Oleh RIZQI ZABIDI

Sebanyak 10,926 kilogram (KG) makanan haiwan dirampas Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) kerana tidak mematuhi syarat permit import di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Khamis lalu.

Jabatan itu dalam satu kenyataan memaklumkan, rampasan tersebut dibuat setelah sepasukan pegawai dan anggota melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang datang dari Thailand kira-kira pukul 5.05 petang.
 
“Kesemua barangan bernilai RM103,672 itu dirampas untuk siasatan lanjut kerana tidak mematuhi syarat permit import Maqis iaitu gagal memaparkan nombor batch/lot serta tarikh pembuatan pada produk dagangan.

“Kegagalan mengemukakan maklumat tersebut adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Seksyen 15(2) Akta sama,” katanya.

Kenyataan itu menambah, makanan haiwan tersebut dipercayai dibawa masuk ke Malaysia untuk pasaran tempatan.

“Maqis memberi amaran tegas kepada mana-mana pengimport supaya sentiasa mematuhi syarat import ditetapkan atau bakal berdepan tindakan undang-undang tegas.

“Untuk makluman, Akta 728 diguna pakai bagi memastikan kawalan terhadap penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan. Selain itu ia diguna pakai bagi mengawal penyakit berbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here