki yang merupakan salah seorang daripada tiga sekeluarga mangsa banjir lumpur di Bentong, Pahang ditemukan pada jam 10.30 semalam.

    Menurut laporan Bernama, seorang lagi masih hilang dan usaha mencari masih diteruskan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

    Semalam, pihak JBPM telah menjumpai mayat seorang wanita yang hilang dalam kejadian banjir lumpur berkenaan yang dikenal pasti sebagai Yap Koon Lan, 65.

    Menurut laporan media hari ini, operasi mencari mangsa, termasuk seorang kanak-kanak berusia enam tahun yang dihanyutkan arus kepala air dalam sebuah kawasan chalet Bobby Eco Camp di Bentong pada malam Sabtu lalu telah diperluaskan dengan tambahan anggota dan anjing pengesan.

    Dalam insiden kira-kira jam 10.40 malam itu, tiga individu berkenaan dilapor dihanyutkan kepala air yang mengalir ke sungai dalam kawasan pusat peranginan terbabit.

    Sebelum ini, bomba dilapor memaklumkan, tiga mangsa itu ialah sepasang suami isteri yang juga pemilik resort berkenaan dan seorang budak lelaki yang datang ke resort itu bersama keluarganya.

    Terdahulu, lebih 30 orang termasuk sembilan kanak-kanak dilaporkan terkandas dalam kejadian banjir lumpur yang menenggelamkan restoran dan tiga kolam ternakan ikan patin, manakala pagar utama chalet turut roboh.

    Pasukan mencari dan menyelamat dilapor mengenal pasti dua ‘hot spot’ yang dipercayai terdapat mangsa tragedi itu, iaitu di bawah rumah dan di bawah timbunan kayu balak.

    Tinjauan di lokasi kejadian mendapati keadaan jalan untuk ke chalet dipenuhi lumpur susulan kesan arus deras selain terdapat banyak batu besar dipercayai bergolek dari kawasan tinggi, timbunan kayu balak serta beberapa runtuhan tanah sederhana di lereng bukit chalet berkenaan.

    Keadan chalet juga terjejas dan separuh musnah, manakala bahagian bawahnya diseliputi selut tebal.

  • Belangsukawa:Sumbangan Osman terhadap Johor, penubuhan Bersatu

    Belangsukawa:Sumbangan Osman terhadap Johor, penubuhan Bersatu

    Oleh ZULHISHAM ISAHAK

    TIDAK seperti UMNO yang ditubuhkan di istana Sultan Johor di Johor Bahru pada 1946, Parti Pribumi Bersatu Malaysia atau PPBM atau Bersatu ditubuhkan di sebuah rumah bernombor 44, Jalan Rajawali, Larkin, Johor Bahru pada tanggal 9 September 2017.

    Rumah itu milik cikgu Zais Md. Akil – kemudian menjadi Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru yang pertama. Rumah itu kemudian menjadi tumpuan pemimpin Bersatu negeri dan Pusat untuk berkumpul, termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyampaikan ucapan awalnya di situ.

    Sejak penubuhan Bersatu di Johor Bahru, parti setahun jagung itu melalui pengalaman yang amat getir dengan pandangan sinis, cercaan dan umpatan sebelum berjaya menguasai tampuk pemerintahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

    Antara pengasas Bersatu adalah Tun Dr. Mahathir Mohamad yang kemudian menjadi Penasihat Bersatu, Muhyiddin (Presiden Bersatu) serta beberapa pemimpin dari Johor Bahru seperti Zais, Datuk Jemale Paiman, Yaakob Atan, Samat Atan dan beberapa penyokong tegar parti itu.

    Ini termasuk sumbangan dan penglibatan aktif Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian yang kembali ke rahmatullah pada malam tadi di rumah anaknya di Kuala Lumpur.

    Osman merupakan Menteri Besar Johor ke-16 dan merupakan yang pertama daripada Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menjawat jawatan itu. Mungkin ramai tidak menyedari Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam itu turut terlibat dalam penubuhan awal parti tersebut di Johor Bahru.

    Sebelum dilantik sebagai Menteri Besar Johor dan menjadi Pengerusi Bersatu Johor, Osman terlibat dalam kemajuan serta kejayaan Bersatu dan PH terutama di negeri selatan tanah air itu.

    Sumbangan Osman amat besar terutamanya ketika membuat persiapan dan persediaan untuk pengurusan serta pentadbiran organisai dan gerakan ceramah para peringkat awal sehingga PRU-14.

    Osman yang sebelum ini Setiausaha Bersatu Johor dan Setiausaha PH Johor dipilih Sultan Johor menjadi Menteri Besar Johor selepas tiga nama iaitu Osman, Naib Pengerusi PH, Datuk Seri Salahahudin Ayub dan Pengerusi Parti Amanah (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan diberikan kepada pihak istana untuk dipilih menjadi Menteri Besar Johor.

    Antara perkara awal dilakukan selepas menjadi Menteri Besar Johor ialah mengadakan Majlis Perjumpaan YAB Bersama Perkhidmatan Tadbir Negeri Johor (JCS) di Iskandar Puteri yang seakan ‘majlis suai kenal’ antara beliau dengan kakitangan kerajaan di Johor.

    Semasa berucap, beliau mahu kakitangan awam itu melakukan satu anjakan paradigma bersesuaian dengan kerajaan baharu negeri supaya selari dengan peredaran masa, kecanggihan teknologi dan tuntutan serta desakan rakyat.

    Osman mahu pegawai JCS membantu kerajaan baharu itu mencapai hasrat yang dirancang. Selain itu beliau juga komited menarik pelabur asing ke Johor malah mengadakan pertemuan dengan pelabur dari Perancis, Sri Lanka, China dan Jepun yang menunjukkan minat melabur.

    Bukan itu sahaja, kerajaan Johor di bawah pimpinan Osman merupakan negeri pertama yang berjaya melaksanakan semua janji dalam tempoh 100 hari pertama pentadbiran Bersatu dan PH di negeri itu, membuktikan apa yang dijanjikan bukan sekadar gula-gula pilihan raya.

    Kata Osman, semua pihak dalam petadbiran negeri itu sudah memenuhi janji ditawarkan selain melengkapkan Pelan Pembangunan Mapan Negeri Johor 2019-2030 dan berharap sasaran dapat dicapai lebih awal.

    Osman turut memansuhkan kuota menegak kerajaan (KMK) yang dilihat sebagai satu sistem yang tidak adil kepada rakyat Johor. Pemansuhan ini merupakan satu daripada janji dalam manifesto sekiranya Bersatu Johor dan PH berjaya menjadi kerajaan negeri.

    Sistem KMK sebelum ini didapati memberikan hampir 30 peratus kepada ketua parti kerajaan terdahulu dan diagihkan kepada penyokong mereka. Dalam erti kata lain, KMK membuka ruang untuk salah guna kuasa dan rasuah.

    Semasa menyandang jawatan itu juga, beliau menyeru rakyat Johor untuk berkongsi pandangan dan cadangan penambaikan untuk membangunkan negeri tersebut dengan menambah baik perancangan dan pentadbirannya menerusi platform digital Suara Bangsa Johor.

    Menurutnya, perancangan tersebut adalah titik permulaan era baharu harapan Bangsa Johor di bawah kerajaan baharu pimpinannya selepas semua janji dalam 100 hari pentadbirannya berjaya ditunaikan.

    Osman semasa pentadbirannya juga memperkenalkan skim Kad Sihat Johor untuk golongan B40 dan merupakan salah satu janji dalam manifesto PRU-14 mereka sekali gus melakar sejarah baharu di negeri itu.

    Menteri Besar Johor itu juga memberi tempoh dua tahun untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri itu menyelesaikan semua masalah dan menghasilkan keuntungan – sekiranya gagal GLC terbabit akan ditutup atau dijual kepada pihak yang berminat.

    Ini kerana katanya, kerajaan negeri tidak mahu menanggung kerugian atau hutang dibuat GLC berkenaan sekali gus tidak mendatangkan faedah.

    Tidak sampai setahun memerintah, beliau mengumumkan kerajaan negeri pimpinannya menolak Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) jika melanggar mana-mana perkara yang termaktub dalam Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan.

    Pendirian itu ujarnya, kerana isu yang dibangkitkan itu bukan lagi menjadi agenda politik kepartian sekiranya menyentuh Perlembagaan. ICERD dilihat bukan lagi isu politik mana-mana parti sekiranya melanggar mana-mana perkara yang termaktub dalam Perlembagaan.

    Antara lain yang diperjuangkan beliau semasa menjadi Menteri Besar Johor ialah mahukan demokrasi yang dinamik, kesaksamaan sosial, urus tadbir terbaik, cekap dan berintigriti serta memperkasa sistem pendidikan, pengurusan modal insan dan warisan budaya.

    Beliau dilantik sebagai Menteri Besar Johor bagi tempoh 12 Mei 2018 sehingga 8 April 2019 sebelum meletak jawatan namun terus fokus dalam memberi khidmatnya terhadap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas.

    Figura itu yang lebih dikenali sebagai Tok Man dalam kalangan penduduk Kempas, banyak memperjuangkan isu rakyat di Kempas. Tidak hairanlah selepas tiga penggal menjadi ADUN Kempas di bawah kerajaan terdahulu, apabila menjadi calon Bersatu pada PRU-14, beliau menang besar.

    Osman juga dikenali sebagai seorang yang tegas dan pada masa sama sangat lantang dalam menyuarakan pandangan atau isu terutama sekiranya membabitkan Bersatu dan UMNO. Beliau tidak pernah berselindung atau takut untuk menyuarakan kebenaran.