TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap pembayaran wang saguhati kepada mangsa banjir seperti yang diumumkan oleh kerajaan dapat disalurkan dengan segera bagi meringankan beban mereka.

Selain itu bekas Perdana Menteri berkata, bantuan dari segi kesihatan dan psikologi juga perlu disediakan bagi membantu trauma yang dihadapi oleh mereka yang telah kehilangan harta benda dan ada juga yang kehilangan ahli keluarga.

‘’Segala usaha sukarelawan yang telah berkorban masa, tenaga dan wang juga perlu diberi pengiktirafan dalam membantu mereka yang terlibat dengan musibah ini,’’ katanya melalui Facebook beliau hari ini.

Muhyiddin yang juga Presiden Parti Bersatu berkata, hari ini beliau berkesempatan menyertai misi bantuan pasca banjir Skuad Prihatin Bersatu di Kampung Jawa dan Kampung Sungai Lui,  Hulu Langat.

‘’Skuad Prihatin Bersatu ini telah ditubuhkan sejurus banjir besar melanda negara pada 19 Disember lalu dan pada masa ini sedang giat membantu mangsa-mangsa banjir di semua negeri yang ditimpa bencana ini.

‘’Misi bantuan hari ini tertumpu kepada kerja-kerja membersih kawasan rumah dan menyampaikan bantuan keperluan harian kepada mangsa-mangsa banjir dan turut disertai oleh sukarelawan Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) dan Bersatu Bahagian Hulu Langat,’’ katanya.

  • Bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara

Menurut Muhyiddin, beliau  telah meluluskan bantuan segera dua kontena sebagai penempatan sementara untuk dua keluarga yang telah kehilangan tempat tinggal akibat banjir di Hulu Langat.

‘’Pegawai Daerah Hulu Langat yang turut hadir juga mengumumkan bantuan kerajaan bagi pembinaan semula sebuah rumah kampung yang musnah.

‘’Saya juga telah menyampaikan bantuan segera berupa barangan makanan, pakaian, peralatan dapur dan barangan keperluan harian lain kepada beberapa keluarga yang saya lawati,’’ katanya.

Dalam misi itu, Muhyiddin  turut berkesempatan bertemu dengan dua pengusaha bengkel yang peralatan bengkel mereka rosak akibat banjir.

‘’Insya-Allah, pihak Bersatu juga akan menghulurkan bantuan kepada dua pengusaha ini agar mereka dapat kembali beroperasi semula,’’ katanya.

  • Tabung Bencana  Banjir Bersatu terima sumbangan dana tambahan RM1 juta

Mengenai Tabung Bencana Banjir Bersatu yang berjumlah RM1 juta, beliau berkata, ia telah digunakan untuk tujuan membantu mangsa-mangsa banjir termasuk membeli peralatan pembersihan dan barangan keperluan harian untuk diagihkan kepada mangsa-mangsa terlibat.

‘’Melihat kepada keperluan mangsa banjir yang amat terdesak, saya telah berjaya mendapat dana tambahan RM1 juta lagi hasil sumbangan beberapa dermawan,’’ katanya.

Muhyiddin turut menyarankan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) supaya membuat kajian segera untuk mendalam dan meluruskan Sungai Langat bagi mengelakkan banjir besar berulang pada masa akan datang.

Dalam catatan itu juga, beliau mengucapkan terimakasih kepada semua pegawai agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO )yang terlibat dalam usaha membantu mangsa-mangsa banjir.

‘’Marilah kita bersama-sama membantu dan menyumbang dalam apa jua cara yang termampu untuk membantu mereka membina semula kehidupan pasca banjir,’’ katanya.

Beliau  yakin semangat bantu membantu yang telah ditunjukkan oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia ini dapat meringankan beban mangsa-mangsa bencana yang terkesan teruk.

‘’Saya berdoa semoga mereka diberi kekuatan dalam berhadapan musibah ini dan saya juga berdoa agar para sukarelawan dan petugas barisan hadapan sentiasa dilindungi Allah SWT dalam melaksanakan misi bantuan,’’ katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here