Category: Semasa

  • Polis kesan sindiket penipuan dalam talian guna wajah pegawai polis

    Polis kesan sindiket penipuan dalam talian guna wajah pegawai polis

    POLIS mengesan satu sindiket penipuan dalam talian ‘Macau Scam’ yang disyaki membuat panggilan video palsu menggunakan gambar wajah pegawai polis bagi memaklumkan mangsa terlibat kes pengubahan wang haram dan rasuah.

    Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai berkata anggota sindiket berkenaan akan memperkenalkan diri sebagai pegawai insurans sebelum disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’ yang menyatakan mangsa terlibat dalam kes terbabit.

    Beliau berkata ‘pegawai polis’ berkenaan membuat panggilan video dengan berpakaian uniform menggunakan aplikasi menampakkan pergerakan mulut seperti orang sebenar sekali gus mengelirukan mangsa.

    “Sindiket ini mengelirukan orang ramai dengan membuat panggilan video menggunakan aplikasi tersebut yang menampakkan kesahihan pemanggil sedangkan ia telah diubah suai dengan menampakkan pergerakan mulut dan gambar wajah yang disunting.

    “Kaedah ini boleh memperdayakan orang ramai sehingga mengakibatkan kerugian,” katanya dalam kenyataan.

    Beh berkata semalam pihaknya menerima satu laporan polis berkaitan sindiket itu daripada seorang suri rumah berusia 40 tahun yang menyatakan dia didakwa terlibat dalam kes pengubahan wang haram dan rasuah melalui semakan maklumat peribadi pengadu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menipu,” katanya sambil menambah orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan panggilan yang diterima.

    Beliau berkata pihaknya memandang serius terhadap kes melibatkan panggilan palsu yang menggunakan gambar profil pegawai polis dan pihak penguat kuasa bagi mengaburi orang ramai.

    Orang ramai dinasihatkan membuat semakan menerusi laman sesawang Semak Mule atau hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul di talian 03-40482222 berkaitan aktiviti mencurigakan melibatkan sindiket itu. – Bernama

  • Lima negeri rekod penurunan mangsa banjir

    Lima negeri rekod penurunan mangsa banjir

    MANGSA banjir di Johor, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka dan Sabah yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini menunjukkan penurunan angka, manakala di Selangor dan Terengganu kekal.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir di tujuh daerah menurun kepada 5,399 orang daripada 1,430 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 5,923 orang membabitkan 1,585 keluarga malam tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan dalam kenyataan berkata ia susulan penutupan PPS di Segamat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tenang dan Dewan Serbaguna MDL Kampung Paya Merah.

    Bagaimanapun, terdapat pertambahan satu PPS di Kompleks JKKK Kampung Jawa, Muar menjadikan keseluruhan 81 PPS masih beroperasi melibatkan tujuh daerah terjejas banjir.

    “Jumlah mangsa di Segamat kekal tertinggi direkodkan iaitu 3,804 orang diikuti Tangkak (598), Mersing (470), Muar (161), Kota Tinggi (131), Kluang (124) dan Batu Pahat (111),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

    Sementara itu, Vidyananthan berkata tiga sungai masih berada pada aras bahaya iaitu Sungai Muar di Kampung Awat dan Buloh Kasap di Segamat serta Sungai Kesang di Kampung Seri Maamor dekat Tangkak.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan 1,846 mangsa banjir masih berada di 32 PPS pagi ini, membabitkan daerah Raub, Jerantut, Temerloh, Bera, Maran, Kuantan, Pekan dan Rompin sekali gus merekodkan sedikit penurunan berbanding malam tadi.

    Daripada jumlah itu, 1,046 merupakan mangsa banjir gelombang kedua di Pahang yang bermula awal tahun ini, manakala bakinya ialah mangsa banjir tengkujuh yang masih belum dibenarkan pulang ke rumah.

    Sebanyak 21 lokasi jalan ditutup antaranya Jalan Pekan Sehari Kampung Awah di Maran, Jalan Triang 1 (Bera), Jalan Air Hitam (Kuantan), Jalan Kota Gelanggi (Jerantut), Jalan Belimbing-Seri Makmur (Pekan) dan Jalan Ibam-Kampung Aur (Rompin).

