Category: Semasa

  • Polis cekup lelaki ugut anggota penguat kuasa MPKS

    Polis cekup lelaki ugut anggota penguat kuasa MPKS

    POLIS menahan seorang lelaki yang melakukan provokasi ke atas anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) sehingga video perbuatannya itu tular dalam media sosial, semalam.

    Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Bidara 6/3, Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor, kira-kira pukul 9 malam tadi.

    “Susulan kejadian itu, polis menerima satu laporan yang telah dibuat oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai anggota penguat kuasa MPKS pukul 9.49 pagi semalam.

    “Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

    Terdahulu, seorang lelaki bertindak mengugut dan menganggu tugas penguat kuasa MPKS akibat marah serta tidak berpuas hati dipercayai akibat disaman.

    Menerusi video yang tular itu, lelaki terbabit menghampiri penguat kuasa berkenaan dan beberapa kali menyatakan ingin menumbuk muka anggota penguat kuasa yang menjalankan tugas. 

  • Henti isu rombakan Kabinet, fokus bantu rakyat

    Henti isu rombakan Kabinet, fokus bantu rakyat

    KERAJAAAN Persekutuan diingatkan supaya memberi tumpuan dalam kerja-kerja membanteras bencana banjir dan pandemik Covid-19 berbanding merombak Kabinet.

    Timbalan Presiden Parti Gerakan Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, ketika ini bukan masa sesuai untuk memberi tumpuan kepada percaturan politik dan kuasa ketika majoriti rakyat sedang terkesan dengan pelbagai bencana.

    “Negara kita masih terbelenggu dalam dua bencana itu, namun masih terdapat sesetengah ahli politik yang tidak bersabar-sabar untuk mencapai kejayaan dan matlamat politik mereka. Adakah matlamat mereka lebih penting daripada hak dan kebajikan rakyat?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

    Menurut Tong Keong yang juga Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri perlu menangani isu-isu berkaitan bencana dengan lebih cermat dan mengelak menjeratkan diri dengan desakan mana-mana parti politik.

    “Perdana Menteri harus menjalankan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri untuk membantu rakyat menghadapi kehidupan mereka yang terkesan dan tidak mengambil peduli spekulasi supaya diadakan rombakan kabinet,” katanya.

    Tong Keong menegaskan, beliau percaya isu rombakan Kabinet itu adalah taktik yang digunakan sesetengah pemimpin parti politik bertujuan menguji reaksi rakyat terhadap isu terbabit.

    Sehubungan itu, beliau menasihati pemimpin-pemimpin politik terbabit supaya berhenti bermain politik dengan serta-merta dan tidak sesekali membangkitkan isu pelantikan Timbalan Perdana Menteri ketika rakyat berdepan kehidupan yang sukar ketika ini.

    “Tempoh tamat penggal Parlimen ke-14 akan berakhir tidak lama lagi, maka biarlah rakyat membuat penilaian sendiri terhadap prestasi wakil-wakil rakyat.

    “Oleh itu, ahli politik harus berhenti bermain politik dan jangan memberi tanggapan buruk kepada rakyat terhadap mereka,” katanya.

  • Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Rohingya minta sedekah atas jalan boleh diambil tindakan – PDRM

    Oleh RIZQI ZABIDI

    ETNIK Rohingya yang terlibat dalam kegiatan meminta sedekah secara berbahaya di jalanan atau mengganggu orang awam, boleh diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) serta Akta Kesalahan-Kesalahan kecil.

    Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, pihak polis tidak perlu menunggu laporan daripada mana-mana pihak untuk bertindak berhubung perkara itu.

    “Melalui laporan media pun kita boleh ambil tindakan. Macam Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin katakan, undang-undang negara ini tidak tertakluk kepada warganegara saja sebaliknya tertapakai kepada sesiapa juga yang telah melakukan jenayah atau kesalahan kecil.

    “Oleh itu mereka masih tertakluk epada undang-undang. Saya tak perasan ada laporan atau tidak tetapi daripada laporan media pun kita boleh bertindak,” katanya.

    Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kedah Dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Kedah di IPK Kedah, hari ini.

    Pada majlis itu Datuk Kamarul Zaman Mamat yang akan bertukar menjadi Ketua Polis Johor menyerahkan tugas selaku Ketua Polis Kedah kepada bekas Timbalan Pengarah (Integriti), Jabatan Integriti Dan pematuhan Standard (JIPS), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wan Hassan Wan Ahmad.

    Mengulas lanjut Razarudin berkata, pihaknya akan mengarahkan semua kontinjen serta Ibu Pejabat Daerah (IPD) bagi memberi perhatian terhadap perkara itu.

