Category: Semasa

  • Tiada tangkapan baharu, kertas siasatan Long Tiger lari hampir siap

    Tiada tangkapan baharu, kertas siasatan Long Tiger lari hampir siap

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    KERTAS siasatan melibatkan kes Long Tiger yang bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak di Johor, dua minggu lalu hampir selesai untuk dilengkapkan oleh polis.

    Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya bagaimanapun sedia membuat permohonan reman tambahan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan lagi siasatan terhadap lelaki berusia 32 tahun yang berketurunan Rohingya itu.

    “Sambung reman atau tidak, ini bergantung kepada siasatan kalau belum lengkap mungkin kita akan minta sambung reman dan keadaan ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak.

    “Tetapi saya rasa Insha-Allah, ‘more or less’ kita dah siapkan kertas siasatan, kes ini adalah ‘straight forward’ iaitu dia melarikan diri daripada tahanan. Kita akan lihat kalau tidak cukup, kita akan minta reman tambahan,” katanya.

    Ayob Khan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

    Pada Selasa lalu, polis berjaya menahan suspek dalam buruan itu yang menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota polis.

    Seorang lelaki berperwatakan perempuan yang berusia 46 tahun turut dicekup dalam serbuan itu kerana disyaki bersubahat melindungi Long Tiger sebelum dua lagi lelaki ditangkap di Batu Pahat, tidak lama kemudian.

    Sementara itu, Ayob Khan berkata, jumlah tangkapan melibatkan kes terbabit masih kekal empat orang termasuk suspek utama Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid.

    Pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan melibatkannya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan bermula.

    Ketika itu, dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.

    Dalam kes ugutan bunuh itu, Long Tiger yang sudah berkahwin tidak ditawarkan jaminan selepas pihak pendakwaan mengambil kira tertuduh dibimbangi boleh mengganggu saksi utama pendakwaan.

    Sementara itu, dalam tempoh dia melarikan diri, peguamnya, Datuk Sharudin Ali mengumumkan penarikan diri daripada mewakili lelaki itu di mahkamah dalam semua kes yang dituduh terhadapnya kerana sukar untuk mendapatkan arahan selanjutnya.

    Dalam kejadian sama juga, Ketua Polis Daerah Tangkak; Ketua Polis Balai Tangkak dan seorang Inspektor Ketenteraman Awam kini sedang dikenakan siasatan tatatertib atas kesalahan kecuaian dalam penyeliaan tugas.

  • PN, PH tak kacau, mengapa UMNO mahu PRN lagi?

    PN, PH tak kacau, mengapa UMNO mahu PRN lagi?

    Oleh RAHIMI MOHAMAD

    DESAS-desus akan ada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang seterusnya di Johor selepas Sabah, Melaka dan Sarawak bukan lagi cakap-cakap kosong sebaliknya perkara itu hampir pasti berlaku tidak lama lagi jika tiada apa-apa halangan.

    Beberapa sumber memaklumkan, mereka sudah mendapat signal daripada pihak atasan untuk bersiap sedia menghadapi PRN pada bila-bila masa sahaja dari sekarang.

    Tidak menghairankan apabila dikatakan keinginan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN bukannya datang dari pihak lawan tetapi suara UMNO sendiri yang mahu lebih dominan walaupun kini mereka mengetuai kerajaan Johor.

    Memang jika diikutkan sebelum pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang meninggal dunia pada 21 Disember lalu pun, kedudukan kerajaan negeri hasil kesepakatan UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan MIC boleh dikatakan sudah getir.

    Tetapi Bersatu dan Pas walaupun menyatakan sokongan kepada Datuk Hasni Mohammad dari bawah payung Perikatan Nasional (PN) tidak pernah sama sekali menggugat kedudukan ADUN Benut itu untuk terus mentadbir Johor.

    Cuma sekali dua mereka mengingatkan pemimpin UMNO lain bahawa ADUN dari Bersatu juga boleh menarik sokongan bila-bila masa. Itu pun ketika Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedang diganggu kedudukannya selaku Perdana Menteri.