    Laman web Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan dua sungai di Bera melebihi aras bahaya iaitu Sungai Bera dan Sungai Serting, selain Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 1,488 individu membabitkan 396 keluarga dengan 15 PPS dibuka setakat pagi ini berbanding 1,628 individu melibatkan 448 keluarga, malam tadi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun kepada 1,256 mangsa daripada 324 keluarga pukul 8 pagi ini berbanding 1,771 mangsa daripada 472 keluarga, malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra dalam kenyataan berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah dengan 3,385 mangsa banjir daripada 1,329 keluarga direkodkan pagi ini berbanding 3,365 orang daripada 1,331 keluarga, malam tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa banjir ditempatkan di 30 PPS di enam daerah terjejas banjir terletak di utara dan pantai timur di negeri itu.

    Daerah Kota Marudu kekal mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,120 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (319 mangsa, 120 keluarga, 4 PPS), Telupid (216 mangsa, 49 keluarga, 7 PPS), Sandakan (45 mangsa, 7 keluarga, 1 PPS), Beluran (38 mangsa, 10 keluarga, 1 PPS), dan daerah kecil Paitan (99 mangsa, 23 keluarga, 3 PPS).

    Tinjauan udara Bernama di Kota Marudu hari ini mendapati banjir di beberapa kawasan telah mula surut dan cuaca cerah.

    Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

    Di TERENGGANU, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir masih kekal 19 orang daripada lima keluarga di dua PPS di Kemaman, pagi ini.

    PPS SK Lembah Jabor menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

    JPS melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan hanya Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu masih melepasi aras bahaya pagi ini. – Bernama

  • PPD diarah buat penilaian persediaan buka sekolah terjejas banjir-KPM

    PPD diarah buat penilaian persediaan buka sekolah terjejas banjir-KPM

    PEJABAT Pendidikan Daerah (PPD) di kawasan yang terbabit dengan banjir di Sabah diarah membuat laporan segera mengenai keadaan sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan yang bermula Isnin depan.

    Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, terdapat sekolah yang terjejas akibat banjir memerlukan masa untuk dipulihkan dan mungkin tidak cukup bersedia bagi pembukaan sekolah.

    Sehubungan itu, katanya, PPD, Guru Besar dan Pengetua di setiap sekolah yang terjejas perlu segera menilai tahap persediaan masing-masing supaya Kementerian Pendidikan (KPM) dapat membantu perkara yang perlu untuk membolehkan sesi persekolahan dilaksanakan.

    “Saya melawat Kota Marudu, Pitas, Telupid dan Tongod untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan sekolah sama ada sudah bersedia untuk dibuka pada 10 Januari ini.

    “Tapi kita dimaklumkan di daerah Telupid saja ada beberapa sekolah digenangi air. Di Kota Marudu semuanya sudah surut, bagaimanapun di Pitas masih ada tiga sekolah digenangi air dan laluan tidak dapat dimasuki kenderaan kecil.

    “Jadi saya melihat keadaan ini amat penting kerana sesi persekolahan akan bermula 10 Januari ini dan kita minta kepada PPD daerah Pitas, Kota Marudu dan Telupid untuk melihat sejauh mana kesiapsiagaan kita,” katanya memetik laporan BH, selepas meninjau sekolah terjejas banjir di Kota Marudu dan Pitas.

    Mohamad melakukan lawatan ke beberapa sekolah yang terjejas akibat banjir di Kota Marudu dan Pitas, Sabah. Foto Facebook Mohamad Alamin

    Mohamad berkata, sekiranya cuaca buruk masih berterusan, KPM menyediakan garis panduan atau prosedur operasi standard (SOP) berkaitan langkah awal yang perlu dibuat Guru Besar, Pengetua dan pentadbir sekolah apabila berhadapan dengan banjir.

    Katanya, garis panduan itu perlu dipatuhi supaya kementerian dapat membantu menyelesaikan segera masalah yang boleh menjejaskan sesi persekolahan.

    Sembilan daerah di pantai timur dan utara negeri ini dilaporkan terjejas akibat banjir sejak minggu lalu iaitu Kota Marudu, Pitas, daerah kecil Paitan, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Telupid, Ranau dan Lahad Datu.

    Daerah Kota Marudu paling terjejas dengan lebih 2,600 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga petang semalam, diikuti Pitas lebih 300 mangsa dan Telupid lebih 200 mangsa.

  • Mayat pekerja ladang warga Filipina dihanyutkan banjir ditemukan

    Mayat pekerja ladang warga Filipina dihanyutkan banjir ditemukan

    MAYAT pekerja ladang warga Filipina yang dihanyutkan arus deras di sebuah ladang berdekatan Kampung Kinadaan, Sugut ditemukan di Sungai Osum Sugut, Beluran, 12.30 tengah hari semalam.

    Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan Kasim Muda berkata, mangsa dikenali sebagai Kaerul, 26, ditemukan pada jarak 1.8 kilometer dari tempat dia dilaporkan hanyut.

    “Mayat ditemukan dalam keadaan tersepit pada kayu dan batu di tebing Sungai Osum Sugut.

    “Mayat dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Menurutnya, pada 31 Disember lalu, mangsa cuba untuk menyeberang laluan yang dinaiki air setinggi 1.5 meter sebelum dihanyutkan arus deras.

    Lelaki itu adalah seorang daripada tiga mangsa yang dilaporkan hilang akibat banjir di Beluran.

  • Tular JPJ iring lori balak ke pusat timbang, bukan untuk ‘perlindungan’

    Tular JPJ iring lori balak ke pusat timbang, bukan untuk ‘perlindungan’

    VIDEO tular menerusi media sosial memaparkan kenderaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengiringi beberapa lori balak di kawasan Gua Musang, Kelantan sebenarnya sebahagian Operasi Khas Lori Balak yang dilaksanakan JPJ Kelantan, semalam.

    JPJ dalam kenyataan memaklumkan tindakan kenderaan JPJ mengiringi lori-lori itu untuk ke Stesen Penguatkuasa Mentara, Gua Musang adalah bagi memastikan pemandu lori terlibat tidak meloloskan diri daripada kawalan JPJ seterusnya ke lokasi yang diarahkan untuk menimbang berat muatan.

    Menurut kenyataan itu, tindakan terbabit juga merupakan satu daripada prosedur operasi standard (SOP) JPJ bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

    “JPJ memandang serius persepsi negatif terhadap JPJ yang didakwa seolah-olah memberi ‘perlindungan’ kepada kesemua lori balak terbabit. Perkongsian video itu dilihat telah mencalarkan imej JPJ tanpa si pemilik akaun media sosial tersebut mengetahui gerak kerja sebenar JPJ.

    “JPJ tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan susulan dengan membuat laporan polis jika didapati tuduhan itu menggugat kredibiliti dan imej JPJ dalam melaksanakan tugas rutin,” menurut kenyataan itu.

    Menurut kenyataan itu, JPJ menerusi operasi tersebut menahan 30 lori balak di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang dan bertindak membuat pemeriksaan sebelum kesemua lori berkenaan diarahkan untuk ditimbang di Stesen Penguatkuasa Mentara diringi kenderaan rasmi JPJ.

    “Selain itu, JPJ telah mengeluarkan 56 notis kesalahan iaitu 23 notis mengikut Seksyen 82(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010, dua notis mengikut Seksyen 224 APAD 2010 dan 31 notis bagi lain-lain kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    Hari ini, tular satu video menerusi media sosial memaparkan kenderaan JPJ yang didakwa mengiringi lori balak di Kelantan dan mendapat pelbagai reaksi warganet sekali gus menyeru JPJ serta Kementerian Pengangkutan memberikan penjelasan lanjut mengenainya.- Bernama 

  • PDRM prihatin, hantar pasukan khas bantu Op Banjir

    PDRM prihatin, hantar pasukan khas bantu Op Banjir

    POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menghantar Pasukan Gerakan Am (PGA) Pasukan Polis Marin (PPM), Pasukan Polis Udara (PGU) dan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) ke Segamat, Johor untuk operasi pasca banjir.

    Mereka akan melaksanakan operasi pembersihan infrastruktur awam dan rumah ibadat.

    Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata menerusi Op Banjir, secara keseluruhan terdapat enam agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) membabitkan kekuatan 377 anggota ditugaskan di daerah berkenaan.

    Agensi lain ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membabitkan 57 anggota, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (25), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (15), Angkatan Relawan Rakyat Malaysia (23) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (10).

    Acryl Sani berkata, PDRM bersama agensi keselamatan lain akan dan sedang mengambil tindakan segera di Segamat dan beberapa lokasi terjejas banjir di Johor bagi memindahkan mangsa ke tempat ditetapkan.

    “PDRM komited dalam memastikan kebajikan masyarakat kekal terpelihara. Untuk itu, saya mengarahkan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali untuk menyelaraskan segala bantuan bagi penduduk terputus hubungan akibat banjir, melalui jalan udara dan air.

    “Sebuah helikopter milik PGU juga akan digunakan bagi menghantar bekalan keperluan bagi penduduk di Segamat yang terputus hubungan ekoran jalan darat dinaiki air,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Acry Sani berkata, beliau bersama-sama Hazani dan Pemangku Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin turut meninjau atur gerak polis bagi Op Banjir di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Dewan Kelab Polis Daerah Segamat, semalam.

    “Dalam sesi taklimat oleh Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd. Noh, saya dimaklumkan daerah itu terdapat 3,961 mangsa banjir membabitkan 1,047 keluarga.

    “Mereka ditempatkan di 53 pusat pemindahan sementara (PPS). Ketika sesi taklimat, saya juga dimaklumkan mengenai gerak kerja operasi mencari dan menyelamat mangsa banjir serta kekuatan badan agensi kerajaan lain yang terbabit dalam operasi itu,” katanya. 

  • Tular lelaki berang, mahu tumbuk penguat kuasa MPKS

    Tular lelaki berang, mahu tumbuk penguat kuasa MPKS

    SEORANG lelaki bertindak mengugut dan menganggu tugas penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) akibat marah serta tidak berpuas hati dipercayai akibat disaman.

    Lelaki berkenaan juga melemparkan kata-kata berbaur ugutan dan cacian terhadap penguat kuasa berkenaan.

    Bagaimanapun kelakuannya dirakamkan orang awam sebelum video berkenaan tular dalam laman sosial Facebook semalam.

    Menerusi video itu menunjukkan, lelaki terbabit menghampiri penguat kuasa berkenaan dan beberapa kali menyatakan ingin menumbuk muka anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas.

    Lelaki terbabit juga berang apabila anggota penguat kuasa berkenaan seolah-olah tidak menghiraukan ugutan terbabit.

    Video itu mengundang kecaman pengguna laman sosial yang turut meminta polis mengambil tindakan terhadap lelaki yang menimbulkan provokasi tersebut.

    Seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Nazwa Busu yang meninggalkan komen menyatakan anggota penguat kuasa itu hanya menjalankan tugas yang diamanahkan.

    “Engkau pun hendak tunjuk samseng, acah samseng jalanan. Orang (anggota penguat kuasa) yang menjalankan tugas memang kuat kesabarannya,” katanya.

    Sementara itu, MPKS akan memberi kenyataan berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

  • MAIK kekal jarak solat di Kelantan 1.6 meter

    MAIK kekal jarak solat di Kelantan 1.6 meter

    KELANTAN yang kini berada dalam Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) membenarkan jemaah menunaikan solat Jumaat, solat fardu dan aktiviti keagamaan di masjid, surau serta musala mengikut kapasiti ruangan dengan mematuhi penjarakan fizikal 1.6 meter, berkuat kuasa hari ini.

    Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tengku Temenggong Kelantan Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata pelaksanaan solat Jumaat, solat fardu serta aktiviti keagamaan seperti majlis zikir, kelas al-Quran dan kuliah umum di seluruh negeri itu turut mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri.

    “Prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dikekalkan sebagaimana yang telah dikeluarkan sebelum ini.

    “Pihak MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam secara amnya dalam melaksanakan ketetapan ini dan SOP dinyatakan dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau serta musala,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Mengulas lanjut, Mohamad Rizam berkata sekiranya didapati mana-mana masjid, surau dan musala melanggar SOP yang ditetapkan, pihaknya akan mengarahkan supaya ia ditutup.

    Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan Sarawak dan Kelantan beralih ke Fasa Empat PPN berkuat kuasa 3 Jan lepas.

  • Langgar kenderaan polis demi elak ditahan

    Langgar kenderaan polis demi elak ditahan

    Oleh RIZQI ZABIDI

    DEMI melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa, dua lelaki yang menaiki sebuah lori sanggup melakukan aksi bahaya dengan melanggar kenderaan polis di Kampung Belat, Kubur Panjang dekat Pendang, Kedah awal pagi tadi.

    Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian itu berlaku pukul 5.45 pagi setelah lori tersebut mula dikejar dari Gerik, Perak sebelum memasuki daerah Baling, Sik dan berakhir di Pendang, Kedah.

    “Semasa sampai di Kampung Belat, lori tersebut telah melanggar kenderaan polis. Ekoran daripada itu, pihak polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan bagi mempertahankan diri.

    “Hanya selepas itu barulah pemandu serta penumpang lori tersebut berjaya ditangkap,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

    Tambahnya, pemeriksaan lanjut terhadap lori dan kedua-dua suspek telah menemukan sejumlah 0.34 gram ketulan dan serbuk kristal disyaki dadah jenis syabu.

    “Semakan terhadap lori itu mendapati kenderaan tersebut dilaporkan hilang di Kepala Batas sebelum ini. Suspek juga dipercayai pernah terlibat dalam kes-kes lampau berkaitan jenayah dan narkotik,” katanya.

    Kamarul Zaman menambah, kejadian itu kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana cuba membunuh dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah.

    “Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, individu terlibat boleh dipenjara hingga 20 tahun manakala untuk kesalahan memiliki dadah pula boleh dihukum hingga tiga tahun penjara atau denda hingga RM5,000,” katanya.

  • Jumlah mangsa banjir berkurangan di empat negeri

    Jumlah mangsa banjir berkurangan di empat negeri

    JUMLAH mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di empat negeri iaitu Johor, Pahang, Melaka dan Negeri Sembilan menunjukkan sedikit penurunan petang tadi berbanding tengah hari tadi.

    Sementara jumlah mangsa banjir di tiga negeri iaitu Selangor, Terengganu dan Sabah tidak banyak berubah setakat petang Selasa.

    Di JOHOR, jumlah mangsa banjir menunjukkan penurunan kepada 5,588 mangsa setakat jam 4 petang Selasa berbanding 5,598 orang tengah hari tadi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R. Vidyananthan dalam kenyataan berkata, tiga PPS ditutup iaitu masing-masing satu di Segamat, Kota Tinggi dan Batu Pahat.

    “PPS Sekolah Agama Gemereh, Segamat yang menempatkan 78 mangsa ditutup jam 12 tengah hari Selasa manakala PPS Sekolah Kebangsaan Semanggar Kota Tinggi (23 mangsa) ditutup jam 1 tengah hari Selasa dan PPS Sri Sepakat, Batu Pahat (tujuh mangsa) ditutup jam 2 petang Selasa,” katanya.

    Vidyananthan berkata, sehingga kini jumlah keseluruhan PPS yang dibuka di Johor adalah 81 di tujuh daerah yang menempatkan 1,505 keluarga.

    Segamat terus mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 4,105 orang, Mersing (546 orang), Tangkak (472), Kota Tinggi (131), Kluang dan Muar masing-masing 116 mangsa dan Batu Pahat (102), kata beliau.