    “Selalunya kita lihat kejadian ini berlaku di bandar-bandar besar seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan. Biasanya mereka akan minta sedekah di kawasan-kawasan sesak termasuk di persimpangan lampu isyarat.

    “Apa pun kita sudah arahkan kontinjen-kontinjen dan IPD untuk beri perhatian,” katanya.

    Dalam pada itu beliau turut tidak menolak kemungkinan kegiatan meminta sedekah dalam kalangan warga Rohingya ini turut didalangi sindiket.

    “Kemungkinan itu ada namun saya tak boleh kata apa lagi. Mungkin lepas buat tangkapan atau siasatan, kita cuba kumpulkan risikan berkaitan perkara itu,” katanya.

  • Pindah 4 ekor babi tanpa kebenaran, pemandu lori didenda RM2,000

    Pindah 4 ekor babi tanpa kebenaran, pemandu lori didenda RM2,000

    SEORANG pemandu lori didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Butterworth, Pulau Pinang hari ini selepas mengaku bersalah memindahkan empat ekor babi hidup tanpa kebenaran pada November lalu.

    Tertuduh, Tan Jie Xuan, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M. Kalaiarasi dalam bahasa Mandarin.

    Mengikut pertuduhan, Jie Xuan didakwa memindahkan empat ekor babi dengan sebuah lori tanpa mendapat kebenaran bertulis dari Pengarah Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang.

    Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah sembelihan di No. 2976, Tingkat Selamat 10, Kampung Selamat, Tasek Gelugor di sini kira-kira pukul 11.50 pagi pada 24 November lalu.

    Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Perintah 4(1)(a) Perintah Haiwan Kawalan dan Pembasmian Contagious Abortion serta Penyakit Kuku dan Mulut) 2003 di baca bersama Subseksyen 36(1)(c)(i) Akta Binatang 1953 (Akta 647) yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM15,000 jika disabit kesalahan.

    Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut manakala memerintahkan hasil jualan babi bernilai RM1,200 dilucut hak dan diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

    Selain itu, mahkamah turut mengarahkan lori milik sebuah syarikat turut diserahkan kembali selepas tertuduh membayar denda hari ini.

    Kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pulau Pinang, Roziman Awang Tahrin dan tertuduh tidak diwakili peguam.

  • Tular kes buli: Nasib 10 pelajar MRSM di tangan pendakwa raya

    Tular kes buli: Nasib 10 pelajar MRSM di tangan pendakwa raya

    POLIS telah melengkapkan kertas siasatan berhubung satu kes buli membabitkan 10 orang pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar bulan lepas.

    Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Omar Bakhtiar Yaakob berkata kertas siasatan kes itu telah dilengkapkan pada 17 Dis, dan diserahkan kepada pejabat pendakwa raya negeri Perak untuk tindakan seterusnya dua hari lepas.

    “Kes membabitkan 10 pelajar MRSM Kuala Kangsar ini telah selesai disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jadi sekarang ia di bawah (tindakan lanjut) pihak pendakwa raya,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan bersama warga Ibu Pejabat Polis Daerah hari ini.

    Beberapa media sebelum ini melaporkan polis telah mengambil keterangan sembilan pelajar berusia 13 tahun dan seorang 15 tahun yang dipercayai terlibat dalam satu kes buli, susulan penularan video berdurasi 10 saat di media sosial yang memaparkan seorang pelajar dikepung rakan-rakannya di dalam bilik asrama dengan mangsa ditumbuk di bahagian perut. – Bernama

  • Edar dadah di Felda:Suami isteri, pasangan kekasih ditahan

    Edar dadah di Felda:Suami isteri, pasangan kekasih ditahan

    POLIS menahan sepasang kekasih dan suami isteri selepas disyaki terbabit dalam kes pengedaran dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM402,411 di Temerloh pada awal bulan ini.

    Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Temerloh menahan empat individu berkenaan ditahan dalam serbuan pada 2 dan 3 Januari lalu.

    Menurut Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, menerusi serbuan pertama pasangan kekasih berumur 35 dan 41 tahun yang berada dalam bilik sewa di Taman Dahlia, Temerloh ditahan pada pukul 11 malam, 2 Januari lalu.

    Katanya, hasil siasatan lanjut, polis merampas sembilan paket plastik lutsinar berisi dadah disyaki heroin seberat 60.67 gram dan enam paket lutsinar disyaki dadah jenis syabu 7.76 gram.

    “Hasil ujian saringan awal terhadap dua suspek mendapati mereka positif dadah jenis morfin dan masing-masing mempunyai lima dan tujuh rekod lampau berkaitan dadah.

