Category: Semasa

  • Seludup warga Myanmar, operator sampan dituduh di mahkamah

    Seludup warga Myanmar, operator sampan dituduh di mahkamah

    SEORANG operator sampan didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar, hari ini atas pertuduhan terbabit dalam penyeludupan dua migran warga Myanmar di Kuala Perlis pada bulan lalu.

    Mahmud Sulaiman yang berusia 51 tahun hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Musyiri Peet.

    Mengikut kertas pertuduhan, Mahmud sebagai operator sebuah sampan tanpa pendaftaran didapati terbabit dalam penyeludupan migran warga Myanmar iaitu Wey Yan, 15, dan kakaknya, Pan Par, 20 di perairan Sungai Kuala Perlis, pukul 9.20 malam, 24 Disember tahun lalu.

    Tertuduh didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum mengikut Seksyen yang sama.

    Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun serta denda atau kedua-duanya sekali.

    Selain itu, tertuduh juga boleh dikenakan perintah lucut hak terhadap sampan tanpa nombor pendaftarannya bersama-sama enjin model Suzuki.

    Pendakwaan dilaksanakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd. Yatim manakala tertuduh diwakili peguam, Nur Shaqira Ibrahim.


    Mahkamah menetapkan 8 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

    Sementara itu, dalam kes berkaitan juga, mahkamah menangguhkan pertuduhan terhadap dua beradik pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar pada 3 Februari ini.

    Penangguhan itu bertujuan untuk memberi masa kepada mahkamah untuk melantik seorang jurubahasa Myanmar sebagai penterjemah kepada tertuduh.

    Ketika prosiding mahkamah, tiada pertuduhan dibacakan kepada tertuduh, Wey Yan dan Pan Par.

    Kedua-duanya juga tidak diwakili peguam.

  • Polis buru suspek kes tikam mati lelaki di Penampang

    Polis buru suspek kes tikam mati lelaki di Penampang

    SEORANG lelaki maut ditikam di luar bangunan sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, Penampang, Sabah, awal pagi tadi.

    Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pusat hiburan berkenaan.

    Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima makluman, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

    Katanya, setelah tiba di lokasi kejadian, pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat kesan tikaman objek tajam dan telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

    “Mangsa ditempatkan di Zon Kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

    “Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi oleh pegawai perubatan bertugas, akibat pendarahan yang teruk disebabkan tikaman objek tajam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Haris berkata, berdasarkan rakaman CCTV, pihak polis berjaya mengenalpasti suspek terbabit yang mencederakan mangsa sehingga meninggal dunia.

    Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

    “Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera berhubung dengan balai polis berhampiran.

    “Suspek dikenali sebagai Kaw Yung Chee yang berusia 34 tahun.

    “Bagaimanapun, polis meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga boleh mengganggu siasatan,” katanya. 

  • ‘Saya hormati keputusan Cheng Hoe’ – Ahmad Faizal

    ‘Saya hormati keputusan Cheng Hoe’ – Ahmad Faizal

    “SAYA hormati keputusan Tan Cheng Hoe kerana saya pasti beliau telah bincangkan perkara ini bersama barisan kepimpinan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia)”.

    Itu pandangan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung keputusan Cheng Hoe yang merupakan Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaya melepaskan jawatan semalam, selepas empat tahun menggalas tanggungjawab itu sejak dilantik pada Disember 2017.

    Tanpa mahu mengulas panjang, Ahmad Faizal bagaimanapun menyifatkan Cheng Hoe sebagai tokoh bola sepak tersohor serta berpengalaman luas susulan pelbagai kejayaan ditempa jurulatih kelahiran Kedah itu.

    “Apa yang saya harapkan semoga beliau terus menyumbang dalam arena bola sepak negara,” katanya selepas majlis penerimaan sumbangan program Sukarelawan Pasca Banjir Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Sepang, hari ini.

    Ketika mengulas mengenai peletakan jawatannya semalam, Cheng Hoe berkata keputusan itu terpaksa dibuat bagi memberi laluan kepada individu yang lebih arif untuk membawa skuad kebangsaan ke satu tahap lebih baik.

