Category: Semasa

  • Bekas pemain Man City dipindahkan ke penjara kawalan keselamatan maksimum

    Bekas pemain Man City dipindahkan ke penjara kawalan keselamatan maksimum

    BEKAS pemain Manchester City, Benjamin Mendy telah dipindahkan ke penjara keselamatan maksimum HMP Prison Manchester sebelum Krismas lalu sementara menanti perbicaraan atas dakwaan merogol.

    Pemain berusia  27 tahun itu berhadapan tujuh pertuduhan merogol dan satu tuduhan serangan seksual pada bulan lepas dan diarah dipindahkan dari penjara HMP Altercourse Liverpool bersama dengan kawannya, Louis Saha Matturie, 40.

    Lima mangsa berusia lebih 16 tahun membuat aduan terhadap pemain itu dan dia dipercayai melakukan perbuatan tersebut  pada Oktober 2020 dan Ogos 2021.

    Menurut pihak polis, perbuatan tersebut didakwa dilakukan di rumah Mendy di Cheshire dan dia disyaki merogol seorang perempuan selepas diikat jamin pada Ogos 2021.

    Pada Oktober 2021, pemain bola Perancis itu dituduh merogol seorang perempuan sebanyak 3 kali pada Oktober 2020.

    Selepas ditahan oleh polis pada Ogos 2021, Manchester City memberikan kenyataan bahawa mereka telah menggantung Benjamin Mendy.  

    Matturie pula berhadapan enam tuduhan rogol dan satu tuduhan serangan seksual daripada empat  mangsa yang disyaki berlaku pada Mac 2021 dan Ogos 2021.

    Perbicaraan Mendy dan Matturie sepatutnya dijalankan pada 24 Januari namun hakim, Patrick Thompson menyatakan tarikh tersebut “tidak realistik”.

    Peguam Mendy, Christopher Stables menyatakan bahawa anak guamannya menafikan segala tuduhan yang dikenakan keatasnya dalam perbicaaran sebelum ini dan akan meminta tuduhan-tuduhan tersebut untuk digugurkan.

  • Peniaga sayur maut, isteri dan anak cedera selepas rempuh ekor treler

    Peniaga sayur maut, isteri dan anak cedera selepas rempuh ekor treler

    SEORANG peniaga sayur maut selepas van dinaiki terbabit kemalangan dengan treler di Kilometer 28.6, Jalan Dungun-Bukit Besi di persimpangan lampu isyarat ke Plaza Tol Bukit Besi, Dungun, hari ini.

    Selain Che Idris Jusoh, 70, yang maut dalam kemalangan pada jam 6.30 pagi itu, isteri dan anak lelakinya, Nurul Syafiqah Shahira Mahamood, 26, dan Muhammad Che Idris, 5, cedera.

    Che Idris parah di bahagian kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian.

    Kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah treler yang membawa muatan besi buruk dari arah plaza tol terbabit berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke arah Bukit Besi.

    Ketika membelok, kepala treler terbabit dikatakan terpisah yang menyebabkan ekor treler itu jatuh dan merintangi jalan di situ.

    Van dinaiki tiga beranak dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun itu dikatakan gagal membrek lalu merempuh bahagian tengah ekor treler terbabit.

    Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah (AMBS), Penolong Penguasa Bomba, Zul Husni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.58 pagi sebelum sebuah jentera dan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

    “Ketika sampai, pemandu van terbabit disahkan meninggal dunia dan isterinya yang cedera tersepit di bahagian depan kenderaan.

    “Anak lelaki mangsa ketika itu dibawa keluar oleh orang awam yang kebetulan melalui tempat kejadian.

    “Kami mengambil masa selama 20 minit sebelum berjaya mengeluarkan mangsa tersepit dan dihantar ke Hospital Dungun dengan ambulans manakala mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi berkata, ketika kejadian treler terbabit dalam perjalanan menghantar besi buruk ke Gebeng, Kuantan manakala van dinaiki mangsa dalam perjalanan ke Pasar Dungun.

    “Mayat mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.

    “Kes berkenaan akan disiasat mengikut seksyen 41 (1)Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

  • Pegawai MPKK dituduh cuba dapatkan projek untuk syarikat keluarga

    Pegawai MPKK dituduh cuba dapatkan projek untuk syarikat keluarga

    Oleh RIZQI ZABIDI

    Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) hari ini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar bagi berdepan tiga pertuduhan kerana menggunakan jawatan untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya serta menggunakan dokumen palsu, dua tahun lalu.

    Tertuduh, Muhamad Tarmymy Che Ani, 41, bagaimanapun tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Harmi Thamri Mohamad.