    Pada masa lain, tiada seorang pun daripada 12 wakil rakyat Bersatu termasuk Allahyarham Osman benar-benar membuat langkah yang mengubah kedudukan walaupun mereka boleh sahaja buat dengan sekelip mata. Tetapi mereka tetap berpaksi kepada prinsip rakyat harus diutamakan.

    Jadi mengapa tetap mahu juga PRN walaupun dalam landskap politik semasa di Johor, beberapa pihak mengakui agak sukar untuk Hasni bekerja berdasarkan hanya satu sahaja kelebihan kerusi iaitu 28-27 kerana susah untuk beliau membuat sesuatu keputusan disebabkan partinya bukan dominan.

    Namun perkara itu tidak sepatutnya menjadi alasan untuk UMNO mahu mengadakan PRN dalam masa terdekat kerana mereka seharusnya memikirkan keadaan semasa negara dan Johor sendiri yang masih dilingkari isu pandemik Covid-19.

    Apatah lagi Johor antara negeri tidak terlepas dilanda banjir setiap tahun diramal akan berdepan bencana itu sedikit masa lagi. Wajarkah ketika rakyat cuba bangkit membina semula kehidupan mereka perlu berdepan pula dengan ragam politik yang memualkan ramai pihak ketika ini.

    Bukan sahaja PN, bahkan Pakatan Harapan (PH) yang kini memiliki 27 kerusi DUN di Johor juga tidak mahu PRN diadakan dalam waktu yang tidak sesuai kerana mereka juga sudah berikrar untuk bersama-sama mendahului rakyat yang ditimpa musibah.

    Ketika ini pun kerajaan Johor berjalan dengan baik, malah buat pertama kali juga di bawah pentadbiran Hasni bersetuju memberikan peruntukan tahunan sama rata yang berjumlah RM200,000 kepada semua ADUN termasuk pembangkang agar sama-sama memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

    Dalam Belanjawan Johor 2022 itu juga, sudah lulus peruntukan tambahan RM50,000 lagi kepada mereka bagi tujuan bantuan pembiayaan perayaan-perayaan besar seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Deepavali dan lain-lain.

    Sebelum itu lagi, Hasni sudah beberapa kali memberikan peruntukan kepada semua ADUN Johor yang tahun ini sahaja tidak kurang RM200,000 disalurkan untuk membantu rakyat di kawasan masing-masing yang terjejas Covid-19.

    Benarkah dakwaan bahawa pihak yang mencadangkan PRN diadakan di Johor bukan bertanding pun di negeri itu tetapi mempunyai perancangan dan agenda sendiri yang lebih besar dan menguntungkan laba politiknya.

    Malah mereka dikatakan sudah mendapat restu untuk melakukan PRN sekiranya benar boleh menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN di Johor seperti dicapai di Melaka yang ketika itu peratusan keluar mengundi rendah dan belum ada undi daripada golongan 18 hingga 20 tahun.

    Bukan tidak boleh mengadakan PRN kerana proses demokrasi itu memang dijamin dalam Perlembagaan, tapi yang jadi isu sekarang adalah masanya yang tidak sesuai apatah lagi dengan penemuan varian baharu Covid-19, Omicron selain tidak lama pun lagi sebelum penggal tamat secara automatik.

    Jadi perlukah buat PRN dalam masa terdekat. Esok sudah 1 Januari 2022, tidak boleh kah UMNO tunggu sedikit masa lagi atau bila tiba waktu yang betul-betul sesuai untuk buat PRN jika betul mahu dapatkan semula mandat rakyat yang dicanang-canang atau sebenarnya mahu lebih berkuasa seperti dulu-dulu.