    Ditanya mengenai calon pengganti jurulatih pasukan bola sepak negara, Ahmad Faizal berpandangan tahap disiplin dan kesihatan pemain skuad Harimau Malaya perlu dipertingkatkan terlebih dahulu bagi memastikan arena bola sepak dapat menjulang kembali nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

    “Kita boleh ambil jurulatih paling hebat dalam dunia tetapi kalau pemain tidak berlatih bersungguh-sungguh, tidak jaga kesihatan dan berdisiplin, ini tidak menjadi juga,” katanya.

    Dalam perkembangan lain, Ahmad Faizal berkata beliau akan membangkitkan dalam Mesyuarat Kabinet esok, berhubung isu berkaitan penyertaan atlet Israel pada kejohanan yang bakal dianjurkan di Malaysia pada masa akan datang.

    “Saya tidak dapat beri penjelasan lanjut selagi tidak dibincang di peringkat Kabinet,” katanya.

    Baru-baru ini, sebuah portal berita asing melaporkan bahawa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah mengeluarkan satu lagi amaran kepada negara yang enggan membenarkan atlet dari negara tertentu menyertai kejohanan besar atas sebab politik.

    IOC memetik pembatalan Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia pada 7 hingga 11 Dis lepas, atas sebab keengganan Malaysia membenarkan atlet Israel memasuki negara serta Kejohanan Tinju Dunia AIBA yang menyaksikan pasukan tinju Kosovo tidak dibenarkan bersaing di Serbia. – Bernama

  • Wang kertas $1,000, seringgit Sarawak dijangka jadi rebutan pada lelongan numismatik

    Wang kertas $1,000, seringgit Sarawak dijangka jadi rebutan pada lelongan numismatik

    WANG kertas RM1,000 rekaan tahun 1959 dan seringgit Sarawak merupakan matawang lama negara yang amat jarang sekali dapat kita temui.

    Namun kedudukan itu akan dapat dilihat dan ditawarkan untuk bidaan dalam lelongan numismatik yang akan diadakan selama empat hari mulai 7 Januari ini.

    Wang kertas khas $1,000 sebelum terbentuknya Malaysia yang dihasilkan rekaannya pada tahun 1959 tetapi tidak diterbitkan itu dijangka menjadi tumpuan utama acara.

    Wang kertas berkenaan merupakan sebahagian daripada sejarah dan satu-satunya ada di dalam dunia, kata pelelong Hann Boom pemilik syarikat Boom yang menganjurkan acara lelongan itu, lapor FMT.

    Beliau berkata, wang kertas itu penghasilannya ditauliahkan Lembaga Pesuruhjaya Mata Wang Tanah Melayu atau Malaya dan British Borneo menjelang berakhirnya tempoh penjajahan British di negara ini tetapi tidak diluluskan untuk diterbitkan.

    Beliau berkata, tarikan lain pada lelongan itu termasuk wang kertas seringgit Sarawak yang dicetak pada tahun 1919 yang berada dalam edaran untuk tempoh yang singkat apabila negeri Sarawak mengeluarkan mata wangnya sendiri.

    Wang kertas itu antara lain mempunyai gambar pemerintah kulit putih terakhir Sarawak Charles Vyner Brooke.

  • Tiga beradik warga emas terjejas banjir, bot fiber jadi penyelamat

    Tiga beradik warga emas terjejas banjir, bot fiber jadi penyelamat

    PENGALAMAN banjir pada 2011 menjadi iktibar dan pencetus buat keluarga Zainab Abd Majid untuk membeli sebuah bot fiber sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

    Ternyata persediaan dilakukan sangat membantu wanita berusia 65 tahun yang tinggal di Kampung Kuala Paya, Segamat, apabila banjir melanda sejak Ahad lepas hingga memaksa dia dan keluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Agama Kuala Paya semalam.

    Ibu kepada enam orang anak itu berkata, bot fiber yang dibeli oleh anak lelakinya, Padli Ramy, 40, dua tahun lepas bukan sahaja sebagai persediaan banjir, tapi digunakan untuk aktiviti memancing.

    “Bot itu anak beli dua tahun lepas dengan harga RM600. Apabila naik air, tidak banyak dapat diselamatkan kecuali peti sejuk, mesin basuh dan televisyen.

    “Dengan bot ini juga dapat membantu jiran-jiran berpindah ke PPS selepas air banjir mencecah paras lutut dan sekarang telah sampai ke paras bumbung rumah,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS Sekolah Agama Kuala Paya baru-baru ini.

    Zainab yang tinggal di kampung berkenaan sejak lahir mengakui sedih apabila mengenangkan banyak barangan dan peralatan dalam rumah yang rosak akibat banjir, namun anak-anak sering mengingatkannya agar reda dengan apa yang berlaku.

    “Makcik sedih tapi anak-anak ingatkan, Insya-Allah, ada rezeki lain, boleh ganti barang-barang,” katanya sambil menambah kali terakhir merasai banjir seteruk ini adalah pada 2011.

    Turut terjejas banjir ialah keluarga dua adiknya, Zaharah, 64, dan Zanariah, 61.

    Zaharah yang tinggal bersama suami, tiga anak, seorang menantu serta tiga cucu juga terpaksa berpindah dan lebih menyedihkan seorang daripada cucunya terpaksa dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat sebaik tiba di PPS Sekolah Agama Kuala Paya, kelmarin.

    “Rumah saya yang terletak bersebelahan rumah kakak (Zainab) memang berada betul-betul atas tebing Sungai Muar. Jadi, apabila air sungai semakin naik, memang rumah kami yang paling awal kena,” katanya.

    Sementara itu, rumah Zanariah tidak terjejas teruk kerana terletak sedikit tinggi, tetapi turut diarahkan berpindah selepas jalan utama ke kampung berkenaan iaitu Jalan Kuala Paya Balai Badang ditutup untuk semua kenderaan.

    Segamat terus mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 4,016 mangsa daripada 1,093 keluarga yang ditempatkan di 52 PPS. – Bernama

  • KKM siasat dakwaan 18 kes libat penerima vaksin Covid-19 di penjara

    KKM siasat dakwaan 18 kes libat penerima vaksin Covid-19 di penjara

    KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah menjalankan siasatan dan sedang menunggu untuk mendapatkan maklumat lengkap berhubung dakwaan 18 kes mengalami kesan advers susulan imunisasi (AEFI) serius melibatkan banduan yang menerima vaksin Covid-19 di Penjara Kajang.

    Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata siasatan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor.

    Katanya, sebaik mendapat maklumat lengkap, laporan siasatan akan dibentangkan untuk dinilai Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Vaksin Covid-19 (JFK) bagi mengesahkan kausaliti atau hubungkait antara vaksin dengan kesan advers yang dilaporkan.

    “KKM akan memaklumkan situasi semasa laporan kepada umum dari semasa ke semasa,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Beliau berkata NPRA memantau secara berterusan keselamatan penggunaan semua vaksin termasuk vaksin Covid-19 melalui pemantauan laporan AEFI.

    Menurutnya, semua laporan dinyatakan dalam surat oleh Jabatan Penjara seperti tular di media sosial telah diterima pihak NPRA.

    “Laporan-laporan AEFI yang diklasifikasikan sebagai serius termasuk melibatkan kematian sedang dalam proses penyiasatan,” katanya.

    Terdahulu, tular surat Jabatan Penjara menyatakan berlaku 18 kes yang disifatkan serius dan telah dilaporkan kepada NPRA melibatkan banduan Penjara Kajang yang menerima vaksin Covid-19.

    Daripada jumlah tersebut, dua kes dilaporkan melibatkan kematian manakala empat kelumpuhan. 

  • Lelaki ditahan buat lelongan palsu wanita Islam di India melalui online

    Lelaki ditahan buat lelongan palsu wanita Islam di India melalui online

    POLIS India menahan seorang lelaki yang didakwa menjual wanita Islam melalui lelongan palsu secara online, menurut pegawai kerajajaan dalam satu kes yang membangkitkan kemarahan di seluruh negara itu.

