Category: Semasa

  • Tersekat di atas pokok selama 3 jam, tak sempat sampai rumah

    Tersekat di atas pokok selama 3 jam, tak sempat sampai rumah

    MEMBAYANGKAN mangsa-mangsa banjir yang terperangkap dan kesejukan di atas bumbung rumah ketika paras air sudah mula menenggelami sebahagian rumah mereka sememangnya satu perkara yang meluluhkan hati.

    Kisah seorang mangsa banjir di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor, memang menyayat hati apabila terperangkap tdi atas pokok selama tiga jam pada 19 Disember lalu, ketika paras air pada ketika itu sudah semakin tinggi.

    Bercerita kembali kepada SatuBerita pengalaman yang disifatkan seperti mimpi ngeri itu, Mohd. Rizzainudden Md. Husin, 43, berkata, pada petang itu, dia baru sahaja memindahkan sebuah kereta miliknya di Masjid Besar Taman Sri Muda.

    “Saya letak kereta di situ kerana sangkakan kawasan masjid tak akan tenggelam. Pada ketika itu, air baru sahaja mencecah paras pinggang. Namun, ketika saya dalam perjalanan pulang, air sudah naik pada paras hidung saya.

    “Saya kemudian mula berenang sedikit demi sedikit menuju ke rumah saya. Namun, saya sudah tidak larat dan kaki mula kekejangan ketika sudah menghampiri rumah Terus saya panjat dan tunggu di atas pokok itu,” katanya ketika ditemui SatuBerita.

    Mohd Rizzainudden Md Husin, 43, ketika ditemui SatuBerita di Taman Sri Muda, hari ini

    Anak kelahiran Negeri Melaka ini menambah, sebelum itu, dia hanya bergantung kepada sebuah kotak polisterina kecil untuk berenang sehingga ke pokok berkenaan.

    Walaupun jarak antara pokok itu dengan rumahnya hanya kira-kira 60 meter, namun dia bimbang dihanyutkan air kerana terdapat parit yang besar di antara pokok itu dan rumahnya, selain faktor keletihan.

    Lokasi pokok Rizzainuddin tersekat pada 19 Disember lalu dan kotak polesterina yang digunakan olehnya ketika berenang.

    “Kalau saya teruskan berenang, mungkin saya sudah tiada hari ini. Tahu-tahu orang jumpa mayat saya sahaja di hujung parit sana,” katanya.

    Rizzainudden berkata, dia juga menjerit meminta tolong kepada bot penyelamat dari jabatan Bomba dan polis, tetapi tidak dipedulikan kerana mereka mengutamakan mangsa yang terperangkap di atas bumbung rumah.

    “Saya panggil mereka namun mereka suruh saya tunggu dahulu. Saya menggigil kesejukan dengan angin yang kuat di atas pokok itu. Saya ni bukan nyawa kah? Saya mahu ke seberang situ sahaja,” luahnya dengan rasa kecewa.

    Detik ngeri tersangkut di atas pokok itu berakhir apabila tiga lelaki yang menaiki bot persendirian menyelamatkannya sekitar jam 3 pagi.

    “Saya nampak mereka dari jauh, saya mula keluarkan telefon bimbit saya yang simpan dalam kotak biskut kecil dan saya nyalakan lampu suluh bagi memberikan isyarat.

    “Alhamdulillah mereka nampak saya. Mereka datang ke arah saya, dan saya berpaut pada bot mereka. Sampai sahaja di rumah, saya panjat masuk menerusi satu lubang kecil yang terletak di tingkat atas rumah. Barulah saya dapat jumpa anak dan isteri saya,” katanya. 

  • Pastikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilaksana secara menyeluruh – PM

    Pastikan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dilaksana secara menyeluruh – PM

    KERAJAAN akan memastikan segala bantuan dan kemudahan kepada mangsa banjir dilaksanakan secara berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan RM1.4 bilion.

    Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata di bawah inisiatif itu, kerajaan turut melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan (BWI) antaranya RM1,000 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir.

    Kerajaan turut menyalurkan kepada semua KIR terkesan termasuk mereka yang tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS), RM10,000 kepada waris mangsa meninggal dunia, selain mangsa banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini iaitu hanya sekali semasa berlaku Monsun Timur Laut.