  • Sarawak, Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini – Hishammuddin

    Sarawak, Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN Isnin ini – Hishammuddin

    KERAJAAN bersetuju supaya Sarawak dan Kelantan, beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) Isnin ini, menurut Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

    Beliau berkata keputusan itu diambil selepas mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Dengan peralihan di kedua-dua negeri berkenaan dari Fasa Tiga sebelum ini, ia bermakna seluruh negara kini berada di Fasa Empat PPN.

    “Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Hishammuddin bagaimanapun menyeru orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa, memandangkan COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron.  – BERNAMA

  • 55 jemaah umrah Malaysia dikuarantin di Mekah kerana positif COVID-19

    55 jemaah umrah Malaysia dikuarantin di Mekah kerana positif COVID-19

    SELEPAS dikejutkan dengan ramai jemaah umrah yang baru pulang dari Arab Saudi dijangkiti varian baharu COVID-19 iaitu Omicron, kini dilaporkan 55 orang jemaah umrah dari Malaysia sedang menjalani kuarantin di Mekah kerana positif penyakit tersebut.

    Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah berkata, mereka yang dikesan positif COVID-19 sejak Isnin lalu berada dalam keadaan baik dengan ditempatkan di bilik hotel berasingan dan tidak menunjukkan simptom penyakit yang teruk.

    Katanya, pihak agensi pelancongan yang membawa jemaah umrah itu juga menyediakan makanan dan minuman tiga kali sehari, selain menghantar ubat-ubatan.

    “Ujian PCR seterusnya akan dilakukan dalam masa terdekat. Jemaah yang mendapat keputusan negatif akan terus dibeli tiket penerbangan untuk pulang ke Malaysia,” katanya memetik laporan Selangorkini.

    Terdahulu Wisma Putra ketika dihubungi menyatakan pihaknya berhubung rapat dengan para jemaah umrah terbabit dan Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah menghantar pasukan bagi memberikan bantuan.

    Pengarah Urusan In Saff Travel and Tours Sdn Bhd, Mohd Fahmi Mohd Nawi satu dalam kenyataan menyatakan, pihaknya mempunyai pasukan operasi khas di Arab Saudi yang menyantuni jemaah bermula hari pertama mereka menjalani kuarantin.

    “Kami telah memaklumkan kepada Konsulat Jeneral Malaysia di Arab Saudi berkenaan dengan isu ini pada 28 Disember dengan melampirkan maklumat jemaah seperti pasport, visa dan keputusan ujian PCR.

    “Marilah sama-sama kita doakan agar jemaah kami sabar dan tabah serta cepat sembuh,” katanya.

    Pada 28 Disember lalu Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin mengumumkan Arab Saudi dimasukkan dalam 18 negara berisiko tinggi jangkitan varian Omicron dan jemaah umrah yang pulang ke tanah air kini diwajibkan memakai peranti penjejak digital sepanjang tempoh kuarantin.

  • Majlis Syura Ulama Pas mahu parti Melayu berunding elak pertembungan

    Majlis Syura Ulama Pas mahu parti Melayu berunding elak pertembungan

    MAJLIS Syura Ulama menegaskan, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

    Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Muzakarah Majlis Syura Ulama yang bersidang  bersetuju untuk menegaskan kepentingan “Memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional” dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.

    ‘’Semangat Ta’awun Siyaasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.

    ‘’Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,’’ katanya dalam kenyataan malam ini.

    Pendirian Majlis Syura Ulama itu menamatkan spekulasi berhubung pendirian Pas berhubung Muafakat Nasional selepas parti tersebut menjadi anggota rasmi Perikatan Nasioanal (PN) yang turut disertai oleh Bersatu.

  • TNB rugi RM2 juta angkara perbuatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

    TNB rugi RM2 juta angkara perbuatan curi elektrik untuk lombong bitcoin

    SATU sindiket yang mencuri elektrik bagi aktiviti perlombongan bitcoin terbesar di sekitar daerah Manjung, Lumur, tumpas semalam.

    Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, sindiket itu ditumpaskan dalam Operasi Bersepadu khas yang dijalankan selama 13 jam bermula pukul 9 pagi.

    Jelasnya, operasi itu melibatkan 154 pegawai dan anggota polis dibantu 15 juruteknik khas Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta enam anggota bomba.

    “Sebanyak 30 rumah kedai diserbu dan 1,720 mesin bitcoin bernilai RM3.5 juta dirampas. Seorang lelaki berusia 28 tahun disyaki penjaga premis turut ditahan dalam operasi itu.

    “Lelaki berkenaan direman selama empat hari untuk membantu siasatan. Dalam operasi itu, polis turut merampas pelbagai barangan antaranya 15 monitor, 22 unit pemprosesan pusat (CPU), 56 modem, sebuah komputer riba dan tujuh kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Lumut, hari ini yang turut dihadiri Pengurus TNB Perak, Mohd. Toha Abdul Manaf.

    Mengulas lanjut, Mior Faridalathrash berkata, aktiviti mencuri sumber elektrik itu menyebabkan TNB mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2 juta.

    Katanya, sindiket itu didapati menyewa di premis yang terlindung daripada orang ramai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

    “Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan itu termasuk pemilik premis.

    “Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37 (1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

    Beliau menggesa orang ramai melaporkan sebarang kegiatan melombong Bitcoin secara haram kepada pihak polis untuk diambil tindakan.

  • Sambung, tangguh VTL udara dibuat 48 jam sebelum 21 Januari

    Sambung, tangguh VTL udara dibuat 48 jam sebelum 21 Januari

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    KEPUTUSAN menangguh atau menyambung semula Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara antara Malaysia dan Singapura akan ditentukan 48 jam sebelum inisiatif tersebut dijadualkan dilaksana semula pada 21 Januari ini.

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong berkata, jika inisiatif TVL udara disambung semula pada 21 Januari, jumlah jualan tiket penerbangan berkemungkinan dikurangkan sehingga 50 peratus daripada kuota sedia ada.

    Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut tertakluk kepada kerajaan Singapura yang akan menilai situasi semasa Covid-19 di republik itu terutama perkembangan Omicron atau varian baharu lain.

    Ka Siong (dua kiri) mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, hari ini

    “Saya ada mengadakan perbincangan dengan Menteri Pengangkutan Singapura pada 21 Disember lalu di mana beliau memaklumkan mengapa pihaknya mengambil keputusan menangguhkan inisiatif berkenaan, bukan ditamatkan.

    “Pihaknya kemudian akan membuat penilaian sama ada ia akan disambung semula sepertimana dijadualkan pada 21 Januari atau ditangguh lagi, dan keputusan itu hanya akan dimuktamadkan dalam tempoh 48 jam sebelum tarikh berkenaan,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan MCA Johor secara hibrid di Ibu Pejabat MCA Johor, Jalan Kebun Teh, Johor Bahru, hari ini.

    Ka Siong berkata, bagi inisiatif VTL darat pula, ketetapan tesebut tertakluk kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kerana di luar bidang kuasa kementerian beliau.

    Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada 22 Disember lalu memaklumkan, pihaknya memutuskan untuk menggantung sementara penjualan tiket bas dan penerbangan bagi VTL Malaysia dan Singapura bermula Jumaat hingga 20 Januari 2022.

    Beliau dilaporkan berkata, keputusan itu susulan kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Singapura pada 20 Disember lalu berhubung satu kluster tempatan Covid-19 kemungkinan varian Omicron dikesan.

    Tambah Khairy, penjualan tiket bas dan penerbangan bagi kedua-dua insiatif VTL ini akan dibuka semula bermula 21 Januari 2022 selepas penilaian risiko dibuat berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara.

  • Polis tahan 12 ahli sindiket pelaburan palsu

    Polis tahan 12 ahli sindiket pelaburan palsu

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    POLIS berjaya menumpaskan satu sindiket yang menjalankan pelaburan palsu atas talian dengan menahan 12 suspek dalam satu serbuan di Taman Pelangi, Johor Bahru tengah malam tadi.