    Menteri Teknologi di Maharashtra, Satej Patil berkata, unit siber polis menahan seorang pelajar kejuruteraan berumur 21 tahun di Bengaluru.

    Laman sesawang tersebut mengandungi lebih 100 gambar wanita beragama Islam di India, termasuk wartawan, aktivis, pelakon filem dan juga artis-artis yang dipaparkan tanpa kebenaran.

    Salah satu daripada wanita tersebut adalah wanita berumur 65 tahun yang merupakan seorang ibu kepada seorang pelajar yang hilang.

    Wanita di India terutamanya yang beragama Islam kerap menjadi mangsa buli dalam media sosial seperti Twitter.

    Khadija Khan, seorang peguam dan wartawan dari Bar & Bench adalah antara wanita yang gambarnya dipamerkan dalam laman sesawang tersebut dan mengetahui tentang perkara berkenaan melalui akaun Twitter.

    “Pada awalnya saya tidak terkejut kerana kami sering menjadi bahan ejekan setiap hari tetapi pada hari esoknya, saya berasa takut dan gerun selepas baru sedar laman itu sebenarnya untuk apa,” kata Khan.

  • Pengurusan kes rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak 10 Januari

    Pengurusan kes rayuan Azmin batal saman pengundi Gombak 10 Januari

    RAYUAN Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk membatalkan saman yang dikemukakan 10 pengundi berdaftar kawasan Parlimen Gombak terhadapnya atas dakwaan menipu dan melanggar kewajiban fidusiari sebagai ahli Parlimen kawasan itu, ditetapkan untuk pengurusan kes pada Isnin ini.

    Nizamuddin Hamid yang mewakili Mohamed Azmin dan peguam N. Yohendra yang mewakili pengundi itu, semasa dihubungi Bernama selepas kes tersebut didengar secara dalam talian di hadapan tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md. Sam, Datuk S. Nantha Balan dan Datuk Nordin Hassan.

    Pengurusan kes yang ditetapkan pada 10 Januari adalah untuk menetapkan tarikh mendengar rayuan, menurut kedua-dua peguam itu.

    Dalam prosiding pada Isnin, mahkamah membenarkan permohonan Mohamed Azmin untuk menyelaraskan rekod rayuan kerana kesilapan tidak disengajakan berhubung kebolehgunaan Arahan Ketua Hakim Negara.

    Ini selepas peguam Daniel Choo Vern Kai yang mewakili pengundi tidak membantah permohonan itu. Peguam Nurul Najwa Zainuddin mewakili Mohamed Azmin.

    Pada 10 Jun tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Azmin untuk membatalkan saman yang difailkan 10 pengundi itu terhadapnya.

    Pada hari yang sama, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Akhtar Tahir juga menolak menolak permohonan pengundi berkenaan untuk memadamkan sebahagian pernyataan pembelaan Mohamed Azmin.

    Pada 27 November 2020, 10 pengundi itu memfailkan saman terhadap Mohamed Azmin atas dakwaan menipu dan melanggar kewajipan fidusiari menerusi ‘Langkah Sheraton’ yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan tumbang pada Februari 2020.

    Dalam pernyataan tuntutan mereka, pengundi tersebut antara lain memohon pengisytiharan bahawa Mohamed Azmin selaku Ahli Parlimen Gombak, telah melanggar kewajiban fidusiarinya, menipu serta memungkiri representasi yang dibuat kepada mereka dalam pilihan raya umum bagi kawasan berkenaan.

    Mereka menuntut ganti rugi keterlaluan dan teladan, kos dan perintah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.

    Pada 12 Mac tahun lepas, Mohamed Azmin memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu atas alasan saman tersebut tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah sebaliknya mengaibkan, bersifat remeh, menyusahkan atau membawa kepada suatu penyalahgunaan proses mahkamah. – Bernama

  • ‘’Belum tiba masanya rombakan Kabinet’’ – Ismail Sabri

    ‘’Belum tiba masanya rombakan Kabinet’’ – Ismail Sabri

    “SELAGI saya tidak umumkan apa-apa (berhubung spekulasi rombakan Kabinet), tidak adalah,” kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

    Perdana Menteri berkata, beliau enggan melayan spekulasi mengenai rombakan Kabinet yang didakwa bakal menyaksikan tiga Menteri digugurkan dalam masa terdekat.

