KERTAS siasatan membabitkan pendakwah popular, Ustaz Ebit Lew berhubung kes gangguan seksual sudah lengkap dan dihantar ke Pejabat Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Abd. Jalil Hassan berkata, pihaknya sedang menunggu arahan terkini untuk tindakan seterusnya.

“Kita sedang menunggu maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara dan sedikit masa lagi akan mendapat keputusan arahan selanjutnya berkaitan kes itu.

“Bagaimanapun kita juga meminta mereka yang mempunyai maklumat tambahan supaya dapat tampil membantu siasatan,” katanya memetik laporan Harian Metro, hari ini.

Abd. Jalil berkata, pendakwah terbabit juga difahamkan berada di luar negara melakukan kerja amal dan tiada keperluan untuk menahannya kerana tidak menyenaraikan notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) terhadapnya.

“Buat masa ini biarlah dia melakukan kerja kebaikan di luar negara kerana itu haknya jika dia ikut peraturan di negara terbabit ia tidak menjadi menjadi kesalahan.

Terdahulu, siasatan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Susulan laporan itu, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 23 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada 19 Ogos lalu, Ebit Lew dipanggil polis untuk dirakam keterangan berhubung penyebaran video gangguan seksual dikaitkan dengan pendakwah berkenaan.

Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here