SEORANG lelaki maut ditikam di luar bangunan sebuah pusat hiburan di Jalan Penampang Baru, Penampang, Sabah, awal pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) pusat hiburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima makluman, sepasukan anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, setelah tiba di lokasi kejadian, pihak polis mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat kesan tikaman objek tajam dan telah dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

“Mangsa ditempatkan di Zon Kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 8.38 pagi oleh pegawai perubatan bertugas, akibat pendarahan yang teruk disebabkan tikaman objek tajam,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mohd. Haris berkata, berdasarkan rakaman CCTV, pihak polis berjaya mengenalpasti suspek terbabit yang mencederakan mangsa sehingga meninggal dunia.

Menurutnya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Polis meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek untuk segera berhubung dengan balai polis berhampiran.

“Suspek dikenali sebagai Kaw Yung Chee yang berusia 34 tahun.

“Bagaimanapun, polis meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat tidak sahih berhubung kejadian ini sehingga boleh mengganggu siasatan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here