    Sebaliknya, beliau menegaskan, tumpuannya kini terarah kepada usaha menangani banjir dan pascabencana itu, serta langkah membendung penularan COVID-19.

    “Belum tiba masanya lagi (rombakan Kabinet). Biarlah spekulasi itu menjadi spekulasi. Macam-macam nama timbul sekarang, namun tumpuan saya kini hendak membantu rakyat yang terkesan dengan banjir dan COVID-19.

    “Malah, mesyuarat Kabinet esok akan menumpukan agenda menangani banjir dan usaha mengekang COVID,” katanya kepada pemberita selepas melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa, di Durian Tunggal, hari ini, lapor Berita Harian.

    Semalam, tular berita mengenai spekulasi tiga Menteri didakwa bakal digugurkan daripada senarai jemaah Kabinet.

    Tiga nama yang dikaitkan dengan spekulasi itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun; dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.

  • Pastikan mangsa banjir terima BWI sebelum pulang dari PPS-PM

    Pastikan mangsa banjir terima BWI sebelum pulang dari PPS-PM

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob mahu Bantuan Wang Ihsan (BWI) diberikan kepada semua ketua isi rumah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) sebelum mereka pulang ke kediaman masing-masing.

    Perdana Menteri tidak mahu lagi melihat terdapat mangsa banjir yang perlu menunggu lama untuk menerima bantuan itu seperti sebelum ini.

    Jelasnya, pemberian BWI yang lebih awal termasuk dari kerajaan-kerajaan negeri membolehkan keluarga terjejas menampung pembelian kelengkapan baharu yang mungkin rosak akibat bencana itu.

    “Kita tak mahu selepas enam bulan baru dapat. Seperti dulu-dulu (ada yang) tiga hingga enam bulan baru dapat. Ada seorang mak cik maklum dia tinggalkan semua barang, dia pun tak tahu apa jadi dengan barangan di rumah tetapi memang rosaklah bila biar lama.

    “Jadi kita bagi (BWI) ini terus (kepada keluarga) bagi mengurangkan bebanan mereka yang mungkin boleh beli barang keperluan dan lain-lain,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau keadaan banjir di daerah ini termasuk singgah melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Balairaya Kampung Tandong di Buloh Kasap, Segamat, hari ini.

    Turut mengiringi beliau Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

    Ismail Sabri turut percaya banyak bantuan lain akan diterima seperti kelengkapan dapur, tilam, pakaian dan sebagainya.

    Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan segera RM5 juta bagi pembinaan ban di Kampung Spang Loi, Batu Anam, Segamat melibatkan naik taraf ban sedia ada sepanjang 1.5 kilometer.

    Jelasnya, peruntukan itu juga bagi meninggikan ban itu daripada aras 5.2 meter kepada 6.2 meter bagi menampung air banjir yang meningkat berbanding semasa direkabentuk sebelum ini.

    “Saya sudah dengar pembentangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), jika nak elak banjir berterusan di Segamat, ban baharu perlu dibina supaya ketinggian dapat dinaikkan.

    “Ban yang pecah di Segamat berikutan ia tak dapat menampung jumlah air yang terlalu besar, oleh itu saya luluskan peruntukan RM5 juta supaya ban baharu dapat dibina segera sebagai pelan jangka panjang kurangkan banjir di daerah ini,” katanya.

    Selain itu katanya, kerajaan akan memberi fokus menyelesaikan isu banjir di kawasan atau negeri yang berhadapan isu banjir yang mendesak serta kritikal.

    “Kawasan seperti Segamat di Johor, Temerloh di Pahang serta Kelantan kita akan fokus untuk selesaikan isu banjir kerana terdapat keperluan mendesak. Selepas itu, kerajaan akan menyelesaikan isu banjir di kawasan dan negeri lain seluruh negara,” katanya.