    “Menyedari mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan-kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang bermula pada 27 Dis lepas dan dijangka selesai minggu ini. Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

    “Bagi tujuan ini, saya mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Setakat ini, Ismail Sabri berkata lebih 30,000 KIR didaftarkan untuk menerima BWI.

    Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 negeri, manakala 25 waris telah menerima bantuan RM10,000 bagi bayaran BWI untuk kematian.

    Beliau berkata kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pascabanjir, selain menambah RM50 juta lagi khusus untuk Selangor dan Pahang bagi tujuan sama dengan peruntukan itu akan digunakan bagi melaksanakan kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk serta kemudahan awam rosak.

    Menurut Perdana Menteri, pada masa ini Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor dilantik sedang giat menjalankan kerja pembersihan di kawasan terkesan bencana banjir.

    Bagi mempercepatkan kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, beliau berkata KPKT turut menambah sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

    “Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa,” katanya.

    Setakat semalam, Ismail Sabri berkata 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.

    Sementara itu, bagi menambah akses tunai kepada mangsa memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar kosong peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun, termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

    Bank Negara Malaysia dengan ketersediaan dana RM500 juta pula menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana (DRF) melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro, dengan tempoh pembiayaan sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun, katanya.

    “Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF mula dibuka pada 27 Dis lepas. Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Dis, BSN menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudah pun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta,” katanya.

    Bagi memastikan bantuan menyeluruh di samping bantuan tunai, Ismail Sabri berkata kerajaan akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa banjir.

    Perdana Menteri berkata Rangkaian Tindak Balas Bencana Syarikat Berkaitan Kerajaan dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GDRN) yang bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir telah membantu sekitar 15,000 keluarga sejak 19 Dis lepas.

    Selain Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberi rebat 100 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik terkesan banjir bagi Disember 2021, Ismail Sabri berkata kerajaan turut bersetuju menyediakan pemberian baucar kepada mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang rosak akibat bencana itu.

    “Setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli,” katanya.

    Ismail Sabri berkata bagi meringankan beban mangsa banjir mengalami kerosakan kenderaan peribadi, beberapa inisiatif turut dilaksanakan antaranya Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma dan syarikat itu bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan juga secara percuma serta diskaun 50 peratus ke atas alat ganti.

    Selain itu, Proton bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50 peratus bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta percuma di pusat servis berdaftar.

    “Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25 peratus atau lebih ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar. Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun,” katanya.

    Beliau berkata inisiatif lain melibatkan baucar RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total.

    Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa mengambil pendekatan holistik melalui pelbagai inisiatif dan langkah bagi memastikan kebajikan Keluarga Malaysia sentiasa terjamin, dan berharap kesemua inisiatif tersebut dapat membantu meringankan beban yang dihadapi mereka akibat banjir.

    “Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar impak bencana banjir ini dapat ditangani dengan segera agar kita boleh menumpukan usaha kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan,” katanya, yang turut menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga mangsa banjir.

    “Kepada yang beragama Islam, marilah kita sama-sama sedekahkan AlFatihah dan berdoa agar roh mangsa ditempatkan bersama golongan solihin. Bagi yang bukan Islam, marilah kita bertafakur sejenak dan menginsafi musibah ini,” katanya. – Bernama

  • Cinta tidak direstui keluarga:6 ditahan bergaduh depan balai polis

    Cinta tidak direstui keluarga:6 ditahan bergaduh depan balai polis

    POLIS menahan tiga lelaki dan tiga wanita warga tempatan ditahan kerana bergaduh di pekarangan Balai Polis Komuniti di Kelana Jaya, Petaling Jaya, hari ini.

    Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pergaduhan pada pukul 3.25 petang itu berpunca daripada cinta tidak direstui keluarga.

    Katanya, anggota yang bertugas cuba meleraikan pergaduhan berkenaan namun tidak diendahkan kesemua suspek terbabit.

    “Justeru, polis menahan kesemua suspek kerana melakukan gaduh gempar di tempat awam dan berkelakuan tidak senonoh di kawasan balai polis.

    “Bagaimanapun, kesemua mereka dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 160 Kanun Keseksaan dan Seksyen 90 Akta Polis 1967.

    Mohamad Fakhrudin turut mengingatkan orang ramai supaya menjaga tingkah laku semasa berada di balai polis dan mematuhi arahan anggota bertugas.