    Menerusi pertuduhan pertama, Muhamad Tarmymy dituduh menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi saudaranya apabila mencadangkan syarikat Sagur Ria Enterprise didakwa milik bapa dan adiknya, kepada Lembaga Perolehan Negeri Kedah bagi menjalankan kerja-kerja menurap dan menyelenggara jalan di Taman Tiram, Kulim berjumlah RM200,000

    Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 12 Disember 2019 di Bilik Mesyuarat Utama, Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah.

    Dengan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) Akta sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

    Dalam pertuduhan kedua dan ketiga, Muhamad Tarmymy yang merupakan pegawai pangkat awam iaitu jurutera Gred J48 didakwa mengemukakan dua dokumen sebagai tulen yang dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa dokumen tersebut adalah palsu.

    Dua dokumen itu ialah Minit Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sebut Harga serta Minit Mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Harga, Peruntukan Projek Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (Marris) Tahun 2019, Fasa 2 MPKK yang kedua-duanya bertarikh 27 November 2019.

    Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Pejabat Kewangan dan Perbendaharaan Negeri Kedah, Aras 3, Blok E, Wisma Darul Aman di Kota Setar pada 5 Disember 2019 dan 26 Disember 2019.

    Kedua-dua pertuduhan tersebut dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465, kanun sama.

    Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

    Pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, M. Puveneswaran.

    Hakim menetapkan jaminan pada kadar RM30,000 dengan seornag penjamin. Tarikh serahan dokumen dan sebutan semula pula ditetapkan pada 9 Februari depan.

  • Minta suapan setengah juta ringgit, pengurus syarikat ditahan

    Minta suapan setengah juta ringgit, pengurus syarikat ditahan

    SEORANG pengurus sebuah syarikat direman empat hari bagi membantu siasatan kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah melebihi RM500,000.

    Majistret Amanina Mohamad Anuar membenarkan remah terhadap suspek bermula hari ini sehingga 8 Januari depan selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini.

    Menurut sumber, suspek berusia 43 tahun ditahan pukul 4 petang semalam di pejabat SPRM Kuala Lumpur ketika hadir memberi keterangan.

    Difahamkan, suspek yang bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat cari gali meminta dan menerima rasuah daripada pengusaha stesen minyak sekitar Kuala Lumpur sebagai dorongan mengelakkan penilaian prestasi stesen minyak pemilik berkenaan terjejas.

    Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Razaliah Ab. Rahman mengesahkan penahanan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

  • Suami isteri, rakan dituduh jual beli emas guna resit palsu

    Suami isteri, rakan dituduh jual beli emas guna resit palsu

    SEPASANG suami isteri serta dua lelaki dan seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban, Negeri Sembilan hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan jual beli emas menggunakan resit pembayaran palsu secara atas talian membabitkan kerugian RM40,296, Disember lalu. 

    Tertuduh, Suhaila Yusof, 30, dan suami, Shahzatul Ikmal Maarof, 38, serta Mohamed Harith Yusry Mohamed Rosli, 25, Muhammad Firdaus Roslan, 27, dan Siti Nur Syakirah Salim, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Salleh dan Norzaliza Tesmin. 

    Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, kesemua tertuduh didapati melakukan penipuan terhadap pekerja kedai Saudagar Emas Sdn. Bhd. di Bandar Prima Senawang di Seremban dengan menggunakan resit pembayaran dalam talian palsu yang menyebabkan kerugian RM40,296.

    Perbuatan itu dilakukan pada 27 dan 29 Disember 2021 di kedai emas berkenaan antara pukul 1.09 pagi hingga 10.52 pagi.

    Berikutan itu tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum setahun dan tidak lebih 10 tahun, dengan sebat dan boleh didenda.

    Suhaila juga berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu menghapuskan harta tipuan emas keseluruhan bernilai RM7,075.80 dengan cara menjualnya kepada Kedai Emas Jumeirah Jewels di Perling Mall, Johor Bahru pada 29 Disember 2021.

    Sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

    Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainul Hashimi dan Nurul Muhaimin Mohd. Azman di dua kamar berasingan. 

    Peguam Syed Fadil Syed Othman mewakili Suhaila, Shahzatul Ikmal serta Siti Nur Syakirah. 

    Peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Chrysandy Lai turut mewakili Suhaila serta Mohamed Harith Yusry dan Muhammad Firdaus. 

    Majistret menetapkan jaminan RM9,500 terhadap Suhaila bagi tiga pertuduhan, RM3,500 terhadap Shahzatul Ikmal dan RM4,000 masing-masing terhadap tiga lagi tertuduh. 

