POLIS Pulau Pinang merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM113.92 juta sepanjang tahun lalu iaitu meningkat sebanyak RM65.18 juta berbanding tahun 2020 (RM48.74 juta).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, peningkatan rampasan dadah itu hasil peningkatan operasi, risikan dan kehadiran anggota polis di lapangan.

Menurut beliau, daripada operasi sepanjang tahun lalu juga, seramai 7,688 individu berjaya ditahan sepanjang yang mana seramai 1,976 daripadanya melibatkan kesalahan kategori bekalan; 4,197 (pemilikan) dan 1,515 (urin).

Jelas beliau, pihaknya menjangkakan kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah itu akan berterusan memandangkan sindiket-sindiket terbabit dikesan bergerak agresif selain adanya permintaan.

“Disebabkan itu, kita meningkatkan kerja-kerja risikan bagi membanteras aktiviti pengedaran dan penyeludupan dadah ini,” katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri majlis Perhimpunan Bulanan dan Lafaz Ikrar Bagi Bulan Januari 2022 Peringkat Kontinjen Pulau Pinang.

Dalam pada itu, Mohd. Shuhaily berkata,  jenayah komersial di Pulau Pinang turut meningkat mendadak sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM537 juta atau 225.4 peratus berbanding tahun sebelumnya (RM165 juta).

Jelasnya, jumlah itu melibatkan sebanyak 3,209 kes yang disiasat sepanjang tahun lalu berbanding hanya 2,453 kes pada tahun 2020.

Bagaimanapun secara keseluruhan jelae beliau, kadar jenayah di Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 27.3 peratus sepanjang tahun 2021 berdasarkan nilai ambang yang dijadikan kayu pengukur dan juga digunakan oleh Interpol dalam kajian jenayah di seluruh dunia.

Dalam perkembangan berkaitan beliau menjelaskan, sebanyak 171 kertas siasatan tatatertib turut dibuka polis Pulau Pinang melibatkan 314 anggota iaitu 43  pegawai kanan; pegawai rendah (269) dan dua kakitangan awam sepanjang tahun lalu.

Daripada jumlah itu jelasnya, kes tatatertib adalah sebanyak 107; jenayah (33); dadah (17); tidak hadir bertugas (8), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (4) dan syariah (2).

“Daripada 314 kes tersebut, 28 orang masih dalam siasatan untuk diambil tindakan antaranya gantung, tahan dan dibuang kerja.

“Hanya setelah Lembaga Tatatertib bersidang dan membuat keputusan serta hukuman dijatuhkan, baru mereka ini akan berada dalam statistik hukuman,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here