  • Kertas siasatan kes Ebit Lew sudah lengkap

    Kertas siasatan kes Ebit Lew sudah lengkap

    KERTAS siasatan membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

    Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu arahan terkini untuk tindakan seterusnya.

    “Kita sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara dan sedikit masa lagi akan mendapat keputusan arahan selanjutnya berkaitan kes itu.

    “Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

    Abd. Jalil berkata, pendakwah terbabit juga difahamkan berada di luar negara melakukan kerja amal dan tiada keperluan untuk menahannya kerana tidak menyenaraikan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya.

    “Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan.

    Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

    Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

    Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

    Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

  • Dua warga emas duduk 10 jam atas bumbung dengan kucing, ular sawa

    Dua warga emas duduk 10 jam atas bumbung dengan kucing, ular sawa

    DUA beradik warga emas berdepan detik cemas apabila terpaksa duduk atas bumbung rumah bersama-sama empat ekor kucing dan seekor ular sawa selama 10 jam kerana terperangkap selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat banjir pada 18 Disember lalu.

    Asiah Osman, 63, pada mulanya menyangkakan hujan pada pagi hari itu sama seperti sebelum ini dan air akan naik hingga ke paras jalan di depan rumah sebelum surut kembali.

    “Namun menjelang pukul 5 petang, hujan masih tidak berhenti dan air di sungai yang jaraknya hanya 15 meter dari rumah sudah mula naik pada pukul 7 malam.

    “Anak angkat saya berjaya membawa kereta dan motosikal ke tempat yang lebih tinggi, apabila dia berpatah balik mendapati air deras serta parasnya sudah semakin naik.

    “Dia kemudian telah hanyut dibawa arus deras, namun berjaya menyelamatkan diri selepas memanjat dan berpaut di sebatang pokok langsat,” katanya,” katanya ketika ditemui dalam operasi pasca banjir Pasukan Gerakan Am di Kampung Sungai Lui, hari ini.

    Kemudian Asiah bersama-sama adiknya berusia 62 tahun pula memanjat bumbung rumah dengan membawa bersama empat ekor kucing peliharaan.

    “Saya terperanjat apabila melihat seekor ular sawa ada di atas bumbung,” katanya.

    Wanita itu berkata, ular itu kemudian beredar apabila air mulai surut pada pukul 5 pagi.

    “Penduduk di sekitar kawasan ini tidak dapat membantu kami sekeluarga kerana air sungai deras. Pada masa itu, saya hanya ingat Allah SWT, menangis pun tidak berguna,” katanya.

    Bekas kakitangan Bank Negara itu menjelaskan, dia sudah mendiami rumah tersebut sejak 40 tahun lalu, namun kejadian banjir itu adalah pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

    Kata Asiah, pada masa akan datang dia akan menyelamatkan dirinya lebih awal jika hujan lebat tanpa henti dalam tempoh dua jam.

    “Saya trauma dengan kejadian banjir ini, saya akan menyelamatkan diri lebih awal jika bencana ini berulang lagi,” katanya.

  • Biar apapun kata pembangkang, Sanusi tetap kekal menjadi ‘Sanusi’

    Biar apapun kata pembangkang, Sanusi tetap kekal menjadi ‘Sanusi’

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Mungkin ada yang melihatnya sebagai garang, tak kurang juga yang menganggapnya bangang.

    Tetapi Muhammad Sanusi Md. Nor tetap kekal menjadi ‘Muhammad Sanusi Md. Nor’. Baginya apa yang dirasakan betul akan diperkatakan dan dilaksanakan manakala apa yang salah, akan ditegur serta dibangkang mengikut caranya sendiri yang kadang-kadang dilihat kurang menyenangkan.

    Berikutan itu mungkin ada yang kurang senang dengan pembawakan diri Muhammad Sanusi. Di pihak pembangkang, mereka tidak habis-habis mencela Muhammad Sanusi dengan alasan ‘menegur’ secara terbuka dalam beberapa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

    Itu kita fahamlah, kadang-kadang niat nak menegur itu bukannya banyak mana sangat tetapi lebih kepada hendak menjatuhkan imej Muhammad Sanusi atas nama politik. Itu perkara biasa.

    Tetapi Muhammad Sanusi akhirnya terus memilih untuk menjadi jujur kepada diri sendiri. Membesar sebagai anak miskin dari keluarga 13 beradik, Muhammad Sanusi tidak memilih untuk hanyut dalam status Menteri Besarnya kini untuk selesa bersenang-lenang menerima layanan VIP.

    Sebaliknya beliau sentiasa berusaha untuk kekal sedar diri. Itulah antara satu kelebihan yang ada pada Muhammad Sanusi yang mana dia tidak perlu berpura-pura kononnya merendah diri untuk menyesuaikan diri dengan rakyat seperti sesetengah pemimpin bertaraf ‘bangsawan’ yang lain.

    ‘Berkampung’ di Hulu Langat bantu mangsa banjir  tanpa publisiti

    Sebagai contoh apabila berlaku banjir di Selangor baru-baru ini, mungkin ramai dalam kalangan rakyat di luar Kedah tidak menyedari bahawa Muhammad Sanusi turut turun ke negeri itu bagi menghulurkan bantuan.

    Selama tiga hari di sana sejak 26 Disember lepas, Muhammad Sanusi tidak tidur di hotel mewah setaraf kelayakannya selaku Menteri Besar sebaliknya bermalam di Dewan Seri Cempaka, Kajang bersama kira-kira 300 sukarelawan dari Kedah yang lain.

    Di dewan itulah beliau turut serta berkongsi makanan, bilik mandi dan tandas bersama sukarelawan. Selepas subuh, ada tazkirah ringkas dikongsikan sebelum kesemua sukarelawan termasuk dirinya bergerak, ke lokasi ditetapkan bagi melaksanakan tugas masing-masing.

    Muhammad Sanusi turut sama mengusung paip panjang bersama sukarelawan untuk memasang  paip air di perkampungan
    Orang Asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat.

    Sampai di lokasi, Muhammad Sanusi juga tidak hanya datang melambai-lambai kepada mangsa. Beliau juga sama sekali tidak membuat kerja secara ‘olok-olok’ bagi membersihkan rumah penduduk untuk menanti gambarnya diambil oleh jurugambar.

    Sebaliknya Menteri Besar Kedah itu sama-sama turut bekerja berjam-jam lamanya termasuk mengendalikan ‘backhoe’ di Batu 20, Sungai Lui dekat Hulu Langat. Di hari lainnya pula, Muhammad Sanusi turut sama mengusung paip panjang bersama sukarelawan untuk memasang  paip air di perkampungan Orang Asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat.

    Inilah antara perkara yang perlu dipelajari oleh pemimpin-pemimpin lain daripada Muhammad Sanusi. Bagaimana mahu menjadi ‘natural’ dalam menyantuni keperluan rakyat tanpa perlu melayan kehendak penasihat-penasihat kayangan yang mahu mereka kelihatan gah kononnya berbanding rakyat kebanyakan.

    Melihat kepada kerja yang dilakukan Muhammad Sanusi di Selangor,  mungkin terdapat pihak yang mempertikaikan sama ada Menteri Besar itu tiada kerja hendak dilakukan di Kedah hingga ‘merayap’ ke Selangor berhari-hari.

    Namun hakikat yang perlu diketahui umum adalah, Muhammad Sanusi sebenarnya melakukan semua itu ketika beliau berada dalam tempoh bercuti sejak 25 Disember lalu.

  • Buruh dipenjara 10 bulan, pukul rakan dengan tukul lambat pulangkan motosikal

    Buruh dipenjara 10 bulan, pukul rakan dengan tukul lambat pulangkan motosikal

    GARA-GARA berang kerana rakan lambat memulangkan motosikal dipinjam, seorang buruh dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul kepala rakannya dengan tukul besi sehingga parah.

    Hakim Norma Ismail turut menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Muhammad Aizat Amran, 21 dari Felda Palong yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.

    Dia turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

    Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Anuar Riduan, 36 dengan menggunakan sebatang tukul besi.

    Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 1.40 petang di tepi jalan hadapan sebuah rumah di Felda Palong, 21 Disember lalu.

    Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

    Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul rakannya itu selepas lewat memulangkan motosikal yang dipinjam rakannya itu.

    Tidak lama kemudian berlaku pertengkaran mulut sebelum dia memukul kepala rakannya itu dengan tukul besi sebanyak satu kali sehingga menyebabkan bahagian kepala sebelah kanan mangsa mengalami keretakan.

    Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

  • Pekerja tapak pembinaan maut dihempap tiang besi kren

    Pekerja tapak pembinaan maut dihempap tiang besi kren

    SEORANG lelaki warga asing maut selepas dihempap tiang besi kren di tapak pembinaan di Jalan Kuchai Maju, Kuala Lumpur, hari ini.

    Pekerja tapak pembinaan berusia 42 tahun itu meninggal dunia akibat parah pada kepala dan badan dalam kejadian pada pukul 11 pagi.

    Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati tiang besi itu sudah diturunkan ke bawah, namun menjadi tidak stabil lalu menghempap mangsa.

    “Balai Polis Sri Petaling memulakan siasatan insiden tiang besi kren terjatuh dan meragut nyawa seorang pekerja tapak pembinaan berkenaan.

    “Polis memberi jaminan siasatan akan dijalankan secara telus tanpa sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak yang terbabit dalam kemalangan ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Orang ramai yang ada maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields menerusi talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

  • Siasatan barang kes SPRM RM25 juta hilang hampir selesai

    Siasatan barang kes SPRM RM25 juta hilang hampir selesai

    SIASATAN salah guna kuasa dan penyelewengan barang kes melibatkan tiga pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes, iaitu wang tunai berjumlah RM25 juta yang disita agensi itu, hampir selesai.

    “Kita masih menunggu maklum balas pihak DPP (Timbalan Pendakwa Raya) berhubung siasatan berkenaan,” ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Abd. Jalil Hassan dalam satu kenyataan.

    Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mengesahkan, seorang daripada tiga pegawai kanan SPRM itu kini berada dalam tahanan polis.

    Katanya, pegawai berusia 40 tahun itu kini ditahan di Penjara Simpang Renggam, Johor.

    “Siasatan dilakukan mengikut Akta LLPK (Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas) dan pegawai berkenaan sedang menjalani hukuman atas kesalahan berkaitan dadah,” katanya.

    Pada Oktober lalu, seorang daripada mereka dilaporkan disiasat atas kesalahan membabitkan pengedaran dadah dan suspek dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah sejak setahun lalu.

    SPRM sebelum ini mengesahkan tiga pegawai kanannya ditahan bagi membantu siasatan berkait dakwaan salah guna kuasa serta penyelewengan dalam urusan kes seorang bekas ketua jabatan.

  • Ayob Khan tegur KPD, jangan masih di kepompong lama

    Ayob Khan tegur KPD, jangan masih di kepompong lama

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KETUA Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegur Ketua Polis Daerah (KPD) di negeri itu dan mahukan mereka bekerjasama dengan pihak media bagi memastikan berita disampaikan kepada masyarakat awam adalah benar.

    Beliau berkata, kerjasama tersebut penting terutama apabila melibatkan fakta tidak betul terhadap mana-mana cerita atau berita terutama yang tular dalam media sosial hingga mengelirukan orang ramai.

    Menerusi kerjasama itu katanya, diharap media membetulkan kembali fakta salah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

    “Kalau kita (polis) masih di kepompong lama, media tidak akan dapat fakta yang betul dan apa yang ditularkan tidak dapat diperbetulkan.

    “Jadi kalau media telefon, jawab. Maklumkan apa yang betul (fakta), komunikasilah dengan media,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Ketua Polis Johor bersama Media Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, Johor Bahru, hari ini.

    Katanya, zaman sekarang adalah zaman persepsi dan Ketua Polis Daerah perlu memastikan hubungan bersama-sama media rasmi itu rapat, selain berkongsikan fakta yang tepat terutama membabitkan isu yang ditularkan.

    “Apa yang boleh dikongsikan, kongsi. Tidak rugi pun. Mereka (media) hanya jalankan kerja. Kita (polis) pun mahu memastikan masyarakat dapat fakta yang betul. Kalau kita menjauhkan diri, kita akan mengalami kesukaran.

    “Yang sepatutnya kongsi dengan media kita tidak kongsi. Kita pula yang cakap dengan orang luar, kita kongsi pada orang yang tidak sepatutnya kita beri kerana sebenarnya apa yang dikongsikan media rasmi akan bantu masyarakat khususnya polis,” katanya.

    Ketajaman penulisan itu katanya, boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara atau membangunkan seseorang individu mahupun personaliti seseorang.