    Sebutan semula bagi kelima-lima tertuduh ditetapkan pada 19 Januari 2022.

  • Penangguhan ibadah umrah wajar dari sudut Fiqah – pakar

    Penangguhan ibadah umrah wajar dari sudut Fiqah – pakar

    KEPUTUSAN kerajaan menangguhkan perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari ini adalah wajar dari sudut fiqah, khususnya dalam mengekang penularan COVID-19 varian Omicron. 

    Pengarah Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV) Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya Dr Shahir Akram Hassan berkata kerajaan boleh membuat keputusan seperti itu dengan mengambil kira kemudaratan bakal dihadapi semasa mengerjakan umrah dan risiko selepas kembali ke tanah air meskipun ada pihak mempertikaikannya kerana Arab Saudi tidak mengambil tindakan sedemikian.  

    “Dari sudut fiqah, kerajaan boleh menghalang (perjalanan umrah) walaupun ada yang mempertikaikan sekiranya Arab Saudi tidak bertindak sedemikian. Pada masa ini, kerajaan ambil kira (kemudaratan) dan buat keputusan ini.

    “Selain itu, dalam menunaikan ibadah umrah ini, jemaah seharusnya berpegang kepada konsep takdir dan rezeki…kalau ia belum sampai, ia tidak akan sampai. Pada masa sama, kita mahu rapat dengan Allah, sama ada bukan di Mekah atau Madinah, Insya Allah kita sudah dapat taqwa Allah SWT di Malaysia dengan kita reda dan mungkin ambil inisiatif untuk bantu mangsa banjir ketika ini,” katanya ketika dihubungi Bernama. 

    Berkongsi pendapat sama, Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nik Rahim Nik Wajis menyokong usaha tersebut dengan melihat kepada fahaman mazhab Shafie yang menjadi ikutan di Malaysia berkenaan keperluan menunaikan ibadah umrah.

    “Memang mazhab Shafie mengatakan umrah itu wajib, tapi wajib sekali seumur hidup. Namun, ia boleh ditangguhkan dan tidak perlu serta-merta. Percayalah, Allah SWT mengetahui niat dan kesungguhan kita yang dah belanjakan duit tiket, hotel dan sebagainya walaupun mungkin kita tidak dapat ke sana,” katanya. 

    Menurut Nik Rahim, banyak dalil yang boleh diutarakan berkenaan larangan Allah SWT kepada hambaNya untuk memudaratkan diri sendiri seperti sepotong ayat Al-Quran yang melarang kita mencampakkan diri ke dalam kebinasaan.

    Berasaskan maqasid syariah yang mewajibkan umat Islam memelihara nyawa, Nik Rahim berkata, penangguhan tersebut wajar dibuat kerana mengikut kes sebelum ini, wujud kemungkinan tinggi bakal jemaah dijangkiti sekiranya menjalani umrah ketika ini. 

    “Jadi kalau kita ke sana juga, maka kita telah melanggar perintah tersebut,” katanya.

    Sementara itu pakar kesihatan awam (epidemiologi dan biostatistik) dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman menyifatkan usaha menangguhkan sementara perjalanan berkenaan sebagai tepat pada masanya memandangkan langkah pencegahan Omicron perlu dilaksana secepat mungkin.

    Dr Malina berkata ini terutama apabila penularan Omicron di peringkat global menunjukkan pola peningkatan mendadak dan beliau bimbang trend sama berlaku di Malaysia.

    “Sebab berdasarkan pengalaman, penularan jangkitan Omicron lebih pantas berbanding Delta, jadi keputusan kerajaan adalah perkara yang dialu-alukan di negara kita,” katanya.

    Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil ringan terhadap jangkitan Omicron kerana varian itu turut memberi kesan mudarat yang sama seperti Delta.

    “…terutamanya mereka yang berada di usia kelompok 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit komorbiditi. Mereka yang berisiko boleh mendapat komplikasi serius,” katanya.

    Dr Amalina turut menyarankan agar para jemaah umrah atau pelancong diberi keutamaan mendapat suntikan dos penggalak kerana individu yang diberi dos itu kurang berisiko menerima dan menyebarkan virus COVID-19 tanpa mengira jenis varian berbanding mereka tidak divaksinasi.- Bernama

  • Tular rakaman buaya di lokasi banjir:Itu rakaman lama-bomba

    Tular rakaman buaya di lokasi banjir:Itu rakaman lama-bomba

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    BOMBA hari ini menafikan rakaman video serta gambar tular memaparkan seekor buaya tembaga bersaiz besar di muara sebuah sungai didakwa di sekitar negeri ini.

