Category: Semasa

  • PM arah menteri batalkan cuti, pulang segera bantu mangsa banjir

    PM arah menteri batalkan cuti, pulang segera bantu mangsa banjir

    MENTERI Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana banjir yang melanda negara ketika ini selesai.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara, juga diarah membuat penerbangan balik ke tanah air dengan segera.

    “Saya dapat banyak soalan mengenai Menteri-Menteri Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan percutian masing-masing. Mana ada di luar negara balik segera,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit Piatu di Bentong, hari ini.

    Menurut Ismail Sabri beliau juga terpaksa membatalkan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30 Dis bagi memberi tumpuan kepada isu banjir yang melanda rakyat ketika ini.

    Beliau berkata perbincangan urusan dua hala antara Malaysia dan Thailand itu akan dibawa ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak.

    Ismail Sabri turut mengumumkan kerajaan akan menyumbang RM10,000 kepada waris mangsa korban banjir.

    Katanya, beliau akan mendapatkan senarai nama mangsa korban daripada pusat bencana daerah bagi memastikan sumbangan itu disampaikan segera.

    “Kita amat simpati dan sedih dengan apa yang berlaku dan kita akan beri sumbangan…kita akan salurkan melalui pejabat daerah dan mereka akan salurkan kepada waris mangsa.

    “Difahamkan, kerajaan Pahang juga akan menyalurkan RM5,000 kepada waris mangsa terkorban,” katanya.

  • Anggota Amal PAS gugur ketika bantu mangsa banjir

    Anggota Amal PAS gugur ketika bantu mangsa banjir

    KOMANDAN Jabatan Amal PAS Kawasan Mersing, Ahmad Zaki Mahpar meninggal dunia hari ini semasa melakukan operasi membantu mangsa banjir di Selangor.

    Insiden itu dilaporkan oleh Media Fastaqim hari ini.

    Walau bagaimanapun, punca kematian Allahyarham tidak dinyatakan.

    “Salam takziah dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kuala Langat.

    “Dalam bergelut membersihkan rumah magsa banjir kami JAM atau dikenali sebagai semut merah telah menerima khabar duka apabila salah seorang dari angota semut merah Tuan Zaki Ketua Kor Marin merangkap Komandan Kawasan Mersing meninggal dunia semasa melakukan operasi.

    “Allahyarham tumbang semasa operasi di Selangor.

    “Al-Fatihah. Semoga rohnya dicucuri rahmat Allah. Insya-Allah syurga buat dirimu wahai sahabat kami,” menurut laporan tersebut.

    Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh para penyokong PAS, Ahmad Zaki dilaporkan pengsan ketika bertugas di Bukit Changgang, Sepang.

    Allahyarham kemudian dibawa ke Hospital Banting dan meninggal dunia di situ.

  • Segera siasat tanah runtuh Kg Sungai Penchala – Agong

    Segera siasat tanah runtuh Kg Sungai Penchala – Agong

    YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar siasatan kejadian tanah runtuh di Jalan Pelimbayan Indah, Kampung Sungai Penchala di Kuala Lumpur dapat dilakukan secepat mungkin.

    Seri Paduka bertitah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memberikan penjelasan untuk menempatkan sebahagian daripada penduduk yang terjejas ke flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin di sini.

    “Ini tinjauan atas simpati terhadap mangsa-mangsa tanah runtuh. Saya amat simpati dengan penghuni Kampung Sungai Penchala ini,” titah Al-Sultan Abdullah selepas menyantuni 136 mangsa tanah runtuh di pusat permindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Penchala, Damansara di sini, hari ini.

    Keberangkatan tiba Seri Paduka sekitar pukul 2 petang disambut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

    Ahad lepas, seramai 284 penduduk kawasan Jalan Pelimbayan Indah terjejas akibat kejadian tanah runtuh yang membabitkan 94 rumah dengan 24 rumah telah musnah sepenuhnya.

    Sementara itu, Seri Paduka menitahkan agar semua pihak termasuk dirinya, individu perseorangan, badan bukan kerajaan, syarikat, agensi kerajaan dan kerajaan tampil membantu mangsa-mangsa yang terlibat dengan bencana banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat yang melanda negara sejak Jumaat lepas.

    “Apa yang saya boleh nyatakan ialah amat sedih dan simpati. Namun kita semua kena menerima ujian Allah ini, harus bersabar. Mana-mana pihak, mana-mana insan yang bersabar tetap akan diberi kebaikan kemudian nanti,” titahnya.

    Seri Paduka meluangkan kira-kira sejam, mencemar duli menyantuni mangsa di pusat pemindahan itu dan mengurniakan sumbangan kepada mereka.

    Terdahulu, Seri Paduka memandu sendiri bersama konvoi Istana Negara dalam perjalanan ke pusat pemindahan berkenaan. – BERNAMA

  • TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    TH sumbangkan RM1.6 juta bantu mangsa banjir

    LEMBAGA Tabung Haji (TH) memperuntukkan sumbangan sejumlah RM1.6 juta bagi membantu golongan yang terjejas akibat banjir di seluruh negara, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Sri Amrin Awaluddin.

    Beliau menerusi kenyataan berkata, TH menyumbang bantuan kewangan, makanan dan khidmat pembersihan secara sukarela kepada rakyat Malaysia yang terjejas akibat bencana banjir, dan bantuan itu bakal diagihkan secara langsung atau melalui rakan strategik dan badan bukan kerajaan (NGO).

    “Kami turut bekerjasama dengan seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), melalui kumpulan sukarelawan dengan memberi sumbangan seperti keperluan asas, bekalan makanan, dan penginapan sementara,” katanya hari ini.

    Kenyataan itu turut memaklumkan, anak-anak syarikatnya iaitu Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) telah menyumbang RM420,000, selain melancarkan Bantuan Prihatin Banjir dengan kemudahan pembayaran balik pembiayaan untuk individu yang terkesan.

    Takaful Malaysia yang juga merupakan anak syarikat TH, turut menawarkan perkhidmatan tunda percuma kepada para pelanggan yang terjejas akibat banjir. – BERNAMA

  • Polis belum terima sebarang laporan kes tipu kutip derma banjir

    Polis belum terima sebarang laporan kes tipu kutip derma banjir

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan terdapat individu yang mengambil kesempatan daripada bencana banjir teruk yang melanda beberapa negeri baru-baru ini, untuk mengutip derma bagi kegunaan sendiri.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata bagaimanapun pihaknya belum menerima laporan berhubung kes penipuan kutipan derma banjir setakat ini.

    “Berdasarkan pemerhatian, pelbagai inisiatif kutipan derma telah dilancarkan oleh parti politik, badan bukan kerajaan dan individu persendirian bagi memberikan bantuan kepada mangsa terjejas, dengan kebiasaannya aktiviti sedemikian mendapat maklum balas yang positif rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

    Beliau berkata polis akan sentiasa memantau aktiviti kutipan derma terutama yang dilakukan melalui internet dan sebarang aktiviti yang meragukan akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

    “Orang awam dinasihatkan berhati-hati dalam menyalurkan derma agar ia sampai kepada mangsa yang terlibat,” katanya.

    Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti penipuan kutipan derma, digesa menyalurkan kepada JSJK Scam Response Centre melalui talian 03-26101559 atau membuat laporan di mana-mana balai polis berhampiran untuk siasatan lanjut. – BERNAMA

  • Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    Masalah kekurangan PPS telah ditangani – Rina

    KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menambah bilangan pusat pemindahan sementara (PPS), bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti mangsa banjir di PPS, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

    Beliau berkata, pada permulaan hanya 5,731 PPS yang berdaftar di seluruh negara dan kementerian telah menambah 78 PPS lagi bagi menampung pertambahan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan teruk terjejas.

    “Bencana ini tidak diduga… ada rumah yang tidak pernah dinaiki air turut dinaiki air, yang penting mereka berjaya menyelamatkan diri dan kita bagi masuk (ke PPS berhampiran) sementara kita buka PPS lain, untuk pindahkan dan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.

    Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Wisma Belia di Kuantan hari ini, yang menempatkan 224 individu daripada 63 keluarga dari sekitar Kuantan, yang mula dilanda banjir sejak Ahad lepas.

    Kementerian juga cuba menyediakan fasiliti dan keperluan kepada mangsa banjir sebaiknya dan sekiranya ada isu berbangkit, mangsa boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi 24 jam sehari.

    Sementara itu, Rina berkata pihaknya menghargai kesudian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menghulurkan sumbangan, dan tidak akan menghalang proses penyampaian bantuan itu kerana tidak mahu kerenah birokrasi ‘mengganggu’ misi bantuan tersebut.

    “Bila orang nak bantu kita tidak boleh halang. Apa yang penting barang bantuan sampai kepada penerima, namun sekiranya mereka hantar ke pusat pemindahan seperti ini, pihak pengurusan boleh rekod dan tahu (barang) apa yang diterima dan apa lagi diperlukan mangsa menjadikan ia lebih teratur,” katanya.

    Rina juga berkata selain menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu psikososial mangsa banjir di PPS, unit pengamal ‘MamaCare’ di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut disediakan bagi membantu memberikan rawatan kepada ibu yang baharu melahirkan anak. – BERNAMA

  • Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 ditangguh seminggu – Radzi

    Sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 ditangguh seminggu – Radzi

    SESI persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan ditangguh selama seminggu susulan bencana banjir, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin.

    Beliau berkata negeri Kumpulan A iaitu Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu akan memulakan persekolahan pada 9 Jan dan Kumpulan B iaitu Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan 10 Jan ini. 

    “Sepertimana yang diumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini, sesi persekolahan penggal tiga 2021/2022 akan bermula 2 Jan 2022 bagi Kumpulan A dan 3 Jan 2022 bagi Kumpulan B.

    “Walau bagaimanapun (keputusan ini) mengambil kira situasi banjir semasa di seluruh negara yang melibatkan murid, ibu bapa, guru-guru, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

    “…juga melibatkan sekolah-sekolah sama ada sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) atau pun sekolah yang terjejas teruk,” katanya menerusi hantaran video di Instagram rasmi beliau. 

    Radzi berkata maklumat lanjut mengenai penangguhan sesi persekolahan itu akan dimaklumkan menerusi kenyataan media dalam masa terdekat.

    Beliau berkata KPM cakna kepada kebajikan guru, murid dan ibu bapa dalam konteks banjir semasa dan memaklumkan, kementerian itu memahami pihak terbabit memerlukan masa untuk kembali menyiapkan keperluan sebelum memulakan sesi persekolahan semula. – BERNAMA

  • Banjir: 41 nyawa terkorban, 8 orang masih hilang

    Banjir: 41 nyawa terkorban, 8 orang masih hilang

    BENCANA banjir dilaporkan telah mengorbankan 41 nyawa di seluruh negara setakat ini manakala lapan orang masih hilang.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan hari ini berkata, Selangor melaporkan kematian tertinggi iaitu 25 mangsa, Pahang 15 mangsa dan seorang di Kelantan.

    Berdasarkan pecahan, katanya, 25 mangsa di Selangor terdiri daripada 17 lelaki dan lapan wanita, Pahang melibatkan lapan lelaki, lima wanita dan dua kanak-kanak lelaki, manakala di Kelantan seorang lelaki.

    Lapan yang masih hilang di Pahang melibatkan tujuh lelaki dan seorang kanak-kanak lelaki, katanya.

    Sementara itu, situasi banjir setakat tengah hari ini menyaksikan jumlah mangsa yang berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga negeri iaitu Kelantan, Pahang dan Perak semakin menurun berbanding pagi tadi.

    Jumlah mangsa banjir di KELANTAN mencatatkan penurunan setakat 12 tengah hari ini, apabila seramai 1,364 orang daripada 478 keluarga berbanding 1,389 orang daripada 472 keluarga, pagi tadi melibatkan lapan PPS, kesemuanya di jajahan Pasir Mas.

    Sementara itu, portal rasmi info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melalui https://publicinfobanjir.water.gov.my, melaporkan hanya sebatang sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 8.34 meter.

    Mangsa banjir di PERAK juga mencatatkan jumlah menyusut kepada 106 mangsa daripada 30 keluarga berbanding 153 mangsa daripada 44 keluarga pagi tadi yang kini ditempatkan di dua PPS di daerah Hilir Perak.

    Jurucakap Angkatan Pertahanan Malaysia (APM) dan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Perak berkata, seramai 62 mangsa ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan manakala 44 mangsa lagi berada di PPS Dewan Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib.

    Beliau berkata sejumlah 14 keluarga dari penduduk Kampung Glouster, Batu 7 ½ Lorong Mesra dan Kampung Selat Manggis yang ditempatkan di PPS Dewan Bandaran Teluk Intan pulang ke kediaman masing-masing hari ini.

    Sementara itu, di PAHANG, jumlah mangsa turut menurun menjadi 31,430 mangsa di 231 PPS, berbanding 34,487 orang di 246 PPS pagi tadi, menurut aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

    Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara melaporkan, paras air Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera dan Sungai Pahang di Water Front Bera serta di Maran melibatkan Sungai Kundang dan Sungai Pahang di Lubuk Paku masih melebihi paras bahaya manakala Sungai Pahang di Paloh Hinai di Pekan dan Lubuk Pasu, Temerloh direkodkan pada paras amaran.

    Jumlah jalan yang ditutup juga semakin berkurangan dengan kebanyakannya jalan yang belum boleh dilalui ialah di daerah Temerloh, Bera dan Maran.

    Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Melaka, Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, seramai 42 mangsa dari 13 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok China di Alor Gajah manakala 68 mangsa daripada 14 keluarga ditempatkan di PPS SK Parit Penghulu Benteng di daerah Jasin.

    Di SELANGOR, aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memaklumkan seramai 18,575 mangsa banjir dari 5,128 keluarga masih ditempatkan di 99 PPS di seluruh negeri itu.

    Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia pula memaklumkan aras air Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat masih berada di paras amaran dengan ketinggian 4.07 meter manakala Sungai Buloh di Parit Mahang, Kuala Selangor di paras berjaga-jaga dengan ketinggian 3.71 meter dengan trend menurun.

    Menurut aplikasi Info Bencana JKM, satu PPS di Kuala Lumpur masih dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Jenis Tamil Saraswathy yang menempatkan 234 mangsa daripada 55 keluarga.

    Menurut aplikasi itu juga, mangsa banjir di seluruh negara terus menurun kepada 52,095 berbanding 56, 904 mangsa pagi tadi dengan 346 PPS masih beroperasi. – BERNAMA

  • Rogol kambing sampai mati, lelaki tua dipenjara 6 tahun

    Rogol kambing sampai mati, lelaki tua dipenjara 6 tahun

    SEORANG warga emas yang mempunyai tiga rekod lampau berkaitan kes cabul, hari ini dipenjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu kerana melakukan persetubuhan luar tabii dengan seekor kambing betina di belakang rumah jirannya, Julai lalu.

    Hakim Nurul Mardhiah Mohammed Redza menjatuhkan hukuman itu ke atas Shaari Hasan, 60, selepas beliau menukar pengakuan kepada bersalah ketika sebutan kes hari ini.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh diletakkan di bawah pengawasan polis selama setahun selepas keluar dari penjara, selain mendapatkan khidmat kaunseling.

    Sebelum menjatuhkan hukuman itu, hakim berkenaan menyoal punca kematian kambing berkenaan dan Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Noor Harun menyatakan ia adalah disebabkan kegagalan paru-paru.

    Dalam prosiding itu, tertuduh juga mengesahkan barang kes termasuk gambar kambing, pakaian miliknya yang dirampas semasa kejadian iaitu sehelai baju T berwarna hijau dan seluar panjang berwarna coklat, yang ditunjukkan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah.

    Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu di belakang sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Rawang di sini pada 1.33 tengah hari, 27 Julai lalu, mengikut Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

    Terdahulu peguam Muizzudin Schanni Feizal Maurice Feizal memohon mahkamah mengenakan hukuman penjara dari tarikh tangkap, dengan alasan tertuduh menyesal dengan perbuatannya selain hukuman berpatutan terhadap tertuduh.

    “Tertuduh merupakan warga emas dan tinggal sebatang kara, memandangkan seksyen ini memperuntukkan hukuman sebat, mohon hukuman itu (sebat) tidak dikenakan berikutan tertuduh merupakan seorang warga emas,” kata peguam itu.

    Sementara itu Khairunnisa memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

    Menurut fakta kes, kejadian itu disedari seorang wanita berusia 45 tahun yang terdengar bunyi mengembek dari kandang kambing yang terletak di belakang rumahnya.

    Wanita berkenaan yang pergi ke kandang kambing itu mendapati, seorang lelaki yang dikenalinya berada dalam keadaan separuh bogel, bangun dari sebelah kambing milik wanita tersebut.

    Selepas menyedari kehadiran wanita terbabit, suspek telah melarikan diri dan hasil pemeriksaan mendapati, kambing betina yang menjadi mangsa lelaki itu telah mati. – BERNAMA

  • 188 ketulan ganja mampat berat 142 kg dirampas

    188 ketulan ganja mampat berat 142 kg dirampas

    POLIS Pulau Pinang menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah jenis ganja yang bergiat aktif sejak Jun lalu selepas menyerbu sebuah rumah kedai dan beberapa buah rumah di sekitar Seberang Perai Tengah (SPT).

    Serbuan selama enam hari sehingga kelmarin itu berjaya menahan enam lelaki tempatan bersama 198 ketulan mampat ganja seberat 142.3 kilogram (kg) yang bernilai kira-kira RM355,785.

    Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, kesemua suspek berusia antara 30 hingga 52 tahun itu terdiri daripada penganggur, peniaga dan pekerja kilang.

    Menurut beliau, serbuan pertama dilakukan di sebuah rumah di Seberang Jaya pada Jumaat lalu yang mana seorang lelaki berjaya ditahan manakala enam ketulan mampat ganja seberat 5.2 kg turut dirampas.

    “Penahanan lelaki itu kemudiannya membawa kepada lima lagi serbuan iaitu di Bukit Mertajam, Permatang Pauh dan Seberang Jaya yang mana polis berjaya menahan empat lagi individu selain merampas 192 ketulan mampat ganja,” katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di Bandar Perda, Bukit Mertajam hari ini.

    Menurut Shafee, selain rampasan dadah, pihaknya turut menyita empat buah kenderaan dan wang tunai yang keseluruhannya bernilai kira-kira RM133,600 daripada sindiket berkenaan.

    Jelasnya, siasatan polis mendapati sindiket berkenaan mula bergiat aktif mengedarkan ganja kira-kira enam bulan lalu iaitu sekitar Jun untuk pasaran tempatan.

    “Hasil ujian saringan air kencing turut mendapati tiga daripada suspek positif ganja dan kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.