    “Susulan penahanan pasangan terbabit, polis melakukan serbuan kedua pada 12.15 tengah malam, 3 Januari lalu di taman sama dan berjaya menahan suami isteri berumur 35 dan 36 tahun.

    “Penahanan itu menemukan dua paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin seberat 41.01 gram dan satu paket plastik lutsinar jenis syabu seberat 25.85 gram.

    “Hasil ujian saringan awal terhadap kedua-dua suspek negatif tetapi masing-masing mempunyai satu dan dua rekod berkaitan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang, Kuantan, hari ini.

    Ramli berkata, dengan penahanan itu, seorang suspek membawa sepasukan polis ke rumah di Jalan Batu 6, Temerloh yang membawa kepada rampasan dadah lebih besar pada 5 pagi, 3 Januari lalu.

    Katanya, rampasan itu membabitkan dadah jenis syabu seberat 1,068.79 gram, 29 paket dadah jenis syabu seberat 729.28 gram dan 17 paket plastik lutsinar jenis heroin seberat 129.18 gram.

    “Satu beg kain berzip berwarna hitam mengandungi dadah jenis heroin seberat 2,350.18 gram dan 10 papan pil erimin seberat 26.99 gram, tiga paket heroin seberat 1,359.25 gram dan syabu seberat 658.40 gram serta 53 jenis barang kemas dan wang tunai RM24,000 dan selaras senapang patah tanpa peluru.

    “Bagi kes senapang patah, kes ini disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan jika sabit kesalahan akan dipenjara lebih melebihi satu tahun penjara atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

    “Jumlah nilai keseluruhan rampasan dadah dan harta ialah RM792,058 iaitu dadah jenis syabu, heroin dan erimin berjumlah RM402,411 manakala nilai sitaan harta RM389,647.50 termasuk wang tunai RM24,000, akaun bank (RM77,647.50), barang kemas (RM160,000), sebuah pacuan empat roda (RM120,000) dan sebuah motosikal (RM8,000).

    “Mereka kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tujuh hari bermula 3 Januari lalu.

    “Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

    “Sindiket ini dipercayai memperolehi bekalan dadah jenis heroin dan syabu dari Lembah Klang untuk diedarkan di kawasan Felda di sekitar Temerloh dan Kuantan,” katanya.

  • Bahan kimia tumpah atas jalan raya

    Bahan kimia tumpah atas jalan raya

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEBUAH tangki mengandungi kimia yang dibawa sebuah treler bocor pada bahagian silinder sebelum tumpah di Hentian Yong Peng, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, Batu Pahat, hari ini.

    Keadaan itu disedari pemandu treler berkenaan sebelum menghubungi pihak bomba kerana bimbang boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyalamat (BBP) Pagoh, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Fadli Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian itu pada pukul 1.21 pagi.

    Susulan itu katanya, seramai 113 anggota dari BBP Pagoh dan BBP Larkin termasuk unit Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) dikejarkan ke tempat kejadian.

    Beliau menambah, mereka dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Hazmat.

    “Setibanya di tempat kejadian didapati berlaku tumpahan kimia jenis Asid (UN2218) sepanjang 50 meter di atas jalan raya.

    “Kejadian berlaku disebabkan salah satu silinder telah bocor dari lori treler 16 tan yang membawa muatan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

    Mohd. Fadli berkata, anggota Hazmat kemudian bertindak menstabilkan tahap pH asid tersebut.

    Menurutnya, pihak pengurusan bahan kimia dari syarikat tersebut kemudian memindahkan bahan kimia itu dan operasi tamat pukul 6.16 pagi.

  • Lapan rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran

    Lapan rumah dua tingkat musnah dalam kebakaran

    Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

    SEKURANG-KURANGNYA lapan buah rumah dua tingkat musnah dalam satu kejadian kebakaran berhampiran SJK (C) Chin Chiang, Jalan Haji Siraj, Renggam, Kluang, malam tadi.

    Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Renggam, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd. Fauzi Md. Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.21 malam.

    “Sejurus itu, seramai 25 orang anggota telah dihantar ke tempat kejadian bersama satu jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) dari BBP Renggam dan dibantu satu jentera FRT dari BBP Ayer Hitam dan satu jentera FRT dari BBP Kluang.

    “Setibanya di lokasi, sebanyak lapan buah rumah jenis separuh kekal dua tingkat yang berkeluasan 20 x 70 kaki, sudah pun dijilat api.

    Kebakaran tersebut tidak melibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa dan api dapat dikawal pada jam 1.33 pagi

    “Hasil tindakan pantas pasukan keluaran operasi berjaya mengawal kebakaran dan sebuah rumah berjaya diselamatkan.

    “Operasi pemadaman selesai sekitar jam 1.33 pagi, hari berikutnya manakala kebakaran tidak melibatkan nyawa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Jelasnya, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

  • 1MDB: Cirit-birit antara alasan saksi pendakwaan tak hadir bicara

    1MDB: Cirit-birit antara alasan saksi pendakwaan tak hadir bicara

    PELBAGAI alasan diberikan saksi-saksi pendakwaan yang tidak dapat hadir ke mahkamah pagi tadi untuk perbicaraan kes rasuah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebanyak RM2.28 bilion membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

    Memetik laporan Malaysiakini, antara alasan diberikan enam saksi terbabit adalah cuti perubatan kerana demam, berada di luar negara di London, mengalami cirit-birit, masih dalam kuarantin selepas pulang ke Malaysia selepas mengerjakan umrah, mengambil suntikan dos penggalak vaksin Covid-19 hari ini, dan perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat.

    Sehubungan itu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan perbicaraan ke 2.30 petang ini bagi membolehkan pihak pendakwaan mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi yang perlu hadir untuk memberi keterangan.

    Semasa prosiding di hadapan hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram memaklumkan bahawa saksi pendakwaan ke-12, bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, tidak dapat hadir hari ini kerana demam dan mendapat cuti sakit.

    “Kami (pendakwaan) sepatutnya memanggil Azmi Tahir untuk meneruskan (memberi keterangan hari ini). Malangnya, saya telah dimaklumkan pagi ini bahawa saksi kami telah pergi ke klinik dan mendapat MC (sijil cuti sakit) mengatakan dia tidak boleh meneruskan (prosiding) hari ini,” kata timbalan pendakwa raya itu sambil menambah mata saksi kelihatan sangat merah dan suhu badannya panas.

    Semalam, Azmi memberi keterangan semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela Hariharan Tara Singh.

    Apabila hakim Sequerah meminta pihak pendakwaan memanggil saksi lain untuk hadir di kandang saksi pagi ini, Akram memaklumkan mereka telah berhubung dengan lima saksi lain tetapi mendapati mereka juga tidak dapat hadir atas pelbagai alasan.

    Lima saksi terbabit ialah Johan Idris, rakan kongsi pengurusan KPMG yang pernah mengaudit 1MDB sebelum ini; bekas pegawai khas Najib Wan Ahmad Shihab Ismail Wan Ismail; bekas ahli lembaga pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail; bekas pegawai syarikat 1MDB, Lim Poh Seng serta bekas pengarah setiausaha dan pematuhan TRX City Sdn Bhd, Goh Gaik Kim.

    “Saya memanggil lima saksi. Tetapi Johan Idris berada di London dan hanya boleh hadir pada 29 Jan; Ahmad Shihab tidak dapat ditemui kerana mengalami cirit-birit sejak tiga hari lalu; Ismee tiada kerana dia baru pulang selepas mengerjakan umrah (dari Arab Saudi) dan dia kini dikuarantin; Lim Poh Seng menjalani suntikan dos penggalaknya hari ini; dan Goh Gaik Kim juga tidak ada kerana dia perlu menghadiri dua mesyuarat syarikat (hari ini), saya menyuruhnya membatalkannya tetapi dia berkata ia penting,” kata Akram.

    Sequerah kemudiannya memaklumkan kepada timbalan pendakwa raya itu untuk cuba mendapatkan sekurang-kurangnya seorang daripada lebih 50 saksi pendakwaan supaya hadir prosiding petang ini.

    Hakim perbicaraan itu kemudian mengosongkan prosiding pagi ini dan mengarahkan ia bersambung semula pada 2.30 petang ini. Najib dilihat di kandang tertuduh.

    Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.

    Sementara itu, memetik laporan Bernama, perbicaraan tersebut dilapangkan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dimaklumkan bahawa saksi pendakwaan tidak dapat hadir untuk memberi keterangan.

    Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib berkata pendakwaan telah cuba menghubungi beberapa saksi supaya hadir ke mahkamah untuk memberi keterangan namun mereka sama ada sedang bekerja atau mempunyai hal lain yang perlu diselesaikan.

    “Kami tidak dapat mengemukakan saksi lain kerana tempoh yang begitu singkat. Kebanyakan mereka sedang bekerja. Saya mohon maaf Yang Arif. Justeru, saya memohon agar perbicaraan hari ini dilapangkan. Tarikh perbicaraan seterusnya ialah pada 26 dan 27 Jan.

    “Kami sudah menyediakan empat saksi pada tarikh terbabit iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir, bekas Pengarah 1MDB Tan Sri Ismee Ismail, bekas Pengerusi 1MDB Tan Sri Mohd Bakke Salleh dan Datuk Wan Ahmad Shihab Wan Ismail (bekas pegawai khas Najib).

    “Jika berlaku keadaan seperti hari ini (saksi tidak dapat memberi keterangan kerana tidak sihat), kami akan mempunyai saksi lain,” katanya.

    Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian mengucapkan terima kasih kepada timbalan pendakwa raya itu atas usahanya.

    “Jumpa anda semua pada 26 Jan,” katanya.

  • Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun pagi ini

    Jumlah mangsa banjir di tiga negeri menurun pagi ini

    KEADAAN banjir di tiga negeri dilaporkan semakin baik apabila jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) menunjukkan pengurangan pagi ini.

    Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Johor dan Sabah meningkat sedikit pagi ini berbanding pada malam tadi.

    Di NEGERI SEMBILAN, data terkini menerusi aplikasi InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat menunjukkan mangsa banjir menurun kepada 506 individu membabitkan 124 keluarga dengan lima PPS dibuka setakat 8 pagi ini berbanding 589 individu melibatkan 148 keluarga pada malam tadi.

    Di MELAKA, jumlah mangsa banjir menurun sedikit kepada 466 orang daripada 126 keluarga pada pukul 8 pagi ini berbanding 468 mangsa daripada 128 keluarga pada pukul 8 malam tadi.

    Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka, Leftenan Kolonel (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata kesemua mangsa yang terjejas adalah dari 14 kawasan di Alor Gajah, sembilan kawasan di Melaka Tengah dan 14 kawasan di Jasin.

    Sementara itu, di PAHANG, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan masih terdapat seramai 1,369 mangsa banjir di 30 PPS melibatkan lima daerah pagi ini, sekali gus menunjukkan penurunan berbanding malam tadi dengan 1,491 mangsa.

    Daerah yang terlibat banjir ialah Temerloh yang mempunyai mangsa paling ramai iaitu 510 orang manakala mangsa di Bera, Maran, Pekan dan Rompin adalah mangsa banjir gelombang kedua yang bermula tahun ini.

    Sementara itu, laman web rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran melaporkan Sungai Bera dan Sungai Serting di Bera serta Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan masih melebihi paras bahaya.

    Di JOHOR, mangsa banjir meningkat sedikit kepada 4,449 orang setakat 8 pagi ini berbanding 4,253 orang malam tadi, dengan 66 PPS yang masih beroperasi.

    Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor R Vidyananthan berkata, enam daerah masih terjejas banjir dengan Segamat mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 2,508 orang daripada 685 keluarga.

    Sementara itu, empat sungai masih mencatatkan paras bahaya iaitu Sungai Muar di Liang Batu, Muar; Sungai Muar di Kampung Olak Sepam, Muar; dan Sungai Muar di Kampung Awat, Segamat; dan Sungai Muar di Buloh Kasap, setakat 6 pagi ini.

    Di SABAH, jumlah mangsa banjir dilaporkan sedikit meningkat dengan 3,275 mangsa daripada 1,350 keluarga pagi ini berbanding 3,264 mangsa daripada 1,341 keluarga malam tadi.

    Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, semua mangsa banjir ditempatkan di 27 PPS yang masih beroperasi di lima daerah terjejas banjir yang terletak di utara dan pantai timur negeri itu.

    Kota Marudu kekal merekodkan mangsa banjir paling ramai dipindahkan dengan 2,668 mangsa daripada 1,161 keluarga di 14 PPS; diikuti Pitas 330 mangsa daripada 129 keluarga di empat PPS; Telupid (178 mangsa, 43 keluarga, enam PPS); Paitan (54 mangsa, 10 keluarga, dua PPS); dan Sandakan (45 mangsa, tujuh keluarga, satu PPS).

    Di SELANGOR, Info Bencana JKM memaklumkan jumlah mangsa banjir di Selangor kekal seramai 40 orang melibatkan dua PPS di daerah Kuala Langat iaitu Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang (25 mangsa) dan Balai Raya Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Banting (15 mangsa).

    Sementara itu, laman web publicinfobanjir.water.gov.my melaporkan Sungai Bernam di Rimba KDR, Sabak Bernam berada ditahap bahaya iaitu pada ketinggian 2.9 meter, manakala Sungai Langat di Bukit Changgang, Kuala Langat (3.7 meter) dan Sungai Tengi di Pekan Tanjong Karang, Kuala Selangor (2.01 meter) di tahap waspada setakat 7.45 pagi Khamis. – Bernama