    Jelas Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 4, Penguasa Bomba Rasidi Md. Yunos, video tersebut sebenarnya dirakam beberapa tahun lalu sebelum ditularkan kembali sejak beberapa hari lalu.

    Pihaknya tidak menerima sebarang laporan penemuan buaya terbabit sejak banjir melanda seperti yang tular dalam media sosial.

    “Bagaimanapun beberapa sungai di sekitar Segamat, Muar serta Tangkak sememangnya habitat bagi buaya dan kehadiran reptilia itu bukan pemandangan luar biasa di lokasi berkenaan.

    “Walaupun itu merupakan video lama, kami tetap memantau perkara ini. Hasil pemeriksaan, kami dapati, rakaman itu dirakam beberapa tahun lalu dan diulang tular sejak beberapa hari lalu.

    “Situasi seperti itu (kehadiran buaya) adalah pemandangan biasa bagi penduduk di situ,” katanya ditemui ketika meninjau paras air di Sungai Segamat, Segamat, hari ini.

    Beliau menasihati orang awam supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan melaporkan kepada Perhilitan sekiranya terlihat reptilia terbabit untuk tindakan lanjut.

    Sementara itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Bahrin Mohd. Noh menasihati orang ramai supaya menghentikan penyebaran rakaman video, gambar atau berita tidak tepat di media sosial kerana ia boleh mendatangkan situasi panik selain mengelirukan.

  • Polis Pulau Pinang rampas RM113.92 juta dadah tahun lalu

    Polis Pulau Pinang rampas RM113.92 juta dadah tahun lalu

    POLIS Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM113.92 juta sepanjang tahun lalu iaitu meningkat sebanyak RM65.18 juta berbanding tahun 2020 (RM48.74 juta).

    Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, peningkatan rampasan dadah itu hasil peningkatan operasi, risikan dan kehadiran anggota polis di lapangan.

    Menurut beliau, daripada operasi sepanjang tahun lalu juga, seramai 7,688 individu berjaya ditahan sepanjang yang mana seramai 1,976 daripadanya melibatkan kesalahan kategori bekalan; 4,197 (pemilikan) dan 1,515 (urin).

    Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah itu akan berterusan memandangkan sindiket-sindiket terbabit dikesan bergerak agresif selain adanya permintaan.

    “Disebabkan itu, kita meningkatkan kerja-kerja risikan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah ini,” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

    Terdahulu beliau menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Bagi Bulan Januari 2022 Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

    Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata,  jenayah komersial di Pulau Pinang turut meningkat mendadak sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM537 juta atau 225.4 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM165 juta).

    Jelasnya, jumlah itu melibatkan sebanyak 3,209 kes yang disiasat sepanjang tahun lalu berbanding hanya 2,453 kes pada tahun 2020.

    Bagaimanapun secara keseluruhan jelae beliau, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 27.3 peratus sepanjang tahun 2021 berdasarkan nilai ambang yang dijadikan kayu pengukur dan juga digunakan oleh Interpol dalam kajian jenayah di seluruh dunia.

    Dalam perkembangan berkaitan beliau menjelaskan, sebanyak 171 kertas siasatan tatatertib turut dibuka polis Pulau Pinang melibatkan 314 anggota iaitu 43  pegawai kanan; pegawai rendah (269) dan dua kakitangan awam sepanjang tahun lalu.

    Daripada jumlah itu jelasnya, kes tatatertib adalah sebanyak 107; jenayah (33); dadah (17); tidak hadir bertugas (8), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (4) dan syariah (2).

    “Daripada 314 kes tersebut, 28 orang masih dalam siasatan untuk diambil tindakan antaranya gantung, tahan dan dibuang kerja.

    “Hanya setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, baru mereka ini akan berada dalam statistik hukuman,” katanya.

  • Kesal sumbang baju busuk, hapak, berkulat kepada mangsa banjir

    Kesal sumbang baju busuk, hapak, berkulat kepada mangsa banjir

    BENCANA banjir yang melanda beberapa negeri di Malaysia sejak penghujung Disember lalu, sememangnya menyatukan hati seluruh rakyat di negara ini yang tidak pernah putus menghulurkan bantuan kepada mangsa yang terjejas teruk.

    Ramai yang turun padang menghulurkan khidmat menyelamat, membersihkan rumah atau sumbangan barangan keperluan termasuklah menyumbang pakaian terpakai kepada mangsa yang tinggal sehelai sepinggang.

    Namun, menerusi perkongsian akaun Instagram @noorshamz, dapat dilihat situasi yang amat mengecewakan apabila rata-rata baju yang disumbangkan kepada mangsa banjir berada dalam keadaan yang teruk sehingga tidak boleh dipakai.