    Timbalan Ketuanya, Superintenden Lim Jit Huey berkata, operasi yang dijalankan pada pukul 12.30 tengah malam dilaksanakan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersil pihaknya.

    Katanya, kesemua 12 suspek yang ditahan merupakan lelaki warganegara tempatan berusia antara 18 hingga 33 tahun.

    “Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak sebulan lalu dan mensasarkan mangsa yang terdiri daripada warganegara asing.

    “Modus operandi yang digunakan adalah dengan berkenalan dengan mangsa melalui media sosial sebelum mereka ditipu untuk membuat pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Dalam serbuan itu, polis turut merampas 47 telefon bimbit, 12 komputer riba dan tujuh buku skrip penipuan digunakan sindiket berkenaan.

    Tambah Jit Huey, berdasarkan soal siasat yang dijalankan, suspek memaklumkan mereka dibayar gaji sebanyak RM2,500 sebulan.

    “Tiga daripada suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau,” ujarnya sambil memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)g Akta Rumah Judi Terbuka.

    Tambah beliau, kesemua suspek kini dikenakan reman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru bermula hari ini.

  • Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan

    Lima lagi insiden tanah runtuh direkodkan

    LIMA lagi insiden tanah runtuh direkodkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) hari ini menjadikan keseluruhan 126 kejadian tanah runtuh berlaku sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) 2021.

    Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pertambahan lima kejadian tanah runtuh itu berlaku membabitkan Pahang (dua kes) Selangor (dua kes) dan Kuala Lumpur (satu kes).

    Jumlah itu menjadikan keseluruhan insiden tanah runtuh yang berlaku di Selangor adalah 51 kes, Pahang (40), Negeri Sembilan (17), Kuala Lumpur (lapan), Sarawak (enam), Terengganu (tiga) dan Melaka (satu).

    Dalam pada itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) Careline menerusi hantaran di Facebook memaklumkan bekalan elektrik di 852 kawasan yang terjejas banjir di Pahang, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan telah dipulihkan setakat jam 12 tengah hari tadi.

    Ia meliputi 525 kawasan di Pahang, 183 kawasan di Selangor, 119 kawasan di Kuala Lumpur dan 25 kawasan di Negeri Sembilan.

    “Jika banjir sudah surut di kawasan anda tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, hal ini disebabkan oleh pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis anda masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan,” menurut hantaran itu.

    TNB Careline turut memberitahu, tiga kawasan di Selangor, dua kawasan di Negeri Sembilan dan masing-masing satu kawasan di Pahang serta Kuala Lumpur masih belum mendapat bekalan elektrik demi keselamatan pengguna setempat.

    Selain itu menurutnya, usaha sedang giat dijalankan oleh TNB bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

    TNB Careline juga menasihati pelanggan supaya memastikan peralatan elektrik yang ditenggelami banjir telah kering terlebih dahulu sebelum digunakan. – Bernama

  • Lelaki ditahan, dadah dalam kereta bernilai RM20,820 dirampas

    Lelaki ditahan, dadah dalam kereta bernilai RM20,820 dirampas

    POLIS menahan seorang lelaki dan merampas tiga ketulan ganja mampat serta 1,000 pil erimin 5 bernilai RM20,820 dalam kereta yang dipandunya di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kelmarin.

    Menurut Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, pemeriksaan itu dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Wangsa Maju pada pukul 8.20 malam.

    “Seorang lelaki warga tempatan berumur lingkungan 27 tahun ditahan di dalam sebuah kereta di tempat letak kereta berhampiran restoran makanan segera di Bangunan M-City Jalan Ampang.

    “Pemeriksaan menemukan satu beg plastik hitam berisi tiga ketulan mampat daun kering dipercayai ganja seberat 2,928 gram serta 100 helai aluminium foil mengandungi 1,000 pil yang disyaki dadah jenis erimin 5,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata, suspek telah direman tujuh hari untuk siasatan lanjut dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.