    Setakat ini, cuaca di Muar, Batu Pahat, Segamat, Mersing dan Tangkak adalah cerah manakala di Kluang dan Kota Tinggi cuaca mendung.

    Di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir berkurangan petang Selasa menjadi 2,265 orang di 35 PPS, berbanding 2,816 orang pada tengah hari Selasa.

    Banjir gelombang kedua di Lipis yang bermula pada hari pertama tahun baharu pulih pada hari ini apabila 146 mangsa terakhir di enam PPS di daerah itu dibenarkan pulang petang tadi, menjadikan daerah yang masih terjejas ialah Raub, Jerantut, Maran, Bera, Kuantan, Rompin, Temerloh dan Pekan.

    Sebanyak 21 lokasi jalan tutup direkodkan antaranya di Jalan Bohor Baru dan Jalan Kemayan-Tembangau di Bera, Jalan Serengkam (Maran); Jalan Kota Gelanggi, Simpang Batu Embun-Simpang Kuala Lipis dan Jalan Pulau Tawar-Durian Hijau (Jerantut); Jalan Air Hitam (Kuantan); Jalan Bentong-Gua Musang (Bentong) serta Jambatan Benta dan Jalan Kuala Lipis-Jerantut (Lipis).

    Laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan sungai yang masih melebihi paras bahaya ialah Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini di Pekan dan Sungai Serting di Padang Gudang, Bera.

    Jabatan Meteorologi pula meramalkan cuaca hujan malam ini di Kuantan, Pekan dan Rompin.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir sedikit menurun kepada 2,155 mangsa daripada 565 keluarga setakat jam 4 petang tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka, Lt Kol (PA), Cuthbert John Martin Quadra berkata, kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 11 kawasan di Jasin.

    “Seramai 673 mangsa daripada 174 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Alor Gajah, 1,192 mangsa daripada 314 keluarga ditempatkan di sembilan PPS di Melaka Tengah serta 290 mangsa daripada 77 keluarga ditempatkan di empat PPS di Jasin,” katanya dalam kenyataan.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menunjukkan mangsa banjir berkurangan sedikit kepada 1,666 individu membabitkan 462 keluarga dengan 16 PPS dibuka setakat petang tadi berbanding 1,706 individu (478 keluarga) dengan 18 PPS tengah hari tadi.

    Sementara di SELANGOR, aplikasi Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

    Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my memaklumkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam kekal di tahap bahaya sejak tengah hari tadi dengan ketinggian 3.1 meter setakat 2 petang dan dalam tren menurun.

    Jumlah mangsa banjir juga tidak berubah di TERENGGANU apabila Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir kekal 19 orang daripada lima keluarga di dua PPS di Kemaman petang tadi.

    PPS Sekolah Kebangsaan Lembah Jabor menempatkan sembilan orang daripada tiga keluarga manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Geliga menempatkan 10 orang daripada dua keluarga.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir tidak banyak berubah dengan 3,377 mangsa banjir daripada 1,330 keluarga petang ini berbanding 3,318 mangsa banjir daripada 1,319 keluarga tengah hari tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu, semua mangsa banjir ditempatkan di 31 PPS di enam daerah terjejas banjir terletak di bahagian utara dan pantai timur negeri ini.

    Daerah Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,659 mangsa daripada 1,115 keluarga di 14 PPS, diikuti Pitas (307 mangsa, 127 keluarga, empat PPS), Telupid (228 mangsa, 48 keluarga, lapan PPS).

    Sandakan (46 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS), Beluran (38 mangsa, 10 keluarga, satu PPS) dan daerah kecil Paitan (99 mangsa, 23 keluarga, tiga PPS).

    Sementara itu, pemantauan sungai di Kota Marudu yang menjadi antara sebab kejadian banjir di daerah itu mendapati Sungai Tandek dan Sungai Bandar berada di bawah paras waspada manakala Sungai Bongon pada paras waspada.

    Cuaca petang mendung dan hujan renyai di kawasan utara dan pantai timur, manakala cerah di kawasan pantai barat negeri ini.- Bernama