    Pemilik akaun berkenaan, Noorsham Saleh yang merupakan salah seorang sukarelawan daripada Pertubuhan Peduli Ummah (SI PEDULI) berkata, dirinya melihat situasi itu ketika kumpulannya singgah di Kampung Gatok, Mentakab, Pahang bagi menghulurkan bantuan.

    “Ketika kami sampai, saya tengok ada penduduk-penduduk di sana sedang pilih dan asingkan baju daripada longgokan pakaian di sebuah pondok untuk diagihkan kepada penduduk yang terjejas. Mereka asingkan mana yang boleh pakai dan tidak boleh dipakai.

    “Penduduk sana cerita, memang hampir separuh daripada longgokan pakaian sumbangan tu teruk sangat. Memang dah tak boleh dipakai, nak dijadikan kain buruk pun tak layak,” katanya kepada SatuBerita.

    Tambahnya, antara keadaan pakaian yang disumbangkan adalah seperti kain telekung yang sudah kekuningan dan berkulat di bahagian dagu, baju kanak-kanak yang mempunyai kesan tumpahan sos atau kicap serta pakaian yang berkulat.

    Keadaan baju sumbangan kepada mangsa banjir yang sudah berkulat dan kotor. Foto-Ihsan Noorsham

    “Mereka ni bagi pakaian yang dah bertahun-tahun tak pakai, itu yang membuatkan mangsa-mangsa kecewa,” katanya.


    Menurut Noorsham, longgokan pakaian yang sudah tidak boleh dipakai itu akhirnya terpaksa dibuang dan dibakar oleh mangsa-mangsa.

    “Ini bukan isu yang baharu. Kalau ingat dulu bencana banjir di Kelantan pada tahun 2014, mangsa-mangsa longgok baju sampai setinggi bukit. Orang ramai cakap, mangsa banjir tak hargai sumbangan.

    “Nak menghargai apa? Baju-baju yang bagi tu nak pegang pun jijik, apatah lagi nak pakai,” ujarnya.

    Mangsa banjir di Kampung Gatok, Mentakab terpaksa buang dan bakar pakaian sumbangan yang sudah tidak boleh dipakai. Foto- Ihsan Noorsham

    Katanya, amalan untuk menyumbang kepada mangsa-mangsa banjir ini sangat dipuji namun, ia disifatkan melampau apabila memberi pakaian buruk seolah-olah menghina mangsa banjir.

    “Mereka ni seolah-olah menghina mangsa banjir. Mangsa banjir bukan peminta sedekah. Mereka ini, macam dah tak tahu nak buang baju ke mana, mereka bagi kepada mangsa banjir. Jadi satu kerja pula mangsa nak uruskan pakaian yang buruk.

    “Kalau nak sedekah, satu telekung, atau satu baju sahaja pun sudah cukup. Asalkan baharu. Tak payah berangan nak sedekah satu almari, tapi semua baju buruk. Telekung RM15 pun ada kalau nak sedekah.

    “Bagi saya, perbuatan sebegini bukan sahaja mengecewakan, malah menghina mangsa banjir, memang terhina betul,” katanya lagi.

    Tambahnya, perkara ini bukan sahaja menambah bebanan kepada mangsa banjir, malah turut membebankan sukarelawan-sukarelawan terlibat yang terpaksa mengasingkan baju-baju sumbangan.

    “Bila orang beri sumbangan kita kena terima, tapi jadi satu kerja pula nak kena asing-asingkan baju. Ada yang dah busuk dan berbau hapak.

    “Ini satu sikap yang tidak bertanggungjawab. Janganlah jadikan mangsa banjir ni sebagai tempat untuk buang sampah sarap kat rumah kau,” katanya.

  • Penganggur didakwa bunuh adik kandung

    Penganggur didakwa bunuh adik kandung

    SEORANG warga Thailand dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tanah Merah hari ini, atas pertuduhan membunuh adiknya di sebuah rumah di Kampung Melayu Sungai Rual, Jeli, bulan lalu.

    Tertuduh yang juga seorang penganggur, Masofi Masae, 36, mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Nasarudin Mohamed, lapor HM hari ini.

    Mengikut pertuduhan, dia dituduh membunuh Ma-Udeng Masae, 30, di sebuah rumah di Kampung Melayu Sungai Rual, Jeli pukul 1.30 pagi pada 29 Disember lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

    Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nazuha Mohd. Nasir, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

    Nazuha dalam pendakwaan memohon tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental.

    Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dan menetapkan 30 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes.