DUA beradik warga emas berdepan detik cemas apabila terpaksa duduk atas bumbung rumah bersama-sama empat ekor kucing dan seekor ular sawa selama 10 jam kerana terperangkap selepas kediaman mereka di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat banjir pada 18 Disember lalu.

Asiah Osman, 63, pada mulanya menyangkakan hujan pada pagi hari itu sama seperti sebelum ini dan air akan naik hingga ke paras jalan di depan rumah sebelum surut kembali.

“Namun menjelang pukul 5 petang, hujan masih tidak berhenti dan air di sungai yang jaraknya hanya 15 meter dari rumah sudah mula naik pada pukul 7 malam.

“Anak angkat saya berjaya membawa kereta dan motosikal ke tempat yang lebih tinggi, apabila dia berpatah balik mendapati air deras serta parasnya sudah semakin naik.

“Dia kemudian telah hanyut dibawa arus deras, namun berjaya menyelamatkan diri selepas memanjat dan berpaut di sebatang pokok langsat,” katanya,” katanya ketika ditemui dalam operasi pasca banjir Pasukan Gerakan Am di Kampung Sungai Lui, hari ini.

Kemudian Asiah bersama-sama adiknya berusia 62 tahun pula memanjat bumbung rumah dengan membawa bersama empat ekor kucing peliharaan.

“Saya terperanjat apabila melihat seekor ular sawa ada di atas bumbung,” katanya.

Wanita itu berkata, ular itu kemudian beredar apabila air mulai surut pada pukul 5 pagi.

“Penduduk di sekitar kawasan ini tidak dapat membantu kami sekeluarga kerana air sungai deras. Pada masa itu, saya hanya ingat Allah SWT, menangis pun tidak berguna,” katanya.

Bekas kakitangan Bank Negara itu menjelaskan, dia sudah mendiami rumah tersebut sejak 40 tahun lalu, namun kejadian banjir itu adalah pertama kali berlaku di kawasan tersebut.

Kata Asiah, pada masa akan datang dia akan menyelamatkan dirinya lebih awal jika hujan lebat tanpa henti dalam tempoh dua jam.

“Saya trauma dengan kejadian banjir ini, saya akan menyelamatkan diri lebih awal jika bencana ini berulang lagi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here