Category: Semasa

  • Muhyiddin harap saguhati kepada mangsa banjir disalurkan segera

    Muhyiddin harap saguhati kepada mangsa banjir disalurkan segera

    TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap pembayaran wang saguhati kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan oleh kerajaan dapat disalurkan dengan segera bagi meringankan beban mereka.

    Selain itu bekas Perdana Menteri berkata, bantuan dari segi kesihatan dan psikologi juga perlu disediakan bagi membantu trauma yang dihadapi oleh mereka yang telah kehilangan harta benda dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga.

    ‘’Segala usaha sukarelawan yang telah berkorban masa, tenaga dan wang juga perlu diberi pengiktirafan dalam membantu mereka yang terlibat dengan musibah ini,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.

    Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu berkata, hari ini beliau berkesempatan menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui,  Hulu Langat.

    ‘’Skuad Prihatin Bersatu ini telah ditubuhkan sejurus banjir besar melanda negara pada 19 Disember lalu dan pada masa ini sedang giat membantu mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang ditimpa bencana ini.

    ‘’Misi bantuan hari ini tertumpu kepada kerja-kerja membersih kawasan rumah dan menyampaikan bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir dan turut disertai oleh sukarelawan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) dan Bersatu Bahagian Hulu Langat,’’ katanya.

    • Bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara

    Menurut Muhyiddin, beliau  telah meluluskan bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Hulu Langat.

    ‘’Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah.

    ‘’Saya juga telah menyampaikan bantuan segera berupa barangan makanan, pakaian, peralatan dapur dan barangan keperluan harian lain kepada beberapa keluarga yang saya lawati,’’ katanya.

    Dalam misi itu, Muhyiddin  turut berkesempatan bertemu dengan dua pengusaha bengkel yang peralatan bengkel mereka rosak akibat banjir.

    ‘’Insya-Allah, pihak Bersatu juga akan menghulurkan bantuan kepada dua pengusaha ini agar mereka dapat kembali beroperasi semula,’’ katanya.

    • Tabung Bencana  Banjir Bersatu terima sumbangan dana tambahan RM1 juta

    Mengenai Tabung Bencana Banjir Bersatu yang berjumlah RM1 juta, beliau berkata, ia telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

    ‘’Melihat kepada keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, saya telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan,’’ katanya.

    Muhyiddin turut menyarankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian segera untuk mendalam dan meluruskan Sungai Langat bagi mengelakkan banjir besar berulang pada masa akan datang.

    Dalam catatan itu juga, beliau mengucapkan terimakasih kepada semua pegawai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO )yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

    ‘’Marilah kita bersama-sama membantu dan menyumbang dalam apa jua cara yang termampu untuk membantu mereka membina semula kehidupan pasca banjir,’’ katanya.

    Beliau  yakin semangat bantu membantu yang telah ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa bencana yang terkesan teruk.

    ‘’Saya berdoa semoga mereka diberi kekuatan dalam berhadapan musibah ini dan saya juga berdoa agar para sukarelawan dan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi Allah SWT dalam melaksanakan misi bantuan,’’ katanya.

  • Kerajaan pertimbang cuti khas penjawat awam jadi sukarelawan pascabanjir

    Kerajaan pertimbang cuti khas penjawat awam jadi sukarelawan pascabanjir

    KERAJAAN mempertimbangkan cuti khas kepada penjawat awam yang terlibat sebagai sukarelawan pascabanjir, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali. 

    Beliau berkata pemberian cuti itu akan membolehkan lebih ramai penjawat awam turun membantu operasi pembersihan selepas banjir terutamanya di kawasan yang teruk terjejas dan memerlukan ramai tenaga kerja. 

    “Ramai (penjawat awam) yang ingin menjadi sukarelawan membantu mereka yang terkesan tapi kadang-kadang mereka tiada saluran sesuai selain terikat dengan peraturan seperti tidak boleh keluar pada waktu pejabat,” katanya. 

    Mohd Zuki berkata demikian kepada Bernama selepas menyerahkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada 132 ketua keluarga mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tualang, Temerloh, hari ini. 

    Turut hadir Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang Mohd Sharkar Shamsuddin.

    Menurut Mohd Zuki, pemberian cuti khas itu adalah sama seperti yang diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa semalam, iaitu cuti tanpa rekod diberikan kepada pegawai Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan agensi yang menjadi sukarelawan Program Bantu Hingga Selesai anjuran kementerian itu.

    Beliau dalam pada itu berkata kementerian-kementerian juga akan digerakkan untuk membantu operasi pascabanjir bagi mempercepatkan kerja-kerja yang sedang dilaksanakan. 

  • Seorang parah, 5 cedera ringan tongkang terbakar

    Seorang parah, 5 cedera ringan tongkang terbakar

    SEORANG pekerja dilaporkan parah manakala lima yang lain cedera ringan selepas sebuah tongkang terbakar dalam kejadian di Gat Lebuh Macallum, Pengkalan Weld, Pulau Pinang pagi tadi.

    Jurucakap Pasukan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 10.54 pagi sebelum bergegas dan tiba di lokasi kejadian kurang 10 minit kemudian.

    Menurutnya, kebakaran itu melibatkan sebuah tongkang dengan anggaran peratusan kemusnahan kira-kira 20 peratus.

    “Terdapat enam mangsa terlibat dalam kejadian itu dengan seorang daripada mereka mengalami kecederaan parah dan diberi rawatan awal di lokasi kejadian.

    Kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 11.30 pagi.

    “Sementara itu, lima mangsa lagi mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan,” katanya kepada pemberita hari ini.

    Menurut jurucakap itu, kebakaran dapat dikawal pukul 11.08 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pukul 11.30 pagi.

    Ujarnya, operasi pemadaman turut dibantu pasukan bomba sukarela (PBS) berdekatan dan kerja-kerja ‘overhaul’ masih dijalankan ketika ini.

  • Buruh maut ketika sertai perlawanan bola sepak

    Buruh maut ketika sertai perlawanan bola sepak

    SEORANG lelaki meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung ketika menyertai perlawanan bola sepak di padang bola Selising, Pasir Puteh, 6.30 petang semalam.

    Mangsa, Dzulkiflee Daud, 53, yang bekerja sebagai buruh secara tiba-tiba pengsan ketika sedang berehat pada separuh masa pertama perlawanan.

    Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Ediansha Endal berkata berdasarkan keterangan, rakan mangsa memaklumkan mereka sedang berehat pada separuh masa pertama, dengan mangsa duduk sambil minum air dan makan sepotong pisang goreng sebelum tiba-tiba mengalami sesak nafas.

    “Mangsa kemudiannya rebah di tepi padang. Rakannya juga memaklumkan mangsa pernah mengadu sakit dada beberapa hari sebelum perlawanan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, hari ini.

    Ediansha berkata, mangsa yang tidak sedarkan diri dikejarkan oleh rakan-rakan ke Klinik Kesihatan Selising sebelum disahkan sudah meninggal dunia oleh pegawai perubatan bertugas.

    Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis bagi bedah siasat.

    Beliau berkata, tiada sebarang rekod perubatan diperoleh dan semakan masih dijalankan bagi mengesan kematian mangsa yang bekerja sebagai buruh.

    “Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut akibat serangan jantung,” katanya.

  • Lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di sungai

    Lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di sungai

    SEORANG lelaki warga emas hilang ketika mencari lokan di Sungai Kanawai, Sundar, Lawas pukul 7 malam tadi.

    Mangsa, Amit Matasan, 71, pada mulanya keluar bersama-sama rakannya, Roseli Sahari, 49. pada pukul 6 pagi untuk mencari lokan di sungai berkenaan dengan menggunakan bot gentian kaca.

    Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pada pukul 2.40 petang mereka kemudiannya bergerak berasingan dan berjanji untuk bertemu semula di satu lokasi.

    “Bagaimanapun, sehingga 7 malam, mangsa tidak muncul di tempat yang dijanjikan dan rakannya kemudian pulang namun mendapati mangsa tiada di rumah

    “Berikutan itu, Roseli membuat laporan kehilangan Amit di Balai Polis Sundar pada 8.40 malam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jurucakap itu memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas.

    “Operasi terpaksa ditangguhkan pada 10.30 malam tadi berikutan keadaan gelap dan pencarian disambung semula 7 pagi ini.

    “SAR hari ini turut dibantu penduduk kampung dengan tumpuan pencarian di permukaan,” katanya.

  • Remaja perempuan mengaku salah dera budak 16 bulan

    Remaja perempuan mengaku salah dera budak 16 bulan

    SEORANG remaja perempuan dan lelaki mengaku salah di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas kesalahan mendera kanak-kanak berusia 16 bulan pada Ogos lalu.

    Tertuduh, Muhammad Afiq Abdullah, 23, dan remaja perempuan berusia 18 tahun itu membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Norma Ismail.

    Mengikut pertuduhan, mereka secara bersamasama- pada 3 Ogos hingga 25 Ogos melakukan penganiayaan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal di kepala, mata, badan dan tapak kaki kanak-kanak berusia 16 bulan.

    Kejadian itu dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor di Felda Bukit Jalor, Tampin.

    Kedua-duanya dituduh mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

    Norma menjatuhkan hukuman 24 bulan penjara dan mengenakan hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh dua tahun ke atas Muhammad Afiq.

    Remaja perempuan itu pula diperintahkan ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun mengikut Seksyen 76 Akta Kanak-Kanak 2001.

    Pendakwaan kes dikendali Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Demi perpaduan ummah, Pas sanggup bermain 10 gelanggang sekalipun – Hashim

    Demi perpaduan ummah, Pas sanggup bermain 10 gelanggang sekalipun – Hashim

    PAS sentiasa bersedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak, bukannya terhad kepada UMNO sahaja demi mencapai matlamat perpaduan ummah.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin, berkata demi mencapai matlamat utama itu juga, Pas sanggup melupakan tindakan zalim UMNO terhadapnya sebelum ini untuk bekerjasama melalui Muafakat Nasional (MN).

    Katanya, tindakan itu adalah bagi mematuhi perintah Allah supaya ummah bersatu padu, bukannya berpecah belah sehingga musuh meraih kemenangan.

    “Allah yang arah kita bersatu padu, jangan berpecah belah. Jadi untuk laksana perintah itu, kita buat MN dengan UMNO.

    “UMNO apa yang dia tak buat kepada Pas masa dia memerintah, macam-macam, tetapi kita sanggup lupa benda itu kerana perintah Allah lebih kita utamakan iaitu ke arah perpaduan,” katanya, lapor Berita Harian.

    Hashim, berkata berpegang kepada prinsip itu juga, maka Pas menjalinkan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melalui penubuhan Perikatan Nasional (PN).

    Katanya, walaupun ada pihak mempertikaikan Pas kerana bermain dalam dua gelanggang secara serentak, tindakan itu sebenarnya tidak tersasar daripada matlamat utama iaitu perpaduan ummah.

    “Walaupun 10 gelanggang dan sekarang pun kita buka lagi, dari Pakatan Harapan (PH) pun boleh, apa semua boleh.

    “Jadi kita buka (ruang kerjasama) tetapi syaratnya jangan bercanggah dengan dasar pokok kita iaitu perpaduan ummah,” tegasnya.

    Sementara itu, Hashim, berkata matlamat perpaduan ummah juga menyebabkan Pas mengambil pendirian untuk mempertahankan MN dan pada masa yang sama memperkasakan PN.

    Beliau berkata, walaupun ada sedikit masalah berbangkit berikutan pendirian itu, Pas menganggap ia perkara biasa dalam perjuangan dan pihaknya tidak akan berputus asa.

    Beliau juga optimis MN dapat dipertahankan berdasarkan kenyataan-kenyataan terbaharu daripada Badan Perhubungan UMNO Selangor, Perlis dan Kelantan.

    “Walaupun ada halangan, marilah kita lupakan, sebagaimana Pas melupakan kezaliman yang dilakukan ke atas Pas dan kita sanggup pula untuk bekerjasama (dengan UMNO).

    “Kita doakan supaya terbuka hati pimpinan utama parti-parti Islam dan Melayu untuk bekerjasama dan kita harap akan berjaya,” katanya.

  • Struktur kondominium Sri Duta di KL disahkan berisiko alami tanah runtuh lebih kritikal – DBKL

    Struktur kondominium Sri Duta di KL disahkan berisiko alami tanah runtuh lebih kritikal – DBKL

    STRUKTUR bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta kini disahkan berisiko amat tinggi terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

    Penilaian dan dapatan itu telah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta perunding yang dilantik pemaju lepas mengadakan kajian pada Isnin.

    Dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, dapatan itu dibuat berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

    “Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

    “Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” kata kenyataan tersebut.

    KEADAAN runtuhan tebing yang berlaku Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, semalam.

    DBKL berkata, terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

    “Pihak badan pengurusan bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

    “Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan Ikram,” katanya.

    Menurutnya pada masa sama Ikram juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

    Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengarahkan penduduk di Apartmen Sri Duta 1 mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh pada bahagian bawah beberapa blok apartmen di situ.

    Terdahulu, pada 18 Disember lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang. 

  • Maqis rampas makanan haiwan bernilai RM103,672

    Maqis rampas makanan haiwan bernilai RM103,672

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Sebanyak 10,926 kilogram (KG) makanan haiwan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana tidak mematuhi syarat permit import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Khamis lalu.

    Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan tersebut dibuat setelah sepasukan pegawai dan anggota melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang datang dari Thailand kira-kira pukul 5.05 petang.
     
    “Kesemua barangan bernilai RM103,672 itu dirampas untuk siasatan lanjut kerana tidak mematuhi syarat permit import Maqis iaitu gagal memaparkan nombor batch/lot serta tarikh pembuatan pada produk dagangan.

    “Kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta sama,” katanya.

    Kenyataan itu menambah, makanan haiwan tersebut dipercayai dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan.

    “Maqis memberi amaran tegas kepada mana-mana pengimport supaya sentiasa mematuhi syarat import ditetapkan atau bakal berdepan tindakan undang-undang tegas.

    “Untuk makluman, Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan terhadap penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan. Selain itu ia diguna pakai bagi mengawal penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya.

  • Lelaki maut ditikam, bertengkar ketika mabuk

    Lelaki maut ditikam, bertengkar ketika mabuk

    Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

    SEORANG lelaki warga Myanmar maut dengan kesan tikaman di dada dan rusuk dipercayai dibunuh dalam satu kejadian di sebuah hostel pekerja di Taman Scientex, Senai, Kulai, kelmarin.

    Kejadian pukul 9 malam itu disyaki berlaku akibat pertengkaran membabitkan mangsa berusia 25 tahun bersama-sama sekumpulan lelaki dipercayai dalam keadaan mabuk.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya mendapat maklumat berkenaan perkara itu daripada penyelia tempat mangsa dan rakan-rakan senegaranya bekerja.

    Katanya, polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.

    Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow

    “Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tikaman di bahagian dada dan rusuk mangsa dipercayai akibat ditikam. Turut dijumpai di lokasi adalah sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

    “Sehubungan itu, pihak polis telah menjalankan dua serbuan di Johor Bahru dan Melaka pada jam 11 pagi, semalam dan berjaya menahan lima suspek berusia antara 20 hingga 43 tahun dipercayai terlibat dengan kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beng Yeow berkata, berdasarkan siasatan terhadap suspek, kejadian itu dipercayai berlaku disebabkan pergaduhan antara mereka selepas meminum minuman keras sehingga mabuk.

    “Kesemua suspek yang ditahan kini dikenakan reman selama enam hari sehingga 2 Januari oleh Mahkamah Majistret Kulai.

    Beliau